Wednesday 28 November 2012

Juasseh: Wajib dimenangi PR kali ini!

N15 Dun Juasseh
Menjelang PRU-13 yang mungkin berlaku samada Disember ini atau Mac 2013 akan datang, Dun Juasseh adalah antara kawasan yang wajib dimenangi oleh Pakatan Rakyat kali ini. Juasseh secara hakikatnya bukan lagi kubu kuat Umno-BN di Negeri Sembilan sebagaimana Sungai Lui atau Bagan Pinang atau Kota.

Sejak era Reformasi 99, pengaruh Umno sebenarnya telah merundum dan ditolak oleh majoriti pemilih Melayu di Juasseh. Cuma kelemahan gerakan politik Keadilan selepas tahun 2003 di seluruh Kuala Pilah menyebabkan Umno-BN kembali memperbaiki sokongan rakyat. Lebih 70 peratus pemilih Juasseh adalah kaum Melayu dan gelombang perubahan hasil ledakan Reformasi 99 hampir menjerumuskan Umno kepada kekalahan waktu itu!
Razi Kail
ADUN Juasseh

Sebagaimana yang disebut dalam analisa terdahulu, PRU 1999 memperlihatkan gelombang perubahan yang luarbiasa di seluruh Parlimen Kuala Pilah. Kawasan ini antara parlimen dalam Negeri Sembilan mencatat kemenangan Umno-BN di bawah majoriti tiga ribu undi selain daripada Rasah. Kuala Pilah juga mencatat sejarah pilihanraya Negeri Sembilan dengan semua calon Umno menang di peringkat dun dengan majoriti hanya bawah 1,100 undi!

Imbasan Sejarah

Dalam PRU 1999, Umno melalui calonnya Hasan Malek (Ahli Parlimen Kuala Pilah kini) memenangi Juasseh dengan kelebihan kemenangan 985 undi. Ia merupakan majoriti kemenangan terendah yang pernah dicatatkan oleh Umno sejak 1959 (dahulu Juasseh sebahagian daripada dun Ulu Muar dan Terentang). 

Juasseh ketika itu mempunyai 8,736 pemilih berdaftar dengan lebih 73 peratus adalah pemilih Melayu. Ombakan peralihan sokongan pemilih Melayu kepada Barisan Alternatif ketika itu melonjak sehingga 75 peratus. Hasan Malek mendapat undi popular 55.99% manakala calon Keadilan memperolehi 40.21%. Peratus keluar mengundi waktu adalah 71.46% atau 6,242 pemilih. Jika tidak kerana undi bukan yang 80 peratus memihak BN, ada kemungkinan besar Umno tewas di Juasseh. Keadilan diwakili oleh Shamsul Bahri Shamsudin.

Kemerosotan pengaruh Barisan Alternatif khusus Keadilan selepas tahun 2001-2004 memberi ruang terbaik buat Umno-BN memperbaiki sokongan. Jelas ketika itu, kehangatan Reformasi 99 merundum dan hampir sahaja memadam api perjuangan Keadilan.
Roslan Alias
Calon Keadilan PRU 2004

Kemerosotan pengaruh itu terbukti dalam PRU 2004 dengan Umno memenangi Juasseh melalui Razi Kail dengan majoriti 3,064 undi. Razi mendapat undi sebanyak 4,672 undi (72.58%) manakala calon Keadilan-Roslan Alias mendapat 1,608 undi sahaja atau 24.98%. Jumlah keluar undi adalah 6,437 orang (74.82%).

PRU 2004 benar-benar mengembalikan semula sokongan Melayu kepada Umno di seluruh Kuala Pilah dengan semua dua (kecuali Seri Menanti) mencatat majoriti kemenangan melebihi dua ribu undi.

Suasana kembali berubah pada PRU 2008 apabila perolehan undi Umno-BN sedikit merosot. Razi Kail dikekalkan sebagai calon Umno dan memperolehi 4,169 undi manakala calon Keadilan, Encik Ghazali Othman mendapat 2,101 undi. Kali ini Razi memenangi Juasseh dengan majoriti 2,068 undi. Jumlah keluar mengundi ketika itu adalah 6,430 orang (75.69%). Secara analisa data, berlaku peningkatan atau swing undi yang diterima oleh calon Keadilan sebanyak 31 peratus.

Situasi Semasa

Keributan dalam Umno Kuala Pilah bukan perkara sembunyi-sembunyi lagi. Bak 'tolo tombolang pocah busuk sekampung' inilah yang sedang dialami oleh Umno Kuala Pilah. Pertentangan hebat di antara Ketua Bahagiannya-Ismail Lasim juga Adun Senaling dengan Timbalannya-Hasan Malek yang bercita-cita untuk menjadi MB Negeri Sembilan. Bau 'tolo tombolang pocah' ini sudah menjangkiti dan merebak di pelusuk Kuala Pilah. Mereka bukan berbicara soal untuk menang pilihanraya tetapi berperang untuk mengangkat calon-calon dari pasukan masing-masing!

Hasrat Hasan Malek itu tidak lagi disimpan-simpan malah dengan sengaja digebang-hebah kepada sekalian alam di Kuala Pilah dan Negeri Sembilan. Mengikut perkhabaran yang disampaikan oleh beberapa individu dari Kuala Pilah, dikatakan Ismail Lasim akan bertanding di parlimen manakala Hasan Malek akan kembali ke Juasseh.

Jika benar itu berlaku, maka kedudukan Adun sedia ada kini iaitu Razi Kail bakal dicantas! Malahan Razi sendiri masih menyatakan minat untuk menjadi calon sekali lagi. Umno masih lagi belum menyelesaikan calonnya di Juasseh. Malah ada akar umbi Umno di Juasseh menyatakan jika Hasan Malek bertanding, mereka akan mengundi calon Keadilan!

Keadilan Kuala Pilah juga dikatakan telah menamakan beberapa nama yang berpotensi untuk diangkat sebagai calon di Juasseh. Antara yang disebut-sebut adalah Penyelaras PR Jemapoh, Haji Rosli Omar, Ketua AMK Kuala Pilah-Helmi Maarof dan mantan calon PRU 2004 yang juga Naib Ketua Keadilan Kuala Pilah-Haji Roslan Alias.

Dalam menilai kredibiliti dan keupayaan, Haji Rosli Omar dilihat lebih terkedepan. Malah beliau juga anak tempatan Juasseh dan menetap di situ. Beliau juga telah disebut-sebut sebagai sosok yang layak untuk mewakili Keadilan di Juasseh.

Potensi

Ruang untuk Pakatan Rakyat memenangi Juasseh kali ini nampaknya lebih terbuka berbanding PRU 2008. Selain daripada lambang parti menjadi pilihan pemilih untuk mengundi, faktor calon menjadi penentu kedua yang menarik perhatian pemilih.

Jika Keadilan meletakkan Haji Rosli Omar sebagai calonnya di Juasseh, beliau dilihat mampu untuk memberi saingan yang terbaik kepada Hasan Malek. Ini kerana Haji Rosli berada di sekitar 'telapak' berbanding dengan Hasan Malek. Faktor itu memberi kelebihan kepada beliau selain daripada dikenali masyarakat tempatan.

Andainya lain calon ditampilkan, peluang itu ada namun agak sukar. Ia bermaksud bakal calon itu harus bekerja kuat bagi menghadapi saingan Umno di Juasseh. Sentuhan kepada pengundi wajar dipergiatkan agar keyakinan pemilih itu dapat dijelmakan untuk memilih calon PR.

Pemilih

Berikut pecahan pemilih di Juasseh mengikut Suku Tahun Kedua Tahun 2012 mengikut kaum;

Jumlah Pemilih: 9,411
Melayu: 7,458 (79.25%)  Cina: 1,224 (13.01%)  India: 539 (5.73%)  Orang Asli: 161 (1.71%)

Adalah dijangka pada PRU 13 akan datang, peratus keluar mengundi bagi Juasseh adalah 76 peratus atau 7,153 orang pemilih. Mungkin peratusan sama boleh berlaku sebagaimana PRU 2008 iaitu sekitar 6,500 orang pemilih keluar mengundi.

Jangkaan Penulis:

PR: 51%
BN: 49%


Rujukan data keputusan pilihanraya:

1. http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=pilihanraya2008&pg=keputusan/NegeriSembilan_N15.htm
2. http://web7.bernama.com/events/elect2004/results/2004/negerisembilan.html
3. http://web7.bernama.com/events/elect2004/results/1999/negerisembilan.htm
4. Statistik Daftar Pemilih SPR SKT2 2012.





Wednesday 21 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 8)

Sempadan kawasan Parlimen Telok Kemang hari ini menyamai sempadan Daerah Port Dickson. Ia hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Sebelum itu, dun Chembong di Rembau menjadi sebahagian daripada Telok Kemang. Sebagaimana yang dinyatakan dalam analisa terdahulu, persempadanan semula di Telok Kemang juga adalah untuk memecah undi dan blok pengaruh pembangkang untuk menyelamatkan BN kesan ombakan Reformasi 1999.

Ramai yang tidak mengetahui secara jelas sejarah lampau PRU di Negeri Sembilan, kalau ada pun ianya bersifat umum dan lebih condong kepada prestasi parti-parti pemerintah. Kisah-kisah kemenangan parti-parti yang bukan pemerintah hanya disebut secara umum dan tidak terperinci.

Sejarah Awal

Ketahuilah kita semua bahawa kemenangan PR di Telok Kemang adalah mengulangi sejarah PRU 1969. Dalam pilihanraya tahun tersebut, DAP telah memenangi Parlimen Port Dickson, Seremban Timur dan Seremban Barat. Ketika itu Negeri Sembilan mempunyai enam kawasan parlimen dan 24 dun. 

Dalam buku-buku sejarah di sekolah fakta-fakta ini jarang ditimbulkan tetapi terus ditenggelamkan tanpa diketahui oleh generasi baru seolah-olah garisan masa politik negara ketika itu dimonopoli oleh parti pemerintah. PRU 1969 memperlihatkan sejarah ketewasan Perikatan kepada pembangkang!

Parlimen Port Dickson ketika itu meliputi dun Sirusa, Linggi, Pasir Panjang dan Lukut. Selain daripada memenangi parlimen, DAP turut menang di Lukut, Sirusa, Linggi dan Pasir Panjang. Ini menjadikan kawasan Port Dickson sebagai antara kubu kuat pembangkang sejak awal selain Seremban Timur dan Barat di Negeri Sembilan.

