Thursday 19 July 2012

Palong-sukar tetapi tidak mustahil dimenangi!

Palong merupakan satu-satunya dun di Negeri Sembilan yang seratus peratus terdiri daripada kawasan Felda. Kenyataan yang wajar diakui dan diterima oleh Pakatan Rakyat adalah kawasan ini antara kubu kuat Umno di Jempol dan Negeri Sembilan selain Sungai Lui, Gemas, Bagan Pinang dan Kota.

Secara umum, 75 peratus kawasan Parlimen Jempol merupakan kawasan rancangan Felda dan selebihnya merupakan kawasan bandar, perumahan, kampung-kampung tradisi & baru dan ladang/estet.
Dun Palong (N6) terdiri daripada Gugusan Felda Palong 3 hingga 16 (kecuali Palong 1 & 2 yang berada dalam dun Jeram Padang), Gugusan Felda Tembangau dan Palong Timur. Kawasan ini mempunyai sembilan daerah mengundi yang rata-ratanya dikuasai 80 peratus oleh cawangan-cawangan Umno. Kekuatan pembangkang jika diukur dari sudut kewujudan organisasi peringkat cawangan/ranting, sekitar 15 peratus sahaja dengan didominasi oleh ranting KEADILAN Jempol dan beberapa cawangan PAS Jempol.

Jika dibandingkan pula dengan perolehan majoriti kemenangan dalam pilihanraya umum, Palong adalah antara kawasan yang dimenangi oleh Umno-BN dengan majoriti yang selesa disamping mendapat undi popular melebihi 65 peratus. Secara fakta dan angka atas helaian mata keputusan, ternyata kedudukan Umno-BN sukar digugat di Palong. Terbukti sejak PRU 1986, 1990, 1995 dan 2004 Umno menang dengan majoriti yang selesa kecuali pada PRU 1999 dan 2008 yang telah berlaku penurunan lebih seribu undi dalam kelebihan kemenangan.

Namun, apakah ia akan selamanya mampu dipertahankan oleh Umno? 

Sejarah Pilihanraya

PRU 1986

Pilihanraya umum ini berlangsung sebelum berlaku perpecahan besar dalaman Umno. Ketika itu, pengaruh Umno-BN sangat utuh dan sukar disaingi oleh parti-parti pembangkang. DAP dan PAS menjadi parti pembangkang yang menyaingi Umno-BN.

Tempoh 1981 hingga 1988 merupakan era kegemilangan Umno di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad. Cetusan idea-idea pembangunan dari sudut infrastruktur, tekonologi dan ekonomi yang dibawa oleh Dr Mahathir antara faktor kuat sokongan utuh rakyat kepada BN waktu itu.

Umno telah meletak Baharudin Haji Hassan sebagai calonnya di Palong. Beliau telah memenangi dun Palong dengan majoriti yang besar iaitu 6,254 undi yang menewaskan calon PAS-Mohamad Yassin Bakar. Umno memperolehi 7117 undi (87%) manakala PAS hanya mendapat 863 undi (10.5%) dan hilang deposit!

PRU 1990

Suasana baru politik negara yang dikejutkan dengan pengharaman Umno pada tahun 1988 telah melahir sebuah lagi parti baru iaitu Semangat 46 (S46). Dr Mahathir telah mewujudkan Umno Baru sebagai strategi politik beliau meneruskan legasi Umno dan langkah menyakinkan rakyat dengan kesinambungan politik Umno.

Akan tetapi gelora politik yang berlaku antara Umno dan Semangat 46 seolah-olah tidak memberi kesan kepada kebanyakan pemilih di Palong. Ia sangat berbeza dengan suasana di dun Batu Kikir dengan Umno telah diberi tentangan sengit oleh Semangat 46 yang memenangi kawasan tersebut dengan kelebihan 1,244 undi sahaja.

Umno mengekalkan Baharudin Haji Hassan sebagai calon di Palong, manakala Semangat 46 meletakkan Mohd Sani Hussin sebagai calonnya. Umno berjaya mengekalkan sokongan dan meningkatkan kelebihan kemenangan dengan memperolehi 6,798 undi. Calon Semangat 46 mendapat undi sebanyak 2,522 undi manakala Umno mendapat 9,320 undi.

