Wednesday 26 December 2012

Analisa PRU-13-N14 Ampangan: bakal sengit!

Rashid Latiff
ADUN Ampangan 2008-kini
Kekalahan Umno di Ampangan dalam PRU 2008 lalu kepada Keadilan adalah sesuatu yang sangat mencalar kredibiliti mereka di dun tersebut. Jika Umno tewas kepada Pas mungkin tidak begitu mendalam kesakitan kekalahan. Umno hanya tewas dengan majoriti terkecil sebanyak 165 undi kepada Keadilan yang merupakan majoriti kemenangan terkecil bagi dun seluruh Negeri Sembilan!

Kemenangan Keadilan di Ampangan memberi suatu gambaran politik bahawa pemilih Melayu bandar di Seremban telah memperlihatkan penerimaan kepada politik Keadilan, perpecahan politik dalaman Umno dan  wujud persaingan sengit antara Umno-Keadilan untuk merebut undi Melayu.

Ampangan, Sikamat dan Paroi merupakan dun dalam kawasan bandar majoriti Melayu di Negeri Sembilan yang ketiga-tiganya telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Walaupun ada dun yang bersifat sub-bandar majoriti Melayu seperti Lenggeng dan Labu, ia masih dimenangi oleh Umno namun mereka kalah di lokaliti-lokaliti dalam bandar di kedua-dua dun ini.

Isu Lompat
Suatu masa selepas kemenangan iaitu antara April-September 2008, tersebar kisah akan berlaku wakil rakyat PR NS melompat parti. Antara yang disebut-sebut heboh adalah Adun Ampangan, Rashid Latiff. Namun begitu, Rashid pernah menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh orang-orang tertentu yang menwarkan habuan jutaan ringgit untuk 'berhijrah' ke pihak sebelah lain. Akan tetapi beliau telah menolaknya atas berpegang kepada prinsip perjuangan Keadilan.

Ini sebuah kisah menarik yang agak menggemparkan pihak Keadilan NS seketika tetapi penafian dan keterangan daripada pihak Rashid Latiff sendiri telah memadamkan isu tersebut.

Penerimaan 

Sebelum persempadanan semula 2003, Sikamat dan Paroi merupakan sebahagian daripada dun Ampangan. Ketika PRU 1999, Ampangan dan Senawang merupakan dun majoriti Melayu dalam bandar. Ombakan Reformasi tetap memberi kesan kepada perolehan undi kepada Umno di kedua-dua dun ini. Walaupun Umno menang namun majoriti yang diperolehi agak merosot berbanding majoriti PRU 1995.

Keputusan PRU 1995 menunjukkan dominasi kemenangan Umno di Ampangan yang memperolehi majoriti sebanyak 7,535 undi (65.03%) melalui calonnya, Dermataksiah Abdul Jalil dengan mendapat 9,561 undi (82.51%) mengalahkan calon Pas-Ustaz Haji Ghazali Abdul Kadir yang hanya memperolehi sebanyak 2,026 undi (17.49%). Tahun 1995-1999 merupakan penggal terakhir Umno merasai keselesaan menang dengan majoriti besar.

Peta DUN N14 Ampangan 
Ketika PRU 1999, kesan ombakan Reformasi perolehan undi popular Umno merosot mendadak sebanyak 26.22 peratus dengan mendapat 7,398 undi (56.29%) manakala calon Pas mendapat 5,458 undi (41.53%). Walaupun menang dengan majoriti 1,940 undi (14.76%), keputusan itu telah mengancam kedudukan politik Umno di Ampangan. Senario ini berlaku di semua kawasan majoriti Melayu seluruh negara yang menyaksikan kemerosotan undi Umno sekitar 20-30 peratus, dengan beberapa keputusan memihak kepada Barisan Alternatif dalam margin kemenangan yang sangat tipis! Hanya undi Bukan Melayu menjadi penyelamat Umno ketika itu.

Hakikat diakui bahawa Keadilan dianggotai lebih 60 peratus bekas ahli-ahli Umno yang digelar oleh kebanyakan penganalisis politik pro-kerajaan sebagai parti serpihan Umno. Serpihan ini menjadi selumba berbisa kepada keberadaan Umno kerana mereka ditentang sengit dan kental oleh Keadilan.

Keputusan PRU 2008 diimbas kembali. Calon Keadilan, Rashid Latiff memperolehi 5,679 undi (50.61%) manakala calon Umno, Mohd Nor Awang mendapat 5,514 undi (49.14%). Keadilan menang dengan majoriti 165 undi (1.47%) sahaja. Namun ia sudah cukup mencalar keberadaan politik Umno di Ampangan sejak sekian lama!

Signifikan daripada kemenangan itu adalah;

1.Pengaruh politik Keadilan (PKR) telah diterima semula oleh kebanyakan pemilih Melayu Ampangan.
Walaupun Keadilan tewas di daerah mengundi majoriti Melayu dalam dun ini seperti Ampangan, Kg Gedung Lalang, Taman Datuk Shahbandar dan Kg Jiboi, perolehan undi popularnya tidak merosot atau seteruk di bawah 36 peratus.

Saluran pengundi muda dilihat memberi kemenangan kepada calon Keadilan namun pengundi berumur
59 tahun ke atas kekal menyokong Umno. Akan tetapi pengundi atas pagar juga memihak kepada calon Umno atas beberapa faktor antaranya tidak menyakini calon lawan atau parti lawan.

