Wednesday 5 November 2014

Arkib Keadilan NS: Senarai Nama Ketua Peringkat Cabang (Bahagian 5)

Seremban merupakan antara cabang Keadilan di Negeri Sembilan yang aktif sejak era awal penubuhan Keadilan Nasional selain daripada Telok Kemang, Rasah dan Kuala Pilah.

Ketika era Keadilan Nasional, banyak cawangan telah ditubuhkan di Rasah, Seremban dan Telok Kemang. Ketiga-tiga bahagian ini pada waktu itu menjadi pusat gerakan Reformasi 98 yang aktif. Penghujung tahun 1998 dahulu, pernah berlaku demo di Nilai yang jarang berlaku di negeri ini. Khabarnya demo itu juga turut disertai oleh guru-guru sekolah dan kakitangan kerajaan yang membantah pemecatan Anwar Ibrahim. 

Sebelum persempadanan semula pada tahun 2004, Keadilan Seremban terlibat dalam pilihanraya umum pertamanya di Dun Senawang melalui calonnya Rafie Malek. Selepas berlakunya persempadanan semula tahun 2004, Keadilan bertanding di Dun Ampangan dan Sikamat dan kedudukan itu kekal pada PRU 2008 dan 2013.

Keadilan Seremban kemudiannya melalui fasa baru pada PRU 2008 dengan memperolehi kemenangan di Ampangan dan Sikamat. Catatan kemenangan di Ampangan itu merupakan pertama kali dalam sejarah PRU di Negeri Sembilan sejak 1959 calon pembangkang memenangi Dun Ampangan. Ia merupakan kubu kuat Umno sejak PRU 1959 lagi dan Keadilan menjadi parti pertama yang dapat menewaskan Umno di situ walaupun pada PRU terdahulu Pas cuba menyainginya.

Berikut adalah senarai nama penyandang jawatan Ketua Cabang bagi Seremban sejak tahun 1999;

KAMARUZAMAN OTHMAN
(1999-2000)
DR AHMAD AZAM HAMZAH
(2001-KINI)

Cabang Rembau
Rembau muncul sebagai kawasan parlimen baru hasil persempadanan semula pada tahun 2004. Rantau, Chembong, Kota dan satu dun baru iaitu Paroi menjadi komponen bagi kawasan parlimen ini.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan NS telah menubuhkan satu cabang baru di Rembau pada 11 Januari 2004. Jawatankuasa Penaja bagi penubuhan Cabang Rembau ini telah diketuai oleh saudara Haji Radzali A.Ghani. Walaupun permohonan penubuhan ini telah dibuat awal lengkap dengan senarai jawatankuasa penaja, penubuhan Cabang Rembau telah diluluskan pada 16 Jun 2008.

Sepanjang tempoh 2008 hingga 2010, Rembau menjadi cabang yang paling aktif menganjurkan program dan aktiviti parti. Ketika itu Cabang Rembau telah diketuai oleh Badrul Hisham Shaharin@Chegubard.

Berikut adalah senarai nama Ketua Cabang bagi Rembau sejak tahun 2004;

RADZALI A.GHANI
Ketua Penaja
(11.1.2004 hingga 16 Jun 2008)
BADRUL HISHAM SHAHARIN
(2008-2010)
(2010-2013)
YUSOF TAPAR
(2014-2017)

Thursday 30 October 2014

Arkib Keadilan NS: Senarai Nama Ketua Peringkat Cabang (Bahagian 4)

Keadilan di Tampin pernah mencatat sejarah apabila mendapat liputan media dengan beberapa pimpinan pada 24 November 1999 keluar parti dan menyertai Umno. Ketika itu Keadilan NS sedang membuat persiapan menghadapi PRU-10. Antara yang keluar adalah Ketua Bahagian Keadilan Nasional Tampin ketika itu iaitu Yusof Tapar. Akibatnya organisasi peringkat bahagian ketika itu lumpuh dan tidak aktif.

Sejarah itu telah membuatkan Keadilan Tampin tepu sehinggalah kembali diaktifkan ketika Keadilan NS diketuai oleh Dato Kamarul Baharin Abbas. Kapten (B) Zolkapli Kassim kemudiannya diberi tanggungjawab bagi mengetuai organisasi dan menggerakkan Cabang Tampin.