Dato Kamarul Baharin Abbas
MP Telok Kemang 
Kawasan majoriti Melayu seperti Linggi telah dimenangi oleh calon DAP bukan Melayu iaitu Dr A. Soorian yang mengalahkan calon Umno, Abdul Rashid Muhammad. Satu lagi dun majoriti Melayu, Sirusa turut dimenangi oleh DAP melalui calonnya, Haji Hassan Haji Ahmad** yang menewaskan Datuk Abdul Samad Said, bapa kepada bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad. Kisah ini tidak akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada persejarahan yang pernah berlaku di Telok Kemang.

PRU 2008 lalu mengulangi semula pencapaian PRU 1969, PR memenangi Telok Kemang dan tiga dun iaitu Chuah, Lukut dan PD Bandar. Manakala Bagan Pinang dan Linggi dimenangi oleh Umno-BN. Selepas Seremban dan Rasah, Telok Kemang merupakan kubu kuat pengaruh PR khususnya Keadilan dan DAP. PAS pula bertumpu di Bagan Pinang secara khususnya.

Calon Keadilan-PR, Dato Kamarul Baharin Abbas boleh dianggap sebagai 'giant-killer' kerana berjaya mengalahkan seorang calon BN yang bertaraf Menteri penuh dan pimpinan utama MIC, S. Soothinathan. MIC diperuntukkan oleh BN untuk bertanding di Telok Kemang selain dun PD Bandar. Kekalahan Soothinathan juga turut dialami oleh Pengerusi MIC Negeri Sembilan, T. Rajagopalu yang tewas kepada calon Keadilan, M. Ravi di PD Bandar. Kekalahan tersebut memutlakkan pengaruh MIC turut berkubur di Telok Kemang sebagaimana MCA dan Gerakan di Seremban dan Rasah.
G. Palanivel
Presiden MIC

Calon

BN dikatakan telah membuat cadangan pertukaran parlimen dengan meletakkan calon Umno bertanding di Telok Kemang manakala calon MIC bertanding di Jempol. Namun begitu, formula pertukaran ini tidak dipersetujui oleh Umno Jempol kerana ia suatu tindakan menafikan 'ketuanan' Umno di Jempol. Malah Umno Jempol bertegas kawasan tersebut tidak sesuai ditandingi oleh MIC berbanding Telok Kemang kerana pemilih Melayu di Jempol meliputi 62 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Jika formula itu berlaku, Umno Telok Kemang akan meletak Tan Sri Isa Samad sebagai calon untuk menentang Dato Kamarul Baharin.

Setakat ini, MIC kekal bertanding di Telok Kemang dan dun PD Bandar. Paling menarik, Presiden MIC sendiri akan diletakkan menjadi calon di sini! Apakah G. Palanivel mampu membangkitkan cabaran kepada PR kali ini? Nama-nama lain yang disebut-sebut dari MIC NS untuk calon parlimen adalah Ketua MIC Telok Kemang, Datuk Chuah Velu dan AJK MIC Rasah, Seran Nadarajah.

Keadilan sudah pastinya akan mengekalkan Dato Kamarul Baharin sebagai calon Telok Kemang. Kedudukan beliau selaku Pengerusi Keadilan NS memberi kelebihan merit untuk beliau sekali lagi dipilih sebagai calon. Namun begitu, masih wujud gerakan melobi secara tidak 'gentleman' yang dibuat oleh beberapa pimpinan dalaman cabang melalui tindakan memburukkan kredibiliti Dato Kamarul.

Potensi

Hakikat yang perlu diakui oleh BN adalah Telok Kemang kini bukan lagi kubu kuat mereka. Walaupun modus operandi pecah sokongan dan dalaman organisasi ke atas Keadilan di Telok Kemang dijalankan oleh pihak 'special-branch' bagi melemahkan kekuatan Keadilan Telok Kemang agak kental dan dilihat berjaya, namun ia tidak berjaya meruntuhkan organisasi parti tersebut untuk bersedia menghadapi PRU-13.

Perkara tersebut tidak boleh dinafikan kerana ada anggota-anggota dalam yang telah berjaya 'dipengaruhi' oleh gerakan sulit risikan yang menjadi duri dalam daging. Malah dipercayai wujud beberapa perisik yang menjadi anggota parti berperanan melakukan 'kerosakan' dan 'kemusnahan' dari dalam.

PR dilihat berupaya mengekalkan kemenangan di Chuah, Lukut dan PD Bandar selain menawan Linggi pada PRU-13 akan datang. Hanya strategi khusus diperlukan untuk menawan Bagan Pinang kerana pengaruh Isa Samad agak mencengkam di situ, tetapi tidak mustahil kerana bapa beliau pernah tewas di kawasan ini dahulu!

Telok Kemang secara logiknya telah diletakkan oleh BN sebagai kawasan sukar dan mereka menjangkakan perolehan undi popular BN pada PRU-13 sekitar 33 peratus sahaja. Apakah gelombang perubahan Telok Kemang mampu membadai sehingga ke pedalaman Negeri Sembilan?


Nota kaki:

**dipetik daripada;
jurnal 'Persepsi Politik Belia di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Mohd Fuad Mat Jali (UKM, 2011)


"Kemudian dalam pilihan raya umum 1969,kawasan ini berjaya dirampas oleh parti pembangkang iaitu DAP (Hj. Hassan Hj. Ahmad) yang menumpaskan calon Perikatan, PAS dan United Malaysian Chinese Organization (UMCO) dengan majoriti 230 undi."



Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 7)

Parlimen Rasah begitu sinonim dengan kekuatan pengaruh DAP di Negeri Sembilan selain daripada Parlimen Seremban. Kedua-dua institusi ini kebetulan berada dalam satu Daerah Seremban. Dahulu ketika era awal PRU 1959, Rasah dikenali sebagai Parlimen Seremban Barat yang terdiri daripada dun Rantau, Labu dan Rahang.

Rasah juga melalui keadaan yang sama dengan Seremban yang beberapa mengalami perubahan sempadan pilihanrayanya. Kini Rasah terdiri daripada dun Labu, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau dan Senawang.

PRU 2008 lalu menyaksikan PR melalui DAP menguasai kemenangan di Rasah dengan memenangi parlimen dan dun Mambau, Bukit Kepayang, Rahang serta Senawang. Manakala Labu dimenangi oleh Umno-BN. Sebagaimana Seremban, wakil BN iaitu MCA dan Gerakan tewas di semua tempat yang ditandingi dalam Rasah.
MCA tewas di Mambau dan Rahang manakala rakan mereka, Gerakan tewas di Bukit Kepayang dan Senawang.

Pengerusi DAP NS, Loke Siew Fook menang dengan majoriti besar iaitu 13,151 undi, peningkatan sebanyak 65.30 peratus daripada majoriti terdahulu yang dimenangi oleh calon MCA-BN, Goh Siow Huat pada PRU 2004. DAP memperolehi undi popular sebanyak 60.5 peratus. Rasah boleh dianggap sebagai manifestasi penolakan masyarakat Cina kepada pengaruh BN yang paling jelas di Negeri Sembilan. Ini kerana empat daripada lima dun dalam Rasah merupakan kawasan majoriti Cina.

Pertarungan di Rasah pada PRU 2008 merupakan pertandingan antara 'kepala' parti iaitu Pengerusi DAP NS melawan Ketua MCA Rasah-Dr Yeow Chai Thiam ( gambar kiri).

Sejarah awal pernah mencatatkan Rasah (Seremban Barat) pada PRU 1959 telah dimenangi oleh calon bebas-Quek Kai Dong yang mengalahkan calon MCA-Perikatan. Lebih manis, calon Front Sosialis menang di dun Labu, Rantau dan Rahang.

Bekas penyandang wakil rakyat Rasah dari MCA-Goh Giat Siow pada PRU 1999 dianggap sebagai 'giant-killer' kepada BN setelah menewaskan tokoh terkemuka DAP-Dr Chen Man Hin dengan majoriti 1,288 undi.

Calon

Loke Siew Fook (gambar kiri) dijangka akan dicalonkan semula sebagai calon DAP bagi Rasah. Walaupun beberapa bulan lalu, beliau pernah memaklumkan tidak akan bertanding di Lobak dan memilih untuk bertanding Chennah pada PRU-13. Atas kapisiti beliau sebagai Pengerusi DAP NS, kebarangkalian untuk menampilkan calon baru di Rasah amat rendah dan kedudukan beliau sebagai calon utama agak terjamin.

Malah Ketua MCA Rasah sendiri-Dr Yeow Chai Thiam ingin 'melarikan' diri dengan menyatakan hasrat untuk bertanding di Seremban. Sebagaimana Loke, beliau sebagai Pengerusi Perhubungan MCA NS mempunyai kapisiti untuk bertanding mana-mana parlimen dalam negeri ini. Namun begitu, hasrat Dr Yeow tidak dipersetujui oleh beberapa pemuka MCA Seremban. Hakikatnya pengaruh MCA dan Gerakan telah 'merundum' longlai di Rasah, Seremban dan Telok Kemang.

Dua nama yang telah disebut-sebut sebagai cadangan calon MCA melawan Loke adalah bekas senator, Lee Chee Keong dan Timbalan Ketua MCA Rasah, Yip Chee Kiong.

Potensi

Agak sukar buat BN samada melalui MCA atau Gerakan untuk membantu merampas kembali Rasah. Kemenangan DAP-PR di Mambau, Bukit Kepayang, Senawang dan Rahang memperlihatkan sokongan kuat lebih 70 peratus pemilih Cina dan kebetulan kempat-empat dun ini adalah kawasan majoriti Cina. Cuma Umno dilihat masih sedikit bernafas utk mempertahankan kemenangan di Labu. Andainya BN menang besar di Labu dan memanipulasi undi tentera di Rahang sekalipun, jika pemilih di Mambau, Bukit Kepayang dan Senawang memihak lebih 60 peratus kepada PR, harapan BN untuk merampas Rasah sangat tipis.

Kajian sokongan oleh BN mengklasifikasikan Rasah sebagai kubu kuat PR dan sukar untuk dimenangi. Namun sekali diingatkan kepada PR, usah terlalu selesa kerana mempertahankan kemenangan itu lebih sukar daripada bertanding untuk memenangi sesuatu kawasan.

Kepastiannya, BN bakal gagal lagi di Rasah kali ini untuk PRU-13.




Monday 19 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 6)

Seremban menjadi medan kepada pengaruh politik pembangkang sejak awal sejarah pilihanraya umum lagi. Kepelbagaian kaum yang mendiami Daerah Seremban menjadikan kawasan ini seringkali berlaku pertukaran kemenangan antara pembangkang dan Umno-BN.

