Monday 30 July 2012

Sabah sebagai titik anjakan politik baru tanahair?

Sesuatu yang dianggap istimewa dan 'terindah' dalam politik negara ini adalah perubahan sokongan politik yang kerap kali berlaku di Sabah. Ia wajar diteliti, difahami dan dipelajari oleh para pengikut ilmu politik yang membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam dunia politik. Segala-galanya serba mungkin dalam politik. Itulah kesenian politik (art of politic) yang amat sukar difahami oleh masyarakat umum yang biasa.

Hujung minggu lalu (28 & 29 Julai 2012) di Sabah telah mencatat lagi sebuah 'kejutan politik' dengan pengumuman dua Ahli Parlimen BN iaitu Lajim Ukin (gambar) dan Wilfred Bumburing menyertai dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ia suatu tindakan politik yang memberi 'tamparan berbisa' kepada Najib Razak ketika beliau sedang mempersiapkan BN menghadapi PRU-13 yang dijangka berlaku pada September ini!

Agak menarik dan tragik kerana sekali lagi ahli-ahli politik dari Sabah memberi isyarat kepada Umno bahawa pengaruh wilayah itu akan mengubah landskap politik BN peringkat nasional. Umno secara hakikatnya menggunakan wilayah Sabah dan Sarawak dalam mengukuhkan kedudukan politiknya secara berterusan sejak 1970 lagi. Ahli-ahli parlimen dari kedua-dua wilayah ini kian mempersoalkan layanan dari sudut ekonomi dan pembangunan daripada pihak Kuala Lumpur yang secara jelas menjerumuskan kedua wilayah terbabit dalam kancah kemiskinan dan keterbelakangan daripada pembangunan.

Beberapa ketika ini, isu 'peralihan' sokongan oleh kedua-dua ahli parlimen terbabit (Lajim & Bumburing) bakal menghangatkan perbincangan meja politik peringkat pimpinan hinggalah kedai kopi. Pelbagai spekulasi, andaian dan teori politik bakal muncul diperkatakan mengenai tindakan mengejut dua ahli politik ini.

Umno khususnya merasai pukulan politik dari Lajim Ukin ini ketika pelbagai hasil kajian membentangkan kenaikan mendadak populariti Najib Razak yang amat diperlukan oleh BN secara keseluruhan untuk melonjakkan momentum semangat. Dua gerakan politik ke arah perubahan di Sabah iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) telah ditubuhkan serta diketuai oleh Wilfred dan Lajim.

Imbasan Lampau

Sabah melakar sejarah politik yang berbeza berbanding lain-lain negeri di Malaya. Wilayah ini juga telah beberapa kali bertukar kerajaan negeri. Pada tahun 1967-1976 (1971-1976-diterajui USNO), parti Usno & UPKO menjadi parti pemerintah di Sabah, kemudian pada penggal 1976-1981 dan 1981-1985 rakyat Sabah memilih parti Berjaya menjadi pemerintah. Penggal 1985, 1986-1990 dan 1990-1994 Parti Bersatu Sabah mengungguli tampuk pemerintahan wilayah ini.

Umno secara hakikatnya telah memainkan peranan dalam jatuh bangun beberapa kerajaan di Sabah atas tujuan mempertahankan keseimbangan dan kelangsungan kuasanya di peringkat Persekutuan. Harus diakui bahawa wilayah Sabah menjadi modal kekuatan besar Umno dalam memperkukuhkan kedudukan BN di Dewan Rakyat. Jika tanpa kekuatan ini, sokongan Umno hanya bergantung di Malaya semata-mata dan situasi kini lebih membayangkan kedudukan Umno bakal runtuh!

Namun begitu, sejarah wajar diteladani dan diingati bahawa keruntuhan kerajaan Sabah pada tahun 1994 berlaku kerana tindakan 'membeli wakil rakyat' parti pemerintah PBS yang dilakukan oleh BN. Lajim Ukin adalah antara tiga wakil rakyat PBS yang awal melompat menyertai BN ketika itu. Umno menjadi arkitek penting yang melaksanakan gerakan menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan PBS di bawah Joseph Pairin Kitingan.

Apakah kali ini lompatan atau hijrah Lajim Ukin kali ini benar-benar ikhlas atau bukan suatu strategi Umno sebagaimana yang berlaku dengan Adun Bota menyertai KEADILAN kemudian beberapa hari kemudian kerajaan negeri PR Perak dijatuhkan? Situasi 'trojan-horse' ini amat dikenang dan diingati oleh rakyat.

Ada beberapa tokoh politik penting negara yang mengesahkan penghijrahan Lajim ini sebagai jujur. Semoga ia menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik kepada rakyat dan politik PR.

Penyokong-penyokong PR juga harus berwaspada bahawa tamparan hebat Lajim Ukin ini tidak akan menyebabkan Umno berdiam diri begitu sahaja. Sudah pasti pasukan strategisnya akan merangka dan memikirkan kaedah 'melawan dan merampas' kembali kemenangan politik PR ketika ini.

Hakikat dan kepastiannya adalah politik Umno di Sabah kian diasak untuk diketepikan oleh rakyat Sabah!
















Kait Pembangkang Dengan Pengganas-Strategi Darurat Dikitarguna

Bernama malam tadi melaporkan risikan Cawangan Khas polis mendedahkan, terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dilaporkan berkata Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Malah, katanya, beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand, dipercayai mengadakan pertemuan sulit dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).



Petikan berita di atas benar-benar membayangkan keterdesakan Umno-BN merencanakan kaedah 'pembunuhan politik pembangkang' ketika rakyat kian galak menolak mereka. Suasana ini telah membawa ingatan kepada sejarah politik era 1946 selepas Perang Dunia Kedua, yang memperlihatkan strategi British menggunakan isu komunisme dan keganasan komunis sebagai alasan mewujudkan undang-undang darurat bagi menghalang kemaraan politik kuasa rakyat yang dibawa oleh AMCJA-Putera. 

Sebelum itu, kaedah-kaedah menggunakan isu-isu perkauman dan agama bagi mencetuskan keraguan rakyat khususnya kaum Melayu terhadap Pakatan Rakyat nampaknya telah gagal mempengaruhi kebanyakan rakyat. Bermula dengan isu 'lesbian gay biseksual transeksual'-(LGBT) yang dibangkit-cetuskan oleh beberapa badan bukan kerajaan tajaan Umno dengan cuba mengaitkan nama Anwar Ibrahim dan Ambiga sebagai pendokong pergerakan LGBT di negara ini. Namun, usaha itu gagal walaupun pada peringkat awalnya ia seakan mempengaruhi kaum Melayu.