Berikut adalah senarai penjawat Ketua di Cabang Tampin sejak tahun 1999 hingga kini;

YUSOF TAPAR
(1999)

keluar parti pada 24 November 1999
KAPTEN (B) ZOLKAPLI KASSIM
(2007-2010)
(2014-KINI)
HAJI BAHARUDDIN ARIF
(2010-2013)

Tuesday 28 October 2014

Arkib Keadilan NS: Senarai Ketua Peringkat Cabang (Bahagian 3)

Walaupun kebanyakan cabang Keadilan di Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada penghujung tahun 1999, namun terdapat juga tunggak kepimpinan cabang yang kekal dijawat oleh susuk politik yang sama atau bertukar gilir sebagaimana yang berlaku di Rasah. 

Kuala Pilah hanya pada penggal 2014-2017 telah berlaku pertukaran tampuk kepimpinan. Mantan Presiden pertama Keadilan Nasional, Nordin Ismail menjawat Ketua Cabang Kuala Pilah sejak tahun 1999 hingga 2013. Beliau antara susuk politik Keadilan NS yang lama bertahan sejak awal permulaan perjuangan Reformasi 98 lalu.

Berikut adalah senarai nama penjawat Ketua Cabang bagi Kuala Pilah;

NORDIN ISMAIL
(1999-2013)


ROSLI OMAR
(2014-2017)


Berikut adalah senarai penjawat Ketua Cabang bagi Rasah;

MUHAMMAD KAMELYASSIN
(2003-2007)
(2007-2010)
(2010-2013)
NORIZAM YASIN
(1999-2003)
TANGAM RAJU
(2014-2017)





Arkib Keadilan NS: Senarai Ketua Peringkat Cabang (Bahagian 2)

Telok Kemang menjadi kubu terkuat Keadilan NS dengan kemenangan pada PRU-12 pada tahun 2008 dapat dipertahankan pada PRU-13 lalu.

Sebagaimana DAP yang menjadikan Parlimen Seremban dan Rasah sebagai kubu kuat di Negeri Sembilan, Keadilan NS juga memiliki keadaan yang sama di Telok Kemang.

PRU-13 lalu Keadilan telah mempertahankan kemenangan di Parlimen Telok Kemang manakala peringkat Dun di Chuah dan PD Bandar dengan majoriti yang selesa. Hanya Bagan Pinang (Pas) dan Linggi (Keadilan) yang masih gagal dirampas daripada BN.

Sebelum persempadanan semula pada tahun 2004, kawasan Parlimen Telok Kemang meliputi keseluruhan Daerah Port Dickson dan sebahagian Daerah Rembau (meliputi dun Chembong). Namun selepas tahun 2004, Dun Chembong menjadi sebahagian daripada Parlimen Rembau.

Berikut adalah senarai nama Ketua Cabang bagi Telok Kemang sejak tahun 1999 hingga kini; 

ABDULLAH MASOD
(1999-2001)
RUSLI ABDULLAH
(2001-2004)
ZULKIFLI MOHAMAD
(2004-2007)
AMIN HARUN
(2007-2010)
RAVI MUNUSAMY
(2010-2013)

ADUN PD Bandar 2008-2013, 2013-kini
CHAI TONG CHAI
(2014-2017)

ADUN Chuah 2008-2013, 2013-kini




Thursday 23 October 2014

Arkib Keadilan NS: Senarai Ketua Keadilan Peringkat Cabang (Bahagian 1)

Mungkin ada yang tertanya sebab dan tujuan 'posting' yang dicarigali daripada arkib Keadilan Negeri Sembilan dipaparkan. Alasan mudahnya adalah kerana masih ramai penyokong, pengikut malah anggota Keadilan di negeri ini tidak mengetahui dan samar-samar akan susuk-susuk politik yang pernah mengetuai organisasi peringkat negeri dan cabang. 

Keadilan kini telah berkembang menjadi pertubuhan siasah nasional dengan kekuatan keanggotaan menjejaki angka 500,000 orang, maka wajar pendedahan maklumat persejarahan organisasi diketahui.

