Friday 1 November 2013

PRK Dun Sungai Limau: Pas dijangka mempertahankan kemenangan!

Dr Ahmad Sohaimi Lazim
Pilihanraya kecil (PRK) Dun Sungai Limau merupakan pilihanraya kecil kedua yang berlangsung selepas PRU-13. Sebelum itu, PRK Kuala Besut telah diadakan dengan BN mempertahankan kemenangan selesa mengalahkan Pas.
Ustaz Azam Samad

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak, 69 pada 26 September 2013 lalu akibat masalah kesihatan.

SPR telah menetapkan hari penggundian bagi PRK Sungai Limau pada 4 November 2013.

Pas telah meletakkan Ketua Pemuda Pas Jerai, Ustaz Azam Samad, 37 sebagai calon. Manakala BN pula mempertaruhkan bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52 bagi merampas Sungai Limau. 

Peluang
Sebagaimana yang diperkatakan umum, Sungai Limau merupakan kubu kuat Pas yang telah dimenangi sejak PRU 2004 lagi. Sebelum persempadanan semula tahun 2003, Sungai Limau asalnya adalah Dun Sala. PRU 1999 menyaksikan Ustaz Azizan Abdul Razak memenangi dun tersebut dengan majoriti selesa iaitu 2,621 undi. Selepas persempadanan semula, Dun Sala dinamakan sebagai Sungai Limau yang berada dalam Parlimen Jerai. Namun pada PRU 2004, majoriti kemenangan Ustaz Azizan merosot kepada 1,080 undi dan kekal menjadi kawasan kuat Pas di Kedah.

Secara atas kertas dan statistik, agak sukar buat BN untuk merampas Sungai Limau daripada Pas. Dun ini mempunyai 19 daerah mengundi dengan jumlah pemilih seramai 27,222 orang. Pecahan kawasan berdasarkan sokongan undi keputusan PRU-13 lepas adalah;

Kawasan Kuat Pas
  1. Matang Buloh
  2. Sungai Dedap
  3. Gelam Tiga
  4. Bukit Choras
  5. Bukit Besar
  6. Simpang Tiga Luar
  7. Ulu Sedaka
  8. Batu Enam Belas
  9. Kampung Titi Batu
Kawasan Kuat Umno-BN
  1. Sungai Kering
  2. Dulang Kechil
  3. Dulang Besar
Kawasan 50-50 (dimenangi Pas@BN dengan majoriti marginal)
  1. Simpang Tiga (BN)
  2. Selengkoh (BN)
  3. Sungai Daun (BN)
  4. Sungai Limau (Pas)
  5. Kabu Sepuloh (Pas)
  6. Sedaka (Pas)
  7. Padang Lumat (Pas)
Jika analisa seimbang (tidak berpihak), BN berpeluang untuk memenangi Sungai Limau adalah dengan mengekalkan kemenangan besarnya di Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar disamping meningkatkan majoriti kemenangan di Simpang Tiga, Selengkoh dan Sungai Daun. Tiga daerah mengundi yang menjadi kubu kuat Umno-BN itu adalah dijangka akan memperolehi undi popular melebihi 65 peratus. Ini adalah kawasan maut buat Pas & PR.

Daerah-daerah mengundi yang dimenangi dengan majoriti marginal oleh Pas seperti Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat wajib dimenangi oleh BN dengan majoriti yang lebih baik. Manakala bagi daerah-daerah mengundi yang menjadi kubu kuat Pas, BN boleh menjalankan gerakan mempertingkatkan undi. Kebarangkalian BN untuk memenangi sembilan kawasan kuat Pas itu adalah 30-70.

Andainya itu berlaku, jangkaan kemenangan BN adalah sekitar 200-300 undi majoriti. Wajar difahami bahawa Dun Sungai Limau adalah kubu kuat Pas sebagaimana Kuala Besut di Terengganu. Potensi untuk menang buat BN sukar tetapi tidak mustahil!

Kemenangan dan peningkatan undi juga bergantung kepada pengepungan pemilih masing-masing untuk dipastikan keluar mengundi. Sungai Limau tidak mempunyai undi awal dan itu telah memberi kelebihan kepada Pas manakala BN harus bersaing secara adil di atas padang yang sama. Cuma mereka mempunyai sedikit bantuan daripada undi pos. Keputusan undi pos PRU-13 lalu di sini memperlihatkan BN hanya berkelebihan sebanyak 62 undi majoriti dengan perolehan sebanyak 170 undi berbanding Pas dengan 108 undi. 

Hakikatnya, kedudukan Pas di sembilan daerah mengundi tersebut agak sukar buat BN untuk menembusinya. Perolehan undi di kawasan-kawasan ini cukup besar dan selesa buat Pas. Jangkaan awal Pas akan memenangi kawasan-kawasan ini dengan perolehan undi popular melebihi 60 peratus.

Jumlah undi yang dijangka akan diperolehi oleh calon Pas bakal mencapai perolehan sekitar 13,500 undi dan mendapat majoriti kemenangan antara 2,300-2,400 undi.







Wednesday 23 October 2013

Mohamad Hasan memperkukuhkan pengaruhnya di Negeri Sembilan!

Pemilihan Umno 2013 telah berlalu dengan jayanya. Namun tidak banyak perubahan atau transformasi yang digebang-gemburkan itu berlaku sebagaimana yang dihujahkan oleh kebanyakan pemuka-pemuka tertinggi Umno. Pemilihan kali ini lebih banyak mengekalkan status-quo dan gelombang 'meremajakan' parti itu seperti gagal untuk diterjemahkan khususnya di peringkat Umno Pusat!

Pemilihan di Negeri Sembilan juga telah memperlihatkan beberapa penyandang Ketua Bahagian tewas dalam persaingan jawatan tersebut. Kemenangan beberapa calon baru itu telah mengubah situasi dan landskap politik dalaman Umno Negeri Sembilan.

Ketua Bahagian Rembau
Mohamad Bin Hasan
Selepas kekalahan besar BN pada PRU 2008 lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 15 dun sekaligus menafikan keselesaan dua pertiga BN sejak tahun 1959 di DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menjadi sasaran kritikan para pimpinan bahagian yang meletakkan punca kekalahan tersebut di bahu beliau. Maka telah berlakulah gesaan dan usaha untuk 'menggulingkan' Mohamad daripada kedudukan Menteri Besar. 

Puncak krisis dalaman Umno NS telah memperlihatkan enam bahagian iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Tampin, Seremban dan Telok Kemang menzahirkan 'penentangan terbuka' kepada Mohamad. Hanya bahagian pimpinan beliau, Rembau dan Rasah menyokong kedudukan Mohamad Hasan.

Isu 'pengukuhan kuasa adik-beradik' Mohamad Hasan menjadi serangan kuat oleh para penentang beliau. Perselisihan antara Mohamad dengan bahagian-bahagian terbabit berpunca daripada perlantikan abang beliau sebagai Setiausaha Perhubungan Umno NS. 

Pengukuhan Pengaruh
Lilah Yasin
Tewas di Jempol
Namun begitu, Mohamad agak bijak merancang strategi dalam pemilihan kali ini. Kejayaan merampas kembali Dun Paroi dan Ampangan meningkatkan semula kredibiliti dan sokongan kepada beliau. Lebih dramatik adalah meletakkan seseorang yang baru dalam politik negeri sebagai calon di Ampangan iaitu Haji Abu Ubaidah Redza (gambar kiri). Kedudukan Umno di Ampangan membayangkan kemerosotan pengaruh akibat perbalahan politik dalaman yang meruncing hingga tewas di Ampangan dan Sikamat pada PRU-12. Keputusan Mohamad 'memperjudikan' nasib dengan menamakan Haji Abu sebagai calon sangat berjaya dan rancangan seterusnya meletakkan beliau menjadi Ketua Bahagian Seremban. Mantan ketua bahagian Seremban, Ishak Ismail akhirnya tersungkur di tangan Haji Abu. Ini suatu perjalanan politik yang dramatik buat Haji Abu dengan memenangi Ampangan, kemudian dilantik menjadi exco dan kini menjadi ketua bahagian!

Tiga bahagian yang melalui percaturan pengukuhan pengaruh Mohamad Hasan adalah Jelebu, Seremban dan Jempol. Kemenangan Haji Abu dan Datuk Jalaluddin Alias dibantu oleh faktor kedudukan mereka berdua sebagai exco kerajaan negeri. Ia memudahkan gerakan dan kempen menembusi semua cawangan dan bahagian seluruh Negeri Sembilan. Secara logikanya, Mohamad telah merancang awal bersama orang-orangnya terutama yang berada dalam kabinet negeri secara terperinci. 

Tumbangnya Lilah Yasin di Jempol begitu mengejutkan banyak pihak termasuklah orang-orang Umno sendiri. Ketika pemilihan sayap, orang-orang Lilah telah 'menguasai' persaingan merebut jawatan dalam sayap-sayap. Maka jangkaan awal telah meramalkan bahawa Lilah bakal mempertahankan kedudukannya sebagai ketua bahagian. Namun begitu, situasi itu terbalik ketika hari pemilihan. Bekas timbalan beliau, Haji Mohd Salim Mohd Sharif (gambar kiri) telah berjaya menewaskan beliau. Haji Salim satu-satunya proksi Hishamuddin Hussein di Negeri Sembilan.

Kejayaan menumbangkan Lilah Yasin di Jempol bermakna telah meruntuhkan pengaruh politik Isa Samad yang telah dibina sejak 1982 lagi. Selama 22 tahun menjadi MB Negeri Sembilan telah memberi kelebihan politik jangka panjang buat Isa Samad mempengaruhi landskap politik negeri ini. Namun kini era kegemilangan beliau telah sampai ke penghujungnya. Setakat ini Isa Samad berjaya mempertahankan jawatan ketua bahagian di Telok Kemang tanpa mendapat saingan hebat apatah lagi tentangan luar biasa! 

Jalaluddin Alias
Ketua Bahagian Jelebu
Kejayaan Isa itu mengesahkan bahawa taraf 'warlord' kawasan memang menepati ramalan ramai pihak. Selagi politik Isa bernyawa maka selagi itu beliau tidak akan 'tunduk' untuk melepaskan kekuasaan di dalam jajahan politiknya. 