Kaedah-kaedah mengaitkan pembangkang dengan gerakan pengganas ini sebenarnya telah lama digunakan di negara ini sejak zaman penjajahan British lagi. Kemunculan beberapa pertubuhan politik Melayu sekitar dekad 1930an dan selepas Perang Dunia Kedua yang giat menuntut dan memperjuangkan hak-hak nasionalisme tanahair (kemerdekaan,kuasa politik & ekonomi, pentadbiran) telah mencetuskan kebimbangan pihak Imperialis British. Ia adalah isyarat jelas bahawa kedudukan politik British telah dicabar dan akan menjejaskan penguasaan ke atas ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu waktu itu.

Jentera-jentera kerajaan seperti perisikan dan polis digunakan untuk merealisasikan kaedah tersebut. Tanggapan atau persepsi dicipta iaitu ancaman terhadap keselamatan dalam negeri dan negara melalui hubungkait 'gerakan-gerakan sulit' dan 'pertemuan-pertemuan sulit lagi rahsia' antara pertubuhan-pertubuhan politik pembangkang dengan badan-badan ekstrimis atau pengganas. 

Kemudiannya, persepsi atau tanggapan itu disebarkan kepada rakyat melalui media massa secara kerap dan konsisten bagi 'menanam' persepsi itu menjadi 'doktrin mutlak' di dalam pemikiran rakyat untuk melahirkan suatu pandangan ramai bahawa 'pembangkang sangat merbahaya' dan bersifat 'pengkhianat'.

Ini suatu tindakan jahat walaupun dari sudut ilmu politik ia adalah tindakan strategik menempangkan gerakan sesebuah pertubuhan politik. 

Bagaimana berlaku?


Dalam perspektif ilmu politik, kaedah-kaedah menghalang pengaruh, gerakan dan mematahkan strategi politik lawan sememangnya telah berlaku sejak zaman berzaman. Itulah yang sebenarnya berlaku dalam hakikat politik.

Kemaraan pengaruh dan sokongan rakyat kepada sesuatu gerakan politik menjadi kewajaran kepada pihak lawan untuk memastikan ia dilemahkan dan ditewaskan. Keadaan ini sedang berlaku dalam politik Malaysia yang memperlihatkan senario terkini organisasi politik pembangkang telah cuba dikaitkan dengan gerakan pengganas. Jika dikaji-teliti persejarahan lampau, penjajah British telah awal menggunakan kaedah-kaedah tersebut sejak penghujung kurun ke-18 dalam usaha mematikan gerakan penentangan di Ireland Utara dan Republik Ireland, India dan Negeri-negeri 13 Amerika Syarikat.

Strategi-strategi tersebut telah dibentuk oleh badan-badan perisikan yang diwujudkan khas untuk membendung kebangkitan rakyat tanah jajahan, penentangan politik seberang laut disamping 'suatu benteng sulit' mempertahankan imprealisme British seluruh dunia atas nama keselamatan dalam negeri.


Antara perisikan British yang terkenal dan terawal adalah Scotland Yard. Ada makluman tidak rasmi memberitahu bahawa kebanyakan anggota polis negara ini dari Cawangan Khas dihantar mendapatkan latihan khusus di Scotland Yard. 

Era Kebangkitan Kuasa Rakyat Selepas Perang Dunia Kedua

Sejarah awal kebangkitan kuasa rakyat sebenarnya telah bermula seawal 1946 lagi iaitu sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua. Sebelum itu, ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1941-45) gerakan memerdekakan tanah air telah dimulakan oleh PETA untuk mengabungkan Malaya dengan Indonesia bagi membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya. Namun, hasrat itu tidak menjadi kenyataan.

Penentangan terhadap penjajahan British era kurun ke-20 secara bersenjata telah dimulakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ia menjadi ancaman yang sangat serius dan radikal kepada British di Malaya. British telah melihat PKM mampu memberi kesan buruk kepada perjalanan politik imprealisme di Malaya dan bakal menjejaskan penguasaan mutlak British ke atas aturan politik, sosio-budaya dan ekonomi negara ini waktu itu. Langkah terbaik adalah menolak permohonan PKM menjadi pertubuhan politik sah dan melancarkan perang ke atas PKM. Ia sangat berkesan dan kaedah-kaedah memburukkan imej serta memberi gambaran kepada rakyat bahawa PKM adalah pertubuhan tidak sah, gerakan pengganas dan bersifat kecinaan.

Kaedah itu turut dibantu oleh sebaran media klasik iaitu akhbar, edaran risalah dan makluman berita-berita di radio dan television yang bertujuan mendoktrinkan pemikiran rakyat bahawa PKM-komunisme bersifat ganas, anti-agama, anti-Melayu dan berhaluan kiri. Gerakan-gerakan ini sangat mempengaruhi rakyat Malaya selepas Darurat dilaksanakan pada tahun 1948. Malah sehingga kini generasi tua masih berpegang kepada 'doktrin' tersebut bahawa komunis itu musuh negara dan haluan kiri.

Pilihanraya Umum 1959

Keputusan PRU pertama negara ini turut memperlihatkan kemenangan beberapa pertubuhan politik bukan Perikatan. Walaupun gabungan parti pemerintah-Perikatan menguasai 71.15 peratus Dewan Rakyat, kedudukan parti-parti pembangkang dilihat agak berpengaruh.

Parti pembangkang dominan Melayu seperti PAS dan Parti Negara menjadi pesaing kuat kepada Umno, manakala parti-parti bersifat multiracial seperti Parti Malaya (MP), PPP (People Progressive Party) dan Socialist Front (SF)-gabungan Parti Buruh Malaya & Parti Rakyat Malaya menjadi ancaman kepada parti-parti perkauman dalam Perikatan khususnya MIC dan MCA.

Ancaman masa depan politik parti-parti bersifat kaum seperti Umno, MCA dan MIC bakal terancam sekiranya kedudukan SF dan PPP kian disokong kebanyakan rakyat. Keupayaan menyatukan seluruh rakyat Malaya tanpa mengira bangsa, agama dan budaya yang mampu dijelma oleh SF dan PPP bakal memusnahkan corak politik pecah dan perintah (Divide & Rule) yang diamalkan oleh Perikatan.

