Sunday 29 May 2016

PRK P093 Sungai Besar: Penentu Haluan Pakatan Harapan


Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 selesai berlangsung, landskap politik negara sekali lagi akan berhadapan dengan dua lagi pesta demokrasi yang bakal berlaku pada 18 Jun 2016 iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar setelah kematian dua wakil rakyatnya dalam satu tragedi kemalangan helikopter di Sarawak.

Istimewanya PRK kali ini ia akan menguji sejauhmana 'kebijaksanaan' pimpinan politik Pakatan Harapan dan Pas dalam menghadapi situasi ini. Ia umpama 'ujian khas' yang diturunkan oleh tuhan sebagai pentas menduga gerak laku siasah para ahli politik pembangkang sebelum berhadapan PRU-14.

Kebetulan kedua-dua parlimen ini dahulu semasa PRU-13 ditandingi oleh Pas mewakili Pakatan Rakyat ketika itu.

Situasi Unik?
Sebagaimana diketahui umum bahawa Pakatan Rakyat masih kekal berfungsi menjadi kerajaan negeri di Selangor dengan Pas menjadi sebahagian komponen PR yang turut dianggotai oleh Keadilan dan Dap.

Peringkat awal selepas SPR memaklumkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK P067 & P093, telah ada perbincangan antara pimpinan atasan Keadilan Selangor dengan Timbalan Presiden & Pengarah Pilihanraya Pas. Secara langsung, kedua-dua pihak telah diberitakan bersetuju dengan cadangan Keadilan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditandingi oleh Pas bagi pertandingan satu lawan satu. Malah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad juga memberi isyarat jelas untuk menyokong cadangan tersebut. Akan tetapi cadangan itu 'hangus' apabila Presiden Pas membuat kenyataan bahawa Pas tetap bertanding di kedua-dua kerusi tersebut tanpa menghiraukan situasi politik di Selangor.

Kesan daripada kenyataan 'check-mate' Hadi itu, PJ Pas Selangor telah membuat 'U-turn' dan menyokong kenyataan Presiden Pas. Maka keadaan menjadi lebih menarik yang secara jelas pertembungan BN-Pas sudah mutlak terjadi. Kerajaan negeri Selangor telah mengadakan beberapa program negeri di Sungai Besar seperti program Skim HIJRAH, pelancaran 'food-stem' dan pelancaran khidmat bas percuma di Sungai Besar sebagai isyarat jelas bahawa Keadilan Selangor berhasrat untuk bertanding di P093. Tidak semena-mena Dap Selangor telah membuat kenyataan terbuka menyokong Amanah untuk bertanding di Sungai Besar sebagai wakil Pakatan Harapan.

Pertembungan tiga penjuru di P093 sehingga catatan ini dinukilkan, masih boleh dikira tetap berlaku. Pimpinan utama Keadilan masih berusaha membuat pertemuan dengan Murshidul Am Pas, Harun Din bagi membincang dan membuat pertimbangan cadangan bagi pertandingan satu lawan satu di Sungai Besar juga di Kuala Kangsar.

Pertembungan 'dendam'
Perselisihan politik umpama 'melibas rotan di keting' antara Pas dan Amanah sesuatu yang sangat hebat antara kedua-duanya. Ia sudah seperti pertembungan maruah dan dendam. Pas telah bertegas jika Amanah masuk bertanding, mereka akan tetap melawan sehabis mungkin parti serpihan Pas itu.

'Kedegilan' Amanah dengan sokongan Dap menyebabkan Keadilan tersepit di tengah-tengah situasi. Ketika Keadilan berusaha untuk memastikan cadangan satu lawan satu dilaksanakan di P067 dan P093, tindakan Amanah dan Dap menyukarkan kompromi antara Keadilan dan Pas. Waktu yang sama juga, gerakan 'nakal politik' telah menambahkan lagi kecelaruan khusus kepada para pengikut dan penyokong parti dalam PH.

Gerakan nakal politik itu sedang giat menggebang bahawa Keadilan dilihat tamak, imej MB Selangor yang juga Timbalan Presiden Keadilan juga cuba dicemar dengan isu-isu 'penentangan dalaman kartel' yang kononnya membelakangi Presiden sehingga wujud tindakan menghasut pimpinan-pimpinan cabang seluruh negara membuat pilihan samada bersama Presiden atau Timbalan Presiden.

Beberapa isu yang muncul ketika ini telah dikarang-rangka dengan suatu strategi jelas untuk 'membunuh' politik pihak tertentu. Ini keadaan yang tidak begitu positif buat Pakatan Harapan dan Keadilan.