PRU 1995

Pertandingan waktu ini dikira sebagai mudah kepada Umno di Palong walaupun berlaku perlawanan tiga penjuru yang turut melibatkan Semangat 46 dan PAS. Kegagalan mencapai sepakat antara pihak pembangkang telah memberi laluan mudah kepada Umno mengekalkan kemenangan dengan majoriti 6,400 undi. Calon Semangat 46-Ramli Md Nor dan PAS-Ghazali Khamis kedua-duanya hilang deposit dengan masing-masing memperolehi 998 undi dan 762 undi. Manakala calon Umno-BN, Kamaruddin Mohd Din mendapat 7,398 undi.

PRU1999

Era ini dikenali sebagai Reformasi 99 kesan daripada pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri atas tuduhan rasuah dan skandal seks liwat. Kejijikan politik yang dicetuskan oleh Dr Mahathir bersama pasukan strategis telah menjerumus 'kerosakan' pengaruh Umno kepada rakyat khususnya kaum Melayu.

Sebagaimana perpecahan Umno sehingga pengharaman pertubuhan tersebut pada 1988, kebanyakan pemilih di Palong tidak begitu terkesan dengan isu Anwar Ibrahim dan Reformasi.

Kali ini, KEADILAN telah meletakkan calon di Palong bagi melawan Umno. Ada maklumat-maklumat lisan pernah menyebut PAS tidak mahu bertanding di kawasan ini gara-gara pengalaman tewas sehingga hilang deposit yang sepatutnya ditandingi. Menurut sumber lisan itu lagi, KEADILAN sebenarnya bertanding di Serting.

Majoriti kemenangan Umno kali ini telah merosot dengan memenangi Palong dengan kelebihan 4,209 undi. Calon KEADILAN ketika itu, Mohammad Sharifuddin Musim mendapat 2,367 undi manakala calon Umno-Kamaruddin Mohd Din memperolehi 6,576 undi.

PRU 2004

Peralihan jawatan Perdana Menteri dari Dr Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi (Paklah) telah dibayangi sentimen 'perubahan politik' yang dicanangkan oleh jentera strategi Paklah dan ia berjaya. Lonjakan undi popular BN dalam pilihanraya ini turut dibantu oleh khabar yang menyebut Anwar Ibrahim akan dibebaskan sekiranya Paklah menjadi PM. Ia suatu 'psywar' yang menjadi dan mencetuskan keyakinan kepada seluruh rakyat pada waktu itu.

Ketika ini juga prestasi dan sengatan politik KEADILAN merundum di seluruh negara. Semangat Reformasi secara tiba-tiba menjadi tepu.
Rebin Birham
Calon PRU-12 KEADILAN
KEADILAN masih kekal bertanding di Palong dengan menampil calon muda iaitu Rebin Birham manakala Umno meletakkan Aziz Shamsudin sebagai calon untuk mempertahankan kemenangan BN di Palong. BN telah memenangi Palong dengan majoriti 5,346 undi dengan perolehan sebanyak 7,245 undi. Calon KEADILAN mendapat 1,899 undi.

PRU 2008

Umno dan KEADILAN kedua-duanya masih mengekalkan calon yang sama semasa PRU 2004 sebagai calon masing-masing dalam pertandingan ini. Berlaku penyusutan kelebihan undi kemenangan BN sebanyak lebih seribu undi, menang dengan majoriti 4,217 undi.

Isu Peneroka

KEADILAN Negeri Sembilan dalam permukiman kepimpinan peringkat akar umbi yang diadakan pada pertengahan 2009 telah meletakkan matlamat bahawa kemenangan Negeri Sembilan akan berlaku sekiranya masalah-masalah peneroka Felda dapat ditangani secara progresif.

Hasilnya, beberapa pimpinan utama KEADILAN Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Warga Felda Perihatin sebagai penggerak menangani dan membela hak-hak peneroka. Usaha ini begitu positif berbanding gerakan awal yang dibuat oleh ANAK.