Seawal tahun 1959 iaitu ketika PRU pertama negara berlangsung, Seremban terbahagi kepada dua kawasan parlimen iaitu Seremban Timur dan Seremban Barat. Parlimen Seremban Timur meliputi dun Sungai Ujong dan Bukit Nanas, manakala Parlimen Seremban Barat meliputi dun Labu, Rahang dan Rantau.

Front Sosialis menang semua dun di Seremban Barat, manakala MCA-Perikatan menang semua dun di Seremban Timur. Lebih menarik, kedua-dua parlimen ini dimenangi oleh calon bebas! Ini adalah fakta yang tidak tertulis dalam teks sejarah di sekolah-sekolah. Ini adalah persejarahan politik yang wajar diketahui oleh semua generasi bahawa pengaruh politik bukan Perikatan/BN telah lama wujud di Negeri Sembilan khususnya di Seremban dan Port Dickson.

Parlimen Seremban

Kawasan ini telah melalui beberapa perubahan sempadan hasil daripada persempadan semula kawasan pilihanraya. Sebagaimana yang dinyatakan dalam analisa terdahulu, persempadanan ini bertujuan untuk memecahkan blok sokongan dan pengaruh parti pembangkang. 

Parlimen Seremban kini (dahulu Seremban Timur) hakikatnya merupakan medan pertempuran sengit di Negeri Sembilan antara BN dan pembangkang. Kemenangan silih berganti samada BN atau pembangkang. Selepas era Front Sosialis (1959-1965), DAP menjadi pesaing terkuat BN di Seremban. Ketika era pilihanraya majlis bandaran tempatan dahulu, Seremban juga antara bandar yang dimenangi oleh calon Front Sosialis.

Samada sedar atau tidak, parlimen ini merupakan satu-satunya di Malaysia yang memiliki dun yang banyak iaitu enam dun-Nilai, Lenggeng, Temiang, Ampangan, Sikamat dan Lobak. Sesebuah kawasan parlimen secara biasanya terdiri daripada dua hingga lima dun. Logiknya mengikut syarat persempadanan, sudah boleh wujud tiga parlimen daripada kawasan ini. Jumlah pemilih di parlimen ini telah mencecah 100 ribu orang dan sewajarnya sudah wujud beberapa kawasan parlimen baru.

John Fernandez
MP Seremban (DAP-PR)
Dr Chen Man Hin (gambar kiri) merupakan antara tokoh politik yang sinonim dengan Parlimen Seremban. Beliau merupakan ahli parlimen kawasan ini beberapa penggal dari tahun 1978 hingga 1999. Namun pada PRU 1999, beliau kalah di Rasah. Ketika era Reformasi 99, pengaruh DAP merundum di kebanyakan tempat dan ramai pimpinan utamanya seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas.

Dua penggal BN menguasai Seremban melalui MCA iaitu 1999-2004 dan 2004-2008. Namun pada PRU 2008, Seremban kembali dirampas dan dimenangi semula DAP melalui calonnya, John Fernandez. Pertarungan di Seremban sengit berbanding Rasah yang memperlihat kemenangan majoriti besar oleh Pengerusi DAP NS-Loke Siew Fook. Undi dari dun Lobak, Nilai dan Temiang menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan undi calon DAP kerana kedua-dua dun ini merupakan kawasan majoriti pemilih Cina berbanding Ampangan, Sikamat, Lenggeng yang di kebanyakan kawasan majoriti pemilih Melayu 68 peratus memilih calon MCA-BN.

Perubahan dan peralihan undi kebanyakan pemilih di Seremban adalah kebangkitan luar biasa yang memperlihatkan semua calon MCA-BN tewas di semua dun ditandingi dalam Seremban, manakala calon Umno-BN buat pertama kalinya dalam sejarah PRU di Seremban sejak 1969 tewas di Ampangan dan Sikamat!

Calon Umno hanya menang di dun Lenggeng dengan majoriti 1,285 undi, namun tewas di peringkat daerah mengundi di Pantai, Panchor dan Paroi Jaya. Daerah mengundi di Broga, Ulu Beranang dan Lenggeng memberi kemenangan besar kepada Umno.

Calon

Kekalahan MCA di Seremban pada PRU 2008 benar-benar mencalar rekod pencapaian mereka pada PRU 1999 dan 2004 lalu. Malah mencetuskan pertentangan lebih ketara antara pemuka-pemuka MCA Negeri Sembilan.

Pengerusi MCA NS, Dr Yeow Chai Tiam yang 'bertelapak' di Rasah dikatakan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Seremban pada PRU-13 akan datang. Mungkin beliau merasakan peluang memenangi Seremban lebih terbuka berbanding Rasah yang memperlihatkan kemenangan besar DAP melalui Loke Siew Fook. Situasi itu memberi jawapan jelas bahawa MCA NS sendiri tidak punya keyakinan untuk memenangi semula Rasah.

Peter Lai Yit Fee
Ketua MCA Seremban
Hasrat beliau itu mendapat tentangan beberapa pemuka utama MCA NS seperti Timbalan Ketua MCA Bahagian Seremban, Datuk Ho Yok Kee yang pernah mengeluarkan pandangan bahawa tidak mahu 'calon luar' bertanding di Seremban. Ada kemungkinan juga beliau atau Ketua Bahagian MCA Seremban-Peter Lai juga berhasrat bertanding di parlimen.

Beberapa gerakan sulit 'menambah' pemilih-pemilih 'import' telah dijalankan oleh MCA Seremban sejak penghujung 2008 lagi. Mereka menyakini untuk 'menawan' kembali dun Temiang dan Nilai disamping berharap gerakan yang sama daripada Umno di Sikamat, Ampangan dan Lenggeng. Jika usaha ini berhasil, ada kemungkinan besar MCA boleh memenangi semula Seremban tetapi dalam majoriti yang sederhana tidak seperti era 90an. DAP memenangi Seremban dengan majoriti 3,948 undi. MCA benar-benar mengharapkan bantuan undi 'Melayu Umno' dari dun Lenggeng , Sikamat dan Ampangan. Manakala di Temiang, MCA menang di daerah mengundi majoriti Melayu iaitu di Taman Temiang Jaya dan Jalan Yazid Ahmad.

Namun, ia agak berbeza dengan satu kajian sokongan yang dijalankan sendiri oleh BN melalui badan-badan penyelidik kerajaan seperti Kemas dan Jasa. Parlimen Seremban dan Rasah termasuk Telok Kemang adalah kawasan yang dikira sebagai 'tiada harapan' untuk dimenangi semula. Malah ketiga-tiga kawasan ini ditandakan dengan warna merah! Kajian itu juga menyatakan undi popular yang bakal diterima pada PRU-13 di Seremban oleh BN adalah sekitar 31-36 peratus sahaja!

Akan tetapi PR NS khususnya tidak boleh berasa selesa kerana gerakan sulit menambah pengundi-pengundi 'import' seperti Bangladesh, Indonesia, Burma dan Nepal bakal mengagalkan usaha mempertahankan kemenangan PR di Seremban. Kaedah penipuan sebegini bakal meranapkan demokrasi dan menumpulkan ketelusan SPR.

Aspan Alias
DAP NS sebelum ini dikatakan akan menampilkan calon baru untuk Seremban. Ada perkhabaran yang menyebut bahawa Aspan Alias bakal diletakkan sebagai calon. Jika itu benar, tidak salah kerana berdasarkan pecahan pemilih mengikut kaum di parlimen Seremban kini menunjukkan pemilih Melayu merupakan majoriti (42.79%), cuma beza 1-3 peratus dengan pemilih Cina (41.95%). Ada kebarangkalian langkah itu akan berlaku peralihan besar undi Melayu kepada PR khususnya di dun Lenggeng, Ampangan dan Sikamat.

Malah ini bukan kali pertama DAP NS menampilkan calon Melayu. PRU 1986 dulu, DAP pernah meletak seorang calon Melayu di Ampangan. Jangan dilupa bahawa pada PRU 1969, kebanyakan bekas-bekas pimpinan Melayu Front Sosialis dari Parti Buruh dan Parti Rakyat menyertai DAP dan menjadi calon di Negeri Sembilan. Salah seorang antaranya bekas wakil rakyat Sirusa, Haji Hasan Ahmad yang merupakan calon Melayu DAP! Beliau menang di Sirusa mengalahkan calon Umno, Dato' Abdul Samad Said iaitu bapa kepada bekas MB NS iaitu Tan Sri Isa Samad!

Potensi

PR dijangka mampu mempertahankan kemenangan di Seremban dan sudah pastinya tentangan sengit bakal diberikan oleh BN. Penilaian atas kertas, DAP tidak mengalami kesukaran bagi mempertahankan kemenangan di Lobak, Nilai dan Temiang termasuk Keadilan di Sikamat dan Ampangan kerana kerusi-kerusi ini merupakan kawasan bandar yang memperlihatkan kecenderungan tinggi para pemilih daripada pelbagai kaum menyokong PR.

Ada maklumat lisan daripada sumber dalaman Umno Seremban menyatakan keyakinan bahawa pemilih Melayu di Ampangan dan Sikamat khususnya bakal 'swing' 55 peratus menyokong PR. Ini satu maklumat yang baik buat PR menggandakan gerak kerja di seluruh Seremban. Adalah tidak mustahil juga Lenggeng bakal dimenangi dengan majoriti tipis oleh Pas. Sekiranya situasi ini berlaku, harapan MCA merampas Seremban akan gagal walaupun dibantu oleh 'pemilih-pemilih import' yang diwarganegara-segerakan oleh mereka!








Thursday 15 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 5)

Keunikan Tampin adalah mempunyai dua institusi pemerintahan adat yang berlainan dalam satu kawasan parlimen dan daerah. Ramai yang kurang mengetahuinya kecuali warga tempatan. Tampin terbahagi kepada dua pengaruh pemerintahan adat iaitu di bawah ketuanan Tunku Besar Tampin dan Datuk Undang Johol.

Kawasan pengaruh pemerintahan Tunku Besar Tampin meliputi kawasan Tampin Tengah, Repah, Keru dan Tebong. Manakala seluruh Gemencheh dan Gemas adalah di bawah pemerintahan Datuk Undang Johol. Namun dalam pentadbiran negeri, kesemua kawasan ini bergabung dalam satu daerah yang dinamakan Daerah Tampin.
Shaziman Abu Mansor
Shaziman Mansor
MP Tampin

Sebelum tahun 2003, Parlimen Tampin terdiri daripada dun Kota (yang berada dalam Daerah Rembau), Repah, Gemencheh dan Gemas. Selepas tahun tersebut hasil persempadanan semula, Kota menjadi sebahagian daripada Parlimen Rembau manakala Repah, Gemencheh dan Gemas kekal sebahagian daripada Tampin.