Begitu juga kedudukan PAS dan Parti Negara berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu bakal mengancam dominasi Umno di Pantai Timur dan Utara Malaya yang mempunyai 80-90 peratus penduduk Melayu.

Pandangan ini wajar dibaca, diteliti dan difahami secara perspektif ilmu politik. Pasukan strategis Perikatan waktu itu lebih melihat ancaman jangka panjang yang mampu dijelmakan oleh SF dan PPP. Harus diingat bahawa Malaya baru sahaja dua tahun merdeka daripada British akan tetapi dari sudut perancangan dan susunan strategi politik Perikatan masih menggunakan khidmat British. Pemikir-pemikir elit dari British ini memberi nasihat dan pandangan dalam merangka gerakan politik Perikatan khususnya dalam menghadapi politik nasionalisme SF dan PPP.

Meruntuhkan pengaruh pembangkang

Kedudukan Socialist Front yang memacu politik pelbagai kaum sebagai sebuah bangsa negara dilihat ancaman terkuat kepada kedudukan politik nasionalisme perkauman Umno, MCA dan MIC untuk jangka masa panjang. Sebelum ia terus berkembang dan mengukuh, langkah meruntuhkan pengaruh SF wajar digerakkan bagi menyelamatkan politik Perikatan.

Maka selepas kemenangan SF dalam Parlimen dan beberapa kerusi di Perak, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor pada PRU 1959, kaedah mengaitkan parti-parti dalam SF dengan komunis telah dilancarkan. Parti Buruh dan Parti Rakyat yang bertunjangkan fahaman liberal sosialisme & marhaenisme telah dengan mudah dituduh oleh pemerintah ketika itu sebagai pengaruh komunisme. Rakyat Malaya ketika itu telah berjaya dikelirukan dengan ungkapan komunisme dan sosialisme sebagai suatu fahaman kiri yang amat merbahaya kepada agama dan negara.

Pimpinan utama Parti Buruh dan Parti Rakyat seperti Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad (Pak Sako), Abdul Aziz Ishak dan Raja Abu Hanifah Abdul Ghani telah diberkas atas alasan keselamatan yang mengaitkan mereka dengan kegiatan komunisme. Era 1961-1964 merupakan waktu getir buat SF dalam mengharungi asakan tidak demokratik parti pemerintah yang menggerakkan jentera risikan kerajaan memecah-belahkan organisasi dalaman SF. Selepas tahun 1965, kedudukan SF telah berjaya dipecahkan oleh Perikatan setelah berlaku krisis terbuka antara Parti Buruh dan Parti Rakyat berkenaan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaya.

Lebih drastik, iaitu selepas penubuhan Malaysia pada 1963 SF telah dikaitkan dengan gerakan 'anti-Malaysia' yang dipelopori oleh Presiden Indonesia ketika itu-Sukarno. Konfrantasi Malaysia-Indonesia menjadi modal terbaik pemerintah meruntuhkan pengaruh SF. Pakatan SF berpecah selepas PRU 1964 dan kedua-dua parti bergerak secara sendiri.

Kaedah mengaitkan pembangkang dengan keganasan terus digunapakai secara berterusan selepas  era 1970an. Malah selepas keluarnya PAS dari BN pada penghujung 1970an, parti pemerintah berterusan mengaitkan PAS dengan pengaruh keganasan dari Timur Tengah kesan kebangkitan Revolusi Iran.

Isu Memali dan Tragedi Sauk antara rentetan sejarah politik yang cuba mengaitkan gerakan keganasan pelampau agama dengan politik PAS.

Peringkat antarabangsa ketika era 2001-2005, kuasa dunia telah melabelkan Jemaah Islamiah (JI) dan Taliban sebagai sekutu kepada Al-qaeda yang dikatakan menjadi punca serangan keganasan di beberapa kepentingan USA seluruh dunia. Kemunculan JI pula dikaitrapat dengan Asia Tenggara dan ia menjadikan negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia menjadi tumpuan USA. Situasi itu dilihat memberi peluang kepada pemerintah untuk mengitar semula kaedah mengaitkan pembangkang dengan pengganas.

Namun begitu, kepesatan tekonologi IT dan perkembangan maklumat telah mengubah persepsi rakyat terhadap gerakan-gerakan licik begitu. Keterdesakan parti pemerintah menggunakan kuasanya mengaitkan PR dengan JI atau komunis agak gagal kali ini.










Thursday 19 July 2012

Palong-sukar tetapi tidak mustahil dimenangi!

Palong merupakan satu-satunya dun di Negeri Sembilan yang seratus peratus terdiri daripada kawasan Felda. Kenyataan yang wajar diakui dan diterima oleh Pakatan Rakyat adalah kawasan ini antara kubu kuat Umno di Jempol dan Negeri Sembilan selain Sungai Lui, Gemas, Bagan Pinang dan Kota.

Secara umum, 75 peratus kawasan Parlimen Jempol merupakan kawasan rancangan Felda dan selebihnya merupakan kawasan bandar, perumahan, kampung-kampung tradisi & baru dan ladang/estet.
Dun Palong (N6) terdiri daripada Gugusan Felda Palong 3 hingga 16 (kecuali Palong 1 & 2 yang berada dalam dun Jeram Padang), Gugusan Felda Tembangau dan Palong Timur. Kawasan ini mempunyai sembilan daerah mengundi yang rata-ratanya dikuasai 80 peratus oleh cawangan-cawangan Umno. Kekuatan pembangkang jika diukur dari sudut kewujudan organisasi peringkat cawangan/ranting, sekitar 15 peratus sahaja dengan didominasi oleh ranting KEADILAN Jempol dan beberapa cawangan PAS Jempol.

Jika dibandingkan pula dengan perolehan majoriti kemenangan dalam pilihanraya umum, Palong adalah antara kawasan yang dimenangi oleh Umno-BN dengan majoriti yang selesa disamping mendapat undi popular melebihi 65 peratus. Secara fakta dan angka atas helaian mata keputusan, ternyata kedudukan Umno-BN sukar digugat di Palong. Terbukti sejak PRU 1986, 1990, 1995 dan 2004 Umno menang dengan majoriti yang selesa kecuali pada PRU 1999 dan 2008 yang telah berlaku penurunan lebih seribu undi dalam kelebihan kemenangan.

