Tuesday 30 April 2013

PRU-13: PR mampu tubuh kerajaan di Negeri Sembilan

Suasana dalam tempoh berkempen kali ini agak berbeza berbanding PRU 2008 lalu. Riak rakyat terbanyak benar-benar membayangkan bahawa kali ini dalam PRU-13 mereka telah membuat keputusan untuk memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Negeri Sembilan.

Keyakinan itu bukan sekadar 'seronok sendiri' tetapi ia dipengaruhi oleh mood semasa rakyat yang benar-benar ingin menolak BN.

PRU 2008 lalu menyaksikan dalam sejarah pilihanraya umum di negeri ini dengan parti-parti lawan BN iaitu PKR, DAP dan PAS telah memenangi 15 kerusi dun yang sekaligus menafikan penguasaan dua pertiga Dewan Undangan Negeri oleh BN. Ini merupakan kemenangan terbesar parti-parti lawan BN sejak PRU 1969. Kali terakhir parti-parti lawan mendapat kerusi terbanyak adalah pada PRU 1969 dengan DAP memenangi lapan daripada 24 Dun.

Kedudukan sebelum penggundian

Selepas penamaan calon pada 20 April 2013, Pakatan Rakyat NS dilihat mendahului selangkah daripada BN. Ia diukur dengan pencalonan beberapa calon Bebas daripada ahli-ahli Umno dan senarai-senarai calon BN khususnya Umno yang dilihat sebagai 'silap letak calon' walaupun ia menggabungkan formula PRU 2004 & 2008. Formula tersebut telah meletakkan orang-orang Mohamad Hasan dan Isa Samad bertanding yang dilihat sebagai langkah memenangkan kedua-dua kem.

'Penentangan dalaman' berlaku di Palong, Lenggeng, Ampangan, Linggi, Gemas, Johol, Pilah dan Gemencheh dengan penampilan calon-calon bukan pilihan  bahagian, calon 'kitar-semula' dan 'orang luar'. Senarai calon Umno di kawasan-kawasan ini yang pernah dihebahkan beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen kebanyakannya berubah dan tidak menepati jangkaan. Berlaku jentera boikot di beberapa dun ini, walaupun wujud bilik gerakan namun tidak dihuni dan dimeriahkan sebagaimana kebiasaan PRU sebelum ini.

Walaupun berlaku 'boikot' jentera di Dun Ampangan di pihak PKR, namun masalah tersebut telah berjaya diatasi dan diuruskan dengan baik selepas hari kedua tempoh berkempen. Bendera dan bilik-bilik gerakan telah terpasang serta dibuka semula. Malah kedudukan PKR di Ampangan dilihat lebih aktif berbanding BN. Kebanyakan bilik gerakan BN seluruh Ampangan agak sepi dan tidak berhuni dengan para petugas. 

Bekas Adun Lenggeng-Datuk Ishak yang diura-ura sebelum ini bertanding di Sikamat kembali dipilih menjadi calon BN di Lenggeng. Agak memeranjatkan jika tindakbalas daripada penduduk-penduduk tempatan di Pekan Lenggeng, Ulu Beranang, Broga, Kg Machang dan tidak mustahil juga di sekitar Pantai, kawasan kampung beliau sendiri! Penduduk-penduduk kawasan-kawasan ini agak tekad untuk menolak Ishak. Pelbagai isu-isu lampau ketika beliau menjadi wakil rakyat Lenggeng dahulu kembali dibangkitkan.

Situasi penolakan itu turut disumbang dengan penyertaan seorang calon Bebas, yang juga bekas orang penting Umno Seremban, Zulkifli Abdullah sebagai manifestasi membantah Ishak sebagai calon BN di sini. Perkhabaran turut menyebut banner-banner membantah Ishak turut digantung di beberapa tempat di Pekan Lenggeng.

Ahli-ahli Umno di Palong turut membantah Lilah Yasin sebagai calon BN bagi Dun Palong. Sudah pasti penyingkiran mantan Adun, Aziz Shamsudin membangkitkan ketidakpuasan hati para penyokong beliau. 

Semasa penamaan calon, kedudukan PR-BN adalah 19-17. Namun kedudukan itu berubah setelah tiga hari selepas penamaan dengan PR mendahului BN sebanyak dua dun iaitu 21-13. 