Calon Keadilan memperolehi undi popular sebanyak 40.46 peratus di DM Ampangan, Kg Gedung Lalang (43.02%), Taman Datuk Shahbandar (48.59%) dan Kg Jiboi (41.14%). Ia boleh dianggap bahawa Keadilan telah mempunyai pengundi akar umbi sekitar 38-43 peratus di daerah-daerah mengundi tersebut dan mampu untuk menyaingi Umno. Jangkaan potensi PRU-13, Keadilan dijangka mampu memperolehi kemenangan di Taman Datuk Syahbandar  dan Gedung Lalang disamping meningkatkan perolehan undi sekitar 5-6 peratus di Ampangan dan Kg Jiboi.

2.Penerimaan majoriti bukan Melayu terhadap Keadilan di Ampangan.
Jika era PRU 1999 & 2004, penerimaan bukan Melayu akan rendah kepada politik Keadilan. Mungkin faktor sebagai parti baru dan dimomokkan oleh BN sebagai parti kucar-kacir memberi perspektif negatif kepada kebanyakan pengundi bukan Melayu. Ketidakstabilan menjadi asas kepada penolakan pengaruh Keadilan waktu itu.

Namun ketika PRU 2008, ruang selesa yang dimiliki oleh Umno melalui undi bukan Melayu tercalar. Bukti itu dapat dilihat melalui keputusan di daerah mengundi majoriti bukan Melayu seperti di Dusun Nyior, Taman Rahang dan Rahang Timor yang memberi undi kemenangan kepada Keadilan. Keadaan sudah terbalik dengan Umno pula tewas besar di kawasan-kawasan ini. Calon Keadilan memperolehi undi popular sebanyak 53.02 peratus di Dusun Nyior, Taman Rahang (66.57%) dan Rahang Timor (67.38%). adalah dijangka bahawa ketiga-tiga kawasan ini akan memberi undi kemenangan kepada Keadilan pada PRU-13 akan datang.

Kesan daripada kemenangan tersebut adalah;

1. Saingan sengit merebut undi Melayu antara Umno-Keadilan sejak 1999. 

2. Perpecahan meruncing politik dalaman Umno Seremban.
3. Penerimaan konsep politik pelbagai kaum, kemerosotan politik berteras kaum pemilih Melayu bandar.


Ampangan menjadi ukuran kepada kelangsungan politik Umno selepas PRU 2008 khusus di kawasan bandar. Jelas sekali sebelum era Reformasi 1999, pengaruh politik Umno di Ampangan sangat mencengkam dan membuktikan pengaruhnya bukan merangkumi Melayu Felda dan luar bandar sahaja.

Kemunculan Keadilan sebagai wadah politik baru rakyat Malaysia, menampilkan gabungan kepelbagaian kaum dan latarbelakang politik menjadi ancaman terbaru kepada Umno-BN. Umno sudah biasa dan mampu menyaingi politik Pas dan DAP akan tetapi mereka agak sukar berhadapan dengan saingan daripada Keadilan.

Ampangan menjadi pentas sengit antara Umno-Keadilan untuk merebut undi Melayu bandar. Jika era sebelum 1999, ungkapan 'letak kambing-lembu' pun Umno boleh menang mudah di sini. Suasana itu berubah drastik pada 8 Mac 2008, ungkapan itu terus terpadam dan telah tersebar kalau letak MB pun Umno belum tentu menang di Ampangan!

Ia suatu perubahan yang menunjukkan pengundi-pengundi Melayu bandar sudah kritis dan menilai politik secara betul serta tidak mengikut atau terima suap segala macam yang dimomokkan oleh Umno sebagaimana sebelum ini. Umno berdepan cabaran terhebat untuk menampilkan kredibiliti dari segi maruah parti dan imej bakal calonnya bagi menyaingi politik baru yang dibawa oleh Keadilan & Pakatan Rakyat.

Secara data, sokongan pemilih Melayu bandar seperti di Ampangan, Sikamat dan Paroi kepada PR berada di paras 43-46 peratus. Memang benar selebihnya masih menyokong Umno, namun keceramukan dalaman politik Umno Bahagian Seremban mampu membinasakan sokongan tersebut. Tabiat cantas-mencantas dan memboikot suatu yang lumrah dalam politik Umno. Individu atau kumpulan yang tidak terpilih menjadi calon, kerap sekali memporak-peranda pasukan sendiri! Itu hakikat bukan andaian. Kisah-kisah keceramukan itu ditebar-jaja oleh orang-orang Umno sendiri....masing-masing sedang berebut untuk menjadi calon samada di Ampangan, Sikamat dan Lenggeng.

Calon

Ini adalah isu menarik di sini. Persoalan calon amat menjadi tumpuan hangat samada di pihak Umno mahupun Keadilan.
Zakaria Nordin

Umno dikatakan bakal meletakkan bekas exco & wakil rakyat kawasan ini iaitu Zakaria Nordin yang dianggap sebagai 'winnable candidate'.

Selain daripada itu, kedengaran juga nama Ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salwati Abdullah dicanangkan sebagai calon Ampangan. Jika dilihat profil, beliau juga ada kredibiliti untuk diangkat sebagai calon terbaik Umno di sini. Calon wanita pernah diletakkan oleh Umno di Ampangan iaitu Dermataksiah Abdul Jalil.