Namun, apakah ia akan selamanya mampu dipertahankan oleh Umno? 

Sejarah Pilihanraya

PRU 1986

Pilihanraya umum ini berlangsung sebelum berlaku perpecahan besar dalaman Umno. Ketika itu, pengaruh Umno-BN sangat utuh dan sukar disaingi oleh parti-parti pembangkang. DAP dan PAS menjadi parti pembangkang yang menyaingi Umno-BN.

Tempoh 1981 hingga 1988 merupakan era kegemilangan Umno di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad. Cetusan idea-idea pembangunan dari sudut infrastruktur, tekonologi dan ekonomi yang dibawa oleh Dr Mahathir antara faktor kuat sokongan utuh rakyat kepada BN waktu itu.

Umno telah meletak Baharudin Haji Hassan sebagai calonnya di Palong. Beliau telah memenangi dun Palong dengan majoriti yang besar iaitu 6,254 undi yang menewaskan calon PAS-Mohamad Yassin Bakar. Umno memperolehi 7117 undi (87%) manakala PAS hanya mendapat 863 undi (10.5%) dan hilang deposit!

PRU 1990

Suasana baru politik negara yang dikejutkan dengan pengharaman Umno pada tahun 1988 telah melahir sebuah lagi parti baru iaitu Semangat 46 (S46). Dr Mahathir telah mewujudkan Umno Baru sebagai strategi politik beliau meneruskan legasi Umno dan langkah menyakinkan rakyat dengan kesinambungan politik Umno.

Akan tetapi gelora politik yang berlaku antara Umno dan Semangat 46 seolah-olah tidak memberi kesan kepada kebanyakan pemilih di Palong. Ia sangat berbeza dengan suasana di dun Batu Kikir dengan Umno telah diberi tentangan sengit oleh Semangat 46 yang memenangi kawasan tersebut dengan kelebihan 1,244 undi sahaja.

Umno mengekalkan Baharudin Haji Hassan sebagai calon di Palong, manakala Semangat 46 meletakkan Mohd Sani Hussin sebagai calonnya. Umno berjaya mengekalkan sokongan dan meningkatkan kelebihan kemenangan dengan memperolehi 6,798 undi. Calon Semangat 46 mendapat undi sebanyak 2,522 undi manakala Umno mendapat 9,320 undi.

PRU 1995

Pertandingan waktu ini dikira sebagai mudah kepada Umno di Palong walaupun berlaku perlawanan tiga penjuru yang turut melibatkan Semangat 46 dan PAS. Kegagalan mencapai sepakat antara pihak pembangkang telah memberi laluan mudah kepada Umno mengekalkan kemenangan dengan majoriti 6,400 undi. Calon Semangat 46-Ramli Md Nor dan PAS-Ghazali Khamis kedua-duanya hilang deposit dengan masing-masing memperolehi 998 undi dan 762 undi. Manakala calon Umno-BN, Kamaruddin Mohd Din mendapat 7,398 undi.

PRU1999

Era ini dikenali sebagai Reformasi 99 kesan daripada pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri atas tuduhan rasuah dan skandal seks liwat. Kejijikan politik yang dicetuskan oleh Dr Mahathir bersama pasukan strategis telah menjerumus 'kerosakan' pengaruh Umno kepada rakyat khususnya kaum Melayu.

Sebagaimana perpecahan Umno sehingga pengharaman pertubuhan tersebut pada 1988, kebanyakan pemilih di Palong tidak begitu terkesan dengan isu Anwar Ibrahim dan Reformasi.

Kali ini, KEADILAN telah meletakkan calon di Palong bagi melawan Umno. Ada maklumat-maklumat lisan pernah menyebut PAS tidak mahu bertanding di kawasan ini gara-gara pengalaman tewas sehingga hilang deposit yang sepatutnya ditandingi. Menurut sumber lisan itu lagi, KEADILAN sebenarnya bertanding di Serting.

Majoriti kemenangan Umno kali ini telah merosot dengan memenangi Palong dengan kelebihan 4,209 undi. Calon KEADILAN ketika itu, Mohammad Sharifuddin Musim mendapat 2,367 undi manakala calon Umno-Kamaruddin Mohd Din memperolehi 6,576 undi.

PRU 2004

Peralihan jawatan Perdana Menteri dari Dr Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi (Paklah) telah dibayangi sentimen 'perubahan politik' yang dicanangkan oleh jentera strategi Paklah dan ia berjaya. Lonjakan undi popular BN dalam pilihanraya ini turut dibantu oleh khabar yang menyebut Anwar Ibrahim akan dibebaskan sekiranya Paklah menjadi PM. Ia suatu 'psywar' yang menjadi dan mencetuskan keyakinan kepada seluruh rakyat pada waktu itu.

Ketika ini juga prestasi dan sengatan politik KEADILAN merundum di seluruh negara. Semangat Reformasi secara tiba-tiba menjadi tepu.
Rebin Birham
Calon PRU-12 KEADILAN
KEADILAN masih kekal bertanding di Palong dengan menampil calon muda iaitu Rebin Birham manakala Umno meletakkan Aziz Shamsudin sebagai calon untuk mempertahankan kemenangan BN di Palong. BN telah memenangi Palong dengan majoriti 5,346 undi dengan perolehan sebanyak 7,245 undi. Calon KEADILAN mendapat 1,899 undi.

PRU 2008

Umno dan KEADILAN kedua-duanya masih mengekalkan calon yang sama semasa PRU 2004 sebagai calon masing-masing dalam pertandingan ini. Berlaku penyusutan kelebihan undi kemenangan BN sebanyak lebih seribu undi, menang dengan majoriti 4,217 undi.

Isu Peneroka

KEADILAN Negeri Sembilan dalam permukiman kepimpinan peringkat akar umbi yang diadakan pada pertengahan 2009 telah meletakkan matlamat bahawa kemenangan Negeri Sembilan akan berlaku sekiranya masalah-masalah peneroka Felda dapat ditangani secara progresif.

Hasilnya, beberapa pimpinan utama KEADILAN Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Warga Felda Perihatin sebagai penggerak menangani dan membela hak-hak peneroka. Usaha ini begitu positif berbanding gerakan awal yang dibuat oleh ANAK.