Dengan 'jatuhnya' pengaruh Isa Samad di Jempol, Seremban dan Jelebu, ia telah memberi gambaran jelas bahawa Mohamad Hasan kini memperlihatkan taring beliau yang sebenar. Malah kemenangan Mohamad mempertahankan jawatan ketua bahagian di Rembau dengan menewaskan Rais Zainuddin membuktikan kedudukan politikal Rembau di bawah aturan strategik beliau. Harus diingat bahawa kejayaan merampas Paroi daripada Pas mengukuhkan kekuatan Umno Rembau. Kejayaan PRU-13 yang diterima oleh Umno Rembau memberi cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat untuk menyaingi parti tersebut dalam PRU-14 mendatang.

Kuala Pilah & Telok Kemang menongkah arus!
Sebagaimana yang dinyatakan, Isa Samad kekal berada dalam 'kawasan takluk' sendiri dengan kemenangan bergaya mempertahankan jawatan ketua bahagian Telok Kemang. Hanya jawatan timbalan dan naib berlaku perubahan. Namun perubahan tersebut tetap mengekalkan pengaruh Isa dalam bahagian itu.

Agak menarik juga percaturan di Kuala Pilah dengan 'orang' Mohamad Hasan iaitu Adun Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim menentang Ismail Lasim. Persaingan jawatan ketua bahagian di sini memperlihatkan pengaruh Ismail Lasim masih gagal digugat oleh Mohamad. Maka rancangan 'menguasai' Kuala Pilah itu tidak berjaya kerana kekalahan Abdul Samad.

Ketua bahagian Rasah, Hasim Rusdi dan Ketua Bahagian Tampin, Shaziman Mansor kekal memenangi dengan selesa jawatan yang disandang. Kedua-dua bahagian ini menjadi sekutu kuat kepada Mohamad Hasan. 

Jangkaan masa depan
Politik masa depan Negeri Sembilan sedang dilakar semula oleh Mohamad Hasan. Secara mudahnya, bagi tempoh lima tahun seterusnya beliau telah merangka kedudukan selesa iaitu mengelakkan gangguan politikal dalaman yang didatangkan oleh bahagian-bahagian. Pengukuhan pengaruh politik yang dijalankan melalui pemilihan kali ini sebenarnya akan membuka persaingan politik dalaman lebih besar kepada Umno.

Namun harus diingat bahawa Umno NS sebagaimana Umno Pusat tetap gagal membariskan pelapis muda dalam saingan politik baru yang kian didominasi oleh Pakatan Rakyat. Usaha 'meremajakan' Umno tidak berlangsung tetapi menampilkan watak baru yang datang dari generasi veteran!






Wednesday 25 September 2013

Pemilihan Umno 2013: Pertembungan Mohamad Hasan-Rais Zainuddin di Rembau

Kedudukan Dato' Seri Utama Mohamad Hasan (gambar kiri) selaku Ketua Bahagian Rembau bakal dicabar oleh bekas wakil rakyat dan ahli majlis mesyuarat negeri, Datuk Rais Zainuddin (2004-2008) dalam pemilihan Umno yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pertembungan ini lebih afdal disebut sebagai 'persengketaan peribadi' yang melebihi daripada 'pertentangan politik jawatan'. Kita tidak mahu mengapi-apikan sentimen kebencian politik tetapi ia sekadar pandangan yang melihat kesan dan hasil daripada pertandingan jawatan tersebut.

Ada sumber menyebut bahawa tujuan Rais menyertai perebutan jawatan Ketua Bahagian Rembau ini adalah untuk mengembalikan suasana kekeluargaan di kalangan ahli-ahli Umno Rembau. Apakah misi beliau ini cuba mengambarkan bahawa suasana dalaman Umno Rembau begitu berkocak? Mungkin ini antara strategi beliau untuk pihak luar membuat tanggapan dan menjadi persepsi yang 'boleh' memberi undi simpati!

'Persengketaan Peribadi'
Mengimbas kembali suatu situasi pada tahun 2008 lalu dan lebih khususnya ketika Umno NS ingin menyerahkan senarai akhir calon-calon PRU-12 kepada Pak Lah. Senarai calon daripada Negeri Sembilan telah dirombak seminggu sebelum pengumuman calon BN. 

Telah dikhabarkan bahawa dalam senarai akhir yang pertama itu, nama Rais Zainuddin ada sebagai calon bagi Dun Chembong. Mungkin timbul bantahan ramai pihak dan beberapa pandangan yang tidak memihak kepada beliau, nama Rais telah digugurkan dan diganti dengan Dato' Zaiful Bahari. 

Pada waktu itu, kencang tersebar khabar bahawa Rais Zainuddin bakal disebut-sebut sebagai MB baru Negeri Sembilan yang dikatakan menggantikan Mohamad Hasan. Ada sumber lain menyebut, Rais mempunyai hubungan yang rapat dengan arwah isteri Paklah. 

Mungkin inilah yang menjadi punca kepada 'Persengketaan Peribadi' Rais terhadap Mohamad Hasan yang dilihat berjaya mempelantik keluar beliau daripada politik seketika.

Akan tetapi pengguguran Rais itu lebih kepada kegagalan beliau dalam menjalankan tugas dan peranan sebagai exco dahulu. Peringkat awal pentadbiran Mohamad Hasan begitu teliti dan progresif bagi memberi gambaran yang baik kepada rakyat akan seriusnya beliau mentadbir negeri ini. Mungkin Rais tidak mampu mengikut kehendak atau KPI yang diperlukan oleh kerajaan negeri.

Rais, 57, merupakan Ketua Umno Cawangan Air Hitam, Chembong. Beliau juga Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara. 

Potensi
Jika melihat kepada peluang dan harapan, adalah sangat diyakini bahawa Mohamad Hasan akan menang mudah. Selaku MB Negeri Sembilan memerangkap Pengerusi Umno NS dan Ketua Bahagian Rembau, keupayaan dan kekuatan beliau bakal dibantu oleh rangkaian politik yang telah dibina sejak 2003 lagi. Manakala Rais Zainuddin agak terpisah daripada arus politik dalam waktu yang lama. 

Cengkaman politik Mohamad Hasan di Rembau agak sukar digugat. Pernah ada cakap-cakap kedai kopi, kalau pembangkang nak menang Rantau, tunggu Mat Hasan bersara atau mati. Ia satu penegasan yang memperlihatkan betapa ampuhnya pengaruh beliau di Rantau khususnya dan Rembau amnya. 

Rais harus bersedia dan mempunyai persiapan rapi lagi gagah untuk merempuh rangkaian politik Mohamad Hasan jika mahu memenangi jawatan Ketua Bahagian. Mungkin Mohamad Hasan mampu tersenyum panjang hingga tamat tempoh mengundi tanpa perlu menunggu keputusan keluar. Rais harus punya jiwa 'political animal' untuk 'membunuh' raksasa politik!

Jangkaan sokongan Rais akan berpunca dari beberapa cawangan sekitar Dun Chembong dan Kota tetapi tidak menjadi suatu 'ombakan besar' untuk membadai sokongan Mohamad Hasan. Manakala jangkaan sokongan Mohamad Hasan sudah pasti secara besar akan datang dari Rantau dan Paroi (keduanya merupakan kubu kuat beliau).

Tuesday 24 September 2013

Ringkasan Prestasi PRU-13: PR Melaka membenih perubahan!

Melaka adalah antara negeri di Semenanjung Malaysia yang menjadi kubu kuat Umno-BN sejak awal Pilihanraya Umum negara lagi. Walaupun parti-parti pembangkang ada memenangi beberapa dun, ia tertumpu di kawasan majoriti Cina yang berpusat dalam parlimen Kota Melaka. Manakala lima lagi parlimen iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin kekal menjadi lubuk kemenangan Umno BN.

Namun begitu, pada PRU-13 lalu sudah ada harapan yang memperlihatkan pengaruh PR diterima oleh rakyat Melaka. Jika PRU-12 pada tahun 2008 lalu, boleh dikatakan pengaruh Umno khususnya di kawasan-kawasan kampung begitu ampuh untuk dipecahkan oleh parti lawan. Kata mudahnya adalah kekalahan telah 50% 'dimiliki awal' oleh calon-calon parti lawan.

Riak politik di negeri bersejarah ini nampaknya memperlihatkan perubahan yang telah menjelmakan harapan dan semangat dalam menghadapi PRU-14 yang mungkin berlaku pada pertengahan 2017 khusus buat PR Melaka. 

PRU 2008 lalu, PR hanya memenangi lima kerusi dun daripada 28 dun keseluruhannya melalui DAP. Lima dun tersebut adalah Bachang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. DAP juga turut mempertahankan kemenangan parlimen Kota Melaka.

PRU 2013 pula telah memperlihatkan pertambahan kemenangan bagi pihak PR. Buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka, PAS telah berjaya memenangi dun Bukit Baru dengan majoriti kecil iaitu 48 undi! Keputusan itu membayangkan betapa sengitnya persaingan merebut undi yang berlangsung dalam pilihanraya umum lalu. PAS telah dapat meletakkan seorang wakilnya dalam dewan undangan negeri. Manakala DAP telah menambah kemenangan dengan merampas dun Duyong dengan majoriti kemenangan sebanyak 205 undi. Duyong merupakan sebuah dun campuran yang majoriti Melayu sekitar 56 peratus.

Secara keseluruhan, PR telah memenangi dua parlimen di negeri ini iaitu Kota Melaka (DAP) dan Bukit Katil (PKR) manakala peringkat dun pula telah memenangi tujuh kerusi iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru, Kesidang, Duyong, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

'Giant Killer'
PKR juga buat pertama kalinya sejak tahun 1999 dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka telah berjaya memenangi parlimen Bukit Katil. Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah berjaya membenam 'keegoan dan keyakinan luarbiasa' Datuk Seri Ali Rustam dengan kemenangan yang agak selesa. Beliau memperolehi majoriti kemenangan sebanyak 5,447 undi!

Shamsul yang juga Pengerusi PKR Melaka menjadi 'pembunuh raksasa Umno' bagi PRU-13. Malah Ali Rustam sendiri terkejut dengan kekalahan tersebut khususnya kepada PKR! Kebanyakan pemuka-pemuka Umno yang mempunyai 'kebencian politik mendalam' terhadap PKR akan lebih tersentap jiwa dan perasaan seandainya kalah kepada calon-calon PKR berbanding Pas! Itulah yang dialami oleh Ali Rustam sendiri!

