Wednesday 23 October 2013

Mohamad Hasan memperkukuhkan pengaruhnya di Negeri Sembilan!

Pemilihan Umno 2013 telah berlalu dengan jayanya. Namun tidak banyak perubahan atau transformasi yang digebang-gemburkan itu berlaku sebagaimana yang dihujahkan oleh kebanyakan pemuka-pemuka tertinggi Umno. Pemilihan kali ini lebih banyak mengekalkan status-quo dan gelombang 'meremajakan' parti itu seperti gagal untuk diterjemahkan khususnya di peringkat Umno Pusat!

Pemilihan di Negeri Sembilan juga telah memperlihatkan beberapa penyandang Ketua Bahagian tewas dalam persaingan jawatan tersebut. Kemenangan beberapa calon baru itu telah mengubah situasi dan landskap politik dalaman Umno Negeri Sembilan.

Ketua Bahagian Rembau
Mohamad Bin Hasan
Selepas kekalahan besar BN pada PRU 2008 lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 15 dun sekaligus menafikan keselesaan dua pertiga BN sejak tahun 1959 di DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menjadi sasaran kritikan para pimpinan bahagian yang meletakkan punca kekalahan tersebut di bahu beliau. Maka telah berlakulah gesaan dan usaha untuk 'menggulingkan' Mohamad daripada kedudukan Menteri Besar. 

Puncak krisis dalaman Umno NS telah memperlihatkan enam bahagian iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Tampin, Seremban dan Telok Kemang menzahirkan 'penentangan terbuka' kepada Mohamad. Hanya bahagian pimpinan beliau, Rembau dan Rasah menyokong kedudukan Mohamad Hasan.

Isu 'pengukuhan kuasa adik-beradik' Mohamad Hasan menjadi serangan kuat oleh para penentang beliau. Perselisihan antara Mohamad dengan bahagian-bahagian terbabit berpunca daripada perlantikan abang beliau sebagai Setiausaha Perhubungan Umno NS. 

Pengukuhan Pengaruh
Lilah Yasin
Tewas di Jempol
Namun begitu, Mohamad agak bijak merancang strategi dalam pemilihan kali ini. Kejayaan merampas kembali Dun Paroi dan Ampangan meningkatkan semula kredibiliti dan sokongan kepada beliau. Lebih dramatik adalah meletakkan seseorang yang baru dalam politik negeri sebagai calon di Ampangan iaitu Haji Abu Ubaidah Redza (gambar kiri). Kedudukan Umno di Ampangan membayangkan kemerosotan pengaruh akibat perbalahan politik dalaman yang meruncing hingga tewas di Ampangan dan Sikamat pada PRU-12. Keputusan Mohamad 'memperjudikan' nasib dengan menamakan Haji Abu sebagai calon sangat berjaya dan rancangan seterusnya meletakkan beliau menjadi Ketua Bahagian Seremban. Mantan ketua bahagian Seremban, Ishak Ismail akhirnya tersungkur di tangan Haji Abu. Ini suatu perjalanan politik yang dramatik buat Haji Abu dengan memenangi Ampangan, kemudian dilantik menjadi exco dan kini menjadi ketua bahagian!

Tiga bahagian yang melalui percaturan pengukuhan pengaruh Mohamad Hasan adalah Jelebu, Seremban dan Jempol. Kemenangan Haji Abu dan Datuk Jalaluddin Alias dibantu oleh faktor kedudukan mereka berdua sebagai exco kerajaan negeri. Ia memudahkan gerakan dan kempen menembusi semua cawangan dan bahagian seluruh Negeri Sembilan. Secara logikanya, Mohamad telah merancang awal bersama orang-orangnya terutama yang berada dalam kabinet negeri secara terperinci. 