Sering juga kelihatan banner-banner ucapan perayaan yang dinaikkan di sekitar pusat bandar Ampangan memaparkan wajah Ketua Pemuda Umno Seremban. ada kemungkinan beliau turut berhasrat untuk menjadi calon Ampangan. Namun begitu, kisah-kisah atau skandal politik dikatakan mencengkam kredibiliti beliau. Ada riak-riak penentangan terhadap Ketua Pemuda Umno Seremban yang dilihat lebih seronok'memakan' projek-projek yang dianugerahkan kepada beliau! Mungkin beliau bukan calon yang baik untuk ditampilkan oleh Umno.

Sudah pasti prestasi wakil rakyat Ampangan kini, Rashid Latiff menjadi isu utama yang dimainkan oleh Umno kerana dikatakan kurang 'kelihatan' di kawasan sendiri. Malah di peringkat dalaman pihak Keadilan, ada kemungkinan calon baru bakal diletakkan di sini.

Namun yang pasti, Rashid Latiff dikatakan tidak berminat untuk dicalonkan semula. Nama seperti Ketua Keadilan Seremban, Dr Ahmad Azam Hamzah, Timbalannya-Rafaie Abdul Malek dan Ketua AMK Negeri Sembilan-Nazree Yunus antara yang disebut-sebut sebagai calon di Ampangan. Setakat ini, Rafaei Malek dilihat aktif menjalankan gerak kerja di sekitar Ampangan. Namun begitu, beliau bukan menjadi calon 'favour' Keadilan Negeri Sembilan untuk diletakkan di sini.

Potensi

Umno Seremban sangat menyakini dapat merampas kembali Ampangan berdasarkan majoriti kemenangan Keadilan yang kecil. Mereka hanya memerlukan peralihan undi atau 'swing' hanya 3-4 peratus sahaja. Itu secara data. Manakala dari perspektif politik pula, Umno pasti akan membangkitkan isu wakil rakyat Keadilan tidak menjalankan tugasnya di kawasan. Umno berpotensi menokok undi bagi menjana kemenangan di DM Ampangan, Gedung Lalang dan Kg Jiboi bagi peralihan 3-4 peratus undi kemenangan.

Halangan Umno di Ampangan adalah keceramukan politik dalaman mereka sangat meruncing. Pertentangan antara Ketua Bahagiannya, Ishak Ismail dengan Mohd Nor Awang bukan reda tetapi meredam menanti untuk kembali diletupkan. Ada ketidakstabilan politik yang wajar diselesaikan oleh Umno jika ingin memacu kemenangan. Itu belum dicampur lagi dengan pertentangan yang berlaku dalam kem Pemudanya.

Keadilan sangat menyakini dapat mempertahankan kemenangan berdasarkan gerak kerja konsisten yang dilakukan oleh Keadilan Seremban. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, secara data Keadilan sudah mempunyai sokongan akar umbi sekitar 38-41 peratus di sini. Kehadiran pasukan petugas Keadilan turut disedari dan dikenali oleh kebanyakan penduduk di Ampangan.

Peningkatan sokongan semasa Bukan Melayu khusus kaum Cina kepada PR iaitu sekitar 76-80 peratus bakal menjadi pemangkin besar kepada perolehan undi buat Keadilan. Malah sokongan semasa kaum India bandar kepada PR agak tinggi iaitu sekitar 63-66 peratus.

Kepastiannya adalah pertentangan sengit bakal berlaku di Ampangan. Jika Umno tewas, ia suatu petanda mutlak pengaruh Umno ditolak majoriti Melayu bandar Negeri Sembilan!

Jangkaan BN
BN: 55%
PR: 45%

Andaian Penulis
PR: 54%
BN: 46%

Monday 17 December 2012

Analisa PRU-13 NS: Undi Melayu Luar Bandar penentu kemenangan

Senario sokongan pengundi Melayu di Negeri Sembilan amat berbeza dengan pengundi Melayu di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan atau pun di Selangor. Pemilih Melayu di Kedah dan Kelantan umpamanya mendominasi lebih daripada 80 peratus pecahan pemilih mengikut kaum (melainkan kawasan bandar). 

Begitu juga di Selangor yang dipengaruhi oleh sebaran maklumat yang lebih pantas dan luas sekitar Lembah Kelang membentuk corak sokongan pengundi Melayu yang tinggi kepada Pakatan Rakyat. Sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat pada PRU 2008 di Selangor adalah sekitar 51-55 peratus secara keseluruhan. Manakala jika dinilai mengikut kawasan, pengundi Melayu bandar lebih tinggi iaitu 53-56 peratus dan di luar bandar antara 48-52 peratus.
Namun begitu, pengundi Melayu di Negeri Sembilan amat berbeza walaupun negeri ini berhampiran dengan Selangor. Ombakan politik di kalangan pemilih Melayu tidak menyeluruh tetapi masih mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu di kawasan perbandaran dalam Telok Kemang, Rasah dan Seremban. 

Secara umum, sokongan pengundi Melayu keseluruhan Negeri Sembilan kepada Pakatan Rakyat adalah sekitar 28-31 peratus sahaja. Secara khusus mengikut kawasan, sokongan pengundi Melayu bandar agak tinggi iaitu sekitar 39-45 peratus, manakala di luar bandar antara 26-35 peratus. Ini tidak termasuk sokongan pemilih Melayu kawasan Felda. Ia telah dibincangkan dalam penulisan sebelum ini.