Pencapaian
Umno-BN secara keseluruhan mengekalkan dominasi kemenangan pilihanraya umum lalu dengan empat parlimen dan 21 dun yang sekaligus mengekalkan penguasaan kerusi dun lebih dua pertiga. 

Kawasan-kawasan dun yang mempunyai 65 peratus ke atas pemilih Melayu memperlihatkan dominasi kemenangan besar oleh calon-calon BN khususnya Umno dan MIC. Calon-calon MCA pula yang masih berjaya memenangi dun seperti Bemban, Klebang dan Machap telah dibantu kemenangan oleh undi-undi Melayu. Bemban dan Klebang memperlihatkan sokongan lebih daripada 85 peratus pemilih Melayu selesa memilih calon MCA-BN berbanding calon DAP-PR. Kedua-dua kawasan ini menyerlahkan trend sokongan kepada PR berpunca dari kawasan-kawasan campuran dan majoriti Cina.

Situasi sama turut melanda Machap walaupun calon MCA disaing-sengit oleh calon PKR. MCA mampu mempertahankan kemenangan di Machap dengan majoriti rendah sebanyak 152 undi sahaja. Nampaknya PKR ada harapan besar untuk memenangi dun pertama mereka pada PRU-14 di Machap. 

PR samada DAP, PAS atau PKR masih dilihat gagal menembusi kawasan-kawasan majoriti Melayu yang melebihi 65 peratus ke atas. Sentimen perkauman dan agama seperti kuasa ketuanan Melayu, isu kalimah Allah dan 'ketidaksepakatan' antara komponen PR telah berjaya mempengaruhi para pemilih Melayu. Ini termasuk pemilih Melayu yang berumur 21-30 tahun. 

Harapan
Berdasar atas kertas, PR memerlukan lapan lagi kerusi dun bagi membentuk kerajaan negeri sekaligus menawan Melaka pada PRU-14 akan datang. Jika tujuh dun yang sediada dimenangi dapat dipertahankan, sumbangan sekurang-kurangnya lapan dun dapat merealisasikan matlamat tersebut.

Antara dun-dun yang berpotensi dimenangi berdasarkan majoriti yang rendah, faktor kawasan campuran dan gerakkerja adalah; {dun (majoriti PRU-13)-komponen PR}
1. Machap (152)-PKR
2. Telok Mas (701)-PAS
3. Rim (1,121)-PKR
4. Paya Rumput (1,270)-PKR
5. Durian Tunggal (1,316)-PAS
6. Gadek (2,630)-PKR
7. Bemban (2,028)-DAP
8. Kelebang (2,097)-DAP

Dun-dun lain yang juga mampu dimenangi sekiranya betul gerakan dan strateginya oleh PR adalah Taboh Naning, Rembia dan Lendu.

Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Melaka adalah 15 dun dan 19 dun bagi mendapat dua pertiga kerusi dun.


Sumbangan pendapat, pandangan dan cadangan sebagai pembetulan atau tambahan maklumat amat dialu-alukan.

Pemilihan Umno 2013: Pertembungan Tiga Penjuru Rebut Ketua Bahagian!

Sebelum ini kecenderungan analisa atau pandangan politik blog ini lebih tertumpu kepada arah perjuangan politik Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sembilan. Sekali-sekala ia membelek dan menyelak perkembangan politik Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain.

Ishak Ismail
Penulisan kali ini akan melihat dan membaca berkenaan pertembungan menarik bagi Pemilihan Umno Seremban dalam jawatan Ketua Bahagian yang membuka gelanggang perlawanan tiga penjuru.

Penyandang jawatan tersebut, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan Adun Lenggeng akan ditentang oleh Setiausaha Kerja Umno Negeri Sembilan, Md Yusof Harmain Shah yang lebih dikenali sebagai Yusop Misai dan Adun Ampangan, Haji Abu Ubaidah.

Ini suatu pertembungan yang menarik kerana Umno Seremban antara 'rival' kuat kepada kepimpinan Mohamad Hasan sebagai Pengerusi Umno NS. Mohamad yang juga Ketua Bahagian Rembau telah diketahui ramai 'berlaga keting' dengan Ishak. Ia bukan rahsia politik, malah telah diketahui umum masyarakat politik negeri ini.

Md Yusof Harmain Shah
Situasi ini mudah difahami iaitu Ishak Ismail adalah 'orang Isa Samad'. Manakala Isa Samad merupakan proksi kuat Najib Razak di Negeri Sembilan. Mohamad Hasan pula boleh ditakrifkan sebagai 'berlaga angin' dengan Isa samad sejak tahun 2004 lagi. Beliau juga merupakan 'orang kesayangan' Pak Lah semasa menjadi PM dahulu.

Haji Abu Ubaidah
Penyertaan Yusop Misai dan Haji Abu ke gelanggang pertandingan boleh dibaca sebagai 'tindakan mengusir secara mutlak' Ishak daripada kemenangan. Kedua-dua susuk ini secara terang dan jelas adalah 'orang Mohamad Hasan'. Ia hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Yusop Misai merupakan bekas Adun Sikamat (2004-2008) sebelum beliau tewas kepada calon Keadilan, Aminuddin Harun dalam PRU-12 lalu. Haji Abu Ubaidah pula merupakan 'susuk baru' yang melalui situasi politik ironik iaitu dipilih menjadi calon PRU-13 bagi Ampangan, kemudian menang di Ampangan dan menjadi Adun. Kini beliau 'telah disungkit' oleh para strategis politik Mohamad Hasan untuk menyertai perlawanan pemilihan. 

Perlawanan Sengit?

Walaupun di atas kertas pertembungan ini memperlihatkan situasi sengit, namun dikhabarkan salah seorang calon pro-Mohamad Hasan akan menarik diri pada saat akhir. Ishak Ismail bukanlah 'susuk kecil politik' yang boleh diperlekehkan. Beliau sebagaimana Isa Samad ada sokongan akar umbi walaupun majoriti mahu beliau ditukar! 

Kedudukan Haji Abu sebagai Adun Ampangan mungkin dijadikan modal politik untuk menyaingi Ishak. Pengaruh beliau di Ampangan menjadi 'bekalan pertandingan'. Namun begitu, persoalannya apakah pengaruh itu hanya pengaruh sekitar masyarakat awam semata-mata atau adakah beliau akan mendapat sokongan politik kebanyakan ahli-ahli Umno di Ampangan, Sikamat mahupun Lenggeng jika dibandingkan dengan Ishak dan Yusof Misai yang lebih lama berkecimpung dalam politik Umno bahagian??

Rakyat umum pasti ingat kepada 'insiden campak kerusi' yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Umno Seremban beberapa tahun lalu. Dalam insiden itu, pasukan yang menentang Ishak yang dikepalai oleh Mohd Nor Awang telah membuat bantahan berkaitan kelayakan ahli hadir mesyuarat yang dipercayai hadir daripada 'cawangan-cawangan hantu'. Yusof Misai juga berada dalam kumpulan penentang tersebut.

Jangkaan

Bukan mahu memperlekehkan tetapi kemenangan dijangka akan berpihak kepada Ishak Ismail. Akan tetapi jangkaan ini boleh meleset sekiranya kedua-dua lawan iaitu Yusof Misai dan Haji Abu bergandingan untuk mengalahkan Ishak.

Walaubagaimanapun, Umno Seremban seolah-olah ketandusan susuk yang muda dan berkredibiliti untuk diangkat menjadi Ketua Bahagian. Maaf bicara, walaupun Umno Seremban memperolehi kejayaan merampas kembali Ampangan, itu bukan suatu 'harapan' atau cahaya kebangkitan untuk pemantapan politiknya. Hakikatnya Umno Seremban berada dalam lingkungan masyarakat bandar dan sub-bandar yang merangkumi 65 peratus kawasan parlimen Seremban. 

Jika antara ketiga-tiga calon ini menang sekalipun menjadi Ketua Bahagian, masyarakat akan melihat Umno Seremban tetap dipimpin oleh orang veteran yang sepatutnya diganti oleh golongan yang lebih berkemampuan. Kepimpinan komponen PR Seremban iaitu DAP, PAS dan Keadilan dikepalai oleh golongan muda dan pertengahan. Apakah Umno Seremban akan mampu menyaingi 'keremajaan' komponen PR Seremban dalam mendepani politik seterusnya?

Sebarang cadangan, pandangan dan pengisian bagi tujuan pembetulan maklumat amat dialu-alukan sebagai perkongsian umum. Mohon pandangan yang bernas dan bukan emosi!

Tuesday 20 August 2013

Bedah Siasat PRU-13: Ampangan-kemenangan yang dinafikan undi pos!

Jika di atas kertas, Keadilan mampu mempertahankan kemenangan di Dun Ampangan pada PRU-13 lalu. Ia merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu dalam bandar selepas Sikamat di Negeri Sembilan.

Namun begitu, keputusan PRU-13 lalu telah menyaksikan 'kejutan' dengan BN berjaya merampas kembali Ampangan dengan kemenangan tipis dalam sejarah Pilihanraya Umum kawasan tersebut. PRU 2008 lalu turut mencatat sejarah buat Ampangan yang menjadi DUN yang mencatat majoriti kemenangan terkecil daripada keseluruhan 36 Dun semuanya. Rekod itu sekali lagi tercatat kali ini dalam PRU-13 dengan majoriti kemenangan hanya 89 undi sahaja!

Apakah benar PR melalui Keadilan tewas di Ampangan?

Andainya diukur dengan undi awam, sahih bahawa Keadilan telah menang di sini dengan majoriti kecil sebanyak 16 undi! Akan tetapi hakikat keseluruhan, calon Keadilan telah 'dikalahkan' oleh undi pos yang memihak sebanyak 62 peratus kepada calon BN.

Undi Pos
Peranan undi ini benar-benar membantu lebih daripada 60 peratus kemenangan BN di kebanyakan dun dalam Negeri Sembilan. Itu belum lagi dicampur dengan undi awal iaitu undi-undi daripada polis, tentera, bomba dan lain-lain pasukan.

Jumlah undi pos yang dinyatakan dalam senarai pemilih Dun Ampangan (dibekalkan oleh SPR) adalah tujuh (7) orang sahaja. Namun begitu, permohonan undi pos itu masih boleh dibuat sehingga sehari sebelum hari penggundian undi tersebut! 

