Wednesday 15 May 2013

PR NS mampu bangkit PRU-14

Jika melihat kekalahan semata-mata kekalahan, maka kutukan, kecaman dan pembantaian yang akan dihulurkan oleh akal-akal yang berfikiran sebegitu. Namun sekiranya kekalahan itu dilihat sebagai memperbaiki kelemahan, menilai kekurangan dan mengurangi kepincangan, ia adalah akal-akal yang memikirkan masih wujud semangat serta keupayaan untuk bangkit berjuang.

Secara hakikatnya, BN masih menguasai Negeri Sembilan walaupun beberapa kaji-selidik dan risikan badan-badan kerajaan menyebut negeri ini mampu dimenangi PR. Modal kemenangan BN (jika menolak faktor penipuan undi) disumbang secara besar oleh undi-undi dari kawasan Felda dan kampung-kampung luar bandar.

Namun secara faktanya, Umno khususnya masih gagal merebut undi Melayu Bandar secara mutlak sebagaimana era 1982-1995 seperti di Ampangan, Sikamat dan Paroi. Memang benar Umno berjaya merampas Ampangan dan Paroi namun dari segi kedudukan perolehan undi menyerlahkan bahawa kawasan-kawasan majoriti Melayu Bandar ini telah menjadi 'stronghold' PR. Kedudukan di Dun Pilah juga telah memberi gambaran bahawa kawasan Melayu sub-bandar dan kampung mampu diterjah dan direbut oleh PR. Terbukti calon Umno hanya memenangi majoriti kecil iaitu 113 undi di Pilah.

Kelemahan-kelemahan jentera PR khususnya Keadilan wajar diperbaiki dan diperkemaskan bermula sekarang dan tidak perlu menunggu saat-saat hampir PRU untuk membuat persediaan. Ia wajib bermula awal jika ingin menawan Negeri Sembilan dalam PRU-14. Bukan semua dun atau parlimen bersituasi sedemikian, malah ada telah membuat persiapan yang baik dalam mempertahankan kemenangan atau menghadapi pilihanraya. Jangan lagi memegang tanggapan bahawa bubar sahaja parlimen, akan berduyun-duyunlah datang sukarelawan. Itu fikiran mudah untuk menjalankan tanggungjawab kepada organisasi dalam memperkasakan jentera.

Dun Pilah dan Juasseh secara angkanya telah menampilkan prestasi yang baik dalam menyaingi Umno di Daerah Kuala Pilah. Ada yang menyebut bahawa kekalahan calon Keadilan di Pilah adalah silap memilih calon. Namun situasi itu memberi gambaran bahawa pemilihan calon itu adalah tepat kerana mampu menarik sokongan pemilih Melayu untuk mengundi Keadilan. Ia adalah penurunan majoriti kemenangan yang besar buat Umno-BN di Pilah. Faktor calon tersebut yang merupakan bekas Penghulu Kampung dikira mempunyai sentuhan yang baik kepada pemilih khususnya masyarakat Melayu kampung. Harus diingat tanpa sumbangan besar pengundi Melayu mengundi calon Keadilan, mana kan mungkin majoriti Umno menjunam sebegitu besar pada PRU-13 lalu!

Umno juga dicabar hebat di Dun Juasseh dengan penyusutan majoriti kemenangan. Kali ini Razi Kail memenangi Juasseh dengan majoriti 1688 undi. Manakala undi kepada calon Keadilan meningkat daripada 2101 undi pada PRU 2008 meningkat kepada 3101 undi pada PRU-13 lalu.

Walaupun tewas di Ampangan, undi kepada Keadilan tidak merosot namun ia mencetuskan satu perlawanan paling sengit antara Umno-Keadilan dalam merebut kemenangan. Umno menang dengan majoriti terkecil dalam keputusan seluruh DUN Negeri Sembilan iaitu sebanyak 89 undi. Ampangan mencatat sejarah kali kedua berturut-turut menjadi Dun yang dimenangi dengan majoriti terkecil yang sebelum itu dicatat pertama kali dalam PRU-12 dengan 165 undi.

Kebimbangan awal kebanyakan jentera PAS di Dun Paroi mengenai pertambahan mendadak senarai pemilih ada benarnya. Pertambahan itu disyaki dengan usaha-usaha parti pemerintah membuat penambahan pemilih bagi merampas kembali Paroi. Kali ini Paroi dimenangi Umno dengan undi popular sebanyak 52% manakala Pas dengan undi popular 48%.