Faktor Dominasi 

Sekali lagi ia hakikat yang wajar diakui oleh PR bahawa lebih 80 peratus kawasan kampung luar bandar yang diduduki oleh majoriti masyarakat Melayu dikuasai oleh Umno. Ini meliputi kawasan kampung tradisional, kampung tersusun, kampung baru dan perumahan luar bandar (rumah rakyat dan rumah murah).

Kalau dilihat kawasan-kawasan ini dalam Negeri Sembilan paling wajib terpacak adalah papan tanda Umno dan bendera Umno-BN yang terkibar di balai raya atau pintu gerbang masuk kampung! Itu pemandangan lumrah di sekitar Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan beberapa kawasan di Seremban dan Port Dickson. Akan tetapi masih ada juga 'kepalo bega' atau degil di kalangan pemilih-pemilih kampung yang kental menyokong pembangkang. Belum berlaku 100 peratus sesuatu kawasan atau daerah mengundi itu pembangkang tidak mendapat undi, jika peringkat lokaliti mungkin pernah terjadi. Hatta kawasan hitam untuk PR seperti Felda Bukit Rokan Barat pun, masih ada 27 undi yang diterima oleh PR!

Antara kaedah penting yang dibuat oleh Umno dalam menguasai undi-undi Melayu luar bandar adalah melalui penubuhan cawangan di setiap lokaliti atau kawasan. Hampir kesemua kampung akan ada cawangan Umno, dan sekali-kali akan kelihatan kampung yang mempunyai markas Pas dan jarang-jarang bagi melihat kewujudan ranting Keadilan. Ini suasana benar Umno mencengkam pengaruhnya di kampung-kampung. Ketua kampung secara automatiknya akan mengepalai unit terkecil Umno dan diberikan peranan 'menguasai' dan 'memantau' undi-undi Melayu kampung. 

Jika berlaku peralihan sokongan atau muncul pengaruh pembangkang, kaedah pemulauan kerap dilaksanakan kepada individu-individu yang dikenalpasti menyokong pembangkang. Pemulauan ini mudah dilaksanakan kerana komuniti kampung tidak serumit komuniti bandar. 

Tiap-tiap ketua kampung akan dibantu oleh ahli jawatankuasanya bagi melaksanakan 'pemantauan' dan 'menjaga' undi-undi tersebut agar kekal bersama Umno. Oleh kerana itu, agak sukar bagi sesetengah kawasan kampung untuk ditembusi oleh jentera Pakatan Rakyat sekiranya tiada bantuan orang tempatan atau wujud jentera atau aktivis senyap tempatan.

Kaedah ini telah berakar umbi sejak selepas merdeka lagi dan lebih hebat diperkasakan selepas Tragedi 13 Mei 1969. Sentimen perkauman ulung Umno iaitu 'ketuanan Melayu' antara yang menjadi azimat terhebat mereka menguasai pemikiran pengundi-pengundi Melayu kampung.

Analisa

Kawasan dun di Negeri Sembilan yang meliputi lebih daripada 70 peratus kawasan kampung majoriti Melayu adalah Seri Menanti, Juasseh, Kota, Chembong, Johol, Senaling, Lenggeng dan Klawang. Nisbahnya adalah jika sesebuah dun itu mempunyai 10 daerah mengundi (DM) dengan tujuh daerah mengundi tersebut merupakan kawasan kampung majoriti Melayu. Dun Klawang umpamanya mempunyai tujuh DM dengan lima DM adalah kawasan kampung majoriti Melayu. Manakala dua lagi merupakan DM majoriti Cina.

Seri Menanti dan Kota boleh dianggap sebagai medan terbaik menilai tahap sokongan pengundi Melayu samada kepada PR atau Umno-BN. Seri Menanti mempunyai 13 DM dengan 12 daripadanya merupakan DM kawasan kampung Melayu manakala Kota mempunyai 15 DM dengan 14 daripadanya adalah kawasan kampung majoriti Melayu. Pada PRU-13 akan datang, Keadilan akan bertanding di Seri Menanti dan Kota kekal ditandingi Pas.

Apakah PR langsung tidak boleh menembusi kawasan kampung majoriti Melayu ini?

Analisa dipermudahkan agar tidak kusut untuk difikir-baca. Dun Pertang menjadi contoh mudah. Dun ini mempunyai dua DM yang hampir 100 peratus pemilih Melayu iaitu Jerang (99.8%) dan Kampung Petaseh (99.6%). Ada beberapa gambaran yang boleh difikirkan dari dua DM ini.

Antaranya adalah;
  1. Walaupun Umno menang di Jerang tetapi calon Keadilan memperolehi 42.57 peratus undi popular pada PRU 2008. Umno hanya menang dengan majoriti 52 undi sahaja. Ada kemungkinan besar jika gerak kerja ditumpu dan diperkemaskan, Keadilan mampu memenangi DM ini pada PRU-13.
  2. Berbeza di DM Kampung Petaseh, Keadilan hanya mendapat undi popular 30.37 peratus berbanding Umno yang memperolehi 69.63 peratus undi popular. Namun begitu, jika betul kaedah ombakan politik dan strategi khusus, Keadilan mampu meningkatkan peratus sokongan walaupun sukar untuk menang kerana kekuatan jentera Umno cawagan Kg Petaseh yang menjadi blok sokongan tegar Rais Yatim. Di sini beberapa jentera Pas Petaseh agak aktif bergerak. Untuk menang di Kg Petaseh, memerlukan peralihan 20 peratus undi. Bagi kawasan seperti ini peralihan 5-10 peratus sudah cukup memadai.