Ada dua keadaan yang berlaku di sini, iaitu; tiada makluman tambahan undi pos bagi Dun Ampangan dan kegagalan jentera bagi pihak PR memastikan dan mendapatkan maklumat terkini pertambahan undi pos. Itu dikira sebagai kelemahan teknikal.

Hakikatnya berdasarkan simulasi, kajiselidik dan jangkaan kalah-menang di Ampangan, BN mengetahui bahawa peluang untuk mendapatkan kembali Ampangan sukar dan sengit. Ini dipengaruhi oleh faktor demografi Ampangan yang terletak dalam kawasan bandar, kepelbagaian etnik pemilih yang besar dan berada dalam lingkungan pengaruh kuat PR iaitu Parlimen Seremban.

Tanpa bantuan undi pos ini, harapan merampas Ampangan itu gagal dilaksanakan. Namun ia berlaku sebaliknya. Taktikal ini telah digunakan tanpa disedari oleh jentera PR khususnya Keadilan akibat kelemahan teknikal proses berkaitan undi pos ini. Ruang yang terabai inilah yang telah menjadi titik tolak kepada kejayaan taktikal licik BN ini. Sebenarnya, jentera BN di Ampangan pun tidak menjangkakan 'kemenangan' calon mereka tetapi pihak strategis BN telah merealisasikan taktikal itu.

Keputusan Undi Pos bagi Dun Ampangan PRU-13 lalu adalah seperti berikut;

Jumlah Pemilih: 204
Undi Diterima:  PKR-21  BN-146
Undi Ditolak: 18
_________________________________________________

Keputusan bagi Dun Ampangan PRU-13 (tanpa undi pos) adalah seperti berikut;

Jumlah Pemilih: 14,321
Undi Diterima: PKR-7080  BN-7064
Undi Ditolak: 169

Kelebihan

Faktor calon memainkan peranan penting di Ampangan. Harus diakui bahawa Umno bijak memilih calon untuk menang (walaupun tiada ketokohan politik) namun calon itu mempunyai sentuhan dengan masyarakat kerana ketokohan keagamaan yang dimiliki oleh Haji Abu Ubaidah. Beliau merupakan cucu kepada tokoh ulama tersohor Negeri Sembilan. Malah sentuhan itu dirasai dan diketahui oleh kebanyakan generasi tua Ampangan. Mungkin tidak semua generasi muda mengenali beliau.

Keadaan itu telah memberi saingan sengit kepada kredibiliti calon Keadilan iaitu Dato' Kamarul Baharin Abbas yang merupakan Ahli Parlimen Telok Kemang dan Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan. Malah Kamarul Baharin juga mempunyai sejarah silam keluarga beliau yang pernah menetap di Ampangan sejak tahun 1950 lagi. Bapa beliau, Cikgu Abbas merupakan guru besar Sekolah Melayu Ampangan sejak tahun 1938 lagi sebelum berpindah seketika ke Perak dan kemudiannya kembali menetap di Ampangan.

Pertembungan kredibiliti politik dan keagamaan menjadi taruhan sengit untuk merebut undi Melayu khususnya. Umno mengetahui hanya elemen keagamaan iaitu menampilkan calon berlatar belakangkan pendidikan sufi, anak jati Ampangan dan dikenali kebanyakan warga tempatan untuk menang dan menyedari bahawa tidak akan menang besar. Cukup mencapai kemenangan secara marginal!

Peringkat awalnya, jentera BN di dun ini seperti 'memboikot' dan sepanjang minggu pertama sebelum minggu terakhir berkempen, tidak kelihatan bilik-bilik gerakan BN dihuni oleh jentera. Begitu juga dengan pihak Keadilan setelah pengumuman calon Ampangan, beberapa bilik gerakan ditutup kerana calon yang diheboh-hebohkan iaitu Rafie Malek tidak terpilih sebagai calon.

Pihak Keadilan mengambil masa dua-tiga hari untuk menggerakkan semua bilik gerakan di semua daerah mengundi. Jentera BN dilihat aktif pada dua hari terakhir minggu berkempen.

Kelemahan

Tindakan boikot samada di pihak BN dan Keadilan sememangnya berlaku di Ampangan. Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato Ishak Ismail disebut-sebut bakal bertanding di sini jika tidak diberi laluan di Sikamat. Begitu juga di pihak Keadilan, telah diheboh dan digemburkan bahawa Rafie Malek sebagai calon.

Usaha boikot dari segi jentera di pihak Keadilan amat jelas apabila pihak Cabang Seremban mengalihkan tumpuan seluruh jentera Ampangan ke Sikamat. Namun ada yang tidak bagus berlaku (bukan dari pihak Cabang) apabila tersebarnya risalah-risalah yang memburuk-burukkan calon Keadilan-Kamarul Baharin Abbas di daerah-daerah mengundi majoriti Melayu iaitu di Gedong Lalang, Kampong Jiboi dan Ampangan. 

Kepastian yang tidak boleh dinafikan bahawa risalah-risalah negatif itu bukan datang daripada pihak lawan dan ia bukan psywar BN. Akan tetapi ia adalah jelas datang daripada pihak-pihak yang kecewa yang menentang Kamarul Baharin sebagai calon di Ampangan.

Jika dilihat daripada keputusan pilihanraya, berlaku kemerosotan undi di tiga daerah mengundi tersebut. Ia telah berjaya mempengaruhi sentimen tempatan. Malah kedengaran maklumat-maklumat lisan yang disampai oleh beberapa sumber menyatakan pihak-pihak yang mensabotaj ini sangat gembira dan berpuas hati dengan kekalahan Keadilan di Ampangan!

MB Negeri Sembilan telah menunaikan janji beliau untuk melantik Haji Abu sekiranya menang menjadi Exco kerajaan negeri. Semoga peranan dan tanggungjawab kepada warga Ampangan dapat dilaksanakan dengan jujur amanah. Manakala bagi pihak Keadilan, penyusunan semula strategi dan taktikal wajar diperkemaskan sekiranya berhasrat merampas Ampangan pada PRU-14.

Pengetahuan dan kearifan hal-hal teknikal pilihanraya juga wajar diperturunkan kepada jentera supaya kesilapan sama tidak berulang. Harus peka dan sedar!

Secara khusus, Keadilan NS dan Pusat wajar mengambil tindakan kepada individu-individu atau angota-anggota parti yang secara terang-terangan melakukan dan menjalan kegiatan memboikot serta menggagalkan kemenangan parti di Ampangan. Tindakan tegas wajar dijalankan sebagai isyarat jelas bahawa kepimpinan Keadilan Pusat serius untuk 'membersihkan' organisasi daripada gejala-gejala politik tidak sihat ini!

Monday 5 August 2013

Wajah-wajah muda PKR Negeri Sembilan?

PRU-13 lalu telah memperlihatkan ramai muka baru yang diangkat oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sebagai calon pilihanraya di Negeri Sembilan. Mungkin faktor Tsunami Politik 2008 menjadi penyebab utama yang mendorong kedua-dua gabungan siasah ini melaksanakannya bagi menarik minat pengundi-pengundi disamping cuba menampakkan ada 'perubahan' yang ditonjolkan.

PR Negeri Sembilan khususnya DAP sejak PRU 2008 lagi telah mula membariskan kepimpinannya dengan wajah muda dari generasi kini. Malah pertubuhan siasah ini telah diketuai oleh orang muda iaitu Loke Siew Fook yang berumur 36 tahun! 

Nor Azman Mohamad
Jika dilihat kepada wakil-wakil rakyat DAP NS, hanya Adun Senawang, Bahau, Lukut dan Rahang diwakili oleh pimpinan senior manakala selebihnya diwakili oleh golongan muda yang berusia antara 40 hingga 30 tahun iaitu tujuh orang daripada 11 wakil rakyatnya. 

PAS NS juga tidak ketinggalan dalam membariskan calon-calon muda pada PRU-13 iaitu Ustaz Norazman Mohamad (Johol) dan Ustaz Khairul Wafa (Labu). Kedua-duanya dilihat sebagai berpotensi menjadi pimpinan baru Pas Kawasan di Kuala Pilah dan Rasah. Tidak ketinggalan juga Ustaz Mohd Fairuz di Jempol.

Wajah Baru

Nazree Yunus
Keadilan NS telah membariskan empat calon muda iaitu Muhamad Syamwill Mertadza di Pertang, Rebin Birham (Palong), T.Kumar (Jeram Padang) dan Nazree Yunus bagi Parlimen Kuala Pilah.

Selepas PRU-13, pentas politik Keadilan NS kelihatan telah membuka ruang bagi pelapis-pelapis muda untuk menerajui parti tersebut. Dalam tempoh lima tahun akan datang sebelum PRU-14, kepimpinan Keadilan NS sedia ada samada peringkat negeri atau cabang harus mempersiapkan barisan baru yang lebih bersedia bagi menghadapi saingan dalam permainan politik samada sesama parti gabungan atau BN!

Pimpinan sedia ada kini mampu berperanan sebagai 'guru' atau pedoman kepada pelapis-pelapis baru ini dalam memperkemaskan organisasi secara politikal. Kematangan dan kebijaksanaan berpolitik disamping tenang dan waras diperlukan dalam membentuk pimpinan yang kuat. 
Rebin Birham

Keadilan NS secara langsung telah mempunyai beberapa nama atau susuk tubuh yang dikira sesuai dan berkemampuan untuk diserap sebagai sebahagian daripada kepimpinan negeri dan cabang dengan syarat mereka ini perlu dibimbing agar tidak hilang tumpuan dan lari daripada matlamat perjuangan parti.

Ramlan Roes
Antara susuk tubuh yang boleh dicadangkan berdasarkan kredibiliti dan keupayaan serta bakat adalah Nazree Yunus (Ketua AMK NS), Haji Ramlan Roes (Ketua Penerangan AMK NS & Exco AMK Malaysia), Muhamad Syamwill Mertadza (Setiausaha Cabang Jelebu), Rebin Birham (Setiausaha Biro Felda & Orang Asal Pusat / Mantan Ketua AMK NS), Muhamad Effendi Malek (setiausaha AMK NS) , Tang Jay Soon (Pemangku Ketua Cabang Jelebu) dan T.Kumar (Timbalan Setiausaha Agung Pusat).