BN khususnya Umno dijangka mampu mempertahankan kemenangan di Sungai Lui, Senaling, Bagan Pinang, Gemencheh, Rantau, Kota, Chembong dan Serting. Manakala kawasan yang dianggap sebagai 50-50 adalah Pertang, Palong, Gemas dan Seri Menanti.

Kawasan Dun yang dianggap bahaya dan hitam kepada BN adalah Nilai, Lobak, Temiang, Ampangan, Sikamat, Bukit Kepayang, Rahang, Senawang, Mambau, Paroi, Chuah, Port Dickson, Lukut, Repah, Bahau, Klawang, Jeram Padang, Pilah, Lenggeng, Juasseh, Johol dan Labu. Sudah tidak ada istilah kubu kuat Umno di Negeri Sembilan. Keadaan sokongan lebih terbuka dengan nisbah 45-45, hanya 10 peratus lagi adalah undi atas pagar yang bakal menentukan kalah-menang kedua-dua pihak. Ia bergantung kepada kaedah menarik undi tersebut.

Jangkaan PRU-13

Melihat kepada mood rakyat terbanyak yang begitu menyakinkan, tidak mustahil PR mampu memenangi lebih daripada 21 Dun. Adalah dijangka PR NS mampu memenangi antara 22 ke 26 Dun pada 5 Mei 2013 ini. Ini bukan sekadar ramalan semata-mata tetapi ia berdasarkan situasi politik, gerak kerja dan isu-isu yang berlaku di setiap kawasan dun.

Kali ini adalah waktu terbaik buat PR NS untuk mencipta kemenangan berganda sekaligus menawan Negeri Sembilan dan membentuk sebuah kerajaan baru selepas 5 Mei ini. 

Monday 29 April 2013

Pertang: pertembungan calon anak muda melawan calon veteran!

Jalaluddin Alias
Umno Jelebu nampaknya konsisten meletakkan calon berusia veteran di Pertang sejak PRU 1995. Mantan wakil rakyat Pertang, Datuk Razak Mansor mula menyandang jawatan Adun Pertang dari 1995-2013. Ini bermakna beliau telah melalui empat PRU iaitu PRU 1995, 1999,2004 dan 2008. Agak beruntung kerana pada penggal 2008-2013, beliau bakal mendapat pencen penuh sebagai wakil rakyat berbanding tiga penggal beliau sebelum itu.

Kali ini dalam PRU-13, Umno sekali lagi meletakkan seorang calon baru di Pertang tetapi orang lama dalam Bahagian Jelebu iaitu Datuk Jalaludin Alias. Beliau ini pernah menjadi wakil rakyat Dun Klawang pada penggal 2004-2008. Jalaludin boleh dianggap sebagai calon usia veteran.

Keadilan NS juga turut mencatat satu sejarah di Pertang iaitu konsisten meletakkan calon baru dari wakil anak muda (AMK). Sejak PRU 2004 dan 2008, Keadilan NS telah membariskan calon daripada Angkatan Muda Keadilan.


Razak Mansor
PRU 2004 lalu, Keadilan telah meletakkan Shahril Zakaria (gambar kanan) sebagai calon. Ketika itu beliau berusia 36 tahun.

Waktu itu beliau berhadapan dengan calon Umno iaitu Datuk Razak Mansor. Walaupun tewas akan tetapi Keadilan telah menang di daerah mengundi Pasoh 4 yang menjadi catatan sejarah sebagai parti pembangkang pertama memenangi kawasan Felda di Negeri Sembilan.

Halim A.Aziz
PRU 2008 menyaksikan Umno mengekalkan Razak Mansor sebagai calon bagi kali keempat sejak PRU 1995. Ia adalah gambaran jelas samada Umno di Pertang ketandusan calon wibawa atau berlaku situasi mempertahankan proksi Rais Yatim di situ.

Keadilan pada PRU 2008 telah meletakkan Ketua AMK Negeri Sembilan ketika itu, Halim A. Aziz. Beliau berusia 35 tahun sewaktu menjadi calon Pertang yang berasal dari Pasoh.


