Tuesday 10 March 2015

PRN Sarawak 2015: Apakah potensi PR?

Sarawak bakal menghadapi sekali lagi pesta demokrasi iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlaku pada pertengahan tahun ini. Mungkin terlalu rambang meramalkannya akan tetapi PRN tidak mustahil boleh dijalankan pada tahun ini atau tahun depan, 2016.

Mandat penuh DUN Sarawak dijangka berakhir pada bulan Mei 2016. Ini bermakna DUN Sarawak sudah berada dalam tempoh yang membolehkan dewan dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRN. Apakah Ketua Menteri (KM) Tan Sri Adenan Satem akan mengikut jejak langkah Najib Razak membubarkan dewan sehingga genap mandat lima tahun?

Imbasan PRN 2011

Keputusan PRN 2011 lalu menyaksikan BN memperolehi undi popular sebanyak (55.36%) dengan memenangi 55 kerusi dun. Manakala PR mencatat peningkatan perolehan undi popular (41.23%) yang memenangi 15 kerusi dun. Ia merupakan anjakan (swing) sebanyak 8.43 peratus berbanding perolehan undi popular pada PRN 2006 iaitu 32.8 peratus. 

PRN 2011 telah berjaya menggabungkan DAP, Pas dan Keadilan sebagai Pakatan Rakyat. PRN 2006 pula menyaksikan Dap bersendirian berbanding Keadilan, SNAP dan Pas yang bergabung sebagai Barisan Bersatu Sarawak.

BN Sarawak hilang tujuh (7) kerusi dun pada PRN 2011. Dap menambah enam kerusi menjadi 12 kerusi dun manakala Keadilan menambah dua menjadi tiga kerusi dun. Hanya Pas yang gagal memenangi sebarang kerusi. Dap memenangi 12 dun yang majoriti pemilih Cina. Keadilan pula memenangi satu kerusi majoriti Cina (Batu Lintang), satu majoriti Iban (Krian) dan satu majoriti Orang Ulu (Ba'kelalan).

Potensi

Jika jangkaan bahawa PR akan menawan Sarawak dalam PRN seterusnya peratusan peluangnya adalah 40-60. Akan tetapi jangkaan bagi meningkatkan perolehan undi dan menambah kerusi dun peluangnya adalah 50-50. 

Hakikat yang perlu diakui oleh PR adalah pengundi Melayu-Melanau dan sebahagian orang Dayak masih cenderung menyokong BN walaupun majoriti Dayak di beberapa kawasan telah berani menyatakan sokongan padu kepada PR. Keadilan telah membuktikan bahawa pengundi Iban dan Orang Ulu mampu membuat pilihan mengundi calon mereka di dun Krian dan Ba'kelalan.

Jangkaan peratusan sokongan rambang pemilih Melayu-Melanau kepada PR adalah sekitar 20-25 peratus. Ia umpama berhadapan dengan pemilih Melayu di Semenanjung 20-30 tahun lalu. Hanya di dun Beting Maro yang memperlihatkan pemilih Melayu-Melanau lebih daripada 35 peratus menyokong calon Pas. Sudah dua kali situasi itu terjadi iaitu bermula PRN 2006 dan 2011. Pas tewas tipis dengan majoriti bawah 400 undi. Namun apakah percubaan Pas dalam PRN seterusnya akan berjaya menawan Beting Maro buat pertama kalinya dalam sejarah politiknya di Bumi Kenyalang?

DAP Sarawak secara rambangnya masih bergantung kepada undi pemilih Cina di kawasan-kawasan majoriti Cina yang kebanyakannya berada di bandar-bandar utama negeri ini. Penembusan pengaruh Dap di kawasan-kawasan pedalaman yang didiami oleh pemilih Dayak tidak selancar Keadilan walaupun Dap telah meletakkan calon-calon Dayak di beberapa dun.

Kekuatan Dap akan lebih bertumpu di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang mempunyai pemilih Cina yang ramai.

'Killing Zone'

Beberapa dun yang boleh dianggap sebagai 'zon maut' bagi PR iaitu perolehan undi popular calon-calon PR di bawah 20 peratus.

Antara dun yang menjadi zon maut kepada PR adalah;
<Dun> <undi popular>
1. Belawai (10.37%)
2. Semop (9.72%)
3. Dalat (16.48%)
4. Balingian (13.94%)
5. Sadong Jaya (19.53%)
6. Simunjan (19.36%)
7. Tanjung Datu (18.37%)

Ketujuh-tujuh dun ini secara jelasnya menjadi kubu kuat BN. Kawasan-kawasan ini merupakan majoriti Melayu-Melanau. Kecenderungan pemilih Melayu dan Melanau menyokong teguh BN agak menyukarkan penembusan oleh PR. Namun usaha giat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Keadilan semasa menghadapi PRK Balingian pada 29 Mac 2014 lalu memperlihatkan peningkatan undi calon Keadilan.

Hakikat perolehan undi popular calon PR di kesemua dun ini bawah 20 peratus kerana faktor kelemahan organisasi Keadilan dan Pas peringkat cabang/kawasan yang tidak menyerlah dan tersusun. Malah penduduk-penduduk tempatan tidak merasai kewujudan entiti politik kedua-dua parti tersebut. Kedua-dua parti harus mengambil usaha serius dalam memperlihatkan keberadaan di peringkat tempatan.

Jangkaan Tambah Kerusi

Peluang bagi PR menambah kerusi dalam PRN seterusnya adalah 50-50. Dap khususnya akan menumpukan usaha bagi merampas dun Bawang Assan dan Simanggang. Peluang terbaik Pas untuk memenangi sekurang-kurang satu dun adalah di Beting Maro. Pas Sarawak boleh menggunakan khidmat jentera Pas dari Semenanjung dan mengepung pengundi di semua daerah mengundi dalam Beting Maro. Calon Pas hanya tewas dengan majoriti 391 undi kepada BN di sini. Itu sebaiknya dengan menang satu kerusi daripada bertumpu kepada lain-lain dun yang peluang menang adalah rendah.

Berbeza dengan Keadilan yang terpaksa bertanding di 49 dun pada PRN 2011 lalu, peluang parti ini menambah kerusi bagi memperkukuhkan kedudukan PR di DUN Sarawak lebih cerah. Ada beberapa dun yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh Keadilan berdasarkan prestasi pada PRN 2011 iaitu;

1. Opar
2. Bengoh
3. Tarat
4. Saribas
5. Senadin
6. Ngemah
7. Kakus
8. Belaga
9. Telang Usan
10. Machan

Ramalan

PR Sarawak adalah diramal mampu menokok jumlah dun bagi menambah bilangan suara dalam DUN. Ini adalah ramalan penulis; PR memenangi 25 dun daripada 71 dun keseluruhan dengan pecahan berikut;

Keadilan: 10 dun
Dap: 14 dun
Pas: 1 dun


Ramalan Undi Popular PRN Sarawak 2015/2016;

PR: 46%
BN: 54%