Syamwill Mertadza
Itu cuma beberapa nama yang disebutkan. Mungkin ramai lagi individu yang berpotensi diangkat sebagai pelapis baru Keadilan NS.

Secara rambang, beberapa cabang seperti di Telok Kemang, Seremban, Rasah dan Kuala Pilah dilihat mampu melahirkan ramai pelapis baru yang dikira boleh diangkat sebagai watak baru bagi memimpin Keadilan NS. 

Nazree Yunus umpamanya telah menjadi antara pimpinan anak muda baru Keadilan yang turut terlibat di peringkat pusat. Beliau dijangka akan diangkat sebagai pimpinan utama AMK Pusat dalam pemilihan akan datang.

Kemunculan dan keberadaan pelapis-pelapis baru ini akan dinilai kredibiliti dan kemampuan mereka bukan sahaja dari sudut personaliti dan keterampilan tetapi ia juga akan dinilai dari segi keupayaan memimpin organisasi, pelaksanaan program-program parti, kepercayaan dan keyakinan angggota-anggota parti terhadap mereka, kematangan dan kewarasan menanggani politik.

Keadilan NS sebelum ini turut 'memiliki' Badrul Hisham Shaharin@ Chegubard yang agak agresif dan sentiasa bergerak dalam menanggani beberapa isu dalam negeri sebelum tahun 2012. Beliau menjadi 'figura politik' buat anak-anak muda yang berjiwa 'rebel'. Malah kemampuan beliau memobilasi rakyat dalam acara-acara penting parti mendapat kepercayaan kuat beberapa pimpinan pusat seperti Anwar Ibrahim sendiri termasuk Mat Sabu. Semasa beliau aktif di Negeri Sembilan setelah menjadi Ketua Cabang Rembau pada tahun 2009 lalu, boleh dikatakan pelbagai aktiviti telah dijalankan dan Rembau menjadi antara cabang Keadilan NS yang sangat aktif.

Namun begitu, selepas beliau menumpu kepada Ngo SAMM tidak diketahui sejauhmana langkah politik beliau seterusnya samada terus bertapak di Negeri Sembilan atau berpindah tapak baru di luar negeri ini.



Monday 10 June 2013

Jika undi rakyat, PR telah menang di Pilah!

BN telah berjaya mempertahankan kemenangan mereka di peringkat parlimen dan dun dalam Kuala Pilah. Namun begitu, berlaku peningkatan undi buat calon PR di kesemua dun termasuk parlimen. Paling ketara adalah peningkatan undi calon Keadilan di Juasseh dan Pilah.

Hakikatnya tanpa undi pos dan undi awal, calon Keadilan di Pilah khususnya telah memenangi dun ini dengan majoriti 143 undi. BN memenangi Pilah dengan majoriti 113 undi. Ia merupakan catatan kemenangan BN dengan majoriti kedua terendah seluruh dun Negeri Sembilan selepas Ampangan (majoriti 89 undi). 

Jika dilihat dari sudut analisa keputusan, perolehan kemenangan BN yang rendah itu menjelaskan bahawa peningkatan undi kepada calon Keadilan bukan sahaja disumbang oleh majoriti pemilih Cina tetapi turut disumbang oleh 41 peratus undi pemilih Melayu secara umum bagi dun Pilah. 

Prestasi Kawasan Majoriti Melayu
Calon Keadilan iaitu Mohamad Nazaruddin Sabtu tewas di kawasan majoriti pemilih Melayu iaitu di Ampang Tinggi, Kampong Parit, Batang Pilah, Kampong Gachong dan Seri Pilah yang mencatatkan perolehan undi popular sekitar 39.40 peratus atau 1,829 undi daripada 4,643 jumlah undi daripada kawasan-kawasan tersebut. Manakala calon BN, Norhayati Omar memperolehi 2,739 undi (58.99%).

Perolehan undi kepada calon Keadilan yang mencatat undi popular di bawah 35 peratus adalah di Ampang Tinggi (29.95%), Kampong Parit (33.98%) dan Kampong Gachong (28.99%). Kawasan-kawasan ini boleh dianggap sebagai kubu kuat Umno yang memperlihatkan sokongan pemilih Melayu daripada kawasan ini kepada calon Keadilan secara umum adalah 31 peratus sahaja. Kawasan-kawasan ini masih merupakan dominasi pengaruh Umno.

Manakala kawasan majoriti Melayu seperti Batang Pilah dan Seri Pilah pula mencatatkan peningkatan perolehan undi popular Keadilan berbanding PRU 2008 malah dikira yang terbaik berbanding tiga PRU sebelum ini. Jika pada PRU 2008 lalu, perolehan undi popular di kedua-dua kawasan ini menyamai perolehan di Ampang Tinggi dan Kampong Parit, namun pada PRU-13 lepas ia telah mencatat peningkatan yang baik. Kawasan Batang Pilah calon Keadilan memperolehi 43.34 peratus undi popular dan di kawasan Seri Pilah mendapat 46.44 peratus undi popular. 

Pengaruh dan dominasi Umno di Batang Pilah dan Seri Pilah telah berjaya ditembusi walaupun Keadilan masih gagal mencapai kemenangan. Umno menang di Batang Pilah dengan 106 undi majoriti manakala di Seri Pilah calon Keadilan hanya tewas dengan 46 undi majoriti sahaja!

Prestasi kawasan campuran & majoriti Cina

Kawasan-kawasan majoriti Cina seperti Pekan Lama, Taman Bunga dan Jalan Yam Tuan mencatatkan kemenangan yang besar kepada Keadilan. 

Calon Keadilan memperolehi 62 peratus undi popular atau 684 undi di Pekan Lama berbanding BN yang mendapat 414 undi (37.53%), manakala di Taman Bunga calon Keadilan mendapat 334 undi (66.8%) berbanding BN dengan 160 undi (32%). Paling ketara penolakan BN adalah di Jalan Yam Tuan  dengan calon Keadilan memperolehi 359 undi atau 83.10 peratus undi popular berbanding BN yang mendapat 69 undi (16%) sahaja.

Kawasan-kawasan campuran seperti Bukit Temensu, Tengku Besar, Kampong Jawa dan Kampong Gemuroh mencatatkan keputusan yang seimbang dengan margin yang kecil. Berikut perolehan undi dan undi popular di kawasan-kawasan campuran;

Bukit Temensu: PKR-288 (50.44%)  BN-278 (48.69%)
Tengku Besar: PKR-77 (53.10%) BN-68 (46.90%)
Kampong Jawa: PKR-1,260 (56%)  BN-951 (42.29%)
Kampong Gemuroh: PKR-50 (42.74%)  BN-66 (56.41%)

Undi Awal & Undi Pos

Kedua-dua jenis undi ini sebenarnya membantu kemenangan BN di Pilah. Paling ketara adalah perolehan undi awal yang diterima oleh calon Keadilan cuma enam undi sahaja berbanding BN yang mendapat 209 undi. Ini bermakna calon BN mendapat 96.31 peratus undi awal berbanding Keadilan yang hanya memperolehi 2.76 peratus undi awal. 

Tanpa bantuan undi awal dan undi pos secara hakikatnya Keadilan telah menang di Pilah. Hakikat fakta itu adalah seperti berikut;

DUN Pilah 
Undi Pos: BN-85 PKR-39
Undi Awal: BN-209 PKR-6
Undi Penuh: BN-5039 PKR-4926
Majoriti: 113

Tanpa Undi Pos & Undi Awal;

Undi Benar: BN-4741 PKR-4881
Majoriti: 140 (dimenangi oleh PKR)

Secara keseluruhannya, keputusan PRU-13 Dun Pilah merupakan catatan terbaik bagi Keadilan sejak PRU 1999 yang ketika itu tewas hanya 300 lebih undi majoriti. Ia turut mencatatkan penurunan undi kemenangan yang besar buat BN berbanding PRU 2008 yang dimenangi dengan majoriti 1,258 undi. 


Keputusan PRU-13 DUN Pilah

Jumlah keluar mengundi: 10,172 
PKR: 4,926 (48.43%)
BN: 5,039 (49.54%)
Majoriti: 113 (1.11%)

Wednesday 15 May 2013

PR NS mampu bangkit PRU-14

Jika melihat kekalahan semata-mata kekalahan, maka kutukan, kecaman dan pembantaian yang akan dihulurkan oleh akal-akal yang berfikiran sebegitu. Namun sekiranya kekalahan itu dilihat sebagai memperbaiki kelemahan, menilai kekurangan dan mengurangi kepincangan, ia adalah akal-akal yang memikirkan masih wujud semangat serta keupayaan untuk bangkit berjuang.

Secara hakikatnya, BN masih menguasai Negeri Sembilan walaupun beberapa kaji-selidik dan risikan badan-badan kerajaan menyebut negeri ini mampu dimenangi PR. Modal kemenangan BN (jika menolak faktor penipuan undi) disumbang secara besar oleh undi-undi dari kawasan Felda dan kampung-kampung luar bandar.

Namun secara faktanya, Umno khususnya masih gagal merebut undi Melayu Bandar secara mutlak sebagaimana era 1982-1995 seperti di Ampangan, Sikamat dan Paroi. Memang benar Umno berjaya merampas Ampangan dan Paroi namun dari segi kedudukan perolehan undi menyerlahkan bahawa kawasan-kawasan majoriti Melayu Bandar ini telah menjadi 'stronghold' PR. Kedudukan di Dun Pilah juga telah memberi gambaran bahawa kawasan Melayu sub-bandar dan kampung mampu diterjah dan direbut oleh PR. Terbukti calon Umno hanya memenangi majoriti kecil iaitu 113 undi di Pilah.

Kelemahan-kelemahan jentera PR khususnya Keadilan wajar diperbaiki dan diperkemaskan bermula sekarang dan tidak perlu menunggu saat-saat hampir PRU untuk membuat persediaan. Ia wajib bermula awal jika ingin menawan Negeri Sembilan dalam PRU-14. Bukan semua dun atau parlimen bersituasi sedemikian, malah ada telah membuat persiapan yang baik dalam mempertahankan kemenangan atau menghadapi pilihanraya. Jangan lagi memegang tanggapan bahawa bubar sahaja parlimen, akan berduyun-duyunlah datang sukarelawan. Itu fikiran mudah untuk menjalankan tanggungjawab kepada organisasi dalam memperkasakan jentera.

