Friday 6 May 2016

Selepas Terengganu, gelora politik melanda DUN Kelantan?

Husam Musa Dipecat dari PAS
Akhirnya Jawatankuasa Tertib PAS telah membuat keputusan memecat Husam Musa sebagai ahli Pas berkuatkuasa pada tarikh 24 April 2016. Makluman rasmi pemecatan itu telah dibuat oleh Pengerusi jawatankuasa tersebut, Dr Sanusi Daeng Mariok pada 6 Mei 2016. Ia suatu tindakan berani dan konkrit Pas bagi memudahkan gerakan politik dalaman parti ini untuk mematahkan serangan-serangan yang pernah dilakukan oleh Husam sebelum ini.

Sesuatu yang menarik akan pemecatan ini telah dihebohkan beberapa bulan sebelum ini sejak November 2015 lagi. Malah sebulan yang lalu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah pernah membuat kenyataan bahawa jika Husam dipecat, maka 10 Adun Pas akan menyertai Amanah!

Kenyataan Wan Rahim itu segera dinafikan oleh Timbalan MB Kelantan dan beberapa pimpinan utama Pas Kelantan. Mereka melabelkan kenyataan tersebut sebagai 'angan-angan Mat Jenin' dan menegaskan setiap Adun Pas Kelantan terikat dengan baiah kepada parti.

Gelora politik PAS-Amanah
Selepas pemilihan Pas yang lalu dan setelah kewujudan Amanah, pertembungan yang 'keras' antara Pas dan Amanah begitu ketara sekali. Ia seakan-akan pertarungan kalah mati yang menentukan hala tuju perjuangan bagi masyarakat Melayu-Islam di Semenanjung. Sudah pasti persaingan antara kedua pertubuhan siasah ini adalah cuba merebut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu-Islam. 

Ketegangan itu begitu terserlah di Terengganu dan Kelantan kerana kedua-dua negeri ini menjadi tapak kuat Pas sejak tahun 1959. Kedua-dua negeri ini juga Pas sedang berkerajaan dan pernah menjadi kerajaan. Maka 'perebutan' takhta kuasa akan berlaku secara hebat di sini.

Politik Terengganu semasa ini juga menguji kewibawaan Pas selaku parti pembangkang terbesar dalam DUN Terengganu yang ketika ini berlaku krisis politik dalaman Umno. Secara logika politik, sepatutnya sudah ada gerakan 'menawan' DUN Terengganu berikutan kerajaan minoriti BN Terengganu sudah 'hilang kepercayaan' istana secara tidak langsung. Namun kesempatan itu langsung tidak digunakan oleh Presiden Pas yang juga Adun Rhu Rendang bagi mengepalai gerakan. Tekanan itu datang dari pihak Amanah Terengganu oleh Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi agar kestabilan politik dan kepentingan rakyat Terengganu menjadi keutamaan bagi menamatkan krisis tersebut.

Pemecatan Husam Musa akan menjadi pelonjak krisis pertembungan politik Pas-Amanah di Kelantan. Telahan awal kebanyakan penganalisis politik menyebut bahawa Jawatankuasa Tatatertib Pas tidak berani untuk memecat Pas. Namun sebaliknya telah berlaku.

Jangkaan Situasi

Maklumat umum DUN Kelantan;
Jumlah DUN-45
Korum-15
Majoriti mudah-23
Majoriti Dua Pertiga-30

Kedudukan semasa DUN Kelantan setelah pemecatan Husam Musa adalah seperti berikut;

PAS-31  KEADILAN-1  BN-12  Bebas-1

Pas masih dikira mempunyai kelebihan dua pertiga dalam DUN walaupun Husam dipecat. Jika spekulasi tentang sepuluh Adun Pas akan melompat menyertai Pas itu tidak berlaku, maka kerajaan negeri Kelantan tetap berkerajaan sehingga PRU-14 nanti tanpa sebarang gugatan.

Jangkaan Jika 10 Adun Pas sertai Amanah
Akan tetapi seandainya spekulasi tersebut benar-benar terjadi, maka besar kemungkinan situasi akan berubah dan ia turut memberi kesan kepada kedudukan DUN Kelantan seperti berikut;

PAS-21 
KEADILAN-1
Amanah-11
BN-12
Logika politiknya Pas masih berkerajaan kerana mempunyai jumlah Adun teramai dalam DUN tetapi ia bertaraf kerajaan minoriti kerana DUN Kelantan memerlukan jumlah 23 dun untuk membentuk majoriti mudah. Itu pun jika Keadilan dan Amanah tidak bergabung dengan BN atau sebaliknya. 

Secara realitinya, Amanah & Keadilan tidak akan membuat sebarang kerjasama politik. Namun begitu, tidak mustahil berlaku persefahaman untuk membentuk kerajaan campuran yang jika ketiga-tiganya bergabung sudah membentuk jumlah yang cukup menjadi kerajaan dengan majoriti mudah.

Mungkin juga dalam satu lagi andaian situasi, Pas bergabung dengan Umno bagi mengukuhkan kedudukan dalam DUN untuk membentuk majoriti dua pertiga. Pas Kelantan pernah berhadapan situasi sebegini ketika era 70an dan era awal 90an. Mungkin mereka mempunyai formula dan kaedah-kaedah politik bagi menangani serta melalui situasi serupa.




No comments:

Post a Comment