Tumbangnya Lilah Yasin di Jempol begitu mengejutkan banyak pihak termasuklah orang-orang Umno sendiri. Ketika pemilihan sayap, orang-orang Lilah telah 'menguasai' persaingan merebut jawatan dalam sayap-sayap. Maka jangkaan awal telah meramalkan bahawa Lilah bakal mempertahankan kedudukannya sebagai ketua bahagian. Namun begitu, situasi itu terbalik ketika hari pemilihan. Bekas timbalan beliau, Haji Mohd Salim Mohd Sharif (gambar kiri) telah berjaya menewaskan beliau. Haji Salim satu-satunya proksi Hishamuddin Hussein di Negeri Sembilan.

Kejayaan menumbangkan Lilah Yasin di Jempol bermakna telah meruntuhkan pengaruh politik Isa Samad yang telah dibina sejak 1982 lagi. Selama 22 tahun menjadi MB Negeri Sembilan telah memberi kelebihan politik jangka panjang buat Isa Samad mempengaruhi landskap politik negeri ini. Namun kini era kegemilangan beliau telah sampai ke penghujungnya. Setakat ini Isa Samad berjaya mempertahankan jawatan ketua bahagian di Telok Kemang tanpa mendapat saingan hebat apatah lagi tentangan luar biasa! 

Jalaluddin Alias
Ketua Bahagian Jelebu
Kejayaan Isa itu mengesahkan bahawa taraf 'warlord' kawasan memang menepati ramalan ramai pihak. Selagi politik Isa bernyawa maka selagi itu beliau tidak akan 'tunduk' untuk melepaskan kekuasaan di dalam jajahan politiknya. 

Dengan 'jatuhnya' pengaruh Isa Samad di Jempol, Seremban dan Jelebu, ia telah memberi gambaran jelas bahawa Mohamad Hasan kini memperlihatkan taring beliau yang sebenar. Malah kemenangan Mohamad mempertahankan jawatan ketua bahagian di Rembau dengan menewaskan Rais Zainuddin membuktikan kedudukan politikal Rembau di bawah aturan strategik beliau. Harus diingat bahawa kejayaan merampas Paroi daripada Pas mengukuhkan kekuatan Umno Rembau. Kejayaan PRU-13 yang diterima oleh Umno Rembau memberi cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat untuk menyaingi parti tersebut dalam PRU-14 mendatang.

Kuala Pilah & Telok Kemang menongkah arus!
Sebagaimana yang dinyatakan, Isa Samad kekal berada dalam 'kawasan takluk' sendiri dengan kemenangan bergaya mempertahankan jawatan ketua bahagian Telok Kemang. Hanya jawatan timbalan dan naib berlaku perubahan. Namun perubahan tersebut tetap mengekalkan pengaruh Isa dalam bahagian itu.

Agak menarik juga percaturan di Kuala Pilah dengan 'orang' Mohamad Hasan iaitu Adun Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim menentang Ismail Lasim. Persaingan jawatan ketua bahagian di sini memperlihatkan pengaruh Ismail Lasim masih gagal digugat oleh Mohamad. Maka rancangan 'menguasai' Kuala Pilah itu tidak berjaya kerana kekalahan Abdul Samad.

Ketua bahagian Rasah, Hasim Rusdi dan Ketua Bahagian Tampin, Shaziman Mansor kekal memenangi dengan selesa jawatan yang disandang. Kedua-dua bahagian ini menjadi sekutu kuat kepada Mohamad Hasan. 

Jangkaan masa depan
Politik masa depan Negeri Sembilan sedang dilakar semula oleh Mohamad Hasan. Secara mudahnya, bagi tempoh lima tahun seterusnya beliau telah merangka kedudukan selesa iaitu mengelakkan gangguan politikal dalaman yang didatangkan oleh bahagian-bahagian. Pengukuhan pengaruh politik yang dijalankan melalui pemilihan kali ini sebenarnya akan membuka persaingan politik dalaman lebih besar kepada Umno.

Namun harus diingat bahawa Umno NS sebagaimana Umno Pusat tetap gagal membariskan pelapis muda dalam saingan politik baru yang kian didominasi oleh Pakatan Rakyat. Usaha 'meremajakan' Umno tidak berlangsung tetapi menampilkan watak baru yang datang dari generasi veteran!