Dun Pilah dan Juasseh secara angkanya telah menampilkan prestasi yang baik dalam menyaingi Umno di Daerah Kuala Pilah. Ada yang menyebut bahawa kekalahan calon Keadilan di Pilah adalah silap memilih calon. Namun situasi itu memberi gambaran bahawa pemilihan calon itu adalah tepat kerana mampu menarik sokongan pemilih Melayu untuk mengundi Keadilan. Ia adalah penurunan majoriti kemenangan yang besar buat Umno-BN di Pilah. Faktor calon tersebut yang merupakan bekas Penghulu Kampung dikira mempunyai sentuhan yang baik kepada pemilih khususnya masyarakat Melayu kampung. Harus diingat tanpa sumbangan besar pengundi Melayu mengundi calon Keadilan, mana kan mungkin majoriti Umno menjunam sebegitu besar pada PRU-13 lalu!

Umno juga dicabar hebat di Dun Juasseh dengan penyusutan majoriti kemenangan. Kali ini Razi Kail memenangi Juasseh dengan majoriti 1688 undi. Manakala undi kepada calon Keadilan meningkat daripada 2101 undi pada PRU 2008 meningkat kepada 3101 undi pada PRU-13 lalu.

Walaupun tewas di Ampangan, undi kepada Keadilan tidak merosot namun ia mencetuskan satu perlawanan paling sengit antara Umno-Keadilan dalam merebut kemenangan. Umno menang dengan majoriti terkecil dalam keputusan seluruh DUN Negeri Sembilan iaitu sebanyak 89 undi. Ampangan mencatat sejarah kali kedua berturut-turut menjadi Dun yang dimenangi dengan majoriti terkecil yang sebelum itu dicatat pertama kali dalam PRU-12 dengan 165 undi.

Kebimbangan awal kebanyakan jentera PAS di Dun Paroi mengenai pertambahan mendadak senarai pemilih ada benarnya. Pertambahan itu disyaki dengan usaha-usaha parti pemerintah membuat penambahan pemilih bagi merampas kembali Paroi. Kali ini Paroi dimenangi Umno dengan undi popular sebanyak 52% manakala Pas dengan undi popular 48%.

Situasi di Klawang agak berbeza kerana pada permulaannya Pas mendahului namun disaat-saat akhir ia telah dicantas dengan kehadiran dua peti terakhir yang memberi kemenangan kepada BN dengan majoriti rendah iaitu 212 undi.

DAP memenangi 11 dun yang ditandingi dengan begitu cemerlang. Peningkatan undi dan majoriti mengambarkan sokongan pemilih-pemilih di kawasan-kawasan tersebut begitu jitu memenangkan calon PR. Situasi ini turut berlaku di Chuah dan Port Dickson.

Memang benar jangkaan awal penulis bahawa PR mampu memperolehi kemenangan di kebanyakan dun dalam Negeri Sembilan dan positif negeri ini bakal ditawan oleh PR. Namun begitu, jangkaan potensi kemenangan itu hanya berlaku di kawasan-kawasan majoriti Cina dan campuran. Ada juga kawasan campuran seperti Jeram Padang, Linggi dan Rantau gagal menepati jangkaan berikutan faktor pemilih Melayu luar bandar yang tidak menyebelahi kempen-kempen PR. Itu disebut secara jujur tanpa mengaitkan dengan gerakan penipuan undi yang sememangnya wujud oleh BN.

Tanpa gerakan sebegitu, adalah mustahil BN mampu memenangi undi kawasan-kawasan felda dan luar bandar secara luar biasa jumlah undinya.

Hakikatnya, keputusan PRU-13 telah membuka satu cabaran baru kepada PR untuk meneruskan perjuangan dengan semangat yang lebih jitu. Kemerosotan yang dialami oleh PKR dan Pas mampu diperbaiki dan diperkemaskan dengan mewujudkan lagi keakraban sesama komponen. Kaedah-kaedah kempen politik DAP wajar diteladani bagi menarik sokongan rakyat kepada PR.

Saturday 4 May 2013

Jangkaan potensi kemenangan PR di Negeri Sembilan

Tarikh 5 Mei 2013 (505) bakal menjadi ingatan dan sejarah terbaik buat Pakatan Rakyat dalam merealisasikan kemenangan di peringkat persekutuan dan negeri. Mengikut kajian-kajian yang dijalankan oleh beberapa badan penyelidik bahawa PR dijangka memenangi sekurang-kurangnya 120 kerusi parlimen sekaligus membentuk kerajaan baru.

Kemenangan peringkat persekutuan itu turut bakal diserikan dengan kemenangan PR di beberapa negeri selain mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Antara negeri-negeri yang bakal ditawan oleh PR adalah Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

Seawal pagi sebelum jam 8.00, kelihatan rakyat telah mula beratur panjang di kebanyakan tempat mengundi. Suasana ini amat luar biasa berbanding PRU 2008 lalu. Kali ini rakyat nampaknya telah bersedia untuk membuat keputusan pilihan mereka.

Jangkaan di Negeri Sembilan

Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim menyebut bahawa Negeri Sembilan menjadi negeri dalam senarai atas yang bakal ditawan oleh PR. 

Berikut adalah jangkaan potensi kemenangan mengikut Parlimen dan DUN di Negeri Sembilan;

Parlimen Jelebu: PR-51% BN-49%
Chennah: PR-58% BN-42%
Pertang: PR-51% BN-49%
Sungai Lui: PR-41% BN-59%
Klawang: PR-52% BN-48%

Parlimen Jempol: PR-45% BN-55%
Serting: PR-46% BN-54%
Palong: PR-51% BN-49%
Jeram Padang: PR-52% BN-45% Bebas1-1% Bebas2-2%
Bahau: PR-65% BN-35%

Parlimen Seremban: PR-60% BN-35% Berjasa-4% Bebas-1%
Nilai: PR-58% BN-42%
Lenggeng: PR-51% BN-20% Bebas-29%
Lobak: PR-75% BN-25%
Temiang: PR-59% BN-41%
Sikamat: PR-56% BN-44%
Ampangan: PR-61% BN-39%

Parlimen Kuala Pilah: PR-53% BN-47%
Juasseh: PR-51% BN-49%
Seri Menanti: PR-48% BN-52%
Pilah: PR-55% BN-45%
Senaling: PR-46% BN-54%
Johol: PR-53% BN-47%

Parlimen Rasah: PR-75% BN-25%
Labu: PR-45% BN-55%
Bukit Kepayang: PR-63% BN-36% Bebas-1%
Senawang: PR-61% BN-39%
Rahang: PR-58% BN-42%
Mambau: PR-65% BN-35%

Parlimen Rembau: PR-50% BN-49% Bebas-1%
Paroi: PR-56% BN-44%
Chembong: PR-45% BN-55%
Kota: PR-41% BN-59%
Rantau: PR-51% BN-49%

Parlimen Telok Kemang: PR-60% BN-39% Bebas-1%
Linggi: PR-56% BN-44%
Chuah: PR-61% BN-39%
Lukut: PR-66% BN-34%
PD Bandar: PR-51% BN-48% Bebas-1%
Bagan Pinang: PR-48% BN-52%

Parlimen Tampin: PR-41% BN-59%
Gemas: PR-49% BN-51%
Gemencheh: PR-46% BN-54%
Repah: PR-56% BN-44%

Jangkaan kedudukan di N.Sembilan mengikut parti;

Parlimen: PR-6 BN-2
DUN: PR-26 BN-10

Pecahan kedudukan DUN NS mengikut parti;

PR: PKR-11 DAP-11 PAS-4
BN: Umno-10 MCA-0 MIC-0 Gerakan-0

Analisa PRU-13: Umno sukar di kawasan Melayu bandar, Negeri Sembilan

Menjelang hari pengundian 5 Mei 2013 ini, kedudukan Umno untuk mempertahankan kemenangannya di beberapa Dun yang mempunyai majoriti Melayu bandar & sub-bandar khususnya dalam Seremban iaitu Sikamat, Ampangan, Paroi dan Lenggeng dilihat agak sukar.

Kali ini dalam PRU-13, Umno bakal disaingi oleh PKR dan Pas secara hebat di kawasan-kawasan Dun ini. Sebelum penamaan calon 20 April 2013 lalu, Umno dilihat mampu menjelmakan saingan dalam merampas kembali Ampangan, Sikamat dan Paroi sambil mempertahankan kemenangan di Lenggeng. Rakan komponen mereka, MCA dan Gerakan boleh dianggap hilang upaya untuk kembali menawan Lobak, Nilai, Temiang mahupun Parlimen Seremban.

Masyarakat Cina telah tekad menolak MCA dan Gerakan di Lobak, Nilai dan Temiang. Dalam PRU kali ini, kita masih melihat keinginan masyarakat Melayu untuk menolak secara total Umno di Seremban. Jika menilai kaji-selidik yang telah dijalankan oleh Merdeka Center tentang kecenderungan pemilih di Negeri Sembilan terkini menunjukkan sokongan pemilih Melayu kepada PR adalah sekitar 31-33 peratus. Itu adalah hasil kajian sebelum penamaan calon. Mungkin kedudukan peratusan itu telah berubah!

Namun begitu, jika sokongan keseluruhan Melayu itu kepada PR dibandingkan dengan sokongan PRU 2008 ia dianggap agak tinggi. PRU 2008 lalu peratusan sokongan pemilih Melayu keseluruhan Negeri Sembilan kepada PR adalah antara 28-30 peratus. Ini bermakna telah berlaku peningkatan dalam tempoh lima tahun ini.

Tumpuan khusus pada peratusan sokongan pemilih Melayu di kawasan-kawasan dun dalam bandar seperti Sikamat, Ampangan dan Paroi mampu melonjak antara 35-40 peratus menjelang hari penggundian. Ia dibantu dengan undi daripada golongan muda (21-40 tahun) yang dilihat cenderung kepada PR.

Sokongan kaum Cina dan India dijangka meningkat lebih tinggi berbanding PRU 2008. Ia bukan suatu andaian kosong atau penyedap semangat, tetapi ia berdasarkan gerak kerja dan tinjauan secara terus kepada pemilih. Kedua-dua kaum ini mengikuti arus perubahan sebagaimana rakan-rakan mereka di Temiang, Nilai dan Lobak. Agak melampau jika disebut bahawa sokongan kaum Cina kepada PR kini telah melepasi angka 85 peratus, manakala kaum India mencecah 70 peratus.