PRU-13

Kali ini dalam sebuah pilihanraya umum yang bakal menentukan hidup mati Umno-BN, Pertang sekali lagi memperlihatkan pertentangan antara calon veteran Umno melawan calon muda Keadilan.

Muhamad Syamwill bin Mertadza menjadi pertaruhan berharga yang diletakkan sebagai calon Keadilan. Beliau berusia 30 tahun dan memiliki ijazah Pengajian Usuludin. Sebelum ini, beliau merupakan Penolong Pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Ada perbincangan-perbincangan politik menyebut perlawanan di Pertang kali ini merupakan pertembungan moral. Calon Umno dikhabarkan mempunyai banyak isu-isu moral yang diketahui oleh pimpinan Umno Bahagian dan seperti kebiasaan ia disenyapkan tanpa ada bukti sahih. Manakala Keadilan tampil dengan calon bersih yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Pemilihan calon Umno untuk PRU 13 membuktikan Umno Jelebu tidak bersedia untuk melakukan perubahan mutlak tetapi hanya melakukan pertukaran orang-orang mereka ke tempat selamat. Sebelum ini telah dihebohkan bahawa Pengarah JASA Negeri Sembilan, Abdul Hamid Othman bakal menjadi calon Umno di Pertang. Beliau pernah memegang jawatan setiausaha bahagian dan juga pernah berada seketika bersama Keadilan Jelebu ketika era Reformasi dahulu. Mungkin khuatir berlaku sabotaj atau 'pengkhianatan dalam', nama beliau diketepikan.

Jalaluddin adalah orang veteran Umno yang tidak sebulu dengan mantan Adun Pertang kerana bukan berada dalam satu proksi. Mungkin dari segi pengalaman politik, Jalaluddin terkedepan daripada Syamwill. Namun itu bukan suatu faktor yang boleh menjadi pemangkin besar untuk beliau menang mudah di Pertang.

Sejak gelombang politik berlaku era Semangat 46 dan Reformasi, Dun Pertang bukan lagi kubu kental Umno sebagaimana era 1970-1989. Harus diingat bahawa Pertang buat kali pertama dalam sejarah PRU telah dimenangi oleh seorang calon Bebas iaitu Dato Hj Aminuddin Abdul Manaf pada PRU 1959 yang mengalahkan calon Umno-Ibrahim Mansor dengan majoriti 600 undi.

Sejarah awal itu membuktikan Umno Jelebu telah bergolak sejak awal PRU 1959 dengan berlaku sikap mencantas individu-individu yang lebih layak bertanding. Ibrahim Mansor merupakan anak tempatan yang berasal dari Kuala Klawang manakala Haji Aminuddin adalah anak jati Pertang.

Apakah sejarah awal PRU itu akan kembali berulang di Pertang pada PRU-13 ini?


Friday 19 April 2013

Dr Rosli Yaakob-pilihan terbaik PR menang di Klawang

Dr Rosli Yaakob
PAS NS pada 10 April 2013 lalu telah mengumumkan Dr Rosli Yaakob sebagai calon di DUN Klawang dalam Parlimen Jelebu. Ini adalah suatu pilihan yang bijak oleh Pas NS dalam memastikan kemenangan PR di Negeri Sembilan dengan menampilkan calon berkaliber di kawasan yang berpotensi dimenangi.

Sepanjang sejarah pilihanraya umum sejak 1959, Dun Klawang belum pernah dimenangi oleh sebarang parti pembangkang. Namun begitu kawasan ini sentiasa mendapat saingan kuat parti-parti pembangkang yang memperlihatkan calon BN memenangi Klawang dengan majoriti kecil.

Sebelum PRU 1990, BN melalui Umno memenangi Klawang dengan kelebihan undi yang selesa. Akan tetapi selepas berlaku ombakan politik pada tahun 1988 kesan perpecahan Umno, kemunculan parti baru, Parti Semangat 46 telah membadai politik seluruh Parlimen Jelebu.

PRU 1990 menyaksikan calon BN dari Umno iaitu Shamsul Bahari Mat memenangi Klawang dengan majoriti 733 undi. Ia suatu kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN di Klawang berbanding keputusan PRU 1986 yang turut dimenangi oleh calon yang sama dengan majoriti selesa sebanyak 2,308 undi.