Persempadanan semula 2003 itu juga bertujuan untuk mengimbangi pengaruh Barisan Alternatif khususnya majoriti pemilih Melayu untuk dipecah-pecahkan bagi mengukuhkan kekuatan Umno-BN. Kemasukan dun Kota menjadi sebahagian Parlimen Rembau adalah untuk mengimbangi pengaruh BA di Tampin. Ia cukup berhasil kerana pada PRU 2004, berlaku lonjakan besar majoriti kemenangan Umno di parlimen tersebut.

Majoriti kemenangan pada PRU 1999, Umno memperolehi 9,979 undi dan pada PRU 2004 majoriti kemenangan Umno perolehi adalah 18,084 undi. Ia merupakan pertambahan sebanyak 8,105 undi atau swing sebanyak (44.82%). 

Sebagaimana yang disebut dalam analisa sebelum ini, Shaziman Mansor dan Rais Yatim merupakan antara dua 'orang lama' yang masih berada dalam Umno Negeri Sembilan sebelum 'kenaikan' Mohamad Hasan sebagai MB Negeri Sembilan pada tahun 2004. Shaziman juga merupakan 'lone ranger' di negeri ini tetapi dilihat bergerak mempertahankan blok pengaruhnya. Walaupun agak 'senyap' dan tidak memperlihatkan 'agresif', beliau begitu kuat mengasak gerakan-gerakan politik PR di Tampin.

PR Tembusi Tampin

Sejak tahun 1964, Tampin menjadi kubu kuat Umno. Namun sebelum itu, Tampin bukanlah kawasan kuat Umno malah pada PRU 1959, seorang calon Front Sosialis telah memenangi dun Gemas. Namun begitu, perancangan strategik Umno mewujudkan petempatan Felda di Gemencheh dan Gemas telah memperkukuhkan blok sokongan Umno di kedua-dua kawasan terbabit. Maka sejak itulah, pengaruh pembangkang agak sukar berpusat di kedua kawasan tersebut iaitu Gemas dan Gemencheh.

Akan tetapi pada PRU 1999, ombakan Reformasi 99 benar-benar melanda seluruh Tampin yang memperlihatkan perolehan majoriti kemenangan Umno-BN merosot di peringkat dun. Buat pertama kalinya dalam sejarah PRU sejak 1964, dun Gemas dimenangi oleh Umno dengan kelebihan bawah daripada tiga ribu undi iaitu 2,859 undi manakala lain-lain dun mencatat kemenangan Umno-BN bawah dua ribu undi iaitu Gemencheh (1,214), Repah (973) dan Kota (1,929). Kejutan hasil ombakan Reformasi 99 cukup menakutkan Umno sebenarnya dan jika tidak kerana kelemahan jentera Barisan Alternatif ketika itu, sudah pasti 18 dun dalam Negeri Sembilan telah dimenangi oleh BA sekaligus menubuhkan kerajaan baru!

Tahun 2004-2007 merupakan saat kejatuhan pengaruh BA seluruh negara. Kesan itu lebih terserlah dengan 'kenaikan' Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM baru. Umno-BN menang besar dalam PRU 2004 dan di Tampin sendiri Umno-BN menang dengan selesa.

Setelah organisasi Keadilan di Tampin berjaya diaktifkan semula pada penghujung 2008 (setelah isu bekas Ketua Bahagian Keadilan Tampin menyertai Umno pada PRU 99), gerakan politik dan program-program telah rancak dilaksanakan sehinggakan mengejutkan pihak Umno Tampin. Mereka mungkin sudah masak dan selesa berhadapan dengan Pas atau Dap kerana telah memahami strategi kedua pihak tersebut. Namun 'kemunculan semula' pengaruh Keadilan begitu menakutkan Umno Tampin.

Selepas penubuhan PR Negeri Sembilan secara rasmi pada Januari 2010, PR NS tidak berlengah melancarkan program raksasanya di Gemas iaitu pada Januari 2011 yang melancarkan manifesto 'Tonggak Nan Sembilan'. Kehadiran lebih 10 ribu orang ke program tersebut di lubuk Umno begitu mengejutkan Umno-BN. Sebelum itu, pada pertengahan 2010 satu ceramah perdana yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim berlangsung di Repah turut menghimpunkan ribuan rakyat. Arus perubahan itu begitu membangkitkan Umno Tampin daripada tidur selesanya. Sentuhan politik yang dijelma oleh PR itu sangat membimbangkan Umno!

Calon

Persoalan calon parlimen di pihak Umno mungkin tidak menjadi masalah besar kerana kepastian 90 peratus Shaziman Mansor bakal dikekalkan. Akan tetapi beberapa bulan lalu kedengaran desas desus bahawa Shaziman dikatakan turut berminat untuk menjadi MB Negeri Sembilan. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran cerita ini. Jika itu berlaku, siapa pula pengganti beliau untuk calon parlimen? atau Shaziman bakal 'dipancung' oleh Najib Razak kerana beliau termasuk dalam 'cai' Muhyidin Yasin?

Era Najib Razak ini juga telah mengembalikan 'nyawa politik' kepada Isa Samad termasuklah Waad Mansor, bekas Adun Gemencheh yang pernah disabitkan kesalahan rasuah beberapa tahun lalu. Situasi ini kembali membangkitkan pertentangan lama antara team Waad dan Shaziman. Barangkali semua puak Shaziman dan Mohamad Hasan bakal dilupuskan kali ini.

Pas akan mewakili PR bertanding di Tampin. Besar kemungkinan calon PRU 2008-Abd Razakek Abd Rahim dikekalkan oleh Pas Tampin sebagai calon parlimen. Setakat ini juga Pas Tampin diberitakan akan mengekalkan YDP Pas Tampin-Ustaz Zakaria Khalim sebagai calon di Gemencheh. 

Dap juga turut diberitakan akan mengekalkan S.Veerapan sebagai calon PRU-13 bagi dun Repah. Beliau juga merupakan wakil rakyat Repah. Setakat ini, di pihak Keadilan masih belum diputuskan nama calon untuk dun Gemas. Namun antara nama yang disebut-sebut adalah bekas Ketua Keadilan Tampin-Kapten (B) Zulkapli Kasim. Beliau pernah bertanding di dun Gemencheh pada PRU 1995 lalu sebagai calon bebas, merupakan anak jati Felda Bukit Jalor.

Potensi

Harus diambil kira dan perhatian serius oleh PR, bahawa kemenangan Shaziman Mansor turut dibantu oleh jumlah undi pos yang tinggi yang datang daripada dun Gemas. Kemenangan calon Umno di Gemas turut disumbang oleh undi pos tentera yang memihak 95 peratus. Namun kemenangan mampu dijelmakan sekiranya Undi Awal daripada tentera memihak kepada PR. Sekurang-kurangnya pemilih-pemilih dari Tentera akan mempunyai hak mengundi seperti pemilih awam. PR mampu untuk meraih 45 peratus undi awal ini.

Untuk PRU-13 akan datang, PR Tampin kini telah 'lengkap' dengan Dap bertanding Repah, Pas (Gemencheh) dan Gemas (Keadilan). Maka kesepakatan dan koordinasi strategi termasuk gerak kerja telah mampu dilaksanakan secara bersama. Jika ingin menang parlimen, Pas Tampin mahu tidak mahu harus bergabung tenaga dengan Dap & Keadilan. 

Dalam melihat kesepakatan PR di Tampin, telah wujud usaha-usaha sulit oleh Umno melalui jentera risikan untuk memecahkan kekuatan PR khususnya Keadilan Tampin. Situasi ini banyak berlaku di seluruh negara. Perpecahan politik dalaman adalah antara kaedah terancang pihak risikan untuk melemahkan gerakan politik dan organisasi PR. Ini memerlukan kepekaan dan sikap waspada oleh pimpinan dan pasukan strategis PR Tampin.

PRU-13 kali ini memungkinkan berlaku ombakan politik yang lebih besar khusus di Tampin. Isu NFC adalah pencetus perubahan ini.Ia adalah isu nasional dan seluruh negara tahu akan kebusukan yang terjadi daripada NFC. Malah orang-orang Umno sendiri tidak bersetuju dengan penyelewengan dari isu tersebut yang jelas menjatuhkan kredibiliti organisasi itu! Peluang ini wajar dimanipulasi oleh pasukan strategis PR dalam memecahkan blok sokongan Umno khususnya di Gemencheh dan Gemas.

Kebarangkalian PR menang di Gemas adalah 50-50 dan jika ia berlaku, termasuk kemenangan Dap di Repah berjaya dipertahankan, tidak mustahil Parlimen Tampin dimenangi oleh PR!





Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 4)

Luak Rembau (yang meliputi Dun Kota dan Chembong kini) telah wujud awal kurun ke-16. Kawasan ini telah mempunyai institusi politik dan pentadbirannya sezaman Kesultanan Melaka. Rembau juga menjadi tumpuan strategik politik Melayu klasik yang mencatatkan beberapa siri perang saudara melibatkan Rembau, Sungai Ujong dan Seri Menanti. 

Luak Rembau asalnya turut meliputi kawasan Tampin, Repah dan Keru. Perang Rembau 1833-34 telah menyebabkan Tampin bebas menjadi negeri atau luak berasingan.

Parlimen Rembau

Parlimen Rembau wujud hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Dun Rantau dan Paroi asalnya berada dalam parlimen Rasah dan Seremban, manakala Chembong dalam parlimen Telok Kemang dan Kota sebahagian daripada parlimen Tampin.

Keributan politik dalaman juga turut membadai Umno Rembau yang diketuai oleh MB Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Penentangan jelas kepada Mohamad Hasan dengan lima Umno Bahagian iaitu Seremban, Telok Kemang, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin menolak kepimpinan Mohamad selaku Pengerusi Umno NS. Hanya Umno Rasah yang menyokong beliau. 

Manakala Umno Tampin dan Jelebu umpama 'Lone Ranger'. Kepala kedua-dua bahagian ini-Shaziman Mansor dan Rais Yatim antara orang lama sebelum era Mohamad Hasan semacam 'membina' blok pengaruh masing-masing. Shaziman juga disebut-sebut bakal menjadi MB Negeri Sembilan bagi menggantikan Mohamad Hasan. Namun yang pasti, Shaziman tidak berada dalam pasukan Najib Razak tetapi bersama pasukan Muhyidin Yasin! Ini menampakkan pertembungan meletak 'cai' antara Najib-Muhyidin.

Parlimen Rembau dalam PRU 2008 telah ditandingi oleh Keadilan melawan Umno-BN. Manakala di peringkat dun, Pas bertanding di Paroi, Chembong dan Kota manakala Rantau ditandingi Keadilan. Selepas era Reformasi dan PRU 1999, pengaruh pembangkang agak merosot dikalangan pemilih Melayu di Chembong dan Kota. Hanya di Paroi dan Rantau memperlihatkan saingan sengit diberikan oleh PR kepada Umno.