Situasi di Klawang agak berbeza kerana pada permulaannya Pas mendahului namun disaat-saat akhir ia telah dicantas dengan kehadiran dua peti terakhir yang memberi kemenangan kepada BN dengan majoriti rendah iaitu 212 undi.

DAP memenangi 11 dun yang ditandingi dengan begitu cemerlang. Peningkatan undi dan majoriti mengambarkan sokongan pemilih-pemilih di kawasan-kawasan tersebut begitu jitu memenangkan calon PR. Situasi ini turut berlaku di Chuah dan Port Dickson.

Memang benar jangkaan awal penulis bahawa PR mampu memperolehi kemenangan di kebanyakan dun dalam Negeri Sembilan dan positif negeri ini bakal ditawan oleh PR. Namun begitu, jangkaan potensi kemenangan itu hanya berlaku di kawasan-kawasan majoriti Cina dan campuran. Ada juga kawasan campuran seperti Jeram Padang, Linggi dan Rantau gagal menepati jangkaan berikutan faktor pemilih Melayu luar bandar yang tidak menyebelahi kempen-kempen PR. Itu disebut secara jujur tanpa mengaitkan dengan gerakan penipuan undi yang sememangnya wujud oleh BN.

Tanpa gerakan sebegitu, adalah mustahil BN mampu memenangi undi kawasan-kawasan felda dan luar bandar secara luar biasa jumlah undinya.

Hakikatnya, keputusan PRU-13 telah membuka satu cabaran baru kepada PR untuk meneruskan perjuangan dengan semangat yang lebih jitu. Kemerosotan yang dialami oleh PKR dan Pas mampu diperbaiki dan diperkemaskan dengan mewujudkan lagi keakraban sesama komponen. Kaedah-kaedah kempen politik DAP wajar diteladani bagi menarik sokongan rakyat kepada PR.

Saturday 4 May 2013

Jangkaan potensi kemenangan PR di Negeri Sembilan

Tarikh 5 Mei 2013 (505) bakal menjadi ingatan dan sejarah terbaik buat Pakatan Rakyat dalam merealisasikan kemenangan di peringkat persekutuan dan negeri. Mengikut kajian-kajian yang dijalankan oleh beberapa badan penyelidik bahawa PR dijangka memenangi sekurang-kurangnya 120 kerusi parlimen sekaligus membentuk kerajaan baru.

Kemenangan peringkat persekutuan itu turut bakal diserikan dengan kemenangan PR di beberapa negeri selain mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Antara negeri-negeri yang bakal ditawan oleh PR adalah Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

Seawal pagi sebelum jam 8.00, kelihatan rakyat telah mula beratur panjang di kebanyakan tempat mengundi. Suasana ini amat luar biasa berbanding PRU 2008 lalu. Kali ini rakyat nampaknya telah bersedia untuk membuat keputusan pilihan mereka.

Jangkaan di Negeri Sembilan

Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim menyebut bahawa Negeri Sembilan menjadi negeri dalam senarai atas yang bakal ditawan oleh PR. 

Berikut adalah jangkaan potensi kemenangan mengikut Parlimen dan DUN di Negeri Sembilan;

Parlimen Jelebu: PR-51% BN-49%
Chennah: PR-58% BN-42%
Pertang: PR-51% BN-49%
Sungai Lui: PR-41% BN-59%
Klawang: PR-52% BN-48%

Parlimen Jempol: PR-45% BN-55%
Serting: PR-46% BN-54%
Palong: PR-51% BN-49%
Jeram Padang: PR-52% BN-45% Bebas1-1% Bebas2-2%
Bahau: PR-65% BN-35%

Parlimen Seremban: PR-60% BN-35% Berjasa-4% Bebas-1%
Nilai: PR-58% BN-42%
Lenggeng: PR-51% BN-20% Bebas-29%
Lobak: PR-75% BN-25%
Temiang: PR-59% BN-41%
Sikamat: PR-56% BN-44%
Ampangan: PR-61% BN-39%

Parlimen Kuala Pilah: PR-53% BN-47%
Juasseh: PR-51% BN-49%
Seri Menanti: PR-48% BN-52%
Pilah: PR-55% BN-45%
Senaling: PR-46% BN-54%
Johol: PR-53% BN-47%

