Tuesday 16 October 2012

Linggi Bukan Kubu Kuat Umno-BN

Linggi amat sinonim dengan sejarah Negeri Sembilan. Ia merupakan antara kawasan terawal yang wujud di negeri ini sejak kurun ke-15 lagi iaitu ketika era Kesultanan Melaka (1400-1511). Linggi juga merupakan antara dun terawal yang wujud di Negeri Sembilan sejak PRU 1955 dan masih kekal hingga kini.
Tokoh politik ternama yang datang dari Linggi adalah Dr. Muhd Said Muhammad (gambar) yang menjadi Menteri Besar pertama Negeri Sembilan melalui pilihanraya selepas Malaya merdeka pada tahun 1957. Sebelum merdeka, Negeri Sembilan mempunyai lima orang Menteri Besar.

Tan Sri Isa Samad juga antara tokoh kontroversi yang pernah menjadi wakil rakyat Linggi antara yang paling lama. Beliau mewakili kawasan ini sejak tahun 1982 hingga 2004.

Sejarah Pilihanraya

Walaupun pada PRU 1955, Umno menang tanpa bertanding di Linggi melalui calonnya, Dr Muhd Said Muhammad, kedudukan Umno di Linggi telah berjaya digugat oleh DAP pada PRU 1969. Ketika itu calon DAP, Dr A. Soorian telah menang di Linggi. Ia bukan sahaja berlaku di Linggi tetapi seluruh Parlimen Port Dickson (kini Telok Kemang) yang memperlihatkan calon Umno tewas di Si Rusa dan Pasir Panjang. DAP telah meletakkan calon Melayu di Pasir Panjang dan Si Rusa.

Suasana PRU 1969 itu seakan kembali berulang pada PRU 2008 apabila Pakatan Rakyat memenangi Parlimen Telok Kemang, termasuk Dun Chuah, Lukut dan PD Bandar. Umno-BN hanya memenangi Dun Bagan Pinang dan Linggi.

Faktor undi pos menjadi pemangkin utama kemenangan Umno di Bagan Pinang dan Linggi. Jika tanpa bantuan undi pos ditambah dengan kelemahan gerak kerja dan personaliti calon-calon PR, ada kemungkinan kedua-dua Dun tersebut turut disapu oleh PR.

Analisa PRU 2008 

Walaupun sokongan pemilih Melayu di peringkat nasional kepada PR sekitar 16 hingga 23 peratus, namun di Linggi sokongan pemilih Melayu adalah 27.99 peratus. Manakala sokongan pemilih Cina adalah 65 peratus dan India (56%)

Tanpa bantuan Undi Pos, Umno hanya memenangi Linggi dengan kelebihan 985 undi sahaja. Namun dengan penokokan bilangan undi pos, Umno telah menggandakan kelebihan kemenangan dengan memperolehi majoriti sebanyak 1,575 undi!

Ramlan Roes
Jika Undi Benar (tolak undi rosak & undi pos), calon Umno-Ismail Taib memperolehi 4,697 undi (55.86%), manakala calon Keadilan-Ramlan Roes mendapat 3,712 undi (44.14%). Peringkat parlimen, calon Keadilan-Dato Kamarul Baharin Abbas menang di Linggi. Beliau menang di beberapa daerah mengundi majoriti Melayu seperti Kampong Sungai Raya, Linggi dan Kampong Pengkalan Durian dengan perolehan undi yang memberangsangkan.

Andainya 'mood' yang diterima oleh calon Keadilan peringkat Parlimen Telok Kemang berlaku di peringkat dun, ada kemungkinan ketika itu Keadilan menang di Linggi. 

Daerah Mengundi majoriti Cina dan campuran memberi kemenangan kepada Keadilan di Linggi waktu  iaitu Ayer Kuning, Ladang Sengkang dan Pengkalan Kempas. Namun agak mengejutkan calon Keadilan turut menang di daerah mengundi majoriti Melayu iaitu Kampong Pengkalan Durian yang diterjemahkan melalui peratus sokongan Melayunya kepada PR adalah 31 peratus! Ada sentimen khusus atau ombakan politik tertentu yang telah dicetuskan oleh PR di kawasan itu yang mempengaruhi pemilih Melayu.

Potensi PRU-13

Keadilan Negeri Sembilan dilihat mempergiatkan gerak kerja di Linggi sejak akhir 2011 lalu sebagai usaha memenangi Linggi dalam PRU-13 yang akan datang. 

Tumpuan khusus di Bandar Baru Sunggala dan lain-lain kawasan majoriti Melayu dipergiatkan. Kemenangan di peringkat Parlimen Telok Kemang telah banyak membantu gerakan menembusi kubu kuat Umno di seluruh Linggi. 

Keyakinan untuk menang di Linggi sangat tinggi dan kawasan ini menjadi dun tumpuan Keadilan Negeri Sembilan bagi menggandakan kemenangan di seluruh Telok Kemang. Pemansuhan Undi Pos dan digantikan dengan Undi Awal dijangka mampu menarik sokongan pemilih tentera sekurang-kurangnya 40 peratus dapat diraih oleh PR akan datang.

Andaian dengan kemenangan di beberapa daerah mengundi dikekalkan dan dipertahankan sambil menokok sokongan di Bandar Baru Sunggala dan Pasir Panjang, kemungkinan kemenangan mampu dijangkau oleh Keadilan. 

Calon

Ada perkhabaran menyebut bahawa wakil rakyat Linggi sekarang-Ismail Taib bakal ditukar dengan calon baru. Ada yang rambang menyebut Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang-Mohd Faizal Ramli dan Datuk Mansor Ibrahim diletakkan sebagai calon baru untuk Linggi. Ada juga calon Wanita, Puan Arah Hj Abu Bakar turut dikatakan berhasrat untuk bertanding sebagai calon. Beliau diceritakan telah menanti sejak sekian lama untuk menjadi calon Linggi yang juga merupakan Ketua Wanita Umno Cawangan Bandar Baru Sunggala dan AJK Umno Bahagian Telok Kemang.

Keadilan pula dikatakan bakal meletakkan seorang profesional yang merupakan anak jati Linggi sebagai calon. Malah menurut sumber, sayap Keadilan-AMK turut menamakan beberapa nama untuk diletakkan sebagai calon di Linggi. Senarai calon cadangan yang ditampilkan oleh Keadilan Negeri Sembilan di Linggi kali ini adalah terdiri daripada anak jati dalam Dun Linggi.

Situasi pertarungan akan menjadi lebih menarik dan sengit kerana Umno mempertaruhakn calon berpengaruh dan orang lama bahagian, manakala Keadilan mempertaruhkan profesional atau anak muda dalam menampilkan wajah baru, segar dan perubahan.

Kesimpulan

Dalam merealisasikan matlamat menang 24 dun dan menawan Negeri Sembilan PRU-13 ini, Linggi menjadi antara dun yang diletakkan dalam Misi 24 itu. Semoga gerak kerja dan kesepakatan politik PR di Telok Kemang mampu menzahirkan kemenangan tersebut. Jika tidak, Umno akan terus bertahkta di Linggi. Penegasan yang harus diketahui bahawa Linggi bukan lagi kubu kuat Umno!

Jangkaan BN

BN-60%
PR-40%

Andaian Penulis

PR-52%
BN-46%