Ketika era Reformasi 99, Umno hanya menang dengan kelebihan dua ribu undi ke bawah dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum sejak PRU 1969. Kedua-dua dun ini telah ditandingi oleh Keadilan. Namun begitu, blok-blok sokongan pembangkang ini telah berjaya dipecah-pecahkan melalui persempadanan semula yang mewujudkan Parlimen Rembau. Chembong dimasukkan ke dalam Rembau sebagai usaha licik SPR mengurangkan blok sokongan Melayu yang memihak kepada Barisan Alternatif ketika itu bagi mengimbangi kedudukan BN di Telok Kemang. 

Calon

Penentuan calon parlimen Rembau oleh Umno masih tidak dapat dipastikan kerana percaturan tidak dipersetujui antara Najib dan Muhyidin. Ketara sekali Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) tidak akan dicalonkan semula oleh Najib kerana mendapat nasihat Mahathir Mohamad agar tidak memberi ruang kepada Khairy. Pertengahan tahun ini, Khairy telah dilantik sebagai Pengerusi PUNB. Jika dinilai dari sudut politik, 'penganugerah
an' jawatan itu memberi petanda bahawa Khairy telah diberi tawaran baik oleh Najib untuk melepaskan keinginan bertanding sekali lagi di Rembau. Apakah 'kow-tim' ini akan berjalan lancar?

Kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia seakan tidak mendapat pengikhtirafan Najib Razak untuk memberi Khairy menjawat jawatan Menteri atas kuota tersebut. Ramai yang 'terkejut' kerana sebagai Ketua Pemuda, hak beliau dinafikan dan mencatat sejarah apabila seorang ketua sayap organisasi pusat tidak menjawat jawatan kabinet sekurang-kurangnya sebagai Timbalan Menteri. 

Sebelum berlangsungnya PRU 2008, Mohamad Hasan merombak dua kali senarai akhir calon-calon BN Negeri Sembilan khususnya calon-calon Umno. Senarai akhir pertama dikisahkan tersenarai beberapa nama-nama orang lama era Isa Samad, namun senari tersebut dinafikan beberapa hari sebelum penamaan calon senarai akhir itu dirombak, dan paling 'tragik' nama-nama orang pro-Isa Samad ramai digugurkan. Nama seperti Dr Firdaus Muhammad Rom, Dato' Rais Zainuddin (yang disebut-sebut calon MB baru NS menggantikan Mohamad Hasan ketika itu) dan Bibi Sharliza terpelantik keluar daripada senarai akhir pertama.

Akibatnya berlaku undi protes di kebanyakan kawasan parlimen termasuk Rembau atas tindakan 'berani' Mohamad Hasan tersebut. Paling ketara adalah di dun Paroi yang memperlihatkan undi protes penyokong Umno telah memberi kemenangan kepada Pas. Peringkat parlimen pula menyaksikan perolehan undi kemenangan oleh Khairy Jamaluddin datang dari dun Kota, manakala di Paroi, Rantau dan Chembong Khairy tewas di kebanyakan daerah mengundi. Bantuan undi pos juga turut menjadi penyelamat berharga kepada kemenangan beliau. Kehadiran peti undi akhir pada jam 10.30 malam yang 'didatangkan' bersama kehadiran Mohamad Hasan di pusat kiraan undi Dewan Pejabat Daerah Rembau pada 8 Mac 2008 lalu cukup diyakini adalah 'undi penyelamat' kepada Khairy.

Pelbagai andaian percaturan calon kedengaran di Rembau. Antaranya, Mohamad Hasan dikatakan akan dibawa ke parlimen. Kebarangkalian besar beliau bakal menjadi calon parlimen Rembau dan dengan kapisiti beliau sebagai Ketua Bahagian Rembau perkara itu tidak mustahil untuk diperbincangkan antara beliau dan Najib atau Muhyidin. Jika itu berlaku, kerusi Rantau bakal ditinggalkan tetapi siapakah calon kaliber Umno untuk kawasan dun itu? Andainya silap pemilihan calon, Rantau antara dun yang bakal ditawan oleh PR melalui Keadilan. Mohamad juga menyedari beliau bakal 'dinyahkan' oleh musuh-musuh politiknya, dan tidak mustahil akan berlaku percaturan luarbiasa antara beliau dan PR. Harus difahami bahawa dalam politik tiada perkara mustahil, segala serba mungkin!

Ketika masyarakat umum melihat pertelingkahan politik dalaman Umno berlaku, calon-calon kemungkinan PR bagi Rembau juga turut menjadi perhatian. Calon PR lalu, Badrul Hisham Shaharin dikatakan telah 'meninggalkan telapaknya' di Rembau dan perkhabaran yang bertebaran di seluruh negara menyebut beliau bakal bertanding di Pulau Pinang! Tidak dapat dipastikan sejauhmana keabsahan khabar ini. Muktahir ini, Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus dilihat menjalankan gerak kerja di Rembau. Gerakan itu turut melibatkan kerjasama program bersama Pas Kawasan Rembau. Ada riak-riak daripada masyarakat setempat bersetuju dan menyukai anak muda ini. Jika keputusan akhir penetapan calon peringkat pusat memilih Nazree, beliau bakal menjadi calon muda kedua selepas Badrul Hisham Shaharin mewakili PR di Rembau. 

Sebelum ini, kerusi Rembau telah dituntut semula oleh Pas atas alasan parlimen ini 'dipinjamkan' kepada Keadilan untuk PRU 2008, namun Pas telah mengugurkan tuntutan tersebut dan masing-masing bersetuju Keadilan kekal bertanding mewakili PR di Rembau. Jika sebaliknya berlaku, Pas NS dikatakan ingin meletak bekas Pesuruhjaya Pas NS, Dr Rosli Yaacob sebagai calon di situ. Dr Rosli 'diberitakan' bakal bertanding di Chembong yang merupakan kampung halaman beliau.

Potensi

Hakikatnya Umno kukuh berakar umbi di Rembau khususnya di Kota dan Chembong. Ombakan Reformasi 99 lalu telah berjaya disurutkan oleh Umno selepas tahun 2000 namun masih ada sokongan secara senyap oleh rakyat di Rembau terhadap PR. 

Secara jujurnya, keupayaan PR untuk menawan Rembau masih terbuka (50-50) sekiranya calon yang ditampilkan mempunyai kredibiliti dan kesantunan Melayu kampung. Harus difahami bahawa masyarakat kampung khususnya di Rembau tidak suka kepada politik maki-hamun dan mencerca, maka faktor ini wajar diambil kira oleh PR NS. Kesantunan dan kesopanan ini diperlukan bagi 'mencuit' hati masyarakat kampung untuk mengundi PR.

Dalam mencapai kemenangan di Rembau, sekali lagi isu kesepakatan kerjasama wajar diperkasakan oleh Keadilan dan Pas. Harus ada keseragaman gerak kerja bersama dalam memperlihatkan gerakan sepasukan agar dapat membina perspektif kepada rakyat tempatan bahawa PR NS telah bersedia untuk berkhidmat dan mentadbir Negeri Sembilan. Atas tujuan ini, pihak Pas khususnya wajar menampilkan calon-calon yang berkredibiliti berbanding calon terdahulu.

Adalah dijangka undi PR bagi calon parlimen akan disumbang banyak oleh undi-undi dari dun Rantau dan Paroi. Strategi dan gerakan khusus dalam meningkatkan undi untuk kemenangan di Chembong dan Kota wajar berterusan kerana Umno juga berharap undi kemenangan mereka di kedua-dua dun ini. Ia tidak mustahil kerana ketika era Reformasi 99 lalu kedua-dua kawasan ini, pengaruh Umno pernah menyusut yang nyaris ditawan oleh Barisan Alternatif!








Sunday 11 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 3)

Kuala Pilah merupakan daerah yang unik dari segi adat istiadat Perpatih dan antara telapak Adat Perpatih yang utama di Negeri Sembilan.

Daerah ini juga mempunyai institusi pemerintahan Adat Perpatih yang terbahagi kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (Yamtuan) bertelapak di Seri Menanti berperanan sebagai Raja dan Pemerintah bagi Tanah Mengandung, Ketuanan Tengku Besar Seri Menanti, institusi Penghulu Luak yang terdiri daripada Inas, Terachi, Ulu Muar, Gunong Pasir dan Jempol termasuk institusi Undang Johol.

Secara logiknya, demokrasi telah tersemai awal melalui Adat Perpatih dalam masyarakat Kuala Pilah dan tidak mustahil bagi rakyat di kawasan ini untuk bersedia menerima perubahan. Umpama hujan di hulu, menghilir ikan ke bawah, air bah pasir berubah!

Parlimen Kuala Pilah

Keadaan politik Kuala Pilah khususnya Umno Kuala Pilah memperlihatkan persaingan sengit yang berlaku antara pemuka-pemuka utamanya. Persaingan pengaruh politik antara Ketua Bahagian-Dato Ismail Lasim dan Timbalannya-Dato Hassan Malek kelihatan kencang meribut suasana bahagian tersebut.

Ismail Lasim
Paling ketara dan diketahui umum bahawa Hassan Malek berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Beliau seperti sudah memberi kepastian akan bertumpu dan bertanding semula ke peringkat dun. Maka kedengaran cadangan pertukaran iaitu Ismail Lasim akan ke Parlimen Kuala Pilah manakala Hasan Malek pula turun bertanding sebagai calon samada di Johol atau Juasseh. Hubungan rapat beliau dengan Najib Razak tidak menjadi kepayahan untuk beliau melobi terus mendapat tempat sebagai calon dan mempelantik lain-lain nama keluar dari senarai!

Sumber-sumber dari cakap orang setempat menyebut Hasan Malek sebelum ini amat rajin turun ke Johol. Atas 'kerajinan' tersebut, ramai yang membuat spekulasi bahawa Hasan Malek akan bertanding di Johol. Mungkin ada benarnya.

Kedengaran juga nama lain disebut sebagai pilihan Umno untuk calon parlimen iaitu YDP Dewan Negara, Dato Abu Zahar Ujang yang pernah menjadi wakil rakyat Kuala Pilah era 1990an lalu. Mungkin beliau termasuk dalam senarai 'winnable candidate' yang diwar-warkan oleh Najib Razak.

Seandainya Umno Kuala Pilah gagal mencapai kesepakatan dan kompromi sebelum PRU-13 ini, ada kemungkinan besar calon-calon mereka dijangka tewas kerana berlaku undi protes dan sabotaj. Kedengaran juga Adun Seri Menanti dan Juasseh bakal terpelantik daripada senarai calon. Ini memungkin situasi protes berlaku.