Potensi PRK P093
Amanah selaku pendatang baru dalam scene politik Malaysia (walaupun dianggotai oleh mantan ahli-ahli politik Pas) masih dikira sukar menggugat BN secara total di Sungai Besar atas faktor ia adalah parti baru dan tidak lagi mempunyai cawangan rasmi di sini. Maka kekuatan Amanah masih belum boleh dijaja dan diangkat bagi menyaingi pertandingan.

Memang benar Amanah bakal menampilkan Presidennya, iaitu Saudara Mohamad Sabu a.k.a Mat Sabu yang cukup dikenali ramai, namun ada faktor-faktor lain yang wajar diambilkira. Jika mereka menyertai pilihan raya kecil ini dengan tujuan menguji tahap sokongan tanpa mengharap kemenangan, ia tidak menjadi suatu 'kesalahan' politik. Namun jika mereka masuk untuk mencari kemenangan pertama disamping menafikan Pas, itu akan menjadi suatu situasi berbeza. Sebagaimana yang disebut awal tadi, Pas akan berhempas pulas untuk membenam Amanah.

Andainya Amanah mampu memperolehi sekurang-kurangnya 20 peratus undi popular, maka ia berpotensi menandingi Pas seterusnya pada PRU-14 di Selangor. Namun jika mereka gagal meraih undi popular 20 peratus, maka Amanah harus berhadapan dengan impak politik selepas itu. Potensi undi Amanah dijangka akan disumbangkan oleh sebahagian daripada 13,332 undi pengundi Cina yang meliputi 31% pecahan pemilih keseluruhan.

Pas pula pada PRU-13 lalu dibantu oleh lonjakan lebih tujuh ribu undi pemilih Cina yang 68% memberi sokongan kepada calon Pas. Hasil lonjakan itu menyebabkan penyusutan undi popular BN daripada 51% pada PRU-12 (tahun 2008) kepada 49% ketika PRU-13 (tahun 2013). BN hanya menang dengan majoriti 399 undi. Situasi semasa politik Pas menyebabkan sokongan para pengundi Cina merundum. Memikirkan faktor tersebut, Pas telah menamakan Dr Abdul Rani Osman yang dilihat 'mesra' dan 'toleransi' di mata pengundi-pengundi Cina selain daripada beliau merupakan orang jawa.

Kemenangan Pas di 11 peti undi dengan tujuh (7) peti undi majoriti Cina, dua peti undi majoriti Melayu dan dua peti undi campuran semasa PRU-13 lalu. BN pula memenangi 18 peti undi iaitu lapan peti undi dimenangi dengan undi popular antara 65 hingga 90%. Manakala lima peti undi dimenangi dengan undi popular antara 53 hingga 59 %, selebihnya dimenangi dengan undi popular 60-64%.

Peringkat sokongan mengikut kaum, Pas masih mempunyai sokongan akar umbi antara 20 hingga 29 peratus di kalangan pengundi Melayu. BN masih boleh mengharap sokongan 30-35 peratus undi akar umbi pengundi Melayu. Jentera BN dilaporkan sudah giat mengepung kawasan-kawasan dan lokaliti-lokaliti pengundi mereka dan pengundi Cina. Sasaran yang dilaporkan untuk dicapai oleh BN adalah meraih 50% undi pengundi Cina.

BN telah menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bagi PRK P093 Sungai Besar.

Ramalan
Umno-BN: 49%
Pas-36%
Amanah-15%

Friday 6 May 2016

Selepas Terengganu, gelora politik melanda DUN Kelantan?

Husam Musa Dipecat dari PAS
Akhirnya Jawatankuasa Tertib PAS telah membuat keputusan memecat Husam Musa sebagai ahli Pas berkuatkuasa pada tarikh 24 April 2016. Makluman rasmi pemecatan itu telah dibuat oleh Pengerusi jawatankuasa tersebut, Dr Sanusi Daeng Mariok pada 6 Mei 2016. Ia suatu tindakan berani dan konkrit Pas bagi memudahkan gerakan politik dalaman parti ini untuk mematahkan serangan-serangan yang pernah dilakukan oleh Husam sebelum ini.

Sesuatu yang menarik akan pemecatan ini telah dihebohkan beberapa bulan sebelum ini sejak November 2015 lagi. Malah sebulan yang lalu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah pernah membuat kenyataan bahawa jika Husam dipecat, maka 10 Adun Pas akan menyertai Amanah!