BN sekali lagi meletakkan Shamsul Bahari Mat sebagai calon di Klawang pada PRU 1995. Kemerosotan pengaruh Semangat 46 ketika itu telah membantu meningkatkan majoriti kemenangan BN namun tidak selesa sebagaimana PRU 1986 iaitu dengan memperolehi 1,333 undi majoriti.

PRU 1999 menjadi ancaman besar kepada kemenangan BN di Klawang dengan hanya memenangi majoriti kecil iaitu 69 undi sahaja! Shamsul Bahari Mat nyaris tewas kepada calon Keadilan-Bohari Abdul Latif. Walaupun PRU 2004 merupakan kemuncak kemenangan bergaya BN, namun BN tetap menang dengan majoriti 1,308 undi di sini. Kesan ombakan politik sejak era Semangat 46 kepada zaman Reformasi dan Tsunami 2008, BN dilihat sukar melonjak majoriti melebihi 1,500 undi. Sudah ada blok pengundi tegar pembangkang kuat di Klawang khususnya masyarakat Cina. PRU 1969 turut mencatatkan kemenangan calon MCA-Lee Kim Kee di Klawang hanya dengan majoriti 200 lebih sahaja. Ketika itu beliau ditentang oleh calon DAP-Daud Haji Ahmad.

Latarbelakang

Dr Rosli Yaakob mempunyai pengalaman menjadi calon pilihanraya sejak PRU 1999 iaitu bertanding di Dun Linggi melawan Isa Samad. PRU 2004 pula beliau telah diberi kepercayaan oleh PAS NS bertanding sebagai calon parlimen Jelebu dan Dun Paroi. Selepas tewas dalam PRU 2004, beliau berehat seketika dari dunia politik untuk menumpukan pada kerjaya perniagaan beliau di luar negara sebelum kembali aktif pada tahun 2011 lalu.

Dr Rosli boleh dianggap antara 'political-star' yang dilahirkan oleh PAS Negeri Sembilan dan dikenali di peringkat pusat. Ketika era Reformasi 1999, beliau adalah antara figura utama pembangkang yang mendapat perhatian rakyat Negeri Sembilan dan seluruh negara.

Beliau merupakan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Telok Kemang bagi penggal 1998-2001, kemudian memegang jawatan YDP Pas Kawasan Rembau dari tahun 2001-2006. Beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas NS bagi penggal 2005-2006 sebelum berehat seketika. Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan PJ 1 Pas NS.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara. Lawan beliau di Klawang adalah penyandang Yunus Rahmat.

Potensi

BN dijangka menghadapi laluan sengit daripada Pas atas faktor komposisi kaum pemilih di Klawang. Pemilih Cina di sini meliputi 31 peratus yang boleh dipastikan 85 peratus akan beralih kepada PR. Pas NS telah membuat satu langkah bijak dengan menempatkan Dr Rosli kerana Klawang adalah antara tujuh Dun yang berpotensi dimenangi oleh PR dalam PRU-13 ini.

Pemilihan Dr Rosli juga dilihat sebagai kesungguhan Pas dalam memenangi Klawang walaupun meletakkan calon luar. Hakikatnya Pas Jelebu tidak mempunyai tokoh yang kuat untuk menyaingi calon-calon Umno sebelum ini. Latarbelakang Dr Rosli dari sudut politik dan profession mampu memberi keyakinan kepada para pemilih Klawang untuk menilai keupayaan beliau.

Jangkaan

Pas dijangka mampu menang di Klawang. Namun keupayaan dan gerakan BN tidak harus dipandang mudah walaupun para pemilih Cina secara majoritinya konsisten memberi undi kepada parti pembangkang.

Jangkaan Penulis;

PR: 51%
BN: 49%




Monday 8 April 2013

PRU-13: Wilayah Persekutuan kekal sebagai kubu PR

WP
Kuala Lumpur
Labuan
Putrajaya





Wilayah Persekutuan terdiri daripada tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Awal penglibatan wilayah ini dengan pilihanraya umum bermula pada PRU 1974 yang melibatkan Kuala Lumpur. Walaupun Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan (WP) pada tahun 1984, hanya pada PRU 2004 kawasan tersebut dan Putrajaya menjadi sebahagian daripada kawasan pilihanraya WP.