Keupayaan PR Kuala Pilah

Pada PRU 1999, Keadilan hampir sahaja memenangi parlimen Kuala Pilah dengan calon ketika itu, Ruslan Kassim. Beliau tewas kepada Napsiah Omar dengan kelebihan 2,818 undi. Ia adalah pertandingan pilihanraya paling sengit yang berlaku dalam sejarah politik Kuala Pilah.

Kemenangan Umno-BN di Kuala Pilah ketika itu juga merupakan majoriti kedua terendah selepas Seremban yang dimenangi oleh MCA dengan kelebihan 1,819 undi sedangkan kawasan parlimen lain iaitu Jempol, Jelebu, Tampin, Rasah dan Telok Kemang mencatat kelebihan kemenangan melebihi 7,000 undi.

Ia menunjukkan ombakan politik Reformasi 1999 sangat mempengaruhi sebahagian besar pemilih Melayu Kuala Pilah waktu itu. Jangkaan umum menyebut bahawa ketika itu peralihan undi Melayu menyokong Keadilan mencecah 70 peratus! BN terselamat kerana undi Cina dan India tidak memihak setinggi undi Melayu. Malah di peringkat DUN, empat daripada lima dun dalam Parlimen Kuala Pilah mencatat kelebihan kemenangan BN di bawah seribu undi!

Kelebihan Kemenangan BN di DUN-DUN dalam Kuala Pilah PRU 1999;
1. Juasseh (985)
2. Senaling (1,027)
3. Johol (848)
4. Pilah (312)
5. Seri Menanti (476)

Berbeza dengan lain-lain parlimen dalam Negeri Sembilan, Kuala Pilah adalah manifestasi perubahan rakyat hasil ombakan Reformasi 1999 yang benar-benar berkesan.

Namun, apakah kesan Tsunami Politik 2008 mampu mengombak kembali rakyat Kuala Pilah sebagaimana Reformasi 1999?

Kali ini kemungkinan besar ombakan politik ke arah perubahan itu bakal berlaku di Kuala Pilah. Kedudukan selesa Umno-BN semasa PRU 2004 kian menuju pengakhirannya. Agak tidak adil melambangkan Kuala Pilah sebagai daerah terpinggir daripada pembangunan dan perubahan namun itulah hakikat yang melanda sehingga kini.

Walaupun wakil rakyatnya seorang Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Luar Bandar, tidak ada suatu perubahan 'raksasa' yang dibawa ke Kuala Pilah. Masih wujud pekan-pekan yang berwajah usang seperti Senaling, Johol, Air Mawang, Pelangai dan Tanjung Ipoh umpamanya. Hanya yang dilihat ketara berubah adalah hutan-hutan simpan di Inas, Senaling, Gunung Angsi yang 'dimaju-gondolkan'.

Setakat ini, gerakan PR di Kuala Pilah berada pada tahap sederhana di beberapa kawasan. Malah ada juga kawasan-kawasan penting yang tidak kelihatan jentera parti bergerak atau ada program-program khusus ke arah memikat pemilih. Program-program utama seperti ceramah umum dan kelompok tetap berjalan seperti biasa.

Pas dilihat aktif menjalankan gerakan politik dan program-program di Dun Johol. Boleh dikatakan setiap minggu akan ada ceramah-ceramah, program lawatan pemilih dan turun kawasan dijalankan oleh bakal calon kawasan tersebut, Ustaz Norazman Mohamad. Begitu juga bagi Dun Seri Menanti yang turut aktif melakukan gerak kerja turun kawasan.

Lain-lain dun seperti Juasseh dan Pilah sederhana gerakannya dan memerlukan suntikan semangat luarbiasa bagi menggerakkan jentera sedia ada. Mereka seharusnya tidak perlu menunggu sehingga semboyan perang dibunyi barulah mahu 'bongka' dari duduk masing-masing!

Secara keseluruhannya, gerakan PR di Kuala Pilah adalah pada tahap sederhana dan kesepakatan antara Keadilan dan PAS wajar diperkemaskan kerana hanya dua parti ini yang bertanding di Kuala Pilah. DAP NS telah membantu gerak kerja turun padang di kawasan-kawasan utama pemilih Cina seperti di Johol, Senaling dan Pilah.

Calon
Abu Zahar Ujang
Winnabble Candidate?

Umno-BN sebagaimana yang disebut awal tadi bakal meletakkan Ismail Lasim sebagai calon parlimen, hasil formula pertukaran antara beliau dan Hasan Malek. Jika formula itu tidak diterima, kemungkinan YDP Dewan Negara-Datuk Andika Abu Zahar Ujang yang bakal dilayangkan sebagai calon Umno.

Bagi pihak PR, khususnya Keadilan beberapa nama telah dicadangkan. Mantan calon PRU 2008 dari Keadilan, Haji Annuar Saleh juga masih berminat untuk bertanding. Ketua Keadilan Rasah, Haji Kamel Muhammad Yassin juga sering kelihatan menjalankan gerak kerja di seluruh Kuala Pilah seakan membayangkan hasrat beliau untuk menjadi calon. Beliau dilihat telah bergerak bersama jentera parti peringkat Cabang Kuala Pilah dan Pas kawasan disamping membuka bilik gerakan di semua dun. Malah beberapa nama daripada kepimpinan Keadilan Kuala Pilah turut disebut masuk dalam senarai calon parlimen.

Kali ini lebih menarik kerana keinginan ramai menjadi calon khususnya di Kuala Pilah daripada Keadilan berbanding tahun 2008 lalu. Ia suatu petanda positif bahawa keyakinan untuk menang sudah menjelma dikalangan ahli-ahli parti terbabit.

Keributan yang melanda Umno Kuala Pilah kini sewajarnya diambil peluang oleh PR Kuala Pilah dalam menyusun strategi dan gerakan politik yang lebih padu untuk merebut peluang memenangi hati rakyat. Penampilan calon-calon yang mempunyai kredibiliti disamping kesediaan memerintah tadbir negeri ini wajar ditunjukkan kepada rakyat Kuala Pilah.

Potensi Kemenangan

Ada perubahan yang telah menjelma khususnya di Johol, Seri Menanti dan Pilah melalui kehadiran dan sokongan program-program yang digerakkan oleh PR Kuala Pilah. Walaupun DAP tidak bertanding di mana-mana kerusi dun dalam Kuala Pilah, mereka telah menggerakkan program turun padang bertemu masyarakat Cina dalam menyampaikan agenda perubahan. Ia tidak dijalankan secara bersendirian tetapi dilaksanakan bersama Pas dan Keadilan.

Undi masyarakat Cina di Kuala Pilah besar kemungkinan memihak kepada PR sekitar 65-70 peratus, manakala undi masyarakat India sekitar 55-60 peratus. Hanya undi masyarakat Melayu yang menjadi penentu kepada perubahan di Kuala Pilah. Beberapa dun seperti Pilah, Senaling dan Johol anjakan undi sebanyak 46 peratus pemilih Melayu bakal menzahirkan kemenangan PR di dun-dun terbabit sekaligus menyumbang undi kemenangan calon parlimen PR. Kemungkinan lain yang bakal berlaku juga adalah kemenangan PR di Seri Menanti walaupun 96 peratus pemilihnya adalah Melayu. Gerakan politik di kawasan ini memperlihatkan peningkatan sokongan pemilih atas pagar kepada Keadilan.

BN menyakini akan dapat mempertahankan kemenangan di Kuala Pilah. Malahan kajiselidik yang dijalankan oleh pihak mereka meletakkan Kuala Pilah dengan warna biru, yang bermaksud menang selesa dengan jangkaan undi popular sekitar 67 peratus. Namun, Umno jangan terlupa bahawa kedudukan mereka di Pilah, Johol dan Senaling juga terdapat kawasan-kawasan kelabu dan hitam!

Harus diingat bahawa masyarakat Kuala Pilah ada keistimewaannya dari sudut merubah situasi politik.  Era Reformasi membuktikan Kuala Pilah terkedepan dari sudut perubahan politik. Ia dilihat menjadi kawasan seterusnya selepas Rasah, Seremban dan Telok Kemang bakal dimenangi PR. Ini bukan mustahil kerana tidak ada mustahil dalam seni politik. Segala kemungkinan bisa terjadi kerana itulah permainan politik.






Thursday 8 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 2)

Ketokohan Moyang Salleh menjadi sebuah kisah perjuangan rakyat yang ingin merdeka dan membebaskan diri daripada belenggu pemerintahan yang zalim dan tidak bertimbang rasa. Kisah 'Memutus Tali Ke Johor' itu wajar dijadikan simbolik kepada perubahan oleh rakyat di Jelebu dan tidak harus tunduk atau takut kepada pemuka-pemuka Umno-BN.

Hasil daripada 'Memutus Tali Ke Johor', Penghulu Moyang Salleh telah diangkat menjadi Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dan Jelebu telah merdeka daripada Johor menjadi sebuah negeri bebas. Ini suatu kisah yang membuktikan bahawa rakyat Jelebu sebenar mampu untuk berubah, demi ke arah yang lebih sejahtera. Semangat Moyang Salleh ini harus diterjemahkan melalui PRU-13.

Parlimen Jelebu

Pengaruh Rais Yatim seakan tidak boleh tercabut dari bumi Jelebu. Beliau menjadi Ahli Parlimen Jelebu sejak tahun 1982 (kecuali 1990-1999) hingga kini (2012). Hanya pada tempoh 1990-1999 wakil rakyat Jelebu disandang oleh Datuk Yunus Rahmat. Setelah Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996, Rais Yatim kembali menjadi wakil rakyat Jelebu pada PRU 1999.

Ketika PRU 1990, Rais Yatim hampir sahaja memenangi Jelebu namun tewas kepada calon BN hanya dengan 300 undi sahaja. Namun kemasukan beliau semula ke dalam Umno, beliau dilihat berjaya mempertahankan pengaruh dan menarik kembali sokongan rakyat Jelebu.

Datuk Yunus Rahmat
ADUN Klawang
Ada besar kemungkinan bagi PRU-13 akan datang, nama beliau akan kekal sebagai calon Umno untuk Jelebu. Walaubagaimanapun Adun Klawang, Datuk Yunus Rahmat turut berhasrat untuk bertanding di parlimen. Setakat ini, Rais Yatim sudah pasti menjadi pilihan utama Najib Razak di Jelebu kerana peranan yang beliau mainkan sebagai Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Cerita dari Jelebu juga tidak kurang menariknya. Calon-calon baru dikatakan bakal ditempatkan di Klawang, Sungai Lui dan Pertang. Hanya penyandang wakil rakyat dun Chennah, Siow Chen Tin dari MCA yang dikekalkan. Manakala calon bagi Pertang disebut-sebut Pengarah Jasa Negeri Sembilan, Abdul Hamid Othman juga bekas setiausaha Umno Jelebu, dan di Klawang pula nama Timbalan Ketua Umno Jelebu-Datuk Jalaluddin Alias disebut sebagai calon. Cuma di Sungai Lui masih belum dipastikan siapakah yang bakal diangkat sebagai calon?

