Tuesday 31 January 2012

Cabaran PR sekiranya menjadi Kerajaan Negeri di NS

Kesepakatan dan kerjasama antara PKR, DAP dan PAS di Negeri Sembilan telah menampakkan arah usaha untuk menawan negeri ini dalam PRU-13 akan datang. Jika andaian politik yang menjangkakan kemenangan PR NS itu terzahir, maka rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhannya telah meletakkan harapan perubahan mampu dilaksanakan oleh PR.
Inilah cabaran yang bakal dihadapi oleh PR NS sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri. Secara hakikatnya, rakyat Negeri Sembilan sangat menginginkan perubahan dari segi pembangunan ekonomi sebagaimana yang dinikmati oleh Selangor, Melaka dan Johor. Walaupun negeri ini berada dalam zon ekonomi selatan Semenanjung namun seperti ada vakum atau ruang kosong yang menjadikan Negeri Sembilan terhimpit dengan kelembapan ekonomi dan pembangunan.

Satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center pada penghujung tahun 2011 lalu mendapati kebanyakan responden inginkan perubahan dalam Negeri Sembilan khususnya dari segi ekonomi dan pembangunan. Ia adalah gambaran jelas bahawa negeri ini telah terlalu lama terhimpit dengan kelembapan gerak usaha yang strategik dalam melaksanakan kerancakan ekonominya.

Cabaran besar yang menanti PR NS adalah melaksanakan usaha-usaha strategik meningkatkan ekonomi dan pembangunan dalam negeri. Antara usaha tersebut adalah menarik pelaburan masuk ke dalam negeri. Sekitar penghujung dekad 80an dan 90an, Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang mempunyai kerancakan sektor perindustrian yang tertumpu di Daerah Seremban khususnya di Nilai dan Senawang. Namun selepas kegawatan ekonomi Asia pada penghujung dekad 90an telah menyebabkan kedudukan ekonomi negara termasuk Negeri Sembilan menjadi lembab.

Kesan daripada krisis ekonomi tersebut banyak pelabur menutup operasi industri di Negeri Sembilan walaupun masih ada yang bertahan meneruskan operasi sehingga kini.

Negeri Sembilan sebenarnya sangat berpotensi menjadi tumpuan utama pelancongan negara kerana keunikannya dengan Adat Perpatih dan tarikan alam sekitar. Akan tetapi peranan tersebut tidak begitu menyerlah dan jika ia dijalankan oleh kerajaan negeri BN, ia hanya rancak dipermulaan pelaksanaan sahaja. Selepas itu, rancangan tersebut seakan menyepi tanpa ada kesinambungan yang boleh memberi kesan besar kepada negeri ini. Selepas lima dekad ditadbir BN, Negeri Sembilan tidak menjadi pilihan popular pelancongan negara. Apakah dengan hanya bergantung kepada kawasan peranginan Port Dickson semata-mata sudah memadai?

Sektor pelancongan adalah sektor yang amat penting dalam merancakkan ekonomi dalam negeri. Kehadiran pelancong-pelancong yang ramai seumpama pelabur-pelabur kecil yang datang berbelanja di dalam negeri. Keadaan inilah yang wajar dieksploit oleh PR seandainya menjadi kerajaan negeri dalam memperkasa dan mempergiatkan sektor pelancongan disamping menjana ekonomi negeri.

Pelancongan bukan semata-mata tertumpu kepada konsep riadah keluarga tetapi ia boleh diperluaskan kepada konsep pendidikan, hiburan dan perniagaan. Negeri Sembilan mempunyai simpanan kawasan hutan semulajadi yang luas yang meliputi hutan hujan khatulistiwa dan hutan paya bakau. Dalam menjayakan peranan pelancongan, konsep pelancongan pendidikan iaitu dengan menjadikan kawasan-kawasan hutan simpan sebagai pusat kajian dan pendidikan berkaitan alam semulajadi. 

Konsep pelancongan pendidikan itu boleh diperluaskan kepada budaya Adat Perpatih yang meliputi cara dan tatabudaya adat, kesenian kraf dan muzik, senibina dan makanan. Inilah bentuk pelancongan yang kurang dijayakan oleh kerajaan negeri sedia ada walaupun ada perancangan dan pelaksanaannya. Keistimewaan budaya dan kesenian Negeri Sembilan agak kurang menonjol. Ia wajar mengambil contoh kebudayaan dan kesenian di Kelantan yang begitu menghargai warisan tersebut.

Keadaan ketinggalan ini harus digantikan segera. Maka rakyat Negeri Sembilan wajar memberi peluang kepada PR NS mengurustadbir negeri ini.


No comments:

Post a Comment