Sejak PRU 1974, 1978, 1982,1986 dan 1990, WP Kuala Lumpur dikuasai oleh parti pembangkang iaitu DAP yang kental menyaingi pengaruh BN. Selepas penyusunan semula politik negara oleh parti pemerintah, Kuala Lumpur kekal menjadi lubuk atau kubu kuat DAP.

Namun begitu, selepas berlaku persempadanan semula pada tahun 1994 dan 2003 kedudukan status-quo kemenangan DAP telah berjaya ditembusi oleh BN. PRU 1995, 1999 dan 2004 memperlihatkan BN memenangi kebanyakan kawasan parlimen WP manakala DAP kekal menang di kawasan tradisi sahaja seperti Kepong, Bukit Bintang dan Segambut.

Parti-parti pembangkang yang lain seperti Pas, Keadilan dan PRM gagal memenangi kawasan-kawasan parlimen sejak PRU 1974 hingga 2004. Hanya Parti Perkemas sahaja yang memenangi satu kerusi parlimen dalam WP Kuala Lumpur pada PRU 1974. Namun Tsunami Politik 2008 mengubah kembali landskap siasah seluruh WP dengan parti-parti pembangkang memenangi 10 kerusi daripada 13 parlimen. BN hanya memenangi Labuan, Putrajaya dan Setiawangsa yang kebetulan ketiga-tiga kawasan ini dimenangi oleh Umno.

Berikut dilampirkan jadual kemenangan kerusi-kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan (PRU 1974-1999 WP Kuala Lumpur sahaja) mengikut tahun PRU dan parti politik;

KEMENANGAN KERUSI PARLIMEN WILAYAH PERSEKUTUAN MENGIKUT PARTI POLITIK & PRU
PRU
Jumlah Kerusi Parlimen
BN
DAP
PKR
PAS
PERKEMAS
1974
5
2
2
-
-
1
1978
5
2
3
-
-
-
1982
5
2
3
-
-
-
1986
7
3
4
-
-
-
1990
7
3
4
-
-
-
1995
10
6
4
-
-
-
1999
10
6
4
-
-
-
2004
13
9
4
-
-
-
2008
13
3
5
4
1
-

Hanya selepas persempadanan semula parlimen pada tahun 1994 dan 2003, BN berjaya menguasai WP dan menyaingi pengaruh DAP walaupun persempadanan sebelum itu (1985) BN gagal mengalahkan pengaruh DAP dalam Kuala Lumpur.

Potensi PRU-13
Secara hakikat dengan senario politik kini, peluang BN kembali memenangi kawasan-kawasan dimenangi PR di WP Kuala Lumpur dilihat sukar dan sengit. Perebutan antara Umno-MCA-Gerakan ke atas kerusi-kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsamaju. Umno Bahagian di kedua-dua kawasan ini berkeras mahukan calon Melayu dari Umno bertanding kali ini di PRU-13 atas faktor kedua-dua kawasan ini majoriti Melayu.

Gelombang perubahan yang berlaku di Sabah turut melanda WP Labuan. Belum pernah ada parti pembangkang memenangi Labuan sejak ia menjadi wilayah persekutuan pada tahun 1985. Kedudukan BN di Labuan juga ditahap kritikal. Besar kemungkinan Labuan dimenangi PR pada PRU-13.

Setiawangsa merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh Umno-BN dalam WP Kuala Lumpur atas bantuan undi pos tentera yang terbesar di Malaysia. Tanpa 'bantuan istimewa' tersebut, Setiawangsa juga telah turut dimenangi oleh PR pada PRU 2008 lalu. Kali ini berdasarkan risikan polis, tentera dan beberapa kaji-selidik agensi-agensi kerajaan, Setiawangsa bakal dimenangi oleh PR.

Saingan sengit dijangka berlaku di Lembah Pantai yang memperlihatkan kempen hebat BN sejak penghujung 2009 lagi. Gerakan BN menjadi lebih agresif dengan kedudukan Raja Nong Chik diperlihatkan sebagai calon BN bagi kawasan ini. Lembah Pantai dihuni ramai warga kota berstatus golongan menengah khususnya pemilih-pemilih Melayu dan India. Jika matlamat menawan Lembah Pantai gagal pada PRU-13, ia adalah gambaran jelas bahawa majoriti masyarakat Melayu menengah bandar telah menolak Umno-BN secara besar-besaran!