Jika diteliti pada kelebihan kemenangan peringkat dun dan parlimen, agak ketara perolehan undi yang diterima. MCA menang di Chennah dengan majoriti 1,298 undi, Umno menang di Klawang (841 undi), Pertang (1,995 undi) dan Sungai Lui (4,644 undi). Manakala Rais menang di parlimen dengan kelebihan 11,610 undi. Jika dijumlah majoriti kemenangan dun adalah 8,778 undi, mempunyai jurang perbezaan sebanyak 2,832 undi. Ini membuktikan pengaruh Rais masih melekat di Jelebu khususnya di kawasan Felda dalam dun Pertang dan Sungai Lui.

Apakah kali ini Rais Yatim mampu ditumbangkan oleh PR?

Norman Ipin
Calon PAS Parlimen Jelebu 
Untuk menghadapi 'gergasi Umno' ini, PAS Jelebu khususnya harus tampil dengan cadangan calon yang lebih berkredibiliti daripada Rais Yatim. Ini perkiraan utama yang wajar dilihat dan diteliti oleh PAS Negeri Sembilan. Seharusnya kali ini wajar ada calon yang mempersona dan menggigit dari Pas. Jika tidak, dengan mudahnya Rais Yatim akan tetap menang mudah di Jelebu!


PRU 2008 lalu, PAS telah meletakkan Norman Ipin sebagai calon parlimen melawan Rais Yatim. Jurang perolehan undi amat besar dengan Rais mendapat 19,737 undi (68.93%) berbanding Norman Ipin yang memperolehi 8,127 undi (28.38%).

Satu strategi khusus dan terbaik harus direncanakan oleh Pas sekiranya ingin memenangi Jelebu. Pasukan strategis Pas harus mempelbagaikan pendekatan dan gerakan politik kerana kedudukan mereka di Jelebu tidak menggugat kerana Umno sudah masak dan mengetahui taktikal yang digunakan oleh Pas Jelebu. Umno Jelebu tidak gusar untuk berhadapan dengan Pas kerana penampilan calonnya yang tidak diyakini kredibilitinya oleh majoriti rakyat Jelebu.

Situasi yang sama turut melanda Keadilan di Pertang yang juga kelihatan 'tandus' calon-calon berkrediliti. Kelemahan menampilkan calon yang mampu mengejutkan Umno-BN wajar diperbaiki oleh pihak Keadilan dan Pas. Cuma DAP melakukan tindakan berani dengan hasrat Pengerusinya, Loke Siew Fook untuk bertanding di Chennah.

Zulkefly Mohamad Omar
Dr Rosli Yaacob
Sebelum ini, Pas Negeri Sembilan ada mencadangkan beberapa nama sebagai calon parlimen Jelebu iaitu mantan Pesuruhjaya PAS NS-saudara Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan Pesuruhjaya 1, Dr Rosli Yaacob. Kedua-duanya mempunyai kredibiliti tersendiri.

Zulkefly Mohamad Omar kini merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang turut aktif dalam gerakan anti-Lynas melalui NGO yang diketuainya iaitu Green Clean World (GCW) manakala Dr Rosli pernah menjadi YDP Pas Jelebu dan pernah bertanding sebagai calon parlimen Jelebu.

Setakat ini, kedua-duanya boleh dianggap sebagai cadangan calon yang terbaik untuk diketengahkan Pas NS melawan Rais Yatim dan antara figura politik yang dimiliki oleh PR NS ketika ini.

Potensi

Risikan dan kaji selidik yang dijalankan oleh BN menyakini kemenangan Jelebu mudah dipertahankan. BN membuat jangkaan bahawa untuk PRU-13, mereka mampu memperolehi undi popular sekitar 69-70 peratus. Suatu keyakinan yang sangat tinggi seolah-olah memperlekehkan keupayaan parti lawan. Namun PR NS wajar menjadikan maklumat ini sebagai pemangkin bagi menyusun strategi.

Pecahan pemilih bagi Parlimen Jelebu adalah;

Melayu: 63%   Cina:27%  India: 6%   Orang Asal: 4%

Secara umum, peratus sokongan mengikut kaum pada PRU 2008 kepada BN di Jelebu adalah;
Melayu (75%), Cina (46%), India (38%) dan Orang Asal (85%).

Manakala sokongan kepada PR adalah;
Melayu (25%), Cina (54%), India (62%) dan Orang Asal (15%).

Rais Yatim memahami kaedah manipulasi melalui media berdasarkan pengalaman politik beliau ketika bersama Semangat 46 dahulu yang memperlihatkan BN menggunakan secara maksima media untuk membunuh kempen dan gerakan politik Semangat 46 ketika PRU 1990 lalu.

Selain daripada itu, tindakan beliau yang pantas 'memujuk' dan 'menguasai' orang-orang penting parti-parti lawan di peringkat parlimen Jelebu sangat berkesan untuk melemahkan daya juang dan pergerakan aktif parti-parti lawan di parlimen ini.

Oleh itu, harus ada sesuatu rancangan untuk mewujudkan ombakan politik di Jelebu yang dikira mampu mengubah perspektif rakyat Jelebu bagi memihak kepada PR. Hakikatnya diakui kental namun ia adalah sebuah misi mustahil yang wajib dalam politik! Apakah semangat Moyang Salleh mampu diserap oleh PR di Jelebu?










Wednesday 7 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 1)

Negeri Sembilan mempunyai lapan (8) kawasan parlimen dan 36 dun. Kali ini ulasan akan bertumpu kepada kawasan parlimen dan melihat peluang kepada BN atau PR bagi PRU-13 akan datang.

Sekilas maklumat PRU 2008 lalu, Umno-BN memenangi lima (5) parlimen iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Manakala PR pula memenangi Seremban, Rasah dan Telok Kemang. Jika dilihat secara menyeluruh, kawasan barat Negeri Sembilan menjadi blok kepada PR manakala kawasan timur Negeri Sembilan menjadi blok kepada pengaruh Umno.

Namun masih ada yang tidak mengenali wakil-wakil rakyat yang memenangi kawasan barat negeri ini. Parlimen Rasah telah dimenangi oleh Loke Siew Fook (DAP), Seremban dimenangi John Fernandez (DAP) dan Telok Kemang dimenangi oleh Dato' Kamarul Baharin Abbas (PKR). 

Rais Yatim dan Shaziman Mansor adalah antara orang lama Umno yang masih menjadi wakil rakyat bagi parlimen Jelebu dan Tampin. Ada kemungkinan besar mereka berdua kekal menjadi calon Umno pada PRU-13 akan datang. Manakala di Jempol, Kuala Pilah dan Rembau dijangka menampilkan 'calon baru' yang datang daripada barisan lama.

Parlimen Jempol

Menurut perkhabaran yang didengar dari Jempol, Timbalan Ketua Bahagian Umno Jempol iaitu Haji Mohd Salim Mohd Sharif (gambar kiri) dikatakan telah 'memberi isyarat' kepada Ahli Parlimen Jempol, Dato Lilah Yasin bahawa beliau ingin bertanding sebagai calon parlimen kali ini. Mengikut sumber, Haji Salim dikatakan menjadi penaja kewangan kepada Lilah Yasin semasa PRU 2008 lalu. Isyarat yang disampaikan itu dikisahkan sangat keras sehingga berlaku perselisihan antara Lilah dan timbalan ketuanya itu.

Lebih menarik, Ketua Penerangan Perkasa-Ruslan Kassim juga dikatakan berminat untuk bertanding di Jempol. Namun setakat ini belum ada pengesahan muktahir daripada perkhabaran ini. Walaupun kawasan gugusan Felda meliputi 60 peratus Parlimen Jempol, namun gerakan politik PR yang rancak bertumpu di kawasan-kawasan Felda begitu mengugat keberadaan Umno. Sudah pasti masyarakat Cina dan India lebih 60 peratus akan memihak kepada PR sebagaimana yang berlaku di dun Bahau dan Jeram Padang. 

P127 Jempol
Pengaruh MCA di Bahau telah ditolak oleh majoriti masyarakat Cina dan keadaan itu akan menjatuhkan perolehan undi Umno di peringkat parlimen. Begitu juga di Jeram Padang, rata-rata sekitar 63 peratus pemilih India telah menolak MIC, namun undi daripada pemilih felda yang menyelamatkan calon MIC pada PRU 2008 lalu. Dua dun ini dijangka menjadi penyumbang besar undi kepada calon PR pada pilihanraya umum akan datang. Malah pihak Keadilan sendiri berkeyakinan tinggi memenangi Jeram Padang. Situasi tersebut bakal mengugat kelesaan Umno untuk menang dengan majoriti besar peringkat parlimen selepas ini.

Umno akan bergantung sepenuhnya pada undi-undi dari kawasan Felda di Serting dan Palong. Kawasan-kawasan Felda ini telah memberi undi yang besar kepada kemenangan Umno di peringkat parlimen sekitar 68-73 peratus. Atas faktor inilah pihak BN bersungguh-sungguh 'mencantas' gerakan-gerakan politik PR yang dijalankan di kedua-dua kawasan secara pantas. Kehadiran kerap beberapa pimpinan utama PR hadir ke program-program seperti Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Mat Sabu yang dianggap sebagai 'gergasi PR' agak mengusarkan Umno sehinggakan MB Negeri Sembilan Mohamad Hasan terpaksa turun padang untuk membuat 'sentuhan semula' kepada kawasan-kawasan yang dijelajahi oleh para 'gergasi PR' itu.

Ada ura-ura bahawa PAS Negeri Sembilan bakal meletakkan bekas penyanyi popular, Aishah (gambar) sebagai calon untuk Parlimen Jempol. Namun masih belum ada sebarang berita muktamad akan cerita itu.

Aishah berasal dari Batu Kikir, Jempol. Beliau juga mempunyai latar belakang akademik sains politik ketika menuntut di New Zealand dahulu. Mungkin beliau mempunyai prospek calon yang terbaik untuk ditampilkan oleh PAS. Calon Pas PRU 2008 juga seorang muslimat. Jika itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan besar pengaruh Aishah mampu menarik sokongan golongan wanita Melayu yang cenderung menyokong Umno. Ia menjadi kekuatan terbaik buat PR khususnya PAS dalam memperbaiki kesilapan PRU 2008 lalu kredibiliti calon parlimen PAS dipertikaikan oleh majoriti pemilih.