Cabang Jelebu
Sentuhan politik pertama Keadilan di Jelebu adalah melalui penyertaan dalam PRU-10 pada tahun 1999. Ketika itu Keadilan telah bertanding di Parlimen Jelebu dan Dun Klawang. 

Kejutan menarik telah berlaku di Klawang apabila calon Umno-BN, Dato' Shamsul Bahari Mamat menang dengan majoriti tipis iaitu 69 undi. Calon Keadilan, Bohari Abdul Latif nyaris menjadi wakil pertama pembangkang yang berjaya menawan Kalwang sejak 1959. Manakala calon bagi Parlimen Jelebu adalah Ustaz Jaafar Muhammad yang berhadapan dengan Rais Yatim.

Berikut adalah senarai Ketua Cabang Jelebu sejak tahun 1999 hingga kini;

YUSOF SALLEH
(1999-2000)
(2006-2009)
USTAZ JAAFAR MOHAMMAD
(2000-2003)
AHMAD FADHIL
(2003-2006)
SYED HUSSAIN IDRUS
(2010-2013)

Meletak jawatan pada 20 September 2011
dan dipangku oleh Timbalan Ketua, Tang Jay Soon
SHAHRIL ZAKARIA
(2014-2017)

Cabang Jempol
Antara cabang yang kurang berlaku pergeseran politik dalaman dan tenang sejak tahun 1999 adalah Cabang Jempol. 

Keadilan Jempol sejak PRU-10 iaitu pada tahun 1999 telah bertanding di Dun Palong dan Jeram Padang. Malah pada PRU tahun 2004, 2008 dan 2013 kedua-dua dun tersebut kekal ditandingi Keadilan.

Berikut senarai nama Ketua Cabang Jempol sejak tahun 1999 hingga kini; 

IBRAHIM YUSOF
(1999-2004)
KARIP SALLEH
(2005-kini)




Arkib Keadilan NS: Senarai Pengerusi Negeri

Keadilan Negeri Sembilan ditubuhkan secara rasmi pada Disember 1999. Sebelum tahun 2003, Keadilan ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional dengan singkatan yang dipopular oleh media iaitu PKN. Selepas penggabungan antara Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003, entiti baru ini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat.

Sejak tahun 1999, telah ada beberapa nama yang memegang jawatan Pengerusi bagi Keadilan NS. Namun tidak semua yang mengetahui akan sejarah mudah ini.

Berikut adalah senarai Pengerusi Negeri sejak 1999 bagi Keadilan NS;

DR RAFIE MALEK
(1999-2000)
RUSLAN KASSIM
(2000-2001)
IBRAHIM YUSOF
(2001-2005)
DR AHMAD AZAM HAMZAH
(2005-2007)
DATO' KAMARUL BAHARIN ABBAS
(2007-2010)
(2010-2013)

Siapa Pengerusi Negeri Penggal 2014-2017?

Setelah tamat pemilihan Keadilan 2014, ada beberapa perubahan pimpinan cabang di Negeri Sembilan dengan muka-muka baru mengambil alih tampuk teraju cabang iaitu di Jelebu, Telok Kemang, Rasah, Rembau, Kuala Pilah dan Tampin. Hanya Jempol dan Seremban masih kekal disandang oleh Ketua Cabang sesi lepas.

Namun begitu situasi di negeri ini menyaksikan lima ketua cabang disebut menyokong Dato Kamarul Baharin dilantik semula sebagai Pengerusi Negeri. Manakala dua cabang lagi menolak beliau. Seremban pula berkecuali namun menyokong keputusan majoriti.

Apakah pilihan Presiden Keadilan dalam memilih dan melantik Pengerusi Negeri di Negeri Sembilan? Apakah susuk baru ditampilkan atau mengekalkan Dato Kamarul?