Seterusnya, NGO tersebut terus bergerak kehadapan dengan membawa isu-isu peneroka ke mahkamah.  Antara yang paling berjaya adalah tindakan saman lebih 700 peneroka dari Serting Hilir dan Raja Alias 2 ke atas Felda atas kes penipuan KPG buah sawit.

Gerakan agresif itu berterusan yang diikuti dengan tindakan saman terhadap Felda dan kontraktor lantikan Felda tentang penebangan pokok getah peneroka di Palong.

Lebih signifikan setelah manifesto khas untuk peneroka iaitu Janji Palong telah dilancarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim pada November 2011 lalu. Kehadiran Anwar Ibrahim yang agak kerap sejak penghujung 2011 sehingga Mac 2012 lalu memperlihatkan KEADILAN amat bersungguh-sungguh menawan Palong.

Malah gerakan agresif Warga Felda Perihatin turut membantu gerak kerja rakan komponen PR-Pas dan DAP khususnya di kawasan-kawasan rancangan Felda di Serting dan Bahau termasuk Jeram Padang. Kemenangan keseluruhan Jempol memberi makna bahawa Negeri Sembilan telah berjaya ditawan oleh PR Negeri Sembilan.

Potensi

Penubuhan secara aktif beberapa ranting baru KEADILAN di Palong telah membayangkan hasrat PR menembusi dan memperkukuhkan pengaruh di kawasan peneroka yang selama ini didominasi oleh Umno.

Peneroka-peneroka kini dilihat mula berani untuk kehadapan dalam memperjuangkan hak-hak mereka. Penindasan yang ditanggung oleh peneroka hasil tekanan kapitalis Felda menyebabkan para peneroka kian bangkit menentang penindasan. Harus difahami di sini bahawa peneroka menentang penindasan dan penafian hak-hak mereka yang disekat oleh Felda. Kesedaran itulah yang amat ditakuti oleh Umno.

Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan secara halus oleh pemerintah Umno-BN ke atas warga peneroka bakal pecah sekiranya gerakan pembelaan hak-hak peneroka yang digerakkan oleh PR berjaya melalui kemenangan kes-kes saman terhadap Felda.

Maklumat-maklumat tidak rasmi perisikan menyebut gerakan PR di kawasan-kawasan peneroka seara agresif telah meningkat sedikit sokongan kepada PR. Jika semasa PRU 2008, sokongan sekitar Palong adalah 25 hingga 29 peratus, kini dikatakan telah meningkat sebanyak 10 peratus menjadi 35 hingga 39 peratus.

Seandainya situasi sokongan ini berjaya dikekalkan atau ditingkatkan, ada kemungkinan besar majoriti kemenangan BN mampu dicantas dengan banyak. Andaian mudah-KEADILAN mampu memperolehi undi popular sekitar 41-45 peratus di Palong!

Pecahan pemilih di Palong mengikut senarai pemilih Suku Ketiga 2011 adalah seperti berikut;

Melayu: (90.22%)  Cina: (2.22%)  India: (7.3%)
Jumlah Pemilih: 14,788 

Felda merupakan sebuah entiti kapitalis yang ditubuhkan oleh kerajaan Umno-BN untuk mengaut keuntungan maksima melalui pertanian. Ia adalah suatu kaedah terancang yang licik dan berkesan dalam mengawal sesuatu komuniti disamping menjadi lubuk sokongan politik untuk kekal berkuasa.

Persoalannya, apakah mampu Palong dimenangi kali ini oleh KEADILAN dalam merealisasikan matlamat PR menawan Negeri Sembilan?

Palong merupakan cabaran sukar namun ia tidak mustahil untuk ditawan. Harus kembali kepada fakta sejarah bahawa pada PRU 1999 beberapa dun yang mempunyai majoriti kawasan felda di Pahang telah dimenangi oleh pembangkang seperti Dun Jengka. Lebih menarik Dun Chini dimenangi KEADILAN ketika itu hanya dengan kelebihan 5 undi sahaja!

Jangkaan Kemenangan

Jangkaan BN
BN-65%
PR-35%

Andaian Penulis
PR-50%
BN-50%





Friday 13 July 2012

Politik MIC kelam di Port Dickson?

Tsunami Politik 2008 nyaris-nyaris menamatkan riwayat politik Malaysian Indian Congress (MIC) di Negeri Sembilan. BN telah memperuntukkan satu parlimen dan dua dua dun kepada MIC di negeri ini. Namun, Pakatan Rakyat melalui KEADILAN telah berjaya memenangi Parlimen Telok Kemang dan dun Port Dickson (PD Bandar) daripada MIC. 

Hanya dun Jeram Padang berjaya dikekalkan oleh MIC. Itupun kedudukan MIC di Jeram Padang kian senak diasak oleh gerakan politik PR Negeri Sembilan disamping krisis dalaman pertubuhan politik kaum India itu. Jika tidak disebabkan kekalahan calon MIC di PD Bandar, agak mustahil mana-mana wakil rakyat MIC di Jeram Padang akan dilantik menjadi exco negeri!

Kekalahan di Parlimen Telok Kemang dan dun PD Bandar memberi isyarat jelas penolakan rakyat kepada pengaruh politik parti perkauman khususnya MIC. Bukan MIC sahaja yang menerima kesan tersebut di Telok Kemang, malah rakan komponen-Malaysian Chinese Association (MCA) turut dikejutkan dengan kekalahan di Lukut kepada DAP dan Chuah kepada KEADILAN.

Telok Kemang menjadi pentas baru era kini kepada pembangkang selain Seremban dan Rasah sebagai kawasan kuat. Ia seakan mengulangi sejarah PRU 1959 dan 1969 yang memperlihatkan parti-parti bukan Perikatan iaitu Front Sosialis menguasai Telok Kemang yang ketika itu dikenali sebagai Parlimen Port Dickson.

Sejarah & Latarbelakang

Dun PD Bandar merupakan kawasan yang diwujudkan hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Asalnya beberapa daerah mengundi dalam kawasan ini merupakan kawasan mengundi bagi Dun Si Rusa dan sebahagiannya lagi terletak dalam kawasan Dun Lukut.

Sebagaimana yang diketahui, parti pemerintah BN menggunakan kaedah persempadanan semula kawasan pilihanraya untuk memecahkan undi atau blok sokongan pembangkang. Pada PRU 1999 ketika era Reformasi, Si Rusa telah dimenangi oleh calon MIC dengan majoriti 1,819 undi yang menewaskan calon DAP. Calon MIC-E.Yohevel memperolehi sebanyak 4,978 undi manakala calon DAP-K.Arumugam mendapat 3,159 undi.