Kenyataan Wan Rahim itu segera dinafikan oleh Timbalan MB Kelantan dan beberapa pimpinan utama Pas Kelantan. Mereka melabelkan kenyataan tersebut sebagai 'angan-angan Mat Jenin' dan menegaskan setiap Adun Pas Kelantan terikat dengan baiah kepada parti.

Gelora politik PAS-Amanah
Selepas pemilihan Pas yang lalu dan setelah kewujudan Amanah, pertembungan yang 'keras' antara Pas dan Amanah begitu ketara sekali. Ia seakan-akan pertarungan kalah mati yang menentukan hala tuju perjuangan bagi masyarakat Melayu-Islam di Semenanjung. Sudah pasti persaingan antara kedua pertubuhan siasah ini adalah cuba merebut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu-Islam. 

Ketegangan itu begitu terserlah di Terengganu dan Kelantan kerana kedua-dua negeri ini menjadi tapak kuat Pas sejak tahun 1959. Kedua-dua negeri ini juga Pas sedang berkerajaan dan pernah menjadi kerajaan. Maka 'perebutan' takhta kuasa akan berlaku secara hebat di sini.

Politik Terengganu semasa ini juga menguji kewibawaan Pas selaku parti pembangkang terbesar dalam DUN Terengganu yang ketika ini berlaku krisis politik dalaman Umno. Secara logika politik, sepatutnya sudah ada gerakan 'menawan' DUN Terengganu berikutan kerajaan minoriti BN Terengganu sudah 'hilang kepercayaan' istana secara tidak langsung. Namun kesempatan itu langsung tidak digunakan oleh Presiden Pas yang juga Adun Rhu Rendang bagi mengepalai gerakan. Tekanan itu datang dari pihak Amanah Terengganu oleh Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi agar kestabilan politik dan kepentingan rakyat Terengganu menjadi keutamaan bagi menamatkan krisis tersebut.

Pemecatan Husam Musa akan menjadi pelonjak krisis pertembungan politik Pas-Amanah di Kelantan. Telahan awal kebanyakan penganalisis politik menyebut bahawa Jawatankuasa Tatatertib Pas tidak berani untuk memecat Pas. Namun sebaliknya telah berlaku.

Jangkaan Situasi

Maklumat umum DUN Kelantan;
Jumlah DUN-45
Korum-15
Majoriti mudah-23
Majoriti Dua Pertiga-30

Kedudukan semasa DUN Kelantan setelah pemecatan Husam Musa adalah seperti berikut;

PAS-31  KEADILAN-1  BN-12  Bebas-1

Pas masih dikira mempunyai kelebihan dua pertiga dalam DUN walaupun Husam dipecat. Jika spekulasi tentang sepuluh Adun Pas akan melompat menyertai Pas itu tidak berlaku, maka kerajaan negeri Kelantan tetap berkerajaan sehingga PRU-14 nanti tanpa sebarang gugatan.

Jangkaan Jika 10 Adun Pas sertai Amanah
Akan tetapi seandainya spekulasi tersebut benar-benar terjadi, maka besar kemungkinan situasi akan berubah dan ia turut memberi kesan kepada kedudukan DUN Kelantan seperti berikut;

PAS-21 
KEADILAN-1
Amanah-11
BN-12
Logika politiknya Pas masih berkerajaan kerana mempunyai jumlah Adun teramai dalam DUN tetapi ia bertaraf kerajaan minoriti kerana DUN Kelantan memerlukan jumlah 23 dun untuk membentuk majoriti mudah. Itu pun jika Keadilan dan Amanah tidak bergabung dengan BN atau sebaliknya. 

Secara realitinya, Amanah & Keadilan tidak akan membuat sebarang kerjasama politik. Namun begitu, tidak mustahil berlaku persefahaman untuk membentuk kerajaan campuran yang jika ketiga-tiganya bergabung sudah membentuk jumlah yang cukup menjadi kerajaan dengan majoriti mudah.

Mungkin juga dalam satu lagi andaian situasi, Pas bergabung dengan Umno bagi mengukuhkan kedudukan dalam DUN untuk membentuk majoriti dua pertiga. Pas Kelantan pernah berhadapan situasi sebegini ketika era 70an dan era awal 90an. Mungkin mereka mempunyai formula dan kaedah-kaedah politik bagi menangani serta melalui situasi serupa.




Tuesday 3 May 2016

Ringkasan Awal PRN Sarawak Ke-11 Tahun 2016

Hari ini (3 Mei 2016) merupakan hari pengundian bagi Undi Awal yang melibatkan lebih daripada sembilan ribu pemilih di kalangan tentera, polis, polis hutan dan beberapa perkhidmatan uniform. Namun masih ada empat hari lagi berbaki untuk berkempen sebelum tiba hari mengundi pada 7 Mei 2016 nanti.

