Thursday 15 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 4)

Luak Rembau (yang meliputi Dun Kota dan Chembong kini) telah wujud awal kurun ke-16. Kawasan ini telah mempunyai institusi politik dan pentadbirannya sezaman Kesultanan Melaka. Rembau juga menjadi tumpuan strategik politik Melayu klasik yang mencatatkan beberapa siri perang saudara melibatkan Rembau, Sungai Ujong dan Seri Menanti. 

Luak Rembau asalnya turut meliputi kawasan Tampin, Repah dan Keru. Perang Rembau 1833-34 telah menyebabkan Tampin bebas menjadi negeri atau luak berasingan.

Parlimen Rembau

Parlimen Rembau wujud hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Dun Rantau dan Paroi asalnya berada dalam parlimen Rasah dan Seremban, manakala Chembong dalam parlimen Telok Kemang dan Kota sebahagian daripada parlimen Tampin.

Keributan politik dalaman juga turut membadai Umno Rembau yang diketuai oleh MB Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Penentangan jelas kepada Mohamad Hasan dengan lima Umno Bahagian iaitu Seremban, Telok Kemang, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin menolak kepimpinan Mohamad selaku Pengerusi Umno NS. Hanya Umno Rasah yang menyokong beliau. 

Manakala Umno Tampin dan Jelebu umpama 'Lone Ranger'. Kepala kedua-dua bahagian ini-Shaziman Mansor dan Rais Yatim antara orang lama sebelum era Mohamad Hasan semacam 'membina' blok pengaruh masing-masing. Shaziman juga disebut-sebut bakal menjadi MB Negeri Sembilan bagi menggantikan Mohamad Hasan. Namun yang pasti, Shaziman tidak berada dalam pasukan Najib Razak tetapi bersama pasukan Muhyidin Yasin! Ini menampakkan pertembungan meletak 'cai' antara Najib-Muhyidin.

Parlimen Rembau dalam PRU 2008 telah ditandingi oleh Keadilan melawan Umno-BN. Manakala di peringkat dun, Pas bertanding di Paroi, Chembong dan Kota manakala Rantau ditandingi Keadilan. Selepas era Reformasi dan PRU 1999, pengaruh pembangkang agak merosot dikalangan pemilih Melayu di Chembong dan Kota. Hanya di Paroi dan Rantau memperlihatkan saingan sengit diberikan oleh PR kepada Umno.

Ketika era Reformasi 99, Umno hanya menang dengan kelebihan dua ribu undi ke bawah dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum sejak PRU 1969. Kedua-dua dun ini telah ditandingi oleh Keadilan. Namun begitu, blok-blok sokongan pembangkang ini telah berjaya dipecah-pecahkan melalui persempadanan semula yang mewujudkan Parlimen Rembau. Chembong dimasukkan ke dalam Rembau sebagai usaha licik SPR mengurangkan blok sokongan Melayu yang memihak kepada Barisan Alternatif ketika itu bagi mengimbangi kedudukan BN di Telok Kemang. 

Calon

Penentuan calon parlimen Rembau oleh Umno masih tidak dapat dipastikan kerana percaturan tidak dipersetujui antara Najib dan Muhyidin. Ketara sekali Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) tidak akan dicalonkan semula oleh Najib kerana mendapat nasihat Mahathir Mohamad agar tidak memberi ruang kepada Khairy. Pertengahan tahun ini, Khairy telah dilantik sebagai Pengerusi PUNB. Jika dinilai dari sudut politik, 'penganugerah
an' jawatan itu memberi petanda bahawa Khairy telah diberi tawaran baik oleh Najib untuk melepaskan keinginan bertanding sekali lagi di Rembau. Apakah 'kow-tim' ini akan berjalan lancar?

Kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia seakan tidak mendapat pengikhtirafan Najib Razak untuk memberi Khairy menjawat jawatan Menteri atas kuota tersebut. Ramai yang 'terkejut' kerana sebagai Ketua Pemuda, hak beliau dinafikan dan mencatat sejarah apabila seorang ketua sayap organisasi pusat tidak menjawat jawatan kabinet sekurang-kurangnya sebagai Timbalan Menteri. 

Sebelum berlangsungnya PRU 2008, Mohamad Hasan merombak dua kali senarai akhir calon-calon BN Negeri Sembilan khususnya calon-calon Umno. Senarai akhir pertama dikisahkan tersenarai beberapa nama-nama orang lama era Isa Samad, namun senari tersebut dinafikan beberapa hari sebelum penamaan calon senarai akhir itu dirombak, dan paling 'tragik' nama-nama orang pro-Isa Samad ramai digugurkan. Nama seperti Dr Firdaus Muhammad Rom, Dato' Rais Zainuddin (yang disebut-sebut calon MB baru NS menggantikan Mohamad Hasan ketika itu) dan Bibi Sharliza terpelantik keluar daripada senarai akhir pertama.

