Tuesday 18 February 2014

Pemilihan AMK 2014: antara pertembungan semangat & kredibiliti!

Pasukan Nik Nazmi (AMK For Malaysia)
Pasukan Amirudin Shari (AMK Baru)

Pasukan Nazree Yunus (Nadi AMK)
Pertandingan bagi Pemilihan Angkatan Muda Keadilan Malaysia pada kali ini benar-benar memperlihatkan suatu bentuk persaingan yang menarik walaupun ada segelintir pihak mempertikaikan ketiga-tiga calon bagi jawatan Ketua AMK Malaysia ini tidak sesuai atau tidak lagi berada dalam landasan sayap tersebut.

Pembukaan gelanggang pertandingan jawatan tersebut telah dibuka awal oleh Adun Batu Caves, Amirudin Shari dengan pengumuman yang diadakan di sebuah hotel. Beliau juga turut memperkenalkan logo baru sayap tersebut dengan nama AMK Baru. Ia sebuah majlis pengumuman secara solo yang tidak menampilkan barisan kepimpinan. Namun pada 15 Febuari 2014, beliau tampil bersama barisan kepimpinan untuk pasukan AMK Baru yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dalam program yang disebut sebagai Majlis Deklarasi Tujuh Gagasan Angkatan Muda Malaysia.

Begitu juga bagi pasukan yang dikepalai oleh Adun Seri Setia merangkap Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan majlis pengumuman barisan kepimpinan AMK 4 Malaysia berlangsung di Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).

Pasukan Nadi AMK yang dikepalai oleh Nazree Yunus (Ketua AMK Negeri Sembilan merangkap Naib Ketua AMK Malaysia) adalah yang paling awal membuat pengumuman lengkap dengan barisan kepimpinan pada 3 Febuari 2014 lalu.

Ini suatu keadaan politik yang sangat berbeza dengan mana-mana sayap politik lain-lain parti yang kebiasaannya hanya membuat pengumuman kepimpinan teratas sahaja. AMK Malaysia menjadi pencetus corak politik baru yang lebih berani menampilkan keseluruhan barisan kepimpinan dari setiap pasukan yang bertanding. Setiap pasukan dilihat mempunyai keyakinan akan barisan cadangan masing-masing dan ia secara langsung memberi banyak ruang dan pilihan buat semua 130,000 anggota AMK seluruh Malaysia pada pemilihan parti yang bakal berlangsung pada April 2014 ini.

Calon-calon 'Top Four'
Menolak ketepi beberapa bentuk pandangan bersifat kecaman, pembantaian dan kutukan tidak bercirikan semangat pertandingan, setiap pasukan ada calon-calon 'kuat' bagi jawatan empat teratas iaitu Ketua, Timbalan dan Naib.

Pasukan Nadi AMK yang diterajui Nazree menampilkan calon Timbalan Ketua iaitu Mohd Serman Hassanar (wakil Sabah), calon-calon Naib adalah Ginnie Lim (wakil