Wednesday 15 October 2014

Keadilan NS berupaya menembusi kawasan tradisional Melayu

PRU-14 akan datang (jika penggal penuh akan berakhir pada tahun 2018) dijangka akan memberi saingan sengit antara PR dan BN di Negeri Sembilan. Sudah dua penggal berturut-turut BN memenangi DUN Negeri Sembilan dengan kedudukan majoriti mudah. 
Kesimpulannya bagi negeri ini pada PRU-13, komponen utama BN iaitu Umno masih mengekalkan kemenangan besar iaitu 21 dun daripada 22 dun yang ditandingi. Manakala MIC hanya mengekalkan kemenangan kerusi Jeram Padang daripada dua dun yang ditandingi. MCA dan Gerakan tewas di semua dun yang ditandingi.

Oleh kerana itu, pihak strategis Umno-BN telah meningkatkan kekuatan bagi mempertahankan kemenangan 22 dun tersebut untuk mengekalkan kuasa dalam penggal seterusnya. Sudah jelas jentera-jentera kerajaan telah digunapakai (Jasa, Kemas, SB, MIO) untuk menyusun langkah dan gerak kerja mempertahankan pengaruh di dun-dun yang telah dimenangi. BN menyedari bahawa untuk merampas lagi 14 dun yang dimenangi PR melalui jalan berliku, maka ruang yang ada adalah mempertahankan kemenangan sedia ada.

Situasi itu harus disedari dan dihidu oleh PR khususnya Keadilan dan Pas untuk menggiatkan gerak kerja dan menyusun strategi baru dalam mencari kemenangan untuk PR. DAP pastinya akan berusaha mempertahankan kemenangan 100 peratus di 11 Dun. 

Keadilan yang memenangi Sikamat, Chuah dan PD Bandar perlu menggandakan usaha bagi mencari tambahan kemenangan untuk membentuk kerajaan PR. Kedudukan di Sikamat bukanlah berada dalam kemenangan besar atau selesa. Ia merupakan kemenangan dengan majoriti marginal. Tolak faktor penipuan atau gerak kerja jahat, tetapi bersandar pada faktor hakiki bahawa BN akan berusaha mempertingkatkan pemilih-pemilih baru khususnya dari kaum Melayu untuk mengatasi majoriti marginal di Sikamat. 

Selain kekal menjalankan program dan aktiviti pejabat wakil rakyat, Keadilan NS wajar mempertingkatkan sebaran maklumat dan memperkukuhkan jentera serta unit kecil organisasi dengan menubuhkan ranting-ranting Keadilan dalam daerah-daerah mengundi majoriti Melayu di Paroi Jaya, Taman Sikamat, Taman Desa Rhu dan sekitar Jalan Jelebu-Ampangan agar kerja-kerja pendaftaran pemilih baru, pengkaderan anggota-anggota baru parti dan penubuhan jentera pilihanraya akan lebih berkesan. Kaedah yang sama juga wajar diperluas-giatkan di dun Ampangan.

Menembusi kawasan tradisional Melayu
Sikamat merupakan contoh kemenangan Keadilan di kawasan bandar yang majoriti Melayu. Prestasi Keadilan di beberapa dun majoriti Melayu yang bersifat campuran di Pilah, Juasseh, Pertang, Rantau dan Linggi tidak meleset dan merundum begitu teruk berbanding dengan dun yang mempunyai lebih 50 peratus kawasan Felda seperti Palong dan Gemas. 

Corak pemikiran dan gaya hidup masyarakat Melayu kawasan tradisional dengan Melayu kawasan Felda sangat berbeza. Keputusan PRU-13 lalu membuktikan lebih daripada 70 peratus undi pemilih Felda condong kepada Umno-BN. Undi popular Keadilan di Palong merundum sembilan peratus daripada undi popular PRU-2008. 

Ada sebuah dun di Perak yang ditandingi dan dimenangi oleh Keadilan iaitu Kuala Kurau. Dun ini berada dalam Daerah Kerian yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu terdiri daripada kebanyakannya orang Banjar. Kuala Kurau adalah sebahagian daripada Parlimen Parit Buntar.

Ia adalah contoh terbaik untuk dibuat pedoman dan panduan untuk Keadilan NS merencana kemenangan di dun-dun kawasan Melayu tradisional.