Keadaan berbeza sebelum itu, PRU 1995 yang memperlihatkan calon MIC menang dengan majoriti selesa di Si Rusa dengan memperolehi majoriti kemenangan sebanyak 3,167 undi. MIC mendapat 69 peratus undi popular berbanding calon DAP yang memperolehi 31 peratus undi popular.

Persempadanan semula 2003 dianggap sebagai langkah strategik BN menyelamatkan kedudukan politiknya dalam PRU 2004. Hasilnya, kawasan blok pembangkang di Lukut dan Si Rusa dipecahkan dan mewujudkan dun Chuah (untuk memecahkan blok sokongan DAP di Lukut), PD Bandar (untuk memecahkan blok sokongan pembangkang di Si Rusa & Lukut) serta Bagan Pinang (memecahkan pemilih Melayu untuk kukuhkan blok sokongan Umno). Keadaan itu memberi kelebihan kepada kedudukan komponen BN khususnya MCA dan MIC dalam mengekalkan kemenangan BN di Telok Kemang secara keseluruhan.

Kawasan Campuran

Mengikut statistik pemilih berdaftar Suku Tahun Ke-3 2011, pecahan pemilih dun PD Bandar mengikut kaum adalah seperti berikut;
Melayu-(32.77%)
Cina-(38.12%)
India-(28.04%)


Pecahan pemilih tersebut menjadikan PD Bandar sebagai satu-satunya kawasan campuran tulen di Negeri Sembilan yang memperlihatkan perbezaan kecil jumlah pemilih antara kaum. Walaupun dun Repah dalam Parlimen Tampin juga kawasan campuran namun perbezaan jumlah pemilih antara kaum Melayu dan Cina agak besar.

Keadaan itu membenarkan mana-mana calon dari mana-mana kaum boleh bertanding di PD Bandar tidak kira samada Melayu, Cina, India atau Lain-lain. Namun setakat ini, sejak kewujudan dun PD Bandar calon-calon kaum India telah diketengahkan oleh kedua-dua pihak (BN & PR) termasuk calon bebas.

Inilah satu-satunya kawasan dun dalam Negeri Sembilan yang tidak menggambarkan majoriti sesuatu kaum. Kesemua pemilih kaum agak seimbang dan sama penting kepada BN dan PR. Penentuan undi kalah-menang jika bergantung kepada sesuatu kaum tidak begitu realistik di PD Bandar. Ia tidak sama dengan senario beberapa dun campuran bandar/sub bandar seperti Ampangan, Sikamat atau Rahang yang kemenangan datang daripada undi penentu daripada sesuatu kaum.

Senario Politik

MIC sejak awal kewujudan Perikatan telah diberi kerusi bertanding di Telok Kemang. Parlimen Port Dickson (kini Telok Kemang) dan dun Si Rusa menjadi kawasan pertandingan yang diperuntukkan oleh Perikatan untuk MIC. Parlimen Port Dickson ketika itu mempunyai kawasan dun iaitu Lukut, Pasir Panjang, Jimah dan Linggi.

Perubahan kawasan akibat persempadanan semula menyaksikan PD Bandar sebelum ini berada dalam dun Si Rusa, Lukut dan Jimah. Kesemua kawasan ini pada awalnya didominasi oleh Front Sosialis yang meletakkan calon-calon dari kaum India. Atas faktor itu juga, Perikatan meletakkan calon MIC berlawan di kawasan terbabit.

Ketika itu, kawasan-kawasan ini mempunyai banyak ladang dan estet yang didiami oleh ramai pekerja kaum India. Anjakan masa dan pembangunan menyebabkan beberapa kawasan ladang-estet ini telah luput dari peta menjadi kawasan perumahan dan perbandaran baru.

Zaman Mohd Isa Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, MIC negeri dikepalai oleh Muthupalaniappan dan dianggap antara komponen BN terkuat di Negeri Sembilan selepas MCA. Kedudukan MIC di Telok Kemang tidak pernah dipertikaikan walaupun ada kisah-kisah lisan menyebut bahawa Gerakan juga pernah melobi untuk bertanding di Telok Kemang dan Si Rusa atas faktor kepelbagaian kaum di kawasan ini.

Era Reformasi tidak begitu menggugat politik MIC di Negeri Sembilan kerana masih mendapat sokongan padu masyarakat India. Namun, MIC mengalami defisit kelebihan undi pada waktu itu di Port Dickson kerana lebih 70 peratus undi pemilih Melayu berpihak kepada pembangkang.

Tsunami Politik 2008 memberi pukulan terhebat kepada MIC. Parti-parti bersifat perkauman jelas melalui laluan sukar kerana rakyat telah mulai menolak politik perkauman BN. Kekalahan MIC di PD Bandar kepada KEADILAN memberi isyarat jelas kedudukan politik perkauman telah tidak mendapat tempat di jiwa rakyat.

Malah pemuka-pemuka MIC kini bertumpu ke Jeram Padang bagi mempertahankan kemenangan di sana. Beberapa kaji selidik tentang corak sokongan dan kecenderungan rakyat memperlihatkan peluang BN khususnya MIC untuk merampas kembali PD Bandar amat tipis. Undi kaum Cina secara konsisten dikatakan cenderung kepada PR antara 75 hingga 80 peratus. Manakala undi kaum India di kawasan bandar juga dikatakan kekal di paras 60 hingga 68 peratus menyokong PR. MIC mungkin akan meletakkan harapan lonjakan undi daripada pemilih Melayu. Hakikatnya gerak kerja KEADILAN dan PR Telok Kemang secara berterusan sangat menggugat kedudukan MIC.

Pertandingan banyak penjuru?

Parti komponen BN lain yang secara terang menyatakan minat bertanding di PD Bandar adalah Parti Progresif Penduduk (PPP). Begitu juga dengan Parti Makkal Sakhti. Persaingan parti-parti kaum India dalam BN agak ketara kerana masing-masing seakan cuba mengampu kedudukan politik daripada Umno. Kekalahan MIC pada PRU 2008 menjadi aspek kuat buat parti-parti ini mendesak laluan untuk mereka bertanding di PD Bandar.