Ada andaian sebelum ini yang menyebut bahawa kaum India secara majoritinya telah kembali menyokong BN. Namun ia boleh dinafikan bahawa kaum India di Parlimen Seremban dan Rasah lebih melonjak menyokong PR. Sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari ini telah memperlihatkan setiap ceramah besar anjuran PR sekitar Seremban telah mendapat sokongan besar masyarakat dengan kehadiran melebihi lima ribu orang. Berbeza dengan ceramah-ceramah anjuran BN di kawasan sama yang agak suram dan hanya dihadiri oleh jentera-jentera parti sahaja.

Potensi
Protes, boikot dan tindakan sabotaj telah berlaku dikalangan jentera Umno-BN di Lenggeng, Sikamat, Ampangan dan Parlimen Seremban.

Pengerusi MCA NS, Dr Yeow yang menjadi calon untuk Parlimen Seremban telah dibantah oleh MCA Bahagian Seremban. Konflik ini sebenarnya telah berlaku sejak penghujung 2011 lagi setelah Dr yeow secara terbuka menyatakan ingin bertanding di Seremban. PRU 2008 lalu, beliau telah bertanding di Rasah dan kalah dengan majoriti besar kepada Pengerusi DAP NS, Loke Siew Fook. Kali ini beliau bakal bertembung sekali lagi pencabar yang sama di Parlimen Seremban.

Protes dan boikot jentera yang begitu ketara berlaku di Lenggeng dan Ampangan kerana faktor calon yang diletakkan oleh BN. Ishak Ismail kembali dicalonkan di Lenggeng yang sebenarnya 'laluan maut' bagi politik beliau di Seremban. Usaha tersembunyi dengan menjadi Ishak sebagai calon Lenggeng sememangnya untuk membunuh politik beliau yang jelas berseteru dengan Mohamad Hasan. Malah Ishak secara terbuka dalam ceramah-ceramahnya menyelar Mohamad Hasan kerana tidak menghalang tindakan sabotaj ke atas diri beliau.

Ishak juga menyedari beliau sebenarnya telah ditolak secara mutlak oleh orang-orang Lenggeng. Atas sebab itulah beliau bersungguh-sungguh untuk bertanding di Sikamat. Namun hasrat itu tidak kesampaian tetapi beliau dihantar ke lubuk maut!

Kali ini, peluang calon Pas Zulkefli Mohamad Omar dilihat lebih terbuka untuk memenangi Lenggeng setelah gagal dalam tiga percubaan sebelum ini iaitu PRU 1999, 2004 & 2008. Turut berpotensi meraih undi untuk menyaingi Ishak adalah calon bebas, Zulkefli Abdullah yang mampu memecah undi Umno di Lenggeng.

Kedudukan di Ampangan agak panas kerana ia melibatkan calon PKR yang juga Pengerusi PKR NS iaitu Dato Kamarul Baharin Abbas. Beliau akan berhadapan dengan seorang calon anak tempatan Ampangan, Haji Abu Ubaidah Redza. Pada peringkat awal selepas penamaan calon hingga hari kedua tempoh berkempen, kelihatan kedudukan PKR di Ampangan agak sukar kerana berlaku penutupan bilik-bilik gerakan PKR di seluruh Dun ini sehingga menjadi isu utama dalam akhbar utama. Namun masalah tersebut berjaya diatasi selepas hari kedua tempoh berkempen dengan bilik-bilik gerakan dibuka secara berperingkat-peringkat. Malah gerakan kempen PKR lebih agresif dan lancar berbanding BN.

Sambutan masyarakat tempatan terhadap Kamarul Baharin agak baik dan situasi itu telah berjaya menepis dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa beliau bakal tewas besar di Ampangan. Terbukti ceramah-ceramah kelompok dan program-program 'walkabout' yang dijalankan mendapat sambutan rakyat tempatan. PKR dijangka mampu mempertahankan kemenangan PRU 2008 dengan majoriti yang lebih besar!

Aminuddin Harun, mantan Adun Sikamat dijangka dapat mempertahankan kemenangan PKR di Sikamat. Walaupun bakal diberi tentangan sengit oleh calon BN-Wan Salwati Abdullah, PKR bakal memperolehi undi popular yang lebih baik daripada pencapaian PRU 2008.

Jangkaan Potensi

Parlimen Seremban: PR-58% BN-45% Berjasa-3%
Sikamat: PR-58% BN-42%
Ampangan: PR-59% BN-41%
Lenggeng: PR-50% BN-22% Bebas-28%

Tuesday 30 April 2013

PRU-13: PR mampu tubuh kerajaan di Negeri Sembilan

Suasana dalam tempoh berkempen kali ini agak berbeza berbanding PRU 2008 lalu. Riak rakyat terbanyak benar-benar membayangkan bahawa kali ini dalam PRU-13 mereka telah membuat keputusan untuk memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Negeri Sembilan.

Keyakinan itu bukan sekadar 'seronok sendiri' tetapi ia dipengaruhi oleh mood semasa rakyat yang benar-benar ingin menolak BN.

PRU 2008 lalu menyaksikan dalam sejarah pilihanraya umum di negeri ini dengan parti-parti lawan BN iaitu PKR, DAP dan PAS telah memenangi 15 kerusi dun yang sekaligus menafikan penguasaan dua pertiga Dewan Undangan Negeri oleh BN. Ini merupakan kemenangan terbesar parti-parti lawan BN sejak PRU 1969. Kali terakhir parti-parti lawan mendapat kerusi terbanyak adalah pada PRU 1969 dengan DAP memenangi lapan daripada 24 Dun.

Kedudukan sebelum penggundian

Selepas penamaan calon pada 20 April 2013, Pakatan Rakyat NS dilihat mendahului selangkah daripada BN. Ia diukur dengan pencalonan beberapa calon Bebas daripada ahli-ahli Umno dan senarai-senarai calon BN khususnya Umno yang dilihat sebagai 'silap letak calon' walaupun ia menggabungkan formula PRU 2004 & 2008. Formula tersebut telah meletakkan orang-orang Mohamad Hasan dan Isa Samad bertanding yang dilihat sebagai langkah memenangkan kedua-dua kem.

'Penentangan dalaman' berlaku di Palong, Lenggeng, Ampangan, Linggi, Gemas, Johol, Pilah dan Gemencheh dengan penampilan calon-calon bukan pilihan  bahagian, calon 'kitar-semula' dan 'orang luar'. Senarai calon Umno di kawasan-kawasan ini yang pernah dihebahkan beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen kebanyakannya berubah dan tidak menepati jangkaan. Berlaku jentera boikot di beberapa dun ini, walaupun wujud bilik gerakan namun tidak dihuni dan dimeriahkan sebagaimana kebiasaan PRU sebelum ini.

Walaupun berlaku 'boikot' jentera di Dun Ampangan di pihak PKR, namun masalah tersebut telah berjaya diatasi dan diuruskan dengan baik selepas hari kedua tempoh berkempen. Bendera dan bilik-bilik gerakan telah terpasang serta dibuka semula. Malah kedudukan PKR di Ampangan dilihat lebih aktif berbanding BN. Kebanyakan bilik gerakan BN seluruh Ampangan agak sepi dan tidak berhuni dengan para petugas. 

Bekas Adun Lenggeng-Datuk Ishak yang diura-ura sebelum ini bertanding di Sikamat kembali dipilih menjadi calon BN di Lenggeng. Agak memeranjatkan jika tindakbalas daripada penduduk-penduduk tempatan di Pekan Lenggeng, Ulu Beranang, Broga, Kg Machang dan tidak mustahil juga di sekitar Pantai, kawasan kampung beliau sendiri! Penduduk-penduduk kawasan-kawasan ini agak tekad untuk menolak Ishak. Pelbagai isu-isu lampau ketika beliau menjadi wakil rakyat Lenggeng dahulu kembali dibangkitkan.

Situasi penolakan itu turut disumbang dengan penyertaan seorang calon Bebas, yang juga bekas orang penting Umno Seremban, Zulkifli Abdullah sebagai manifestasi membantah Ishak sebagai calon BN di sini. Perkhabaran turut menyebut banner-banner membantah Ishak turut digantung di beberapa tempat di Pekan Lenggeng.

Ahli-ahli Umno di Palong turut membantah Lilah Yasin sebagai calon BN bagi Dun Palong. Sudah pasti penyingkiran mantan Adun, Aziz Shamsudin membangkitkan ketidakpuasan hati para penyokong beliau. 

Semasa penamaan calon, kedudukan PR-BN adalah 19-17. Namun kedudukan itu berubah setelah tiga hari selepas penamaan dengan PR mendahului BN sebanyak dua dun iaitu 21-13. 

BN khususnya Umno dijangka mampu mempertahankan kemenangan di Sungai Lui, Senaling, Bagan Pinang, Gemencheh, Rantau, Kota, Chembong dan Serting. Manakala kawasan yang dianggap sebagai 50-50 adalah Pertang, Palong, Gemas dan Seri Menanti.

Kawasan Dun yang dianggap bahaya dan hitam kepada BN adalah Nilai, Lobak, Temiang, Ampangan, Sikamat, Bukit Kepayang, Rahang, Senawang, Mambau, Paroi, Chuah, Port Dickson, Lukut, Repah, Bahau, Klawang, Jeram Padang, Pilah, Lenggeng, Juasseh, Johol dan Labu. Sudah tidak ada istilah kubu kuat Umno di Negeri Sembilan. Keadaan sokongan lebih terbuka dengan nisbah 45-45, hanya 10 peratus lagi adalah undi atas pagar yang bakal menentukan kalah-menang kedua-dua pihak. Ia bergantung kepada kaedah menarik undi tersebut.

Jangkaan PRU-13

Melihat kepada mood rakyat terbanyak yang begitu menyakinkan, tidak mustahil PR mampu memenangi lebih daripada 21 Dun. Adalah dijangka PR NS mampu memenangi antara 22 ke 26 Dun pada 5 Mei 2013 ini. Ini bukan sekadar ramalan semata-mata tetapi ia berdasarkan situasi politik, gerak kerja dan isu-isu yang berlaku di setiap kawasan dun.