Komposisi Pemilih Dun Kuala Kurau PRU-13;
Jumlah Pemilih: 23,315
Melayu: 58.43%  Cina: 39.57%  India: 1.96%  Lain-Lain: 0.04%

Keputusan Dun Kuala Kurau;

PRU-13
Abdul Yunus Jamhari (Keadilan): 12,336
Mohd Salleh Disa (Umno-BN): 7,322
Majoriti: 5,014

PRU-12
Abdul Yunus Jamhari (Keadilan): 8,224
Mohd Salleh Disa (Umno-BN): 7,757
Majoriti: 467

Kawasan Dun Kuala Kurau ini mempunyai masyarakat Melayu Banjar yang terdiri daripada pesawah padi, nelayan dan peniaga-peniaga kecil. Pengaruh pendidikan Islam juga kuat di kawasan ini kerana banyak madrasah dan sekolah agama. Manakala masyarakat Cina di sini merupakan kumpulan peniaga-peniaga kedai, nelayan dan peraih-peraih hasil laut. Kuala Kurau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu di kawasan Sekinchan atau Sabak Bernam di Selangor.

Fokus Strategi & Gerak  Kerja
Parlimen Rembau, Kuala Pilah dan Telok Kemang yang ditandingi oleh Keadilan disamping mengukuhkan sokongan kemenangan daripada kaum Cina dan India, penampilan tokoh-tokoh politik Melayu mereka perlu dimulakan sekarang.

Tokoh politik Keadilan NS sedia ada seperti Dato' Kamarul Baharin Abbas, Aminuddin Harun dan Nazree Yunus tidak cukup untuk menampung gerakan melawan propaganda Umno di kawasan-kawasan tradisional Melayu yang melabelkan Keadilan sebagai parti liberal yang mengabaikan kelangsungan kuasa politik Melayu. Mereka perlu dibantu dan ditambah nilai dengan menampilkan susuk-susuk berketrampilan yang kukuh.

Calon-calon Keadilan dalam PRU-13 lalu yang dikira mampu menjadi lapis baru kepimpinan disamping menjadi susuk-watak politik Melayu mewakili Keadilan NS adalah Rosli Omar (Juasseh, kini Ketua Cabang Kuala Pilah), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Seri Menanti), Rosman Joned (Linggi, kini Timbalan Ketua Cabang Telok Kemang), Muhamad Syamwill Mertadza (Pertang, kini Ketua AMK Jelebu) yang pertama kali diberi peluang bertanding dalam pilihanraya lalu boleh dibentuk dan diketengahkan.

Anggota-anggota lama yang aktif dan berpengalaman seperti Karip Salleh (Ketua Cabang Jempol), Kapten Zolkapli Kassim (Ketua Cabang Tampin) juga perlu berada dalam penonjolan susuk politik Melayu bagi Keadilan.

Ada beberapa sussuk muda Keadilan NS seperti Ramlan Roes (mantan calon Dun Linggi 2008), Rosidan Mohamed (mantan Ketua AMK Seremban), Fendi Malek, Rebin Birham (mantan Ketua AMK NS 2009-2010) masih boleh diberi ruang untuk penonjolan sebagai kepimpinan Keadilan NS.

Walaupun Keadilan merupakan parti pelbagai kaum, namun di Negeri Sembilan parti ini tidak ketandusan watak-watak Melayu tetapi ketrampilan mereka perlu digilap dan diketengahkan kepada umum.

Sudah tiba masanya Keadilan NS memberi tumpuan khusus dalam menembusi kawasan tradisional Melayu. Mungkin hakikat bahawa pengundi Melayu Felda kekal bersama Umno wajar diterima dan tidak perlu untuk bersusah payah mengapai sokongan yang sukar dijangka. 

Tuesday 14 October 2014

Keadilan dan Pas perlu tonjol watak baru di Rembau

Selepas berlalunya PRU-13 lebih setahun lalu, suasana politik di Negeri Sembilan agak kurang meriah berbanding 2012-2013 yang padat dengan pelbagai program utama. Walaupun ada program-program dijalankan sepanjang tahun 2014 ini, namun ia tidak berlangsung dalam 'mood' yang benar-benar meriah.