Lain-lain parti bersifat kaum India seperti HRP (Human Right Party) turut berminat dan telah membuka bilik gerakan utamanya di Port Dickson.

Apakah akan berlaku situasi pertandingan banyak penjuru di PD Bandar?

Sesuatu yang pasti, BN dan PR akan meletakkan calonnya. Setakat ini, HRP telah menyatakan hasrat bertanding. Ada kemungkinan BN akan menggunakan strategi memecahkan undi pemilih India dengan menaja sekurangnya seorang calon bebas dari kaum India. Bagaimana ia boleh berlaku?

Penyokong tegar Umno-BN di kalangan pemilih Melayu agak tinggi dan senario di PD Bandar jika dinilai dalam bentuk peratusan, sokongan Melayu kepada BN sekitar 52 hingga 58 peratus. Inilah saki baki sokongan padu yang akan digunakan oleh BN untuk mempertahankan undi kepada mereka. BN mungkin akan mempertahankan 28-31 peratus sokongan dari kaum Cina. Dalam situasi ini, pemilih kaum India dilihat sebagai pemilih yang paling mudah dipecahkan oleh BN. Sogokan dan pelbagai gula-gula politik kerap dilambakkan kepada kaum India sejak akhir-akhir ini. Ia diakui berkesan dalam menarik sekurang-kurangnya 15 peratus undi kaum India yang menyokong PR.

Kehadiran calon HRP dan seorang calon bebas tajaan BN dari kaum India dilihat mampu memecahkan blok sokongan pemilih India secara besar. Jika MIC dapat mengekalkan perolehan undi popular sebagaimana PRU 2008 sekitar 48 peratus, dengan mengharapkan kehadiran calon HRP dan calon bebas menarik sekurangnya 10 peratus undi popular daripada kaum India, ada kemungkinan calon KEADILAN akan tewas! Secara mudahnya, MIC bakal menang dengan majoriti terendah dalam sejarah pertandingannya di Telok Kemang.

Keadaan sebegini wajar diteliti dan diambil perhatian oleh KEADILAN dan PR Negeri Sembilan sekiranya berhasrat untuk mempertahankan kemenangan PD Bandar disamping membentuk kerajaan baru!

Kepedulian politik terhadap senario tersebut wajib dan wajar agar jentera PR tidak terleka dengan keputusan hasil kaji selidik yang diperolehi daripada pihak berwajib (JASA/SB/MIO/Kemas) yang memperlihatkan kelesaan untuk menang dalam majoriti yang besar.

Suatu strategi khususnya dalam membentuk kompromi politik antara parti-parti seperti HRP, PPP dan Hindraf wajar digerakkan agar tidak berlaku kerugian di pihak PR. Harus diketahui bahawa kaedah meletakkan calon bebas untuk mewujudkan pertandingan banyak penjuru ini sangat berpihak kepada BN. PR harus menterbalikkan kaedah ini agar berpihak kepada kemenangan PR. Strategi dan gerak kerja seperti di PRK Bukit Selambau wajar diaplikasikan bagi menghadapi pertandingan sebegini.

Kelebihan KEADILAN ketika ini adalah kerana MIC Negeri Sembilan sedang mengalami percakaran politik dalaman yang sama runcing dengan Umno Negeri Sembilan. Ia wajar dieksploit sebaik mungkin secara bijaksana!

Potensi Kemenangan;

Jangkaan BN 
BN-51%
PR-49%

Andaian Penulis
PR-52%
BN-46%
Bebas-2%






Tuesday 3 July 2012

Menang Seri Menanti, Kuala Pilah Ditawan!

Seri Menanti terpahat dalam lembaran sejarah negara dan Negeri Sembilan sebagai telapak pemerintahan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sejak penubuhan persekutuan Negeri Sembilan pada tahun 1886, malah ia dicatatkan telah wujud awal kurun ke-18 lagi yang menjadi telapak penting pemerintahan dan pentadbiran Yamtuan Besar Seri Menanti ke atas Luak Tanah Mengandung.

Tan Sri Dato Abd Samad Idris
Sejak Pilihanraya Umum 1959, Seri Menanti kekal menjadi kubu kuat Umno samada dari zaman Perikatan, zaman Barisan Nasional dan Umno Baru. Wakil rakyat pertamanya adalah Allahyarham Tan Sri Dato Abdul Samad Idris, antara anak jati Kuala Pilah yang menukilkan persejarahan Negeri Sembilan. Malah Tan Sri Abdul Samad juga pernah menyandang seketika jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1969.

Selain daripada peristiwa pertabalan, kemangkatan dan adat istiadat diraja yang dipaparkan dengan Seri Menanti, kawasan ini agak sepi daripada prospek pelancongan, mungkin kerana kecerukannya atau 'kesembapan' wakil rakyat yang sedia ada untuk memacu perubahan kepada kawasan ini.

Aspan Alias
Sejak PRU pertama hingga PRU 2008, Umno menjadi wakil BN sebagai parti bertanding di Seri Menanti. PAS menjadi pesaing tetap kepada Umno dalam pilihanraya umum bagi kawasan ini melainkan pada PRU 1990 dan 1995. PRU 1990 telah menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Umno-Semangat 46-Pas. 

Ketika itu, saudara Aspan Alias (yang kini ahli DAP NS) merupakan calon Semangat 46 bagi dun Seri Menanti memperolehi 1,402 undi tewas kepada calon Umno iaitu Mohktar Yasin yang menang sebanyak 2,541 kelebihan undi. Manakala calon Pas hilang deposit yang hanya memperolehi 156 undi sahaja.

PRU 1995 pula telah menyaksikan lonjakan majoriti dan undi popular calon Umno. Penolakan pengaruh Semangat 46 cukup besar di Seri Menanti apabila calonnya, Tengku Adinan Tengku Hassan sekadar menerima 583 undi atau undi popular sebanyak 11.19 peratus berbanding calon Umno-Hashimuddin Dato Abdul Kadir mendapat 4,625 (88.81%). Penampilan kerabat diraja sebagai calon tidak berjaya menarik simpati pemilih Seri Menanti kepada Semangat 46.

Era Reformasi

Perjalanan politik ketika era ini cukup memberi kesan besar kepada Umno khususnya. Kemerosotan undi popular calon-calon Umno di kebanyakan dun seluruh Parlimen Kuala Pilah memberi gambaran jelas bahawa isu pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet dan Umno telah mengubah pentas politik negara khususnya orang-orang Melayu.

