Friday 13 July 2012

Politik MIC kelam di Port Dickson?

Tsunami Politik 2008 nyaris-nyaris menamatkan riwayat politik Malaysian Indian Congress (MIC) di Negeri Sembilan. BN telah memperuntukkan satu parlimen dan dua dua dun kepada MIC di negeri ini. Namun, Pakatan Rakyat melalui KEADILAN telah berjaya memenangi Parlimen Telok Kemang dan dun Port Dickson (PD Bandar) daripada MIC. 

Hanya dun Jeram Padang berjaya dikekalkan oleh MIC. Itupun kedudukan MIC di Jeram Padang kian senak diasak oleh gerakan politik PR Negeri Sembilan disamping krisis dalaman pertubuhan politik kaum India itu. Jika tidak disebabkan kekalahan calon MIC di PD Bandar, agak mustahil mana-mana wakil rakyat MIC di Jeram Padang akan dilantik menjadi exco negeri!

Kekalahan di Parlimen Telok Kemang dan dun PD Bandar memberi isyarat jelas penolakan rakyat kepada pengaruh politik parti perkauman khususnya MIC. Bukan MIC sahaja yang menerima kesan tersebut di Telok Kemang, malah rakan komponen-Malaysian Chinese Association (MCA) turut dikejutkan dengan kekalahan di Lukut kepada DAP dan Chuah kepada KEADILAN.

Telok Kemang menjadi pentas baru era kini kepada pembangkang selain Seremban dan Rasah sebagai kawasan kuat. Ia seakan mengulangi sejarah PRU 1959 dan 1969 yang memperlihatkan parti-parti bukan Perikatan iaitu Front Sosialis menguasai Telok Kemang yang ketika itu dikenali sebagai Parlimen Port Dickson.

Sejarah & Latarbelakang

Dun PD Bandar merupakan kawasan yang diwujudkan hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Asalnya beberapa daerah mengundi dalam kawasan ini merupakan kawasan mengundi bagi Dun Si Rusa dan sebahagiannya lagi terletak dalam kawasan Dun Lukut.

Sebagaimana yang diketahui, parti pemerintah BN menggunakan kaedah persempadanan semula kawasan pilihanraya untuk memecahkan undi atau blok sokongan pembangkang. Pada PRU 1999 ketika era Reformasi, Si Rusa telah dimenangi oleh calon MIC dengan majoriti 1,819 undi yang menewaskan calon DAP. Calon MIC-E.Yohevel memperolehi sebanyak 4,978 undi manakala calon DAP-K.Arumugam mendapat 3,159 undi.

Keadaan berbeza sebelum itu, PRU 1995 yang memperlihatkan calon MIC menang dengan majoriti selesa di Si Rusa dengan memperolehi majoriti kemenangan sebanyak 3,167 undi. MIC mendapat 69 peratus undi popular berbanding calon DAP yang memperolehi 31 peratus undi popular.

Persempadanan semula 2003 dianggap sebagai langkah strategik BN menyelamatkan kedudukan politiknya dalam PRU 2004. Hasilnya, kawasan blok pembangkang di Lukut dan Si Rusa dipecahkan dan mewujudkan dun Chuah (untuk memecahkan blok sokongan DAP di Lukut), PD Bandar (untuk memecahkan blok sokongan pembangkang di Si Rusa & Lukut) serta Bagan Pinang (memecahkan pemilih Melayu untuk kukuhkan blok sokongan Umno). Keadaan itu memberi kelebihan kepada kedudukan komponen BN khususnya MCA dan MIC dalam mengekalkan kemenangan BN di Telok Kemang secara keseluruhan.

Kawasan Campuran

Mengikut statistik pemilih berdaftar Suku Tahun Ke-3 2011, pecahan pemilih dun PD Bandar mengikut kaum adalah seperti berikut;
Melayu-(32.77%)
Cina-(38.12%)
India-(28.04%)


Pecahan pemilih tersebut menjadikan PD Bandar sebagai satu-satunya kawasan campuran tulen di Negeri Sembilan yang memperlihatkan perbezaan kecil jumlah pemilih antara kaum. Walaupun dun Repah dalam Parlimen Tampin juga kawasan campuran namun perbezaan jumlah pemilih antara kaum Melayu dan Cina agak besar.