Jika diteliti keputusan-keputusan PRU 2008 lalu, di kebanyakan kawasan DM majoriti Melayu perolehan undi popular Pas dan Keadilan tidaklah begitu merundum sehingga bawah 20 peratus, terdapat beberapa dun yang mencatat undi popular di DM-DM majoriti Melayu di paras 30 peratus ke atas seperti Serting, Juasseh, Pertang, Jeram Padang, Pilah, Seri Menanti, Klawang, Lenggeng dan Chembong. Kawasan-kawasan ini sebenarnya mampu ditingkatkan peratus sokongan antara 5-8 peratus. Bagi dun yang mempunyai DM campuran dijangka mampu dimenangi oleh PR dan akan membantu lonjakan undi besar PR. Hanya peralihan 5-8 peratus di kawasan majoriti Melayu akan menambah nilai kemenangan.

Mana-mana DM majoriti Melayu yang mencatat undi popular bawah 20 peratus merupakan situasi sukar dan kawasan gelap kepada PR. Ini memerlukan ombakan politik luar biasa yang mampu mengalihkan undi pemilih kawasan seperti ini secara mengejut. Namun wajar diberi perhatian seperti Gemas walaupun ada isu nasional berlaku di situ iaitu NFC, akan tetapi ia masih belum cukup mengesan jiwa kepada pemilih-pemilih Melayu luar bandar khususnya kawasan kampung dan felda.

Ini merupakan cabaran kepada jentera pilihanraya dan penerangan PR untuk menjelas dan menyentuh pengundi-pengundi Melayu kampung dengan cara yang lebih berkesan berkenaan isu-isu penting!

Secara umumnya, tahap sokongan pemilih Melayu luar bandar (kawasan kampung) berada di antara 28-31 peratus. Terpulang sendiri kepada jentera pilihanraya komponen PR menggerakkan strategi dan kaedah-kaedah berkesan secara khusus di kawasan-kawasan ini. Mungkin tumpuan yang betul akan mampu melonjak perolehan undi popular walaupun tidak menang tetapi membantu kemenangan secara keseluruhan sesuatu dun!

Thursday 13 December 2012

Analisa PRU-13 NS: menangani & menembusi undi kawasan Felda

Kawasan petempatan Felda merupakan blok sokongan terkuat Umno-BN selepas kawasan kampung-kampung tradisi Melayu luar bandar. Ini perkara hakikat yang wajib dan wajar diterima oleh Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sembilan. 

Parlimen Jelebu, Kuala Pilah dan Rembau boleh dikategorikan mempunyai lebih 60 peratus kawasan kampung tradisi Melayu manakala Parlimen Jempol dan Tampin mempunyai 45-60 peratus kawasan Felda. Kawasan-kawasan ini menjadi 'deposit undi' kepada Umno untuk memenangi kebanyakan dun termasuk parlimen terbabit. 
Berbeza dengan Seremban, Rasah dan Telok Kemang yang diliputi oleh 55-70 peratus kawasan perbandaran, sub-bandar dan perindustrian. Ia menjadi 'kubu kuat' kepada Pakatan Rakyat sejak PRU 2008 lalu dan ia juga hakikat yang wajib dipertahankan oleh Pakatan Rakyat agar tidak terlepas dikuasai kembali oleh Umno-BN.

Menembusi Felda

Kemenangan PR di Negeri Sembilan bukan semata-mata bergantung kepada undi-undi pemilih bandar, sub bandar dan kaum Cina tetapi wajar diperluaskan kepada pemilih kawasan Felda. Harus difahami bahawa undi daripada para pemilih kawasan Felda mempengaruhi kemenangan besar Umno-BN di Negeri Sembilan. Itu belum dicampur dengan manipulasi undi pos (tentera, polis, polis hutan) yang sudah pasti 75 peratus ke atas 'memihak' Umno-BN!

Terbukti melalui keputusan PRU 2008 di beberapa dun yang mempunyai kawasan Felda seperti Chennah, Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Jeram Padang, Gemas, Gemencheh dan Senaling membantu meningkatkan undi Umno-BN. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, undi pemilih kawasan Felda adalah 'fix-deposit' kepada Umno-BN. 

Secara umum di Negeri Sembilan, Keadilan dan Pas bertanding di kawasan-kawasan Felda ini (kecuali Chennah). Pas telah berpengalaman bertanding di kawasan-kawasan ini sejak PRU 1964 lagi. Kebanyakan kawasan Felda dalam Negeri Sembilan dibuka seawal tahun 1963.

Sebelum PRU 1964, ada beberapa dun Negeri Sembilan seperti Gemas, Labu dan Pertang tidak wujud kawasan petempatan Felda. Malah pada PRU 1959, dun-dun ini telah dimenangi oleh calon-calon dari Front Sosialis dan Bebas. Secara strategi jangka panjang, kewujudan petempatan Felda di dun-dun tersebut selepas tahun 1963 telah 'membunuh' blok sokongan Front Sosialis melalui peningkatan undi-undi dari para peneroka Felda yang majoritinya adalah kaum Melayu. 