Melihat kepada 'merundumnya' kegiatan politik PR yang rancak, pihak Umno-BN telah rancak menyusun langkah dan gerakan baru khususnya di Rembau bagi memperkukuhkan pengaruh politik. Kajian tinjauan yang pernah dibuat oleh Merdeka Center pada Mac 2013 menyebut bahawa potensi Parlimen Rembau untuk dimenangi oleh PR adalah 51 peratus. Hasil tinjauan itu telah dibentangkan kepada pihak PR seminggu sebelum PRU-13 berlangsung.

Pihak strategis Umno-BN yang mendapat bantuan JASA dan risikan Kemas juga memperolehi hasil yang sama dengan jangkaan Umno bakal tewas di Parlimen Rembau cukup kencang. Penolakan akar umbi terhadap pencalonan Khairy Jamaluddin khususnya di Chembong dan Kota cukup tinggi. Namun kerana Keadilan menurunkan calon pada saat-saat akhir dan tidak begitu dikenali oleh pemilih di Rembau, kebanyakan pengundi Umno yang telah sedia menolak calon BN akhirnya terpaksa memilih calon parti mereka.

Begitu juga dengan pihak Pas yang pada saat akhir menukar strategi dengan meletakkan calon anak tempatan, Dr Rosli Yaakob dari Dun Chembong ke Dun Klawang.

Memperkenal tokoh dan watak baru
Secara jujur Keadilan dan Pas memerlukan watak-watak baru, segar dan mampu menarik perhatian pengundi dan masyarakat di Rembau. Kerap kali kawasan ini khususnya calon dun kerap diletakkan calon yang tidak popular dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyaingi calon-calon Umno yang sedia dikenali. Harus diingat bahawa wakil rakyat Chembong dan Kota serta di Rantau merupakan susuk politik yang berada dalam kabinet kerajaan negeri. Peranan mereka sebagai Ahli Mesyuarat Negeri memberi kelebihan mereka mendapat perhatian dan populariti di pandangan rakyat.

Jika cadangan persempadanan baru tidak dapat dilaksanakan (termasuk memecahkan Parlimen Rembau kepada Parlimen Paroi & Rembau) maka Keadilan dan Pas Rembau khususnya harus membuat persiapan awal dan gerakan bagi memperkenalkan susuk politik baru.

Keadilan Negeri Sembilan dikira sudah wajar memulakan langkah mengetengahkan beberapa muka baru dalam mengharungi saingan Umno di Rembau. Langkah berani yang pernah dimulakan oleh mantan Ketua Cabang Rembau dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin semasa 2008-2010 dahulu cukup memberi kesan positif kepada rakyat tempatan di Rembau. Keadilan Rembau menjadi gerakan aktif yang tidak putus dengan program dan aktiviti. Maka cabaran baru perlu digerakkan oleh watak-watak baru Keadilan bagi menyaingi aras politik yang telah dibina oleh Badrul. Faktor beliau sebagai elemen menongkah arus suara kepimpinan diletak tepi tetapi langkah-langkah aktif yang pernah dilakukan wajar dicontohi kerana dalam ruang lingkungan yang dikuasai oleh Umno, kadangkala gerakan menongkah arus memberi kesan positif untuk menarik perhatian rakyat.
Rosidan Mohamed

Antara watak-watak muda yang dikira boleh diketengahkan adalah mantan Timbalan Ketua AMK NS, saudara Rosidan Mohamed yang merupakan anak jati dari Chembong. Beliau pernah menjadi calon Keadilan bagi dun Sikamat pada PRU 2004. Beliau juga pernah menjadi Ketua AMK Cabang Seremban bagi penggal 2007-2010 dan 2010-2012. Mungkin beliau boleh diangkat sebagai calon parlimen selain daripada Nazree Yunus.





Nazree Yunus (mantan Ketua AMK NS 2010-2013) sebaiknya kembali bertumpu di Rembau memandang gerakan awal semasa tahun 2012-2013 yang telah beliau jalankan memberi harapan kepada Keadilan dan PR di Rembau sebagai susuk muda politik. Namun strategi berubah apabila beliau pada saat-saat akhir dihantar menjadi calon ke Parlimen Kuala Pilah. Gerak kerja yang beliau jalankan bersama AMK NS di sekitar Rembau sebelum PRU 2013 telah memberi kesan positif. Akan tetapi setelah menjadi calon parlimen di Kuala Pilah, gerak kerja beliau tersebut tidak dapat membantu calon parlimen di Rembau untuk memperolehi undi lebih besar kerana juga diletakkan pada saat akhir. Nazree perlu kembali bagi mengukuhkan secara lebih awal pengaruh Keadilan di sini.