Keadaan itu membenarkan mana-mana calon dari mana-mana kaum boleh bertanding di PD Bandar tidak kira samada Melayu, Cina, India atau Lain-lain. Namun setakat ini, sejak kewujudan dun PD Bandar calon-calon kaum India telah diketengahkan oleh kedua-dua pihak (BN & PR) termasuk calon bebas.

Inilah satu-satunya kawasan dun dalam Negeri Sembilan yang tidak menggambarkan majoriti sesuatu kaum. Kesemua pemilih kaum agak seimbang dan sama penting kepada BN dan PR. Penentuan undi kalah-menang jika bergantung kepada sesuatu kaum tidak begitu realistik di PD Bandar. Ia tidak sama dengan senario beberapa dun campuran bandar/sub bandar seperti Ampangan, Sikamat atau Rahang yang kemenangan datang daripada undi penentu daripada sesuatu kaum.

Senario Politik

MIC sejak awal kewujudan Perikatan telah diberi kerusi bertanding di Telok Kemang. Parlimen Port Dickson (kini Telok Kemang) dan dun Si Rusa menjadi kawasan pertandingan yang diperuntukkan oleh Perikatan untuk MIC. Parlimen Port Dickson ketika itu mempunyai kawasan dun iaitu Lukut, Pasir Panjang, Jimah dan Linggi.

Perubahan kawasan akibat persempadanan semula menyaksikan PD Bandar sebelum ini berada dalam dun Si Rusa, Lukut dan Jimah. Kesemua kawasan ini pada awalnya didominasi oleh Front Sosialis yang meletakkan calon-calon dari kaum India. Atas faktor itu juga, Perikatan meletakkan calon MIC berlawan di kawasan terbabit.

Ketika itu, kawasan-kawasan ini mempunyai banyak ladang dan estet yang didiami oleh ramai pekerja kaum India. Anjakan masa dan pembangunan menyebabkan beberapa kawasan ladang-estet ini telah luput dari peta menjadi kawasan perumahan dan perbandaran baru.

Zaman Mohd Isa Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, MIC negeri dikepalai oleh Muthupalaniappan dan dianggap antara komponen BN terkuat di Negeri Sembilan selepas MCA. Kedudukan MIC di Telok Kemang tidak pernah dipertikaikan walaupun ada kisah-kisah lisan menyebut bahawa Gerakan juga pernah melobi untuk bertanding di Telok Kemang dan Si Rusa atas faktor kepelbagaian kaum di kawasan ini.

Era Reformasi tidak begitu menggugat politik MIC di Negeri Sembilan kerana masih mendapat sokongan padu masyarakat India. Namun, MIC mengalami defisit kelebihan undi pada waktu itu di Port Dickson kerana lebih 70 peratus undi pemilih Melayu berpihak kepada pembangkang.

Tsunami Politik 2008 memberi pukulan terhebat kepada MIC. Parti-parti bersifat perkauman jelas melalui laluan sukar kerana rakyat telah mulai menolak politik perkauman BN. Kekalahan MIC di PD Bandar kepada KEADILAN memberi isyarat jelas kedudukan politik perkauman telah tidak mendapat tempat di jiwa rakyat.

Malah pemuka-pemuka MIC kini bertumpu ke Jeram Padang bagi mempertahankan kemenangan di sana. Beberapa kaji selidik tentang corak sokongan dan kecenderungan rakyat memperlihatkan peluang BN khususnya MIC untuk merampas kembali PD Bandar amat tipis. Undi kaum Cina secara konsisten dikatakan cenderung kepada PR antara 75 hingga 80 peratus. Manakala undi kaum India di kawasan bandar juga dikatakan kekal di paras 60 hingga 68 peratus menyokong PR. MIC mungkin akan meletakkan harapan lonjakan undi daripada pemilih Melayu. Hakikatnya gerak kerja KEADILAN dan PR Telok Kemang secara berterusan sangat menggugat kedudukan MIC.