Penerimaan

Secara purata, undi popular yang diperolehi oleh PR di kawasan-kawasan Felda ini adalah sekitar
23-36 peratus. Namun begitu, jika dipecahkan peratus sokongan mengikut parti bertanding angkanya agak berbeza.

Pada PRU 2008 lalu, Keadilan bertanding di Labu, Palong, Jeram Padang dan Pertang. Kesemua dun ini mempunyai daerah mengundi kawasan Felda. Palong satu-satunya dun yang terdiri daripada 100 peratus daerah mengundi kawasan Felda. Ia adalah satu ukuran sebenar dan agak tepat untuk dijadikan penilaian tahap sokongan dan penerimaan masyarakat Felda kepada PR.

Dun Palong khususnya mempunyai sembilan daerah mengundi. Kawasan ini juga tidak mempunyai undi pos. Ia merupakan antara blok sokongan terkuat Umno di Jempol dan Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun, ada beberapa analisa yang wajar diambil perhatian oleh PR Negeri Sembilan. 

Antaranya adalah walaupun kawasan ini adalah 100 peratus kawasan petempatan Felda, namun Keadilan memperolehi undi popular serendah 22 peratus dan setinggi 42 peratus! Ia membuktikan akar sokongan kepada PR sememangnya wujud di Palong walaupun di tengah-tengah kubu kuat Umno. Malahan perolehan undi popular Keadilan tidak jatuh di bawah paras 20 peratus. Itu asas kuat bahawa bukan semua kawasan Felda menolak pengaruh PR.

Ada beberapa kawasan Felda yang boleh dianggap kritikal (kawasan hitam) kepada PR jika dinilai melalui perolehan undi popularnya di bawah 20 peratus. Antara kawasan tersebut adalah Bukit Rokan Barat (dun Jeram Padang) dengan undi popular diperolehi oleh Keadilan hanya 4.75 peratus sahaja atau 27 undi daripada 569 undi. Ada pengecualian di kawasan ini kerana calon Keadilan yang diletakkan di Jeram Padang adalah dari kaum India. Namun itu tidak menjadi isu besar kerana BN meletakkan calon MIC di sini!

Kawasan lain adalah; (nama kawasan)/dun+ parti/undi popular;

1. Felda Kepis (dun Senaling/ PAS)-Undi Popular: 11.81%
2. Felda Jelai 1 & 3 (dun Gemas/PAS)-Undi Popular: 14.43%
3. Felda Jelai 2 & 4 (dun Gemas/PAS)-Undi Popular: 12.58%
4. Palong 1 (dun Jeram Padang/Keadilan)-Undi Popular: 18.08%

Lima kawasan Felda ini boleh dikataegorikan sebagai sukar kepada PR untuk ditembusi. Ada beberapa faktor yang menjadi kesukaran tersebut iaitu;

1. calon yang tidak berkredibiliti tinggi dan tidak diyakini oleh masyarakat Felda.
2. kurang gerak kerja seperti sentuhan pengundi, edaran risalah, program-program masyarakat
3. ketiadaan jentera di peringkat akar umbi di kawasan tersebut.
5. tiada gerak kempen semasa tempoh berkempen samada dari calon atau jentera pilihanraya.

Peluang

Pakatan Rakyat sebenarnya mempunyai peluang untuk meningkatkan sokongan daripada para pengundi kawasan Felda. Sekali lagi fakta ini diulang-sebut, pada PRU 2004 lalu di Dun Pertang calon Keadilan telah menang di Pasoh 4 dan ia merupakan satu-satunya kawasan felda yang dimenangi oleh pembangkang di Negeri Sembilan. Keadilan memperolehi undi popular 52.58 peratus!


Calon Keadilan ketika itu, saudara Shahril Zakaria (kini Naib Ketua 1 Cabang Jelebu) telah memperolehi sebanyak 387 undi berbanding calon Umno-BN yang mendapat 336 undi dengan kelebihan kemenangan sebanyak 51 undi! Undi rosak adalah sebanyak 13 undi. 

Ketika itu, Pasoh 4 mempunyai 959 pemilih berdaftar. Jumlah keluar mengundi adalah 736 orang. 
Maklumat penggundian di Daerah Mengundi Pasoh 4 ketika itu adalah seperti berikut;

Jumlah Pemilih Berdaftar: 959
Jumlah Keluar Undi: 736 (76.75%)
Pecahan Undi: KEADILAN-387  BN-336
Saluran 1: KEADILAN-76     BN-217
Saluran 2: KEADILAN-311  BN-119
Majoriti: 51
Undi Rosak: 13

Sejarah tersebut dilihat mampu diulangi semula di kebanyakan kawasan felda khususnya di Dun Palong, Serting, Jeram Padang dan Pertang kerana berlaku gerakan pembelaan hak peneroka yang konsisten dijalankan sejak pertengahan 2009 lalu. 