Harus difahami bahawa corak pemilih di Rembau kebanyakannya terikat dengan politik klasik iaitu calon pilihanraya wajib dikenali, anak tempatan dan mudah dilihat dalam kawasan. Para pemilih di Rembau sebahagian besarnya tidak seperti pengundi Cina yang teguh memilih lambang parti komponen dalam PR tanpa mengira susuk wajah calon!

Selain daripada itu, aktivis budayawan dan sejarah di Rembau iaitu saudara Haji Rozmal Malakan (gambar kiri) mampu ditonjolkan sebagai susuk baru dari Pas. Beliau aktif menjalankan kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan disamping kecenderungan beliau terhadap sejarah dan kebudayaan Adat Perpatih di Rembau. Sudah agak lama aktivis atau susuk politik yang cenderung kepada sejarah dan kebudayaan tidak muncul di Negeri Sembilan. Jika dahulu adanya Dato' Abdul Samad Idris dan Rais Yatim. Ketiadaan susuk politik ini menyebabkan bahagian sejarah, kebudayaan dan kesenian Negeri Sembilan berada pada tahap merundum tanpa ada usaha memajukan sektor tersebut sedangkan Rembau sangat kaya dengan tinggalan sejarah tua yang bernilai tinggi!

Rantau juga menjadi pentas saingan politik yang hangat kerana ia merupakan dun yang diwakili oleh MB NS, Dato' Seri Mohamad Hasan. Perkhabaran ada menyebut bahawa Mohamad Hasan pada PRU-14 akan datang bakal dipindahkan ke parlimen. Andainya khabar itu menjadi kenyataan, adalah pasti calon baru bakal diletakkan di situ.

Susuk politik muda yang mungkin boleh dicadangkan dan diangkat bagi dun Rantau adalah saudara Affendi Malek. Beliau mantan Setiausaha AMK NS (2010-2012) yang juga pernah terlibat dengan gerak kerja pendemokrasian (gerak kerja pendaftaran pemilih baru) PR.

Mungkin Pas NS akan mengekalkan Haji Taufek Abdul Ghani di Paroi bagi menggerakkan usaha merampas kembali dun tersebut pada PRU-14 akan datang.

Langkah Baru
Gabungan muka baru dan tonggak lama yang berpengalaman antara Keadilan dan Pas di Rembau perlu bagi memenangi parlimen dan dun pada PRU-14. Jika mahu memenangi PRU-14, maka wajar kedua-dua komponen PR ini bergerak seiring membina keyakinan pengundi-pengundi di Rembau.

Pihak Umno telah memulakan langkah dan gerakan strategik melalui Jasa dalam memperkukuhkan kedudukan bagi mempertahankan kemenangan PRU-13. Watak-watak dan susuk-susuk politik tertentu telah pun dihantar ke dun Chembong, Kota dan Rantau bagi membina kekuatan disamping melemahkan kedudukan politik PR. Agak istimewa di Paroi dengan sudah ada khabar-khabar politik yang Khairy Jamaluddin sedang 'dibentuk' untuk menjadi MB NS akan datang. Pasukan strategis Umno bagi dun Paroi telah memulakan rancangan tersebut.

Umno masih mempertaruhkan sokongan para pemilih luar bandar khususnya pemilih Melayu kerana kegagalan PR samada Keadilan dan Pas mewujudkan unit organisasi (Ranting & Cawangan) di pedalaman kawasan tradisional Melayu. Malah kekurangan sebaran maklumat melalui risalah atau cetakan mengenai kegiatan dan maklumat PR masih gagal diatasi yang dieksploit oleh Umno-BN melalui jentera penerangan mereka.

Penampilan wajah, watak dan susuk politik Melayu dari Keadilan dan Pas Rembau wajar dipergiatkan dan diaktifkan agar propaganda Umno-BN bahawa PR Negeri Sembilan didominasi oleh Cina dapat dilawan dan diperbetulkan.