Adenan Satem melalui kuasa autonomi Sarawak dalam imigresen telah mula menghadkan keberadaan para pimpinan parti pembangkang khusus Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Sarawak sehingga 5 Mei 2016. Ia tidak terkecuali juga kepada para aktivis dan petugas jentera pilihanraya dari Semenanjung. Hendak tak nak mereka harus keluar dari Sarawak sebelum atau pada tarikh tersebut tanpa perlu berhadapan tindakan denda RM10 ribu atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali akibat kesalahan menetap lebih had!

Sekatan 'Politik'
Tindakan Adenan Satem ini selaku Ketua Menteri kerajaan sementara (setelah DUN Sarawak bubar) sepatutnya tidak 'melampau' dan 'melanggar' semangat Persekutuan. Ia dilihat sebagai tindakan lebih autokratik berbanding Taib Mahmud sebelum ini. Ketika Taib Mahmud menjadi KM Sarawak, hanya pemimpin tertentu yang dihalang masuk hatta Anwar Ibrahim masih dibenarkan datang berkempen sehingga hari mengundi PRN Sarawak ke-10 lalu.

Apakah ini suatu bentuk ketakutan benar oleh BN Sarawak dan BN keseluruhannya terhadap pembangkang khususnya KEADILAN yang dilihat lebih progresif dan aktif menjalankan gerakan pembelaan rakyat di seluruh Sarawak sejak tahun 2013 lalu.

Inisiatif  'Demi Sarawak'
KEADILAN Sarawak secara agresif telah memulakan gerak kerja meningkatkan kemudahan-kemudahan asas di kebanyakan kawasan pedalaman dan luar bandar seluruh Sarawak sejak tahun 2013 lagi iaitu selepas PRU-13. 

Selain daripada menumpu dalam isu pembelaan hak Bumiputera Dayak ke atas tanah adat, Keadilan telah mengorak langkah jauh melalui projek-projek pembinaan dan pembukaan jalan-jalan raya, projek mini hidro dan projek solar sebagai alternatif kepada penduduk-penduduk luar bandar dan pedalaman yang tidak mendapat sebarang kemudahan yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan BN Sarawak.

Jika di Saratok ada ahli parlimen BN yang datang merasmikan tandas dua pintu di rumah panjang, Keadilan lebih terkedepan dan bermaruah dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih menyeluruh seperti kemudahan tenaga solar bagi alternatif tenaga eletrik yang gagal disediakan oleh kerajaan negeri. Begitu juga dengan pembukaan beberapa laluan bagi pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan-kawasan rumah panjang dengan laluan utama. Usaha-usaha agresif Keadilan ini cukup ditakuti oleh BN Sarawak.

Potensi Pembangkang
Isu pertindihan kerusi antara Keadilan dan DAP semasa penamaan calon lalu tidak begitu terkesan sehingga menjejaskan kempen kedua-dua parti. Namun begitu, Keadilan dilihat lebih menonjol di dun-dun bertindih berbanding DAP. Kempen dan gerak kerja dilihat berterusan tanpa ada sebarang serangan sesama sendiri. DAP juga dilihat telah fokus di kawasan-kawasan sasaran untuk menang khususnya melibatkan 15 dun yang ditandingi sebelum ini.

Persaingan sengit boleh dilihat di dua dun bertindih iaitu Ngemah dan Batu Kitang kerana melibatkan pertandingan lima penjuru antara Keadilan, DAP, BN, Star dan beberapa calon bebas.
 
Potensi di Ngemah secara jujur memihak kepada BN namun potensi Keadilan yang sebelum ini pernah melalui pertandingan yang sama semasa PRN ke-10 lalu masih boleh diharapkan untuk mendapatkan undi kemenangan. DAP pula menampilkan calon tempatan dari kaum Iban. Batu Kitang pula memperlihatkan Keadilan memacu gerak kerja kempen secara agresif di kawasan-kawasan Melayu dan kawasan-kawasan Cina. Harus diakui bahawa pengaruh DAP di kawasan-kawasan Cina masih tebal namun persaingan gerakan kempen tidak menonjolkan calon Melayu DAP di Batu Kitang.

Pertembungan sengit juga berlaku di beberapa kerusi majoriti Melanau antara Parti Amanah Negara (Amanah), PAS, Keadilan dan BN. Pertembungan tiga atau empat penjuru telah berlaku di Dun Jamoreng, Jepak, Samalaju, Bekenu dan Lambir. 