Mengambil contoh di Palong, gerakan pembelaan peneroka khususnya berkaitan tanam semula pokok getah yang diketuai oleh mantan calon Keadilan, Rebin Birham di Palong 6 sejak tahun 2007 telah memberi impak kepada perolehan undi. Pada PRU 2008 lalu, beliau memperolehi undi popular 42 peratus di daerah mengundi Palong 6 dan ia merupakan perolehan tertinggi oleh calon PR yang bertanding dalam dun yang mempunyai kawasan Felda dalam Negeri Sembilan! Calon Pas di Dun Gemencheh turut mencatat perolehan undi popular kedua tertinggi iaitu 41.25 peratus di daerah mengundi Bukit Rokan.

Seandainya gerakan itu menjadi asas, maka tidak mustahil gerakan saman yang dilakukan oleh para peneroka di Felda Raja Alias, Serting Hilir, Pasoh dan Palong sekitar tahun 2010 hingga 2012 mampu diterjemahkan ke dalam bentuk undi. Sekiranya berlaku peningkatan 5 hingga 10 peratus undi, besar kemungkinan ada dun-dun terbabit bakal dimenangi oleh PR.

Jika dilihat data atas kertas dan sejarah pilihanraya, ada dun-dun tertentu dikira 'tiada harapan menang' kerana perolehan maksima undi peneroka felda kepada Umno-BN. Namun begitu ia bukan menjadi halangan kepada PR menghasilkan sesuatu yang luarbiasa. Dun Sungai Lui umpamanya dilihat dari segi sejarah pilihanrayanya merupakan kubu ampuh Umno yang sukar ditewaskan kerana perolehan majoriti yang selesa hatta semasa tempoh kritikal Umno (PRU 1990, 1999 & 2008). Ia ibarat jika BN letak 'kambing' pun boleh menang!

Akan tetapi agak menarik sebenarnya bahawa dun Sungai Lui mampu dimenangi PR kerana undi popular Pas di daerah-daerah mengundi kawasan Felda tidak kurang daripada 21 peratus. Ada beberapa daerah mengundi yang mencatat perolehan undi popular Pas mencecah 30 peratus ke atas iaitu;
1. Sungai Lui (31.52%)
2. Lui Selatan (30.46%)
3. Lui Barat (32.16%)
4. Lui Muda (29.23%)
5. Lui Timur (29.56%)

Persoalannya, apakah PR mampu meningkatkan peratus sokongan sekurang-kurangnya mampu memberi tentangan sengit kepada Umno-BN? 

Pengundi muda (21-39 tahun) menjadi pemangkin utama dalam menentukan kemenangan di kawasan Felda. Peratusan kelompok ini sekitar 15-23 peratus dalam jumlah keseluruhan pemilih akan menjadi rebutan antara Umno-BN dan PR. Jika di kawasan bandar, sub-bandar dan perindustrian kelompok ini dilihat condong kepada PR kebanyakannya, namun di kawasan Felda kelompok ini agak sukar dipastikan kecenderungan pilihan politik mereka. Sudah pastinya, Umno-BN masih mencengkam dan 'memiliki' undi-undi orang muda ini.


Thursday 6 December 2012

Sistem Politik BN Caturan 1970 menuju penamat! (Bahagian 1)

Ucapan penggulungan di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 agak memperlihatkan nada-nada politikus dan tidak bersifat negarawan. Nampaknya sejak ucapan perasmian oleh pemuka-pemuka Umno dalam sayap dan perhimpunan utamanya lebih gemar 'menelanjangkan' dan penuh cacian terhadap parti-parti lawan termasuk pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Jika dilihat tema PAU kali ini seakan membuktikan parti kebangsaan Melayu ini sperti telah bersedia 100 peratus untuk menghadapi PRU-13 akan datang. 

Salah seorang Naib Presidennya, Hishamuddin Hussein telah menyatakan bahawa Umno itu lebih tertib daripada Pas, lebih inklusif daripada DAP dan lebih demokratik daripada Keadilan. Mungkin beliau cuba membuat perbandingan bagi membuktikan kepada para perwakilan dan penonton siaran langsung PAU bahawa Umno ada dinamika daripada parti-parti lawan. Namun, ada sudut yang silap oleh Hishamuddin dalam perbandingan politik tersebut.

Ciri organisasi

Sebelum PRU 2008, perkataan rakyat amat jarang menjadi sebutan yang sinonim bagi pihak Umno khususnya. Ia adalah kerana kemenangan PRU 2004 memberi keyakinan melampau bahawa rakyat tetap akan memilih Umno-BN dan pihak Umno juga khususnya Najib Razak, Hishamuddin Hussein dan beberapa pemuka atasannya percaya bahawa pengaruh pembangkang akan terus merundum secara menyeluruh.

Namun setelah PRU 2008 dan 'meragut' banyak kerusi Umno-BN, pihak ini menjadi panik dan tidak ketentuan setelah diberi tamparan hebat Tsunami Politik yang tidak diduga oleh Umno-BN selama ini. Secara hakikatnya, formula penyusunan politik yang dirangka oleh pasukan Abdul Razak Hussein pada tahun 1969-1971 itu telah mencapai kemuncaknya pada tahun 2008. Ini bermaksud kitaran politik susunan Umno-BN itu telah melalui aliran merundum dan memerlukan pembaharuan semula (rebranding) bagi melonjakkan semula aliran menaiknya!