Akibatnya berlaku undi protes di kebanyakan kawasan parlimen termasuk Rembau atas tindakan 'berani' Mohamad Hasan tersebut. Paling ketara adalah di dun Paroi yang memperlihatkan undi protes penyokong Umno telah memberi kemenangan kepada Pas. Peringkat parlimen pula menyaksikan perolehan undi kemenangan oleh Khairy Jamaluddin datang dari dun Kota, manakala di Paroi, Rantau dan Chembong Khairy tewas di kebanyakan daerah mengundi. Bantuan undi pos juga turut menjadi penyelamat berharga kepada kemenangan beliau. Kehadiran peti undi akhir pada jam 10.30 malam yang 'didatangkan' bersama kehadiran Mohamad Hasan di pusat kiraan undi Dewan Pejabat Daerah Rembau pada 8 Mac 2008 lalu cukup diyakini adalah 'undi penyelamat' kepada Khairy.

Pelbagai andaian percaturan calon kedengaran di Rembau. Antaranya, Mohamad Hasan dikatakan akan dibawa ke parlimen. Kebarangkalian besar beliau bakal menjadi calon parlimen Rembau dan dengan kapisiti beliau sebagai Ketua Bahagian Rembau perkara itu tidak mustahil untuk diperbincangkan antara beliau dan Najib atau Muhyidin. Jika itu berlaku, kerusi Rantau bakal ditinggalkan tetapi siapakah calon kaliber Umno untuk kawasan dun itu? Andainya silap pemilihan calon, Rantau antara dun yang bakal ditawan oleh PR melalui Keadilan. Mohamad juga menyedari beliau bakal 'dinyahkan' oleh musuh-musuh politiknya, dan tidak mustahil akan berlaku percaturan luarbiasa antara beliau dan PR. Harus difahami bahawa dalam politik tiada perkara mustahil, segala serba mungkin!

Ketika masyarakat umum melihat pertelingkahan politik dalaman Umno berlaku, calon-calon kemungkinan PR bagi Rembau juga turut menjadi perhatian. Calon PR lalu, Badrul Hisham Shaharin dikatakan telah 'meninggalkan telapaknya' di Rembau dan perkhabaran yang bertebaran di seluruh negara menyebut beliau bakal bertanding di Pulau Pinang! Tidak dapat dipastikan sejauhmana keabsahan khabar ini. Muktahir ini, Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus dilihat menjalankan gerak kerja di Rembau. Gerakan itu turut melibatkan kerjasama program bersama Pas Kawasan Rembau. Ada riak-riak daripada masyarakat setempat bersetuju dan menyukai anak muda ini. Jika keputusan akhir penetapan calon peringkat pusat memilih Nazree, beliau bakal menjadi calon muda kedua selepas Badrul Hisham Shaharin mewakili PR di Rembau. 

Sebelum ini, kerusi Rembau telah dituntut semula oleh Pas atas alasan parlimen ini 'dipinjamkan' kepada Keadilan untuk PRU 2008, namun Pas telah mengugurkan tuntutan tersebut dan masing-masing bersetuju Keadilan kekal bertanding mewakili PR di Rembau. Jika sebaliknya berlaku, Pas NS dikatakan ingin meletak bekas Pesuruhjaya Pas NS, Dr Rosli Yaacob sebagai calon di situ. Dr Rosli 'diberitakan' bakal bertanding di Chembong yang merupakan kampung halaman beliau.

Potensi

Hakikatnya Umno kukuh berakar umbi di Rembau khususnya di Kota dan Chembong. Ombakan Reformasi 99 lalu telah berjaya disurutkan oleh Umno selepas tahun 2000 namun masih ada sokongan secara senyap oleh rakyat di Rembau terhadap PR. 

Secara jujurnya, keupayaan PR untuk menawan Rembau masih terbuka (50-50) sekiranya calon yang ditampilkan mempunyai kredibiliti dan kesantunan Melayu kampung. Harus difahami bahawa masyarakat kampung khususnya di Rembau tidak suka kepada politik maki-hamun dan mencerca, maka faktor ini wajar diambil kira oleh PR NS. Kesantunan dan kesopanan ini diperlukan bagi 'mencuit' hati masyarakat kampung untuk mengundi PR.

Dalam mencapai kemenangan di Rembau, sekali lagi isu kesepakatan kerjasama wajar diperkasakan oleh Keadilan dan Pas. Harus ada keseragaman gerak kerja bersama dalam memperlihatkan gerakan sepasukan agar dapat membina perspektif kepada rakyat tempatan bahawa PR NS telah bersedia untuk berkhidmat dan mentadbir Negeri Sembilan. Atas tujuan ini, pihak Pas khususnya wajar menampilkan calon-calon yang berkredibiliti berbanding calon terdahulu.

Adalah dijangka undi PR bagi calon parlimen akan disumbang banyak oleh undi-undi dari dun Rantau dan Paroi. Strategi dan gerakan khusus dalam meningkatkan undi untuk kemenangan di Chembong dan Kota wajar berterusan kerana Umno juga berharap undi kemenangan mereka di kedua-dua dun ini. Ia tidak mustahil kerana ketika era Reformasi 99 lalu kedua-dua kawasan ini, pengaruh Umno pernah menyusut yang nyaris ditawan oleh Barisan Alternatif!








No comments:

Post a Comment