Seterusnya, NGO tersebut terus bergerak kehadapan dengan membawa isu-isu peneroka ke mahkamah.  Antara yang paling berjaya adalah tindakan saman lebih 700 peneroka dari Serting Hilir dan Raja Alias 2 ke atas Felda atas kes penipuan KPG buah sawit.

Gerakan agresif itu berterusan yang diikuti dengan tindakan saman terhadap Felda dan kontraktor lantikan Felda tentang penebangan pokok getah peneroka di Palong.

Lebih signifikan setelah manifesto khas untuk peneroka iaitu Janji Palong telah dilancarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim pada November 2011 lalu. Kehadiran Anwar Ibrahim yang agak kerap sejak penghujung 2011 sehingga Mac 2012 lalu memperlihatkan KEADILAN amat bersungguh-sungguh menawan Palong.

Malah gerakan agresif Warga Felda Perihatin turut membantu gerak kerja rakan komponen PR-Pas dan DAP khususnya di kawasan-kawasan rancangan Felda di Serting dan Bahau termasuk Jeram Padang. Kemenangan keseluruhan Jempol memberi makna bahawa Negeri Sembilan telah berjaya ditawan oleh PR Negeri Sembilan.

Potensi

Penubuhan secara aktif beberapa ranting baru KEADILAN di Palong telah membayangkan hasrat PR menembusi dan memperkukuhkan pengaruh di kawasan peneroka yang selama ini didominasi oleh Umno.

Peneroka-peneroka kini dilihat mula berani untuk kehadapan dalam memperjuangkan hak-hak mereka. Penindasan yang ditanggung oleh peneroka hasil tekanan kapitalis Felda menyebabkan para peneroka kian bangkit menentang penindasan. Harus difahami di sini bahawa peneroka menentang penindasan dan penafian hak-hak mereka yang disekat oleh Felda. Kesedaran itulah yang amat ditakuti oleh Umno.

Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan secara halus oleh pemerintah Umno-BN ke atas warga peneroka bakal pecah sekiranya gerakan pembelaan hak-hak peneroka yang digerakkan oleh PR berjaya melalui kemenangan kes-kes saman terhadap Felda.

Maklumat-maklumat tidak rasmi perisikan menyebut gerakan PR di kawasan-kawasan peneroka seara agresif telah meningkat sedikit sokongan kepada PR. Jika semasa PRU 2008, sokongan sekitar Palong adalah 25 hingga 29 peratus, kini dikatakan telah meningkat sebanyak 10 peratus menjadi 35 hingga 39 peratus.

Seandainya situasi sokongan ini berjaya dikekalkan atau ditingkatkan, ada kemungkinan besar majoriti kemenangan BN mampu dicantas dengan banyak. Andaian mudah-KEADILAN mampu memperolehi undi popular sekitar 41-45 peratus di Palong!

Pecahan pemilih di Palong mengikut senarai pemilih Suku Ketiga 2011 adalah seperti berikut;

Melayu: (90.22%)  Cina: (2.22%)  India: (7.3%)
Jumlah Pemilih: 14,788 

Felda merupakan sebuah entiti kapitalis yang ditubuhkan oleh kerajaan Umno-BN untuk mengaut keuntungan maksima melalui pertanian. Ia adalah suatu kaedah terancang yang licik dan berkesan dalam mengawal sesuatu komuniti disamping menjadi lubuk sokongan politik untuk kekal berkuasa.

Persoalannya, apakah mampu Palong dimenangi kali ini oleh KEADILAN dalam merealisasikan matlamat PR menawan Negeri Sembilan?

Palong merupakan cabaran sukar namun ia tidak mustahil untuk ditawan. Harus kembali kepada fakta sejarah bahawa pada PRU 1999 beberapa dun yang mempunyai majoriti kawasan felda di Pahang telah dimenangi oleh pembangkang seperti Dun Jengka. Lebih menarik Dun Chini dimenangi KEADILAN ketika itu hanya dengan kelebihan 5 undi sahaja!

Jangkaan Kemenangan

Jangkaan BN
BN-65%
PR-35%

Andaian Penulis
PR-50%
BN-50%





No comments:

Post a Comment