Tuesday 3 July 2012

Menang Seri Menanti, Kuala Pilah Ditawan!

Seri Menanti terpahat dalam lembaran sejarah negara dan Negeri Sembilan sebagai telapak pemerintahan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sejak penubuhan persekutuan Negeri Sembilan pada tahun 1886, malah ia dicatatkan telah wujud awal kurun ke-18 lagi yang menjadi telapak penting pemerintahan dan pentadbiran Yamtuan Besar Seri Menanti ke atas Luak Tanah Mengandung.

Tan Sri Dato Abd Samad Idris
Sejak Pilihanraya Umum 1959, Seri Menanti kekal menjadi kubu kuat Umno samada dari zaman Perikatan, zaman Barisan Nasional dan Umno Baru. Wakil rakyat pertamanya adalah Allahyarham Tan Sri Dato Abdul Samad Idris, antara anak jati Kuala Pilah yang menukilkan persejarahan Negeri Sembilan. Malah Tan Sri Abdul Samad juga pernah menyandang seketika jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1969.

Selain daripada peristiwa pertabalan, kemangkatan dan adat istiadat diraja yang dipaparkan dengan Seri Menanti, kawasan ini agak sepi daripada prospek pelancongan, mungkin kerana kecerukannya atau 'kesembapan' wakil rakyat yang sedia ada untuk memacu perubahan kepada kawasan ini.

Aspan Alias
Sejak PRU pertama hingga PRU 2008, Umno menjadi wakil BN sebagai parti bertanding di Seri Menanti. PAS menjadi pesaing tetap kepada Umno dalam pilihanraya umum bagi kawasan ini melainkan pada PRU 1990 dan 1995. PRU 1990 telah menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Umno-Semangat 46-Pas. 

Ketika itu, saudara Aspan Alias (yang kini ahli DAP NS) merupakan calon Semangat 46 bagi dun Seri Menanti memperolehi 1,402 undi tewas kepada calon Umno iaitu Mohktar Yasin yang menang sebanyak 2,541 kelebihan undi. Manakala calon Pas hilang deposit yang hanya memperolehi 156 undi sahaja.

PRU 1995 pula telah menyaksikan lonjakan majoriti dan undi popular calon Umno. Penolakan pengaruh Semangat 46 cukup besar di Seri Menanti apabila calonnya, Tengku Adinan Tengku Hassan sekadar menerima 583 undi atau undi popular sebanyak 11.19 peratus berbanding calon Umno-Hashimuddin Dato Abdul Kadir mendapat 4,625 (88.81%). Penampilan kerabat diraja sebagai calon tidak berjaya menarik simpati pemilih Seri Menanti kepada Semangat 46.

Era Reformasi

Perjalanan politik ketika era ini cukup memberi kesan besar kepada Umno khususnya. Kemerosotan undi popular calon-calon Umno di kebanyakan dun seluruh Parlimen Kuala Pilah memberi gambaran jelas bahawa isu pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet dan Umno telah mengubah pentas politik negara khususnya orang-orang Melayu.

Umno hampir sahaja tewas di Kuala Pilah namun kekurangan jentera dan kepakaran menangani manipulasi undi menyebabkan kedudukan Umno-BN sedikit terselamat daripada kekalahan.

PRU 1999 telah mengejutkan Umno di Seri Menanti dengan kemerosotan ketara perolehan undi. Calon nya Ibrahim Jahaya mendapat 3,069 undi (54.10%) manakala calon PAS-Mohammad Nor Abdul Rahman (gambar kanan) memperolehi 2,593 undi (45.71%). Umno hanya mendapat kelebihan kemenangan sebanyak 476 undi. 

Keputusan itu merupakan prestasi terbaik calon Pas sejak tahun 1959 di Seri Menanti. Ombakan politik di kalangan orang-orang Melayu ketika itu cukup mencemaskan Umno-BN. Kawasan dun seperti Pilah, Senaling dan Juasseh telah diselamatkan sedikit oleh undi bukan Melayu. Lonjakan sokongan pemilih Melayu kepada Barisan Alternatif ketika itu mencapai hingga 85 peratus!

Tsunami 2008

Suasana politik negara kembali berubah dan ombakan kali ini dialami oleh pemilih bukan Melayu seluruh negara. Akan tetapi ombakan 99 tidak berlaku di Seri Menanti. Umno tampil dengan calon baru iaitu Abd Samad Ibrahim kembali meningkatkan kelebihan kemenangan dengan 2,191 undi.

Permasalahan Setempat

Tekanan air rendah disamping kekerapan bekalan air terputus menjadi masalah utama di Seri Menanti. Agak pelik bagi kawasan yang terletak di punca tadahan air utama Negeri Sembilan iaitu Empangan Talang yang juga menjadi punca Sungai Muar tidak mendapat kemudahan bekalan air yang efisyen.

