Tuesday 15 July 2014

Pemilihan Keadilan di Negeri Sembilan: keputusan penggundian.

Suasana pemilihan sekitar Negeri Sembilan boleh ditakrifkan sebagai terkawal dan aman walaupun ada segelintir blogger melapor secara 'liar' dan 'nakal' yang seolah-olah menggambarkan situasi negatif telah berlaku.

Proses pengundian berlangsung pada 10 Mei 2014 lalu telah berlangsung dengan lancar di semua cabang terlibat.

Pertembungan antara pasukan pro-MPN dengan pasukan Demi Rakyat Jom Ubah begitu sengit di beberapa cabang seperti di Telok Kemang, Rasah, Rembau, Tampin, Seremban dan Kuala Pilah. Hanya Jempol sahaja yang tidak berlaku pertandingan jawatan peringkat cabang.

Tang Jay Soon
Pasukan pro-MPN mencatat kemenangan mudah di Jelebu yang melibatkan pertandingan jawatan Ketua dan Timbalan Ketua. Shahril Zakaria (gambar kiri) memperolehi 18 undi dengan membenam calon Demi Rakyat, Dr Alinoor Abd Kadir yang hanya mendapat dua undi sahaja! 
Manakala jawatan Timbalan Ketua, penyandangnya Tang Jay Soon turut membenam pencabarnya, Norhasfiza Rahmat dengan perolehan undi 18-2. 

Ura-ura yang disebut sebelum pemilihan begitu kencang berbunyi bahawa pasukan Demi Rakyat akan menerajui Jelebu dengan mudah. Namun khabar tersebut ternyata meleset apabila semua penyandang jawatan terlibat berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.

Kejutan di Telok Kemang
Chai Tong Chai
Penyandang jawatan Ketua Cabang Telok Kemang, YB Ravi Munusamy tewas kepada pencabarnya, YB Chai Tong Chai. Ravi memperolehi 147 undi manakala Chai mendapat 168 undi. 

Kemenangan Chai turut melibatkan keseluruhan pasukannya dengan jawatan Timbalan Ketua dimenangi oleh Rosman Joned (gambar kanan) yang menewaskan penyandang, Rusli Abdullah dengan perolehan undi 173 berbalas 137.

Ahli politik veteran, Dato' Muthu Palaniappan melengkapkan kemenangan pasukan pro-MPN di sini dengan menewaskan Ng Yong Sam dalam pertembungan jawatan Naib Ketua dengan mendapat undi 170 berbalas 137.

Ia merupakan suatu kejutan kerana pasukan Ravi begitu yakin memenangi pertandingan bagi mempertahankan kemenangan dengan mudah. Hasrat pasukan Demi Rakyat untuk mengukuhkan kedudukan di Telok Kemang gagal yang sebelum ini menjadi 'tapak kukuh' mereka untuk menyerang kepimpinan MPN Negeri Sembilan yang diterajui oleh Dato Kamarul Baharin Abbas.

Muka Baru di Kuala Pilah
Penyandang Ketua Cabang sebelum ini, Nordin Ismail tidak mempertahankan jawatan dan kepimpinan cabang telah sepakat untuk memberi laluan kepada muka baru bagi menerajui Cabang Kuala Pilah bagi sesi 2014-2017.

Nazaruddin Sabtu
Rosli Omar
Pertembungan dua penjuru antara pasukan Pro-MPN yang diterajui oleh Haji Rosli Omar dengan kumpulan Demi Rakyat yang dikepalai oleh Kamarul Allaymmy Abdul Kadir. Pasukan Pro-MPN telah memenangi pertandingan dengan Haji Rosli mendapat 115 undi manakala Kamarul mendapat 76 undi.

Turut mengikuti kemenangan tersebut calon Timbalan Ketua telah dimenangi oleh Mohamad Nazaruddin Sabtu yang juga memperolehi 115 undi menewaskan Mohamad Bin Shahman@ Pak Mat yang mendapat 76 undi. Manakala jawatan Naib Ketua telah dimenangi tanpa bertanding oleh Md Aripin Filus setelah pencalonan Asmaon Basir dibatalkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Pertandingan peringkat Wanita Cabang juga sengit yang juga membabitkan dua penjuru. Pasukan yang dikepalai oleh Rabiah Md Yusof telah berjaya menewaskan pasukan yang diketuai oleh Hasnah Mohamad. Rabiah mendapat 33 undi manakala pencabarnya Hasnah memperolehi 24 undi.

AMK Kuala Pilah tidak berlaku pertandingan dan semua calon menang tanpa bertanding. Helmi Maarof (gambar kiri) kekal sebagai Ketua AMK Cabang Kuala Pilah.


Demi Rakyat Menang di Seremban, Rasah & Rembau

Pasukan Demi Rakyat dilihat begitu cemerlang dengan perolehan undi yang besar menewaskan lawan masing-masing khususnya di Seremban dan Rasah. Manakala di Rembau cabaran sengit telah dihadapi oleh calon-calon Demi Rakyat.

Cabang Seremban melibatkan pertandingan dua penjuru iaitu pasukan pro-MPN yang diketuai oleh Nazree Yunus berhadapan dengan pasukan yang dipimpin oleh penyandang jawatan Ketua Cabang, Dr Ahmad Azam Hamzah.

Sebagaimana yang dijangka, pasukan Dr Azam telah memenangi dengan jumlah undi yang besar menewaskan Nazree. Dr Azam telah mendapat 224 undi manakala Nazree memperolehi 80 undi. Penggerak dan ketua kepada pasukan Demi Rakyat, Dr Rafie Malek turut mendapat undi yang besar menewaskan pencabar beliau, Yuz Mazmi Yusof dengan memperolehi 219 undi berbalas 85 undi oleh Yuz Mazmi.

Begitu juga dengan situasi di Rasah apabila Tangam Raju memenangi pertandingan jawatan Ketua Cabang menewaskan calon muda, Mohd Naquib Carmeil. Tangam memperolehi 166 undi manakala Naquib mendapat 61 undi.

Suasana pertandingan di Rembau sengit dengan Yusof Tapa yang memangku jawatan Ketua Cabang Rembau sejak 2012 lalu telah menewaskan pencabarnya iaitu Rosidan Mohamed. Yusof mendapat 62 undi manakala Rosidan memperolehi 46 undi.

Pertarungan Tiga Penjuru di Tampin
Zolkapli Kassim
Sesuatu yang menarik di Tampin dengan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Cabang. Pertembungan ini melibatkan mantan Ketua Cabang Tampin (2007-2010), Kapten Zolkapli Kassim, mantan Setiausaha Agung Parti KITA, Latif Thambi dan aktivis lama tempatan, Rahmat Hashim.
Jeffery Young Ahmad

Pertarungan telah dimenangi oleh Kapten Zolkapli Kassim yang memperolehi 111 undi menewaskan Latif Thamby yang mendapat 64 undi. Manakala Rahmat Hashim gagal memperolehi sebarang undi.

Jawatan Timbalan Ketua pula telah dimenangi oleh Jeffery Young Ahmad yang mendapat 109 undi mengalahkan pencabarnya Sha'arni Abdul Rashid yang memperolehi 65 undi. Naib Ketua pula tiada pertandingan dan dimenangi tanpabertanding oleh Suresh Krishna Pillai.