Pertandingan banyak penjuru?

Parti komponen BN lain yang secara terang menyatakan minat bertanding di PD Bandar adalah Parti Progresif Penduduk (PPP). Begitu juga dengan Parti Makkal Sakhti. Persaingan parti-parti kaum India dalam BN agak ketara kerana masing-masing seakan cuba mengampu kedudukan politik daripada Umno. Kekalahan MIC pada PRU 2008 menjadi aspek kuat buat parti-parti ini mendesak laluan untuk mereka bertanding di PD Bandar.

Lain-lain parti bersifat kaum India seperti HRP (Human Right Party) turut berminat dan telah membuka bilik gerakan utamanya di Port Dickson.

Apakah akan berlaku situasi pertandingan banyak penjuru di PD Bandar?

Sesuatu yang pasti, BN dan PR akan meletakkan calonnya. Setakat ini, HRP telah menyatakan hasrat bertanding. Ada kemungkinan BN akan menggunakan strategi memecahkan undi pemilih India dengan menaja sekurangnya seorang calon bebas dari kaum India. Bagaimana ia boleh berlaku?

Penyokong tegar Umno-BN di kalangan pemilih Melayu agak tinggi dan senario di PD Bandar jika dinilai dalam bentuk peratusan, sokongan Melayu kepada BN sekitar 52 hingga 58 peratus. Inilah saki baki sokongan padu yang akan digunakan oleh BN untuk mempertahankan undi kepada mereka. BN mungkin akan mempertahankan 28-31 peratus sokongan dari kaum Cina. Dalam situasi ini, pemilih kaum India dilihat sebagai pemilih yang paling mudah dipecahkan oleh BN. Sogokan dan pelbagai gula-gula politik kerap dilambakkan kepada kaum India sejak akhir-akhir ini. Ia diakui berkesan dalam menarik sekurang-kurangnya 15 peratus undi kaum India yang menyokong PR.

Kehadiran calon HRP dan seorang calon bebas tajaan BN dari kaum India dilihat mampu memecahkan blok sokongan pemilih India secara besar. Jika MIC dapat mengekalkan perolehan undi popular sebagaimana PRU 2008 sekitar 48 peratus, dengan mengharapkan kehadiran calon HRP dan calon bebas menarik sekurangnya 10 peratus undi popular daripada kaum India, ada kemungkinan calon KEADILAN akan tewas! Secara mudahnya, MIC bakal menang dengan majoriti terendah dalam sejarah pertandingannya di Telok Kemang.

Keadaan sebegini wajar diteliti dan diambil perhatian oleh KEADILAN dan PR Negeri Sembilan sekiranya berhasrat untuk mempertahankan kemenangan PD Bandar disamping membentuk kerajaan baru!

Kepedulian politik terhadap senario tersebut wajib dan wajar agar jentera PR tidak terleka dengan keputusan hasil kaji selidik yang diperolehi daripada pihak berwajib (JASA/SB/MIO/Kemas) yang memperlihatkan kelesaan untuk menang dalam majoriti yang besar.

Suatu strategi khususnya dalam membentuk kompromi politik antara parti-parti seperti HRP, PPP dan Hindraf wajar digerakkan agar tidak berlaku kerugian di pihak PR. Harus diketahui bahawa kaedah meletakkan calon bebas untuk mewujudkan pertandingan banyak penjuru ini sangat berpihak kepada BN. PR harus menterbalikkan kaedah ini agar berpihak kepada kemenangan PR. Strategi dan gerak kerja seperti di PRK Bukit Selambau wajar diaplikasikan bagi menghadapi pertandingan sebegini.

Kelebihan KEADILAN ketika ini adalah kerana MIC Negeri Sembilan sedang mengalami percakaran politik dalaman yang sama runcing dengan Umno Negeri Sembilan. Ia wajar dieksploit sebaik mungkin secara bijaksana!

Potensi Kemenangan;

Jangkaan BN 
BN-51%
PR-49%

Andaian Penulis
PR-52%
BN-46%
Bebas-2%






No comments:

Post a Comment