Apakah Umno-BN hanya akan kekal mempertahankan WP Putrajaya?

Calon-calon PRU-13
1. Kepong: Tan Seng Giaw (penyandang) DAP-PR , BN-MCA: tiada maklumat
2. Batu: Chua Tian Chang (penyandang) PKR-PR, BN-Gerakan: tiada maklumat
3. Wangsamaju: Dr Tan Kee Kwong (calon baru) PKR-PR, BN-Umno: Dato Shafie Abdullah
4. Segambut: Lip Lim Eng (penyandang) DAP-PR, BN-MCA: tiada maklumat
5. Setiawangsa: Ibrahim Yaakub (calon baru) PKR-PR, BN-Umno: Zulhasnan Rafique
6. Titiwangsa: Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (calon baru) PAS-PR, BN-Umno: Dato Johari Abd Ghani
7. Bukit Bintang: Fong Kui Lun (penyandang) DAP-PR, BN-MCA: tiada maklumat
8. Lembah Pantai: Nurul Izzah Anwar (penyandang) PKR-PR, BN-Umno: Dato Raja Nong Chik
9. Seputeh: calon baru jika Teresa Kok tumpu Dun Kinrara, Selangor.
10. Cheras: Tan Kok Wai (penyandang) DAP-PR, BN-MCA: tiada maklumat
11. Bandar Tun Razak: Tan Sri Khalid Ibrahim (penyandang) PKR-PR, BN-Gerakan: tiada maklumat
12. Labuan: Tan Sri Ibrahim Menudin (calon baru) PKR-PR, BN-Umno: tiada maklumat
13. Putrajaya: Datuk Husam Musa (calon baru) PAS-PR, BN-Umno: Tengku Adnan Tengku Mansor

Tuesday 2 April 2013

PRU-13: Calon-Calon PAS NS



Info tambahan: Semalam (4 April 2013-Khamis) PAS Pusat telah mengumumkan bekas penyanyi popular, Aishah (Wan Aishah Wan Ariffin) sebagai calon Parlimen Jempol.

Walaupun belum ada pengumuman secara rasmi calon-calon oleh PAS NS, namun susuk tubuh yang bakal menjadi calon PAS di Negeri Sembilan telah diperkenalkan secara tidak langsung.

Berikut adalah nama-nama yang bakal menjadi calon Parlimen & DUN PAS NS, namun begitu ia akan berubah sekiranya ada rombakan daripada PAS Pusat; ia berdasarkan gerak kerja dan aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan keberadaan individu-individu tersebut di kawasan-kawasan terlibat.

Parlimen
Jelebu: (belum dipastikan, namun mengikut PAS NS ia diperuntukkan untuk Muslimat).
Jempol: Wan Aishah Wan Ariffin@ Aishah (bekas penyanyi popular, asal Batu Kikir, Jempol)
Tampin: (belum dipastikan, namun ada perkhabaran mantan PJ Zulkefly Mohamad Omar dicadangkan)

DUN
1. Sungai Lui: (tiada maklumat)
2. Klawang: Saiful Jaaman (Naib YDP Jelebu)
3. Serting: Abdul Rahman Ramli (YDP Jempol)
4. Lenggeng: (belum dipastikan & diserah kepada PAS Pusat untuk tetapkan calon)
5. Johol: Ustaz Nor Azman Mohamad (Ketua Penerangan PAS NS)
6. Senaling: Zaharuddin Othman (YDP Kuala Pilah)
7. Labu: Anuar Azahari (YDP Rasah)
8. Chembong: Dr Rosli Yaacob (Timbalan PJ 1 PAS NS)
9. Kota: (tiada maklumat)
10. Paroi: Mohd Taufek Abdul Ghani (PJ PAS NS-penyandang)
11. Gemencheh: Ustaz Zakaria Khalim (YDP Tampin)
12. Bagan Pinang: Ramli Ismail (YDP Telok Kemang / Bendahari PAS NS)




Monday 1 April 2013

Jangkaan Kedudukan PR-BN selepas pembubaran DUN NS

Selepas terbubar sendiri Dewan Undangan Negeri pada 28 Mac 2013 lalu, suasana ke arah PRU-13 kian memuncak di Negeri Sembilan. Ia turut mempengaruhi kedudukan semasa kedua-dua pihak (PR-BN) yang bakal menentukan kedudukan masing-masing dalam menghadapi saingan PRU-13 nanti.