Kali ini adalah waktu terbaik buat PR NS untuk mencipta kemenangan berganda sekaligus menawan Negeri Sembilan dan membentuk sebuah kerajaan baru selepas 5 Mei ini. 

Monday 29 April 2013

Pertang: pertembungan calon anak muda melawan calon veteran!

Jalaluddin Alias
Umno Jelebu nampaknya konsisten meletakkan calon berusia veteran di Pertang sejak PRU 1995. Mantan wakil rakyat Pertang, Datuk Razak Mansor mula menyandang jawatan Adun Pertang dari 1995-2013. Ini bermakna beliau telah melalui empat PRU iaitu PRU 1995, 1999,2004 dan 2008. Agak beruntung kerana pada penggal 2008-2013, beliau bakal mendapat pencen penuh sebagai wakil rakyat berbanding tiga penggal beliau sebelum itu.

Kali ini dalam PRU-13, Umno sekali lagi meletakkan seorang calon baru di Pertang tetapi orang lama dalam Bahagian Jelebu iaitu Datuk Jalaludin Alias. Beliau ini pernah menjadi wakil rakyat Dun Klawang pada penggal 2004-2008. Jalaludin boleh dianggap sebagai calon usia veteran.

Keadilan NS juga turut mencatat satu sejarah di Pertang iaitu konsisten meletakkan calon baru dari wakil anak muda (AMK). Sejak PRU 2004 dan 2008, Keadilan NS telah membariskan calon daripada Angkatan Muda Keadilan.


Razak Mansor
PRU 2004 lalu, Keadilan telah meletakkan Shahril Zakaria (gambar kanan) sebagai calon. Ketika itu beliau berusia 36 tahun.

Waktu itu beliau berhadapan dengan calon Umno iaitu Datuk Razak Mansor. Walaupun tewas akan tetapi Keadilan telah menang di daerah mengundi Pasoh 4 yang menjadi catatan sejarah sebagai parti pembangkang pertama memenangi kawasan Felda di Negeri Sembilan.

Halim A.Aziz
PRU 2008 menyaksikan Umno mengekalkan Razak Mansor sebagai calon bagi kali keempat sejak PRU 1995. Ia adalah gambaran jelas samada Umno di Pertang ketandusan calon wibawa atau berlaku situasi mempertahankan proksi Rais Yatim di situ.

Keadilan pada PRU 2008 telah meletakkan Ketua AMK Negeri Sembilan ketika itu, Halim A. Aziz. Beliau berusia 35 tahun sewaktu menjadi calon Pertang yang berasal dari Pasoh.


PRU-13

Kali ini dalam sebuah pilihanraya umum yang bakal menentukan hidup mati Umno-BN, Pertang sekali lagi memperlihatkan pertentangan antara calon veteran Umno melawan calon muda Keadilan.

Muhamad Syamwill bin Mertadza menjadi pertaruhan berharga yang diletakkan sebagai calon Keadilan. Beliau berusia 30 tahun dan memiliki ijazah Pengajian Usuludin. Sebelum ini, beliau merupakan Penolong Pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Ada perbincangan-perbincangan politik menyebut perlawanan di Pertang kali ini merupakan pertembungan moral. Calon Umno dikhabarkan mempunyai banyak isu-isu moral yang diketahui oleh pimpinan Umno Bahagian dan seperti kebiasaan ia disenyapkan tanpa ada bukti sahih. Manakala Keadilan tampil dengan calon bersih yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Pemilihan calon Umno untuk PRU 13 membuktikan Umno Jelebu tidak bersedia untuk melakukan perubahan mutlak tetapi hanya melakukan pertukaran orang-orang mereka ke tempat selamat. Sebelum ini telah dihebohkan bahawa Pengarah JASA Negeri Sembilan, Abdul Hamid Othman bakal menjadi calon Umno di Pertang. Beliau pernah memegang jawatan setiausaha bahagian dan juga pernah berada seketika bersama Keadilan Jelebu ketika era Reformasi dahulu. Mungkin khuatir berlaku sabotaj atau 'pengkhianatan dalam', nama beliau diketepikan.

Jalaluddin adalah orang veteran Umno yang tidak sebulu dengan mantan Adun Pertang kerana bukan berada dalam satu proksi. Mungkin dari segi pengalaman politik, Jalaluddin terkedepan daripada Syamwill. Namun itu bukan suatu faktor yang boleh menjadi pemangkin besar untuk beliau menang mudah di Pertang.

Sejak gelombang politik berlaku era Semangat 46 dan Reformasi, Dun Pertang bukan lagi kubu kental Umno sebagaimana era 1970-1989. Harus diingat bahawa Pertang buat kali pertama dalam sejarah PRU telah dimenangi oleh seorang calon Bebas iaitu Dato Hj Aminuddin Abdul Manaf pada PRU 1959 yang mengalahkan calon Umno-Ibrahim Mansor dengan majoriti 600 undi.

Sejarah awal itu membuktikan Umno Jelebu telah bergolak sejak awal PRU 1959 dengan berlaku sikap mencantas individu-individu yang lebih layak bertanding. Ibrahim Mansor merupakan anak tempatan yang berasal dari Kuala Klawang manakala Haji Aminuddin adalah anak jati Pertang.

Apakah sejarah awal PRU itu akan kembali berulang di Pertang pada PRU-13 ini?


Friday 19 April 2013

Dr Rosli Yaakob-pilihan terbaik PR menang di Klawang

Dr Rosli Yaakob
PAS NS pada 10 April 2013 lalu telah mengumumkan Dr Rosli Yaakob sebagai calon di DUN Klawang dalam Parlimen Jelebu. Ini adalah suatu pilihan yang bijak oleh Pas NS dalam memastikan kemenangan PR di Negeri Sembilan dengan menampilkan calon berkaliber di kawasan yang berpotensi dimenangi.

Sepanjang sejarah pilihanraya umum sejak 1959, Dun Klawang belum pernah dimenangi oleh sebarang parti pembangkang. Namun begitu kawasan ini sentiasa mendapat saingan kuat parti-parti pembangkang yang memperlihatkan calon BN memenangi Klawang dengan majoriti kecil.

Sebelum PRU 1990, BN melalui Umno memenangi Klawang dengan kelebihan undi yang selesa. Akan tetapi selepas berlaku ombakan politik pada tahun 1988 kesan perpecahan Umno, kemunculan parti baru, Parti Semangat 46 telah membadai politik seluruh Parlimen Jelebu.

PRU 1990 menyaksikan calon BN dari Umno iaitu Shamsul Bahari Mat memenangi Klawang dengan majoriti 733 undi. Ia suatu kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN di Klawang berbanding keputusan PRU 1986 yang turut dimenangi oleh calon yang sama dengan majoriti selesa sebanyak 2,308 undi.

BN sekali lagi meletakkan Shamsul Bahari Mat sebagai calon di Klawang pada PRU 1995. Kemerosotan pengaruh Semangat 46 ketika itu telah membantu meningkatkan majoriti kemenangan BN namun tidak selesa sebagaimana PRU 1986 iaitu dengan memperolehi 1,333 undi majoriti.

PRU 1999 menjadi ancaman besar kepada kemenangan BN di Klawang dengan hanya memenangi majoriti kecil iaitu 69 undi sahaja! Shamsul Bahari Mat nyaris tewas kepada calon Keadilan-Bohari Abdul Latif. Walaupun PRU 2004 merupakan kemuncak kemenangan bergaya BN, namun BN tetap menang dengan majoriti 1,308 undi di sini. Kesan ombakan politik sejak era Semangat 46 kepada zaman Reformasi dan Tsunami 2008, BN dilihat sukar melonjak majoriti melebihi 1,500 undi. Sudah ada blok pengundi tegar pembangkang kuat di Klawang khususnya masyarakat Cina. PRU 1969 turut mencatatkan kemenangan calon MCA-Lee Kim Kee di Klawang hanya dengan majoriti 200 lebih sahaja. Ketika itu beliau ditentang oleh calon DAP-Daud Haji Ahmad.

Latarbelakang

Dr Rosli Yaakob mempunyai pengalaman menjadi calon pilihanraya sejak PRU 1999 iaitu bertanding di Dun Linggi melawan Isa Samad. PRU 2004 pula beliau telah diberi kepercayaan oleh PAS NS bertanding sebagai calon parlimen Jelebu dan Dun Paroi. Selepas tewas dalam PRU 2004, beliau berehat seketika dari dunia politik untuk menumpukan pada kerjaya perniagaan beliau di luar negara sebelum kembali aktif pada tahun 2011 lalu.

Dr Rosli boleh dianggap antara 'political-star' yang dilahirkan oleh PAS Negeri Sembilan dan dikenali di peringkat pusat. Ketika era Reformasi 1999, beliau adalah antara figura utama pembangkang yang mendapat perhatian rakyat Negeri Sembilan dan seluruh negara.

Beliau merupakan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Telok Kemang bagi penggal 1998-2001, kemudian memegang jawatan YDP Pas Kawasan Rembau dari tahun 2001-2006. Beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas NS bagi penggal 2005-2006 sebelum berehat seketika. Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan PJ 1 Pas NS.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara. Lawan beliau di Klawang adalah penyandang Yunus Rahmat.

Potensi

BN dijangka menghadapi laluan sengit daripada Pas atas faktor komposisi kaum pemilih di Klawang. Pemilih Cina di sini meliputi 31 peratus yang boleh dipastikan 85 peratus akan beralih kepada PR. Pas NS telah membuat satu langkah bijak dengan menempatkan Dr Rosli kerana Klawang adalah antara tujuh Dun yang berpotensi dimenangi oleh PR dalam PRU-13 ini.

Pemilihan Dr Rosli juga dilihat sebagai kesungguhan Pas dalam memenangi Klawang walaupun meletakkan calon luar. Hakikatnya Pas Jelebu tidak mempunyai tokoh yang kuat untuk menyaingi calon-calon Umno sebelum ini. Latarbelakang Dr Rosli dari sudut politik dan profession mampu memberi keyakinan kepada para pemilih Klawang untuk menilai keupayaan beliau.

Jangkaan

Pas dijangka mampu menang di Klawang. Namun keupayaan dan gerakan BN tidak harus dipandang mudah walaupun para pemilih Cina secara majoritinya konsisten memberi undi kepada parti pembangkang.

Jangkaan Penulis;

PR: 51%
BN: 49%