Kemudahan asas seperti lampu jalan di kawasan-kawasan kampung juga tidak menyeluruh, memang benar ada banyak kawasan kampung yang didiami tidak ramai penduduk, namun kemudahan tersebut di laluan-laluan utama kampung diperlukan untuk memudah penduduk bergerak.

Pembangunan belia dan anak muda di kawasan ini juga tidak begitu menggalakkan walaupun wakil rakyat kawasan merupakan seorang exco bagi belia. Hampir keseluruhan Seri Menanti agak suram daripada kesan perubahan pembangunan. Walaupun ia menjadi Bandar Diraja, status itu seharusnya telah mengangkat kawasan sekitarnya untuk dimajukan sebagai produk pelancongan dari segi warisan budaya, adat istiadat dan alam sekitar.

Kelebihan alam sekitar Seri Menanti yang masih memiliki kawasan hutan khatulistiwa banjaran wajar dimanfaatkan sebagai lonjakan ekonomi kepada Negeri Sembilan. Hakikatnya, ia masih jauh daripada jaringan pelancongan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Apakah kecerukan Seri Menanti menjadi modal berterusan Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya di Negeri Sembilan?

Calon PRU-13
Perkhabaran tidak rasmi menyebut wakil rakyat sedia ada, Abdul Samad Ibrahim dijangka akan dikekalkan sebagai calon PRU-13 BN. 

Rundingan kerusi antara komponen PR Negeri Sembilan juga telah dikhabarkan selesai dan Pas Negeri Sembilan telah memaklumkan beberapa pertukaran kawasan pertandingan dengan KEADILAN Negeri Sembilan. Dun Seri Menanti antaranya telah terlibat dalam pertukaran tersebut dan kali ini dalam PRU-13, KEADILAN akan bertanding.

Uniknya Dun Seri Menanti ini mempunyai 95 peratus pemilih Melayu dan ada maklumat-maklumat menyebut pemilih-pemilih di kawasan ini sangat mengalu-alukan KEADILAN bertanding melawan Umno.

Perkhabaran tidak rasmi turut menyebut, KEADILAN Negeri Sembilan telah mengenalpasti beberapa calon tempatan yang berpotensi. Calon-calon tersebut dilihat berpotensi memberi saingan kepada Umno. Ada juga yang menyebut calon wanita bakal diletakkan di situ.

Potensi

Agak sukar menjangkakan corak sokongan di Seri Menanti kerana hampir keseluruhan demografi-nya merupakan kawasan pedalaman dan luar bandar. Persepsi semasa menunjukkan pemilih pedalaman dan luar bandar amat cenderung memilih Umno-BN.

Namun begitu, beberapa gerak kerja yang dijalankan oleh KEADILAN Cabang Kuala Pilah telah memperlihatkan keputusan yang berbeza. Maklumat tidak rasmi menunjukkan peningkatan sokongan sekitar 38 ke 41 peratus kepada PR. Selebihnya masih dikuasai oleh Umno dengan bantuan jentera-jentera kerajaan.

Penembusan maklumat pantas dan terkini secara meluas di kebanyakan kawasan amat diperlukan untuk digerakkan di seluruh Seri Menanti memandangkan ramai pemilih atas pagar yang kebanyakannya tidak mendapat maklumat tepat tentang Pakatan Rakyat. Ia memungkin satu ombakan perubahan sekiranya gerakan itu dilakukan secara agresif.

Sambutan penduduk tempatan kepada program-program ceramah umum dan penerangan yang dijalankan amat menggalakkan sehingga pihak Umno terpaksa menggunakan kaedah ganggu-datang ke program terbabit samada melalui NGO-NGO naungannya atau samseng-samseng upahan.

Ia sedikit memberi petanda Umno Seri Menanti merasai gugatan politik KEADILAN. Saingan sengit dijangka berlaku dalam PRU-13 akan datang. Dalam keadaan semasa, kedudukan PR-BN ketika ini di Seri Menanti adalah 40-60. Ada peningkatan sokongan akar umbi kepada kedudukan PR kini walaupun dinafikan oleh Umno. Secara fizikalnya, Umno dilihat merajai keadaan di sekitar Seri Menanti.

Apakah mungkin Seri Menanti dimenangi KEADILAN? Jika Seri Menanti menang, ia bermakna seluruh Kuala Pilah ditawan PR Negeri Sembilan!

Jangkaan BN
BN: 65%
PR: 35%

Andaian Penulis
PR: 51%
BN: 49%

2 comments: