Wednesday 26 December 2012

Analisa PRU-13-N14 Ampangan: bakal sengit!

Rashid Latiff
ADUN Ampangan 2008-kini
Kekalahan Umno di Ampangan dalam PRU 2008 lalu kepada Keadilan adalah sesuatu yang sangat mencalar kredibiliti mereka di dun tersebut. Jika Umno tewas kepada Pas mungkin tidak begitu mendalam kesakitan kekalahan. Umno hanya tewas dengan majoriti terkecil sebanyak 165 undi kepada Keadilan yang merupakan majoriti kemenangan terkecil bagi dun seluruh Negeri Sembilan!

Kemenangan Keadilan di Ampangan memberi suatu gambaran politik bahawa pemilih Melayu bandar di Seremban telah memperlihatkan penerimaan kepada politik Keadilan, perpecahan politik dalaman Umno dan  wujud persaingan sengit antara Umno-Keadilan untuk merebut undi Melayu.

Ampangan, Sikamat dan Paroi merupakan dun dalam kawasan bandar majoriti Melayu di Negeri Sembilan yang ketiga-tiganya telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Walaupun ada dun yang bersifat sub-bandar majoriti Melayu seperti Lenggeng dan Labu, ia masih dimenangi oleh Umno namun mereka kalah di lokaliti-lokaliti dalam bandar di kedua-dua dun ini.

Isu Lompat
Suatu masa selepas kemenangan iaitu antara April-September 2008, tersebar kisah akan berlaku wakil rakyat PR NS melompat parti. Antara yang disebut-sebut heboh adalah Adun Ampangan, Rashid Latiff. Namun begitu, Rashid pernah menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh orang-orang tertentu yang menwarkan habuan jutaan ringgit untuk 'berhijrah' ke pihak sebelah lain. Akan tetapi beliau telah menolaknya atas berpegang kepada prinsip perjuangan Keadilan.

Ini sebuah kisah menarik yang agak menggemparkan pihak Keadilan NS seketika tetapi penafian dan keterangan daripada pihak Rashid Latiff sendiri telah memadamkan isu tersebut.

Penerimaan 

Sebelum persempadanan semula 2003, Sikamat dan Paroi merupakan sebahagian daripada dun Ampangan. Ketika PRU 1999, Ampangan dan Senawang merupakan dun majoriti Melayu dalam bandar. Ombakan Reformasi tetap memberi kesan kepada perolehan undi kepada Umno di kedua-dua dun ini. Walaupun Umno menang namun majoriti yang diperolehi agak merosot berbanding majoriti PRU 1995.

Keputusan PRU 1995 menunjukkan dominasi kemenangan Umno di Ampangan yang memperolehi majoriti sebanyak 7,535 undi (65.03%) melalui calonnya, Dermataksiah Abdul Jalil dengan mendapat 9,561 undi (82.51%) mengalahkan calon Pas-Ustaz Haji Ghazali Abdul Kadir yang hanya memperolehi sebanyak 2,026 undi (17.49%). Tahun 1995-1999 merupakan penggal terakhir Umno merasai keselesaan menang dengan majoriti besar.

Peta DUN N14 Ampangan 
Ketika PRU 1999, kesan ombakan Reformasi perolehan undi popular Umno merosot mendadak sebanyak 26.22 peratus dengan mendapat 7,398 undi (56.29%) manakala calon Pas mendapat 5,458 undi (41.53%). Walaupun menang dengan majoriti 1,940 undi (14.76%), keputusan itu telah mengancam kedudukan politik Umno di Ampangan. Senario ini berlaku di semua kawasan majoriti Melayu seluruh negara yang menyaksikan kemerosotan undi Umno sekitar 20-30 peratus, dengan beberapa keputusan memihak kepada Barisan Alternatif dalam margin kemenangan yang sangat tipis! Hanya undi Bukan Melayu menjadi penyelamat Umno ketika itu.

Hakikat diakui bahawa Keadilan dianggotai lebih 60 peratus bekas ahli-ahli Umno yang digelar oleh kebanyakan penganalisis politik pro-kerajaan sebagai parti serpihan Umno. Serpihan ini menjadi selumba berbisa kepada keberadaan Umno kerana mereka ditentang sengit dan kental oleh Keadilan.

Keputusan PRU 2008 diimbas kembali. Calon Keadilan, Rashid Latiff memperolehi 5,679 undi (50.61%) manakala calon Umno, Mohd Nor Awang mendapat 5,514 undi (49.14%). Keadilan menang dengan majoriti 165 undi (1.47%) sahaja. Namun ia sudah cukup mencalar keberadaan politik Umno di Ampangan sejak sekian lama!

Signifikan daripada kemenangan itu adalah;

1.Pengaruh politik Keadilan (PKR) telah diterima semula oleh kebanyakan pemilih Melayu Ampangan.
Walaupun Keadilan tewas di daerah mengundi majoriti Melayu dalam dun ini seperti Ampangan, Kg Gedung Lalang, Taman Datuk Shahbandar dan Kg Jiboi, perolehan undi popularnya tidak merosot atau seteruk di bawah 36 peratus.

Saluran pengundi muda dilihat memberi kemenangan kepada calon Keadilan namun pengundi berumur
59 tahun ke atas kekal menyokong Umno. Akan tetapi pengundi atas pagar juga memihak kepada calon Umno atas beberapa faktor antaranya tidak menyakini calon lawan atau parti lawan.

Calon Keadilan memperolehi undi popular sebanyak 40.46 peratus di DM Ampangan, Kg Gedung Lalang (43.02%), Taman Datuk Shahbandar (48.59%) dan Kg Jiboi (41.14%). Ia boleh dianggap bahawa Keadilan telah mempunyai pengundi akar umbi sekitar 38-43 peratus di daerah-daerah mengundi tersebut dan mampu untuk menyaingi Umno. Jangkaan potensi PRU-13, Keadilan dijangka mampu memperolehi kemenangan di Taman Datuk Syahbandar  dan Gedung Lalang disamping meningkatkan perolehan undi sekitar 5-6 peratus di Ampangan dan Kg Jiboi.

2.Penerimaan majoriti bukan Melayu terhadap Keadilan di Ampangan.
Jika era PRU 1999 & 2004, penerimaan bukan Melayu akan rendah kepada politik Keadilan. Mungkin faktor sebagai parti baru dan dimomokkan oleh BN sebagai parti kucar-kacir memberi perspektif negatif kepada kebanyakan pengundi bukan Melayu. Ketidakstabilan menjadi asas kepada penolakan pengaruh Keadilan waktu itu.

Namun ketika PRU 2008, ruang selesa yang dimiliki oleh Umno melalui undi bukan Melayu tercalar. Bukti itu dapat dilihat melalui keputusan di daerah mengundi majoriti bukan Melayu seperti di Dusun Nyior, Taman Rahang dan Rahang Timor yang memberi undi kemenangan kepada Keadilan. Keadaan sudah terbalik dengan Umno pula tewas besar di kawasan-kawasan ini. Calon Keadilan memperolehi undi popular sebanyak 53.02 peratus di Dusun Nyior, Taman Rahang (66.57%) dan Rahang Timor (67.38%). adalah dijangka bahawa ketiga-tiga kawasan ini akan memberi undi kemenangan kepada Keadilan pada PRU-13 akan datang.

Kesan daripada kemenangan tersebut adalah;

1. Saingan sengit merebut undi Melayu antara Umno-Keadilan sejak 1999. 

2. Perpecahan meruncing politik dalaman Umno Seremban.
3. Penerimaan konsep politik pelbagai kaum, kemerosotan politik berteras kaum pemilih Melayu bandar.


Ampangan menjadi ukuran kepada kelangsungan politik Umno selepas PRU 2008 khusus di kawasan bandar. Jelas sekali sebelum era Reformasi 1999, pengaruh politik Umno di Ampangan sangat mencengkam dan membuktikan pengaruhnya bukan merangkumi Melayu Felda dan luar bandar sahaja.

Kemunculan Keadilan sebagai wadah politik baru rakyat Malaysia, menampilkan gabungan kepelbagaian kaum dan latarbelakang politik menjadi ancaman terbaru kepada Umno-BN. Umno sudah biasa dan mampu menyaingi politik Pas dan DAP akan tetapi mereka agak sukar berhadapan dengan saingan daripada Keadilan.

Ampangan menjadi pentas sengit antara Umno-Keadilan untuk merebut undi Melayu bandar. Jika era sebelum 1999, ungkapan 'letak kambing-lembu' pun Umno boleh menang mudah di sini. Suasana itu berubah drastik pada 8 Mac 2008, ungkapan itu terus terpadam dan telah tersebar kalau letak MB pun Umno belum tentu menang di Ampangan!

Ia suatu perubahan yang menunjukkan pengundi-pengundi Melayu bandar sudah kritis dan menilai politik secara betul serta tidak mengikut atau terima suap segala macam yang dimomokkan oleh Umno sebagaimana sebelum ini. Umno berdepan cabaran terhebat untuk menampilkan kredibiliti dari segi maruah parti dan imej bakal calonnya bagi menyaingi politik baru yang dibawa oleh Keadilan & Pakatan Rakyat.

Secara data, sokongan pemilih Melayu bandar seperti di Ampangan, Sikamat dan Paroi kepada PR berada di paras 43-46 peratus. Memang benar selebihnya masih menyokong Umno, namun keceramukan dalaman politik Umno Bahagian Seremban mampu membinasakan sokongan tersebut. Tabiat cantas-mencantas dan memboikot suatu yang lumrah dalam politik Umno. Individu atau kumpulan yang tidak terpilih menjadi calon, kerap sekali memporak-peranda pasukan sendiri! Itu hakikat bukan andaian. Kisah-kisah keceramukan itu ditebar-jaja oleh orang-orang Umno sendiri....masing-masing sedang berebut untuk menjadi calon samada di Ampangan, Sikamat dan Lenggeng.

Calon

Ini adalah isu menarik di sini. Persoalan calon amat menjadi tumpuan hangat samada di pihak Umno mahupun Keadilan.
Zakaria Nordin

Umno dikatakan bakal meletakkan bekas exco & wakil rakyat kawasan ini iaitu Zakaria Nordin yang dianggap sebagai 'winnable candidate'.

Selain daripada itu, kedengaran juga nama Ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salwati Abdullah dicanangkan sebagai calon Ampangan. Jika dilihat profil, beliau juga ada kredibiliti untuk diangkat sebagai calon terbaik Umno di sini. Calon wanita pernah diletakkan oleh Umno di Ampangan iaitu Dermataksiah Abdul Jalil.

Sering juga kelihatan banner-banner ucapan perayaan yang dinaikkan di sekitar pusat bandar Ampangan memaparkan wajah Ketua Pemuda Umno Seremban. ada kemungkinan beliau turut berhasrat untuk menjadi calon Ampangan. Namun begitu, kisah-kisah atau skandal politik dikatakan mencengkam kredibiliti beliau. Ada riak-riak penentangan terhadap Ketua Pemuda Umno Seremban yang dilihat lebih seronok'memakan' projek-projek yang dianugerahkan kepada beliau! Mungkin beliau bukan calon yang baik untuk ditampilkan oleh Umno.

Sudah pasti prestasi wakil rakyat Ampangan kini, Rashid Latiff menjadi isu utama yang dimainkan oleh Umno kerana dikatakan kurang 'kelihatan' di kawasan sendiri. Malah di peringkat dalaman pihak Keadilan, ada kemungkinan calon baru bakal diletakkan di sini.

Namun yang pasti, Rashid Latiff dikatakan tidak berminat untuk dicalonkan semula. Nama seperti Ketua Keadilan Seremban, Dr Ahmad Azam Hamzah, Timbalannya-Rafaie Abdul Malek dan Ketua AMK Negeri Sembilan-Nazree Yunus antara yang disebut-sebut sebagai calon di Ampangan. Setakat ini, Rafaei Malek dilihat aktif menjalankan gerak kerja di sekitar Ampangan. Namun begitu, beliau bukan menjadi calon 'favour' Keadilan Negeri Sembilan untuk diletakkan di sini.

Potensi

Umno Seremban sangat menyakini dapat merampas kembali Ampangan berdasarkan majoriti kemenangan Keadilan yang kecil. Mereka hanya memerlukan peralihan undi atau 'swing' hanya 3-4 peratus sahaja. Itu secara data. Manakala dari perspektif politik pula, Umno pasti akan membangkitkan isu wakil rakyat Keadilan tidak menjalankan tugasnya di kawasan. Umno berpotensi menokok undi bagi menjana kemenangan di DM Ampangan, Gedung Lalang dan Kg Jiboi bagi peralihan 3-4 peratus undi kemenangan.

Halangan Umno di Ampangan adalah keceramukan politik dalaman mereka sangat meruncing. Pertentangan antara Ketua Bahagiannya, Ishak Ismail dengan Mohd Nor Awang bukan reda tetapi meredam menanti untuk kembali diletupkan. Ada ketidakstabilan politik yang wajar diselesaikan oleh Umno jika ingin memacu kemenangan. Itu belum dicampur lagi dengan pertentangan yang berlaku dalam kem Pemudanya.

Keadilan sangat menyakini dapat mempertahankan kemenangan berdasarkan gerak kerja konsisten yang dilakukan oleh Keadilan Seremban. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, secara data Keadilan sudah mempunyai sokongan akar umbi sekitar 38-41 peratus di sini. Kehadiran pasukan petugas Keadilan turut disedari dan dikenali oleh kebanyakan penduduk di Ampangan.

Peningkatan sokongan semasa Bukan Melayu khusus kaum Cina kepada PR iaitu sekitar 76-80 peratus bakal menjadi pemangkin besar kepada perolehan undi buat Keadilan. Malah sokongan semasa kaum India bandar kepada PR agak tinggi iaitu sekitar 63-66 peratus.

Kepastiannya adalah pertentangan sengit bakal berlaku di Ampangan. Jika Umno tewas, ia suatu petanda mutlak pengaruh Umno ditolak majoriti Melayu bandar Negeri Sembilan!

Jangkaan BN
BN: 55%
PR: 45%

Andaian Penulis
PR: 54%
BN: 46%

No comments:

Post a Comment