PAS Kawasan Jempol turut mencadangkan nama Ketua Pemudanya, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa yang berlatarbelakang pendidikan agama lepasan Universiti Al-Azhar untuk calon parlimen. Agak menarik situasi di Jempol dengan semua komponen PR Jempol mengetengahkan cadangan nama-nama calon-calon daripada anak muda seperti Teo Kok Seong (DAP-Bahau), Rebin Birham (PKR-Palong) dan T.Kumar (PKR-Jeram Padang). Kesemuanya telah dilihat bergerak membuat gerakan politik di kawasan-kawasan terbabit sejak tahun 2009 lagi.

Pertukaran MIC-Umno?

Sebelum ini kedengaran berita di pihak BN Negeri Sembilan bahawa Jempol akan ditandingi MIC hasil cadangan pertukaran Jempol-Telok Kemang. Umno dikatakan akan bertanding di Telok Kemang dan ura-ura calon yang hendak diletak adalah bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad!

Namun begitu, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Umno Jempol atas faktor jumlah pemilih Melayu di Parlimen Jempol adalah sekitar 61 peratus berbanding Telok Kemang (49%). Malah sekiranya cadangan itu dilaksanakan, peluang pimpinan Umno untuk bertanding akan dikecilkan kepada peringkat dun sahaja iaitu Serting dan Palong. Sedikit sebanyak ia akan mengganggu dominasi Umno di Jempol selain meningkat potensi perpecahan kesan perebutan menjadi calon!

Menang Jempol, NS Ditawan!

Hakikat bahawa Jempol kubu kuat Umno kini boleh dinafikan oleh rakyat. Ia bukan lagi perkara mustahil atau suatu mainan politik pembangkang. Akan tetapi PR NS harus mengukuhkan gerakan bersama dan tidak memperdulikan isu-isu kecil yang sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk memecahkan kesepakatan politik PR.

Umno-BN melalui agensi-agensi kerajaan seperti Jasa, Kemas dan risikan polis & tentera telah melihat peningkatan sokongan di beberapa kawasan tertentu khususnya kawasan Felda hasil gerakan berterusan PR menembusi kubu-kubu ampuh Umno di Felda. Peralihan peratus sokongan sekitar 15-20 peratus pemilih Melayu kawasan Felda kepada PR sudah cukup menggusarkan Umno. Walaupun peningkatan itu tidak memenangkan PR di kawasan Felda akan tetapi ia sudah mampu mengoncang Umno di peringkat parlimen. Angka peralihan itu juga memungkinkan PR menang di Serting dan Jeram Padang. Malah tidak mustahil Jempol juga jatuh di tangan PR.


Misi 25: Tawan & Perintah NS PRU 13

Dahulu di Negeri Sembilan jika ada slogan-slogan politik parti pembangkang ingin menawan negeri ini, sudah pastinya rakyat Negeri Sembilan menganggap itu adalah sinikal politik pembangkang dan umpama mimpi di siang hari.

Rakyat negeri ini sebelum era Reformasi 1999 beranggapan adalah sukar buat parti-parti pembangkang untuk mencengkam luas pengaruh di seluruh Negeri Sembilan. Namun setelah berlakunya ombakan politik Reformasi 1999, Negeri Sembilan sebenarnya sudah hampir ditawan oleh Barisan Alternatif pada PRU 1999. Atas faktor kelemahan jentera dan kepincangan gerakan yang lebih tersusun pembangkang memutlakkan penguasaan Umno-BN di negeri ini.

Demi mengukuhkan pentadbiran dan memudahkan pelaksanaan dasar-dasar, PR wajar memenangi Negeri Sembilan dalam suatu keadaan yang selesa tetapi tidak terlalu dominan. Mengapa?

Menang dalam suatu keadaan yang selesa adalah wajib dan perlu buat PR NS memenangi 25 dun untuk mencapai kelebihan dua pertiga. Kemenangan PR di Perak dan Kedah wajar dijadikan pedoman dan ikhtibar berguna buat PR NS.

Iktibar sejarah lampau

PR memenangi Perak dengan 31 dun manakala BN menang 28 dun. Buat pertama kali dalam sejarah pilihanraya umum ini adalah kali kedua sebenarnya Perak berjaya dikuasai oleh pakatan politik bukan BN. PRU 1969 dahulu telah menyaksikan dun Perak dikuasai oleh parti-parti pembangkang dengan Parti Progresif Rakyat (PPP) memenangi 12 kerusi, DAP (6), Gerakan (2) dan PAS (1). Manakala Perikatan memenangi 19 kerusi sahaja.

Persepakatan parti-parti pembangkang ketika itu sebenarnya telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Perak dengan gabungan menjadi 21 kerusi yang berkelebihan hanya dua kerusi. Namun pada saat-saat akhir gerakan konspirasi politik Umno-BN melalui Tragedi 13 Mei telah berjaya meruntuhkan pengaruh pembangkang. Lebih dramatik apabila PPP, Pas dan Gerakan berjaya dipujuk untuk menyertai BN hasil penjenamaan semula politik negara. Jika tidak kerana Tragedi 13 Mei, sudah pasti Perak ditadbir perintah sepenggal oleh gabungan pembangkang waktu itu.

Kemenangan PRU 2008 lalu oleh PR Perak mengulangi sejarah 1969 itu. Situasinya hampir sama dengan PR menang hanya dengan kelebihan tiga kerusi sahaja. Namun, gerakan politik Umno-BN merampas kembali Perak adalah dengan kudeta! Tiada bezanya dengan Tragedi 13 Mei cuma Kudeta Perak tidak melibatkan pertumpahan darah. Ia hanya melibatkan tindakan lompat oleh tiga adun dari Jelapang, Changkat Jering dan Behrang. Tarikh 9 Febuari 2009 menjadi titik hitam politik Perak yang sekali lagi mencatatkan 'kemenangan tidak demokratik' oleh BN. Setahun selepas itu, seorang lagi adun DAP dari Malim Mawar turut melompat menyokong BN.

Kerajaan PR Kedah amat bernasib baik kerana tetap utuh bertahan walaupun berlaku lompatan wakil rakyat PR menyokong BN. Wujud gerakan sulit oleh pasukan perancang Umno untuk menarik beberapa wakil rakyat Keadilan menyertai BN atau wakil bebas yang pro-BN. Gerakan tersebut yang telah memberi tekanan kepada bekas adun Bukit Selambau, V. Arumugam bertindak meletakkan jawatan bagi mengelak isu peribadinya menjadi serangan berterusan pihak BN.

PR Kedah menang 22 kerusi dun sementara BN menang 14 dun. Namun dua wakil rakyat dari Keadilan iaitu Bakar Arang dan Lunas keluar parti menjadi wakil bebas pro-BN. Sasaran sebenar pasukan perancang Umno adalah untuk menarik lima wakil rakyat Keadilan menyertai BN. PR Kedah berkelebihan lapan kerusi dun. Jika rancangan itu berjaya, kedudukan akan berubah sekaligus BN kembali berkuasa.

Maka keperluan memenangi kelebihan dua pertiga dun wajar bagi mengelakkan taktikal politik 'membeli wakil rakyat' berlaku. Malah pada tahun 2009 lalu turut berlaku situasi empat wakil rakyat BN Negeri Sembilan ingin melompat menyertai PR. Sekiranya itu benar-benar berlaku, kerajaan BN Negeri Sembilan akan tumbang. Namun tindakan tersebut gagal kerana telah dibaca awal oleh BN.

Antara wakil rakyat BN yang disebut-sebut untuk melompat ketika itu adalah dari Klawang, Lenggeng,  Gemencheh dan Serting. Harus diingat bahawa walaupun kedudukan BN Negeri Sembilan berkelebihan tujuh kerusi daripada PR, mereka mempunyai kedudukan kuasa dan kewangan untuk menghalang wakil-wakil mereka untuk berpaling.

Potensi mencapai Misi 25

Untuk mencapai matlamat menawan dan memenangi Negeri Sembilan, PR NS wajar memperkukuhkan gerakan untuk mempertahankan kemenangan sedia ada disamping menambah kemenangan di beberapa dun yang berpotensi.

PRU 2008 lalu, PR NS memenangi 15 dun dengan Keadilan telah memenangi empat dun iaitu Ampangan, Sikamat, Chuah dan Port Dickson. DAP pula telah memenangi 10 dun iaitu Nilai, Lobak, Temiang, Rahang, Mambau, Senawang, Bukit Kepayang, Lukut, Repah dan Bahau. Manakala PAS memenangi Paroi.

Secara atas kertas termasuk hasil risikan badan-badan pengkaji, kesemua 15 dun ini mampu dipertahankan kemenangannya oleh PR. Logiknya kesemua dun ini berada dalam lingkungan bandar dan sub bandar yang memperlihatkan kecenderungan pemilihnya memihak kepada PR.

Nisbah kemenangan dun bagi mencapai Misi 25 mengikut parti adalah;
Keadilan (10), DAP (11), PAS (4)

Adakah ia mustahil?

Kawasan-kawasan dun yang berpotensi untuk dimenangi selain daripada 15 dun terdahulu adalah;
1. Pilah
2. Linggi
3. Jeram Padang
4. Juasseh
5. Rantau
6. Pertang
7. Chennah
8. Klawang
9. Johol
10. Lenggeng

Secara umumnya pada PRU 2008 lalu, sokongan pemilih mengikut kaum kepada PR di Negeri Sembilan adalah Melayu 28-31 peratus, Cina (65-68%) dan India (61-65%). Ada kawasan-kawasan tertentu yang memperlihatkan sokongan Melayu sangat rendah kepada PR khususnya di pedalaman Negeri Sembilan dan kawasan gugusan Felda seperti Jelebu, Jempol, Tampin dan Rembau sekitar 14-18 peratus sahaja!

Ini adalah cabaran terbesar PR NS untuk menembusi kubu Umno-BN khususnya bagi dun Chennah, Klawang, Pertang dan Juasseh umpamanya kerana faktor pemilih Melayu menajdi penentu kemenangan di kawasan-kawasan ini. Betapa peralihan sekurang-kurangnya 41 peratus diperlukan bagi memenangi kawasan tersebut disamping mengharapkan lonjakan sokongan maksima daripada pemilih Cina dan India.

Oleh itu, peralihan sokongan Melayu kepada PR seandainya mencapai 46 peratus di Negeri Sembilan, maka Misi 25 ini bakal menjadi kenyataan.