Kedudukan kerusi BN berdasar keputusan PRN Sarawak ke-10 (Tahun 2011)
Ada beberapa kerusi dun BN yang dianggap sebagai dun kelabu dan berpotensi direbut oleh pembangkang. Kerusi-kerusi tersebut adalah;
DUN             Penyandang                    Parti     Undi Popular
NgemahAlexander VincentPRS44.3
Telang UsanDennis NgauPBB46.2
SenadinLee Kim SinSUPP49.5
KakusJohn Sikie TayaiPRS51.2
Beting MaroRazali GaporPBB52.8
KedupMaclaine Ben @ Martin BenPBB53.4
MachanGramong JunaPBB53.4
LambirRipin LamatPBB52.9
Bengoh*Jerip SusilSUPP54.6
Tasik BiruPeter Nansian NgusieSPDP55.2
TaratRoland Sagah Wee InnPBB55.2
 Kerusi BN dengan majoriti marginal.
Bengoh* kini dinamakan sebagai Dun Mambong

DUN             Penyandang                    Parti     Undi Popular
TaminJoseph Mauh IkehPRS56.2
OparRanum MinaSUPP56.5
Bawang AssanWong Soon KohSUPP56.6
MeluanWong JudatSPDP57.4
PakanWilliam Mawan IkomSPDP58.0
 Kerusi BN majoriti sederhana.


DUN             Penyandang                    Parti     Undi Popular
JepakTalib ZulpilipPBB60.8
KatibasAmbrose Blikau EnturanPBB61.6
LayarAlfred Jabu NumpangPBB62.0
Balai RinginSnowdan LawanPRS63.3
SaribasRicky@Mohamad Razi Bin SitamPBB63.3
KemenaStephen Rundi UtomPBB63.4
SimanggangFrancis Harden HollisSUPP66.4
Bukit BegunanMong DagangPRS67.1
TebeduMichael Manyin JawongPBB67.2
BelagaLiwan LagangPRS67.2
KalakaAbdul Wahab AzizPBB67.3
SebuyauJulaihi NarawiPBB67.7
Bukit SabanRobert Lawson ChuatPBB67.7
TupongDaud Abdul RahmanPBB68.1
BekenuRosey YunusSPDP69.3
LinggaSimoi PeriPBB69.7
SatokAbang Abdul Rahman Zohari Abang OpengPBB69.8
AsajayaAbdul Karim Rahman HamzahPBB69.8
Batu DanauPalu @ Paulus GumbangSPDP70.2
Batang AirMalcom Mussen LamohPRS71.0
MarudiSylvester Entri MuranSPDP71.1
EngkililiJohnical Rayong NgipaSUPP71.2
JemorengGani @ Abu Seman JahwiePBB71.6
Sadong JayaAidel LariwooPBB71.7
Bukit KotaAbdul Rahman IsmailPBB72.2
DaroMurni SuhailiPBB73.4
Pantai DamaiAbdul Rahman JunaidiPBB74.0
SimunjanNaroden MajaisPBB74.2
SamariangSharifah Hasidah Sayeed Aman GhazaliPBB74.4
Demak LautHazland Abang HipniPBB74.6
BalingianAbdul Taib MahmudPBB75.0
NangkaAnnuar Rapa'eePBB75.1
Muara TuangMohamad Ali MahmudPBB75.8
Tanjung DatuAdenan SatemPBB76.5
DalatFatimah Abdullah @ Ting Sai MingPBB77.9
SemopAbdullah SaidolPBB81.4
BalehJames Jemut MasingPRS81.6
Bukit SariAwang Tengah Ali HassanPBB85.2
BelawaiBanyi BeriakPBB85.4
Kerusi BN majoriti selesa (kubu kuat)
 
Ramalan Potensi Kemenangan
Jika dinilai peluang kemenangan, KEADILAN berpotensi untuk memenangiantara 12-18 dun, manakala DAP pula dijangka memenangi 12-15 dun. Jika kedua-dua parti ini berjaya memenangi 30 dun, ia bermakna majoriti dua pertiga BN Sarawak berjaya dinafikan buat kali kedua sejak tahun 1987. PRN Sarawak tahun 1987 lalu, BN Sarawak hampir sahaja ditumbangkan oleh gabungan pembangkang PBDS & Perkemas yang menafikan penguasaan dua pertiga BN dan hanya memenangi majoriti mudah DUN Sarawak ketika itu.