Umno hampir sahaja tewas di Kuala Pilah namun kekurangan jentera dan kepakaran menangani manipulasi undi menyebabkan kedudukan Umno-BN sedikit terselamat daripada kekalahan.

PRU 1999 telah mengejutkan Umno di Seri Menanti dengan kemerosotan ketara perolehan undi. Calon nya Ibrahim Jahaya mendapat 3,069 undi (54.10%) manakala calon PAS-Mohammad Nor Abdul Rahman (gambar kanan) memperolehi 2,593 undi (45.71%). Umno hanya mendapat kelebihan kemenangan sebanyak 476 undi. 

Keputusan itu merupakan prestasi terbaik calon Pas sejak tahun 1959 di Seri Menanti. Ombakan politik di kalangan orang-orang Melayu ketika itu cukup mencemaskan Umno-BN. Kawasan dun seperti Pilah, Senaling dan Juasseh telah diselamatkan sedikit oleh undi bukan Melayu. Lonjakan sokongan pemilih Melayu kepada Barisan Alternatif ketika itu mencapai hingga 85 peratus!

Tsunami 2008

Suasana politik negara kembali berubah dan ombakan kali ini dialami oleh pemilih bukan Melayu seluruh negara. Akan tetapi ombakan 99 tidak berlaku di Seri Menanti. Umno tampil dengan calon baru iaitu Abd Samad Ibrahim kembali meningkatkan kelebihan kemenangan dengan 2,191 undi.

Permasalahan Setempat

Tekanan air rendah disamping kekerapan bekalan air terputus menjadi masalah utama di Seri Menanti. Agak pelik bagi kawasan yang terletak di punca tadahan air utama Negeri Sembilan iaitu Empangan Talang yang juga menjadi punca Sungai Muar tidak mendapat kemudahan bekalan air yang efisyen.

Kemudahan asas seperti lampu jalan di kawasan-kawasan kampung juga tidak menyeluruh, memang benar ada banyak kawasan kampung yang didiami tidak ramai penduduk, namun kemudahan tersebut di laluan-laluan utama kampung diperlukan untuk memudah penduduk bergerak.

Pembangunan belia dan anak muda di kawasan ini juga tidak begitu menggalakkan walaupun wakil rakyat kawasan merupakan seorang exco bagi belia. Hampir keseluruhan Seri Menanti agak suram daripada kesan perubahan pembangunan. Walaupun ia menjadi Bandar Diraja, status itu seharusnya telah mengangkat kawasan sekitarnya untuk dimajukan sebagai produk pelancongan dari segi warisan budaya, adat istiadat dan alam sekitar.

Kelebihan alam sekitar Seri Menanti yang masih memiliki kawasan hutan khatulistiwa banjaran wajar dimanfaatkan sebagai lonjakan ekonomi kepada Negeri Sembilan. Hakikatnya, ia masih jauh daripada jaringan pelancongan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Apakah kecerukan Seri Menanti menjadi modal berterusan Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya di Negeri Sembilan?

Calon PRU-13
Perkhabaran tidak rasmi menyebut wakil rakyat sedia ada, Abdul Samad Ibrahim dijangka akan dikekalkan sebagai calon PRU-13 BN. 

Rundingan kerusi antara komponen PR Negeri Sembilan juga telah dikhabarkan selesai dan Pas Negeri Sembilan telah memaklumkan beberapa pertukaran kawasan pertandingan dengan KEADILAN Negeri Sembilan. Dun Seri Menanti antaranya telah terlibat dalam pertukaran tersebut dan kali ini dalam PRU-13, KEADILAN akan bertanding.

Uniknya Dun Seri Menanti ini mempunyai 95 peratus pemilih Melayu dan ada maklumat-maklumat menyebut pemilih-pemilih di kawasan ini sangat mengalu-alukan KEADILAN bertanding melawan Umno.

Perkhabaran tidak rasmi turut menyebut, KEADILAN Negeri Sembilan telah mengenalpasti beberapa calon tempatan yang berpotensi. Calon-calon tersebut dilihat berpotensi memberi saingan kepada Umno. Ada juga yang menyebut calon wanita bakal diletakkan di situ.

Potensi

Agak sukar menjangkakan corak sokongan di Seri Menanti kerana hampir keseluruhan demografi-nya merupakan kawasan pedalaman dan luar bandar. Persepsi semasa menunjukkan pemilih pedalaman dan luar bandar amat cenderung memilih Umno-BN.

Namun begitu, beberapa gerak kerja yang dijalankan oleh KEADILAN Cabang Kuala Pilah telah memperlihatkan keputusan yang berbeza. Maklumat tidak rasmi menunjukkan peningkatan sokongan sekitar 38 ke 41 peratus kepada PR. Selebihnya masih dikuasai oleh Umno dengan bantuan jentera-jentera kerajaan.

Penembusan maklumat pantas dan terkini secara meluas di kebanyakan kawasan amat diperlukan untuk digerakkan di seluruh Seri Menanti memandangkan ramai pemilih atas pagar yang kebanyakannya tidak mendapat maklumat tepat tentang Pakatan Rakyat. Ia memungkin satu ombakan perubahan sekiranya gerakan itu dilakukan secara agresif.

Sambutan penduduk tempatan kepada program-program ceramah umum dan penerangan yang dijalankan amat menggalakkan sehingga pihak Umno terpaksa menggunakan kaedah ganggu-datang ke program terbabit samada melalui NGO-NGO naungannya atau samseng-samseng upahan.

Ia sedikit memberi petanda Umno Seri Menanti merasai gugatan politik KEADILAN. Saingan sengit dijangka berlaku dalam PRU-13 akan datang. Dalam keadaan semasa, kedudukan PR-BN ketika ini di Seri Menanti adalah 40-60. Ada peningkatan sokongan akar umbi kepada kedudukan PR kini walaupun dinafikan oleh Umno. Secara fizikalnya, Umno dilihat merajai keadaan di sekitar Seri Menanti.

Apakah mungkin Seri Menanti dimenangi KEADILAN? Jika Seri Menanti menang, ia bermakna seluruh Kuala Pilah ditawan PR Negeri Sembilan!

Jangkaan BN
BN: 65%
PR: 35%

Andaian Penulis
PR: 51%
BN: 49%