Pihak Umno-BN merasai keselesaan menguasai dua pertiga kuasa dalam negara ini selama 38 tahun. Tarikh 8 Mac 2008 menjadi titik puncak kepada susunan politik 1970 itu. Allah SWT telah memberi rahmat kemenangan buat Pakatan Rakyat dan rahmat kekalahan kepada Umno-BN untuk dinilai oleh kedua-dua pihak. Maka istilah 'rakyat' kembali dituturkan secara konsisten oleh pemuka-pemuka Umno bagi membayangkan bahawa mereka juga tidak ketinggalan gerabak dan meniru kaedah-kaedah PR yang lebih mesra rakyat!

Umno itu secara sendirinya adalah sebuah pertubuhan berasaskan kaum iaitu Melayu dengan arah perjuangannya atau idealisma nasionalis (kebangsaan). Segala rumpun Melayu seperti Jawa, Banjar, Batak, Acheh, Minang, Bugis, Mendailing dan terkini Mamak dirangkumkan sebagai bangsa Melayu. Ini termasuk manusia-manusia Bumiputera Sabah yang turut 'di-melayu-kan' oleh Umno.

Berbeza dengan Keadilan dan DAP, kedua-duanya merupakan pertubuhan pelbagai kaum. DAP ditubuhkan pada tahun 1965 merupakan parti pelbagai kaum yang didominasi oleh kaum Cina. Sebelum itu, wujud pakatan Front Sosialis yang mengabungkan dua parti pelbagai kaum iaitu Parti Rakyat dan Parti Buruh. Keupayaan Front Sosialis menarik sokongan daripada pelbagai kaum tanpa perlu ada organisasi terasing mengikut ras kaum sekitar tahun 1955-1965 cukup menakutkan Umno sebenarnya. 

Secara mudahnya, konsep Perikatan (terdiri daripada Umno-MCA-MIC) adalah tiap-tiap komponennya bertumpu kepada kaum sendiri tetapi harus memacukan sokongan setiap kaum itu kepada Perikatan. Umno bertumpu kepada kaum Melayu, MCA kepada kaum Cina dan MIC kepada kaum India. Akan tetapi bagi Front Sosialis asas perjuangannya adalah rakyat iaitu melibatkan semua kaum di Malaya waktu itu tanpa mengira Melayu, Cina, India atau Serani. Pakatan ini bergerak dalam sebuah unit organisasi yang besar dan bertumpu kepada seluruh rakyat. Keadaan ini memperlihatkan penyatuan politik semua kaum dalam satu unit negara bangsa. Ia sangat menakutkan Umno-Perikatan kerana suasana tersebut 'membunuh' politik perkauman yang didokong oleh mereka. Ini kerana keterlibatan semua pimpinan dari pelbagai kaum Front Sosialis lebih disenangi rakyat waktu itu.

Sistem Politik Aturan 1949

Malah penjajah Inggeris sebelum merdeka telah berusaha mematikan gerakan politik PUTERA-AMCJA yang dilihat lebih berjaya menyatukan semua kaum di Malaya sebagai satu bangsa negara berbanding Umno yang berpegang kepada konsep 'Hidup Melayu' ketika era 1946-49.

PUTERA-AMCJA terlebih dahulu mendepani perjuangan menuntut kemerdekaan dan bersedia dengan Perlembagaan Rakyat yang telah ditolak oleh British. Hartal pada 27 Oktober 1947 benar-benar melumpuhkan ekonomi Malaya ketika itu yang digerakkan oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council Joint Action (AMCJA).

Penjajah British keadaan tersebut akan merencat rancangan mereka untuk 'menguasai' secara tidak langsung Malaya walaupun setelah negara ini merdeka. British tidak mahu ada pihak yang menghalang rancangan mereka mengatur dan mencatur Malaya setelah dimerdekakan. Maka gerakan Putera-AMCJA wajar dicantas!

Bermula dari titik itulah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan oleh British sebagai alat membendung kebangkitan rakyat melalui gerakan tersebut. Semua parti-parti politik yang menentang aspirasi British telah distatuskan sebagai 'politik kiri' dan parti-parti berasaskan kaum seperti Umno, MIC dan MCA diangkat sebagai 'pewaris' pemerintahan Malaya. Kebanyakan parti yang berhaluan kiri ini dikaitkan oleh penjajah British dengan anasir komunis dan diharamkan.

Era 1949-1957 memperlihatkan gerakan politik bukan Perikatan 'dibunuh' oleh British dan ketika itu juga penentangan Parti Komunis Malaya begitu agresif terhadap kerajaan British Malaya. Keadaan itu juga memberi kelebihan politik kepada British untuk memainkan sentimen bahawa PKM sebagai ancaman keselamatan negara. Malah ada agen-agen British yang sebenarnya mencetuskan 'serangan keganasan' yang berperanan untuk dijadikan ia sebagai cetusan oleh PKM! Jangan kita lupa bahawa British turut berhadapan dengan penentangan yang lebih hebat dari gerakan kemerdekaan Eire (Ireland) dan India sebelum itu. Gerakan gerila IRA (Irish Republican Army) telah menjalankan penentangan yang hebat sejak tahun 1919 sehingga 1921. Kaedah-kaedah 'mencetus provokasi & keganasan' adalah permainan penting para agen risikan British untuk membunuhkan gerkan-gerakan penentangan itu.

Selepas merdeka pada 31 Ogos 1957, banyak parti politik 'dibenarkan' penubuhannya oleh kerajaan baru Malaya sebagai mendokong aspirasi demokrasi.