Ini beberapa jangkaan berdasarkan situasi dan gerakan semasa (samada BN atau PR) yang berlaku sejak enam bulan lalu di seluruh Negeri sembilan;

A. Kekal menang 
Parlimen
1. Jelebu (Umno-BN)
2. Tampin (Umno-BN)
3. Rembau (Umno-BN)

1. Rasah (DAP-PR)
2. Seremban (DAP-PR)

DUN
1. Bagan Pinang (Umno-BN)
2. Sungai Lui (Umno-BN)
3. Kota (Umno-BN)
4. Chembong (Umno-BN)
5. Labu (Umno-BN)
6. Gemencheh (Umno-BN)
7. Gemas (Umno-BN)
8. Palong (Umno-BN)
9. Serting (Umno-BN)
10. Juasseh (Umno-BN)
11. Seri Menanti (Umno-BN)
12. Pertang (Umno-BN)
13. Rantau (Umno-BN)
14. Senaling (Umno-BN)

1. Lobak (DAP-PR)
2. Temiang (DAP-PR)
3. Nilai (DAP-PR)
4. Mambau (DAP-PR)
5. Bukit Kepayang (DAP-PR)
6. Rahang (DAP-PR)
7. Senawang (DAP-PR)
8. Chuah (PKR-PR)
9. Lukut (DAP-PR)
10. Port Dickson (PKR-PR)
11. Bahau (DAP-PR)
12. Repah (DAP-PR)

B. Berpotensi dipertahankan (PR)
Parlimen
1. Telok Kemang (PKR-PR)

DUN
1. Paroi (PAS-PR)
2. Ampangan (PKR-PR)
3. Sikamat (PKR-PR)

C. Berpotensi Dimenangi (PR)
Parlimen
1. Jempol (PAS-PR)

DUN
1. Jeram Padang (PKR-PR)
2. Johol (PAS-PR)
3. Klawang (PAS-PR)
4. Pilah (PKR-PR)
5. Linggi (PKR-PR)
6. Chennah (DAP-PR)
7. Lenggeng (PAS-PR)

Ada dun jika dinilai mengikut data atas kertas berpotensi dimenangi oleh PR namun apabila diterjemahkan dalam hakikat politik ia memerlukan gerakan aktif dan ombakan politik bagi merealisasikan kemenangan kerana pihak BN melalui agensi-agensi kerajaan seperti Kemas, JASA, Cawangan Khas, M.I.O dan Jabatan Penerangan menjalankan gerak kerja membantu risikan dan penyebaran maklumat untuk BN.

Saingan sengit juga bakal berlaku di beberapa dun seperti Palong, Serting, Pertang, Rantau dan Bagan Pinang yang dijangka akan menyaksikan Umno-BN akan mempertahankan kemenangan dun-dun ini dengan penyusutan majoriti kemenangan.

Palong umpamanya akan menyaksikan kemerosotan undi popular BN sekiranya Umno NS silap meletak calon yang berkemungkinan memberi kemenangan kepada PR. Gerakan aktif yang dibuat oleh PR sejak pertengahan tahun 2009 di sekitar Jempol wajar diambil-kira oleh BN Jempol kerana sedikit sebanyak telah memberi kesan positif kepada sokongan warga peneroka kepada PR. Seandainya Umno mengekalkan calon sediada, mereka tetap menang di Palong namun tidak lagi mendapat undi kemenangan yang selesa sebagaimana sebelum PRU 2008. Adalah dijangkakan BN bakal memperolehi undi kemenangan sekitar 1,800-1,600 undi!

Namun semua jangkaan ini akan berubah menjelang pembubaran parlimen, tempoh berkempen dan semasa hari mengundi. Pilihanraya adalah sebuah permainan berkaitan dengan angka!