Parlimen Rasah: PR-75% BN-25%
Labu: PR-45% BN-55%
Bukit Kepayang: PR-63% BN-36% Bebas-1%
Senawang: PR-61% BN-39%
Rahang: PR-58% BN-42%
Mambau: PR-65% BN-35%

Parlimen Rembau: PR-50% BN-49% Bebas-1%
Paroi: PR-56% BN-44%
Chembong: PR-45% BN-55%
Kota: PR-41% BN-59%
Rantau: PR-51% BN-49%

Parlimen Telok Kemang: PR-60% BN-39% Bebas-1%
Linggi: PR-56% BN-44%
Chuah: PR-61% BN-39%
Lukut: PR-66% BN-34%
PD Bandar: PR-51% BN-48% Bebas-1%
Bagan Pinang: PR-48% BN-52%

Parlimen Tampin: PR-41% BN-59%
Gemas: PR-49% BN-51%
Gemencheh: PR-46% BN-54%
Repah: PR-56% BN-44%

Jangkaan kedudukan di N.Sembilan mengikut parti;

Parlimen: PR-6 BN-2
DUN: PR-26 BN-10

Pecahan kedudukan DUN NS mengikut parti;

PR: PKR-11 DAP-11 PAS-4
BN: Umno-10 MCA-0 MIC-0 Gerakan-0

Analisa PRU-13: Umno sukar di kawasan Melayu bandar, Negeri Sembilan

Menjelang hari pengundian 5 Mei 2013 ini, kedudukan Umno untuk mempertahankan kemenangannya di beberapa Dun yang mempunyai majoriti Melayu bandar & sub-bandar khususnya dalam Seremban iaitu Sikamat, Ampangan, Paroi dan Lenggeng dilihat agak sukar.

Kali ini dalam PRU-13, Umno bakal disaingi oleh PKR dan Pas secara hebat di kawasan-kawasan Dun ini. Sebelum penamaan calon 20 April 2013 lalu, Umno dilihat mampu menjelmakan saingan dalam merampas kembali Ampangan, Sikamat dan Paroi sambil mempertahankan kemenangan di Lenggeng. Rakan komponen mereka, MCA dan Gerakan boleh dianggap hilang upaya untuk kembali menawan Lobak, Nilai, Temiang mahupun Parlimen Seremban.

Masyarakat Cina telah tekad menolak MCA dan Gerakan di Lobak, Nilai dan Temiang. Dalam PRU kali ini, kita masih melihat keinginan masyarakat Melayu untuk menolak secara total Umno di Seremban. Jika menilai kaji-selidik yang telah dijalankan oleh Merdeka Center tentang kecenderungan pemilih di Negeri Sembilan terkini menunjukkan sokongan pemilih Melayu kepada PR adalah sekitar 31-33 peratus. Itu adalah hasil kajian sebelum penamaan calon. Mungkin kedudukan peratusan itu telah berubah!

Namun begitu, jika sokongan keseluruhan Melayu itu kepada PR dibandingkan dengan sokongan PRU 2008 ia dianggap agak tinggi. PRU 2008 lalu peratusan sokongan pemilih Melayu keseluruhan Negeri Sembilan kepada PR adalah antara 28-30 peratus. Ini bermakna telah berlaku peningkatan dalam tempoh lima tahun ini.

Tumpuan khusus pada peratusan sokongan pemilih Melayu di kawasan-kawasan dun dalam bandar seperti Sikamat, Ampangan dan Paroi mampu melonjak antara 35-40 peratus menjelang hari penggundian. Ia dibantu dengan undi daripada golongan muda (21-40 tahun) yang dilihat cenderung kepada PR.

Sokongan kaum Cina dan India dijangka meningkat lebih tinggi berbanding PRU 2008. Ia bukan suatu andaian kosong atau penyedap semangat, tetapi ia berdasarkan gerak kerja dan tinjauan secara terus kepada pemilih. Kedua-dua kaum ini mengikuti arus perubahan sebagaimana rakan-rakan mereka di Temiang, Nilai dan Lobak. Agak melampau jika disebut bahawa sokongan kaum Cina kepada PR kini telah melepasi angka 85 peratus, manakala kaum India mencecah 70 peratus.

