Wednesday 6 April 2016

Krisis Politik Terengganu: Mungkinkah DUN Terengganu dibubarkan?

Maklumat Ringkas DUN Terengganu
Speaker: Dato' Mohd Zubir Embong
Jumlah Ahli DUN: 32 orang.
Menteri Besar: Ahmad Razif Abdul Rahman (BN)
Ketua Pembangkang: Satiful Bahari Mamat (Pas)
Pecahan ADUN:
BN-17 (Umno)

Pas-14
Keadilan-1

Sidang DUN Terengganu pada 8 Mac 2016 lalu 'gempar' setelah mantan Menteri Besar, Ahmad Said (Adun Kijal) telah membentang usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Ahmad membentangkan usul itu mengikut Perkara 14(6) perlembagaan negeri yang membolehkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar. Beliau juga memetik Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

Namun begitu, Speaker DUN Mohd Zubir Embong telah menolak usul tersebut atas sebab usul undi tidak termasuk dalam ruang linkup fasal 33. Malah beliau turut menegaskan kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari itu dikecualikan.

Tindakan itu telah menghangatkan suasana politik Terengganu. Selepas pertukaran MB Terengganu pada 12 Mei 2014 lalu, Ahmad Said dilihat sebagai 'musuh' kepada pasukan Ahmad Razif kerana beliau dilabelkan sebagai 'orang Mahathir'. Pertukaran MB Terengganu juga sebelum itu dihiasi dengan kontroversi Ahmad Said membuat pengumuman 'keluar Umno' bersama Adun Bukit Besi, Ghazali Taib tetapi beberapa hari kemudiannya menarik balik tindakan tersebut.

Kedudukan DUN Tergantung

Secara logik, Ahmad Said telah menyebabkan kedudukan DUN Terengganu menjadi tergantung. Beliau 'telah ditolak' daripada pasukan Ahmad Razif dan kedudukan BN menjadi 16 Adun, manakala blok pembangkang kekal dengan Pas-14 Adun dan Keadilan-1 Adun.

Ahmad Razif (gambar) dalam kenyataan pada 29 Mac 2016 lalu menyebut; 

"Kita tak ada isu di Terengganu, ia hanya viral dan kita tak ada masalah. Terengganu masih lagi 
17 BN, 14 PAS dan satu PKR.

Kalau berlaku apa-apa keadaan di DUN Kijal, kita masih lagi 16 BN, 14 PAS, satu PKR, satu Bebas dan kita masih lagi kerajaan," katanya.

Akan tetapi perkhabaran bertiup telah menyebut bahawa akan ada sekurang-kurangnya tiga Adun Umno berpihak kepada Ahmad Said dan sedia untuk menyeberang bersama beliau. Jika itu berlaku, maka kedudukan BN akan menjadi 13 Adun. Keadaan itu akan 'membolehkan' Pas yang mempunyai 14 Adun menjadi parti pemerintah negeri!

Kerajaan Campuran atau Bubar DUN?
Situasi politik negara yang memperlihatkan 'gerakan Mahathir' untuk menumbangkan Najib Razak, Ahmad Said merupakan 'proksi politik' Mahathir di Terengganu. Usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif itu boleh diklasifikasikan sebagai idea & strategi yang dibuat oleh Mahathir melalui Ahmad Said.

Jika krisis itu berlarutan, BN tidak mustahil untuk 'mengikat tali & bertaut kasih' dengan Pas bagi menyelamatkan kerajaan negeri bagi mewujudkan sebuah kerajaan campuran. Mungkin jawatan MB masih dipegang oleh BN melalui Ahmad Razif dan jawatan exco-exco kanan diberi kepada Pas. 

Khabar lain yang bertiup menyatakan telah ada pimpinan utama Pas Terengganu telah bertemu dengan Ahmad Razif bagi 'membincangkan' idea penubuhan kerajaan campuran di Terengganu. Sejak kebelakangan ini, beberapa pimpinan pusat Pas agak 'mesra' mengeluarkan kenyataan mempertahankan kerajaan pusat! Tidak mustahil khabar angin itu adalah sebuah kenyataan yang bakal berlaku!

Akan tetapi di pihak Pas Terengganu, bukan semua 14 Adun mereka bersetuju jika 'gabungan' itu terjadi. Khabar angin juga membisikkan bahawa sekurang-kurangnya empat Adun Pas akan 'berhijrah' jika idea kerajaan campuran itu menjadi realiti.

Sesuatu yang turut difikirkan oleh strategis Umno-BN berdasarkan pengalaman politik Terengganu yang berlaku pada tahun 1961 dahulu, gabungan sebagai kerajaan campuran bersama Pas akan memberi kelebihan politik kepada Keadilan dan Amanah. Dalam tempoh setahun setengah sebelum PRU-14, situasi itu akan memburukkan potensi Umno Terengganu. Besar kemungkinan PRU-14 mampu menamatkan pemerintahan Umno sekali lagi di negeri ini.

Apakah langkah membubarkan DUN Terengganu menjadi jalan akhir bagi menyelamatkan Umno-BN?