Ada andaian sebelum ini yang menyebut bahawa kaum India secara majoritinya telah kembali menyokong BN. Namun ia boleh dinafikan bahawa kaum India di Parlimen Seremban dan Rasah lebih melonjak menyokong PR. Sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari ini telah memperlihatkan setiap ceramah besar anjuran PR sekitar Seremban telah mendapat sokongan besar masyarakat dengan kehadiran melebihi lima ribu orang. Berbeza dengan ceramah-ceramah anjuran BN di kawasan sama yang agak suram dan hanya dihadiri oleh jentera-jentera parti sahaja.

Potensi
Protes, boikot dan tindakan sabotaj telah berlaku dikalangan jentera Umno-BN di Lenggeng, Sikamat, Ampangan dan Parlimen Seremban.

Pengerusi MCA NS, Dr Yeow yang menjadi calon untuk Parlimen Seremban telah dibantah oleh MCA Bahagian Seremban. Konflik ini sebenarnya telah berlaku sejak penghujung 2011 lagi setelah Dr yeow secara terbuka menyatakan ingin bertanding di Seremban. PRU 2008 lalu, beliau telah bertanding di Rasah dan kalah dengan majoriti besar kepada Pengerusi DAP NS, Loke Siew Fook. Kali ini beliau bakal bertembung sekali lagi pencabar yang sama di Parlimen Seremban.

Protes dan boikot jentera yang begitu ketara berlaku di Lenggeng dan Ampangan kerana faktor calon yang diletakkan oleh BN. Ishak Ismail kembali dicalonkan di Lenggeng yang sebenarnya 'laluan maut' bagi politik beliau di Seremban. Usaha tersembunyi dengan menjadi Ishak sebagai calon Lenggeng sememangnya untuk membunuh politik beliau yang jelas berseteru dengan Mohamad Hasan. Malah Ishak secara terbuka dalam ceramah-ceramahnya menyelar Mohamad Hasan kerana tidak menghalang tindakan sabotaj ke atas diri beliau.

Ishak juga menyedari beliau sebenarnya telah ditolak secara mutlak oleh orang-orang Lenggeng. Atas sebab itulah beliau bersungguh-sungguh untuk bertanding di Sikamat. Namun hasrat itu tidak kesampaian tetapi beliau dihantar ke lubuk maut!

Kali ini, peluang calon Pas Zulkefli Mohamad Omar dilihat lebih terbuka untuk memenangi Lenggeng setelah gagal dalam tiga percubaan sebelum ini iaitu PRU 1999, 2004 & 2008. Turut berpotensi meraih undi untuk menyaingi Ishak adalah calon bebas, Zulkefli Abdullah yang mampu memecah undi Umno di Lenggeng.

Kedudukan di Ampangan agak panas kerana ia melibatkan calon PKR yang juga Pengerusi PKR NS iaitu Dato Kamarul Baharin Abbas. Beliau akan berhadapan dengan seorang calon anak tempatan Ampangan, Haji Abu Ubaidah Redza. Pada peringkat awal selepas penamaan calon hingga hari kedua tempoh berkempen, kelihatan kedudukan PKR di Ampangan agak sukar kerana berlaku penutupan bilik-bilik gerakan PKR di seluruh Dun ini sehingga menjadi isu utama dalam akhbar utama. Namun masalah tersebut berjaya diatasi selepas hari kedua tempoh berkempen dengan bilik-bilik gerakan dibuka secara berperingkat-peringkat. Malah gerakan kempen PKR lebih agresif dan lancar berbanding BN.

Sambutan masyarakat tempatan terhadap Kamarul Baharin agak baik dan situasi itu telah berjaya menepis dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa beliau bakal tewas besar di Ampangan. Terbukti ceramah-ceramah kelompok dan program-program 'walkabout' yang dijalankan mendapat sambutan rakyat tempatan. PKR dijangka mampu mempertahankan kemenangan PRU 2008 dengan majoriti yang lebih besar!

Aminuddin Harun, mantan Adun Sikamat dijangka dapat mempertahankan kemenangan PKR di Sikamat. Walaupun bakal diberi tentangan sengit oleh calon BN-Wan Salwati Abdullah, PKR bakal memperolehi undi popular yang lebih baik daripada pencapaian PRU 2008.

Jangkaan Potensi

Parlimen Seremban: PR-58% BN-45% Berjasa-3%
Sikamat: PR-58% BN-42%
Ampangan: PR-59% BN-41%
Lenggeng: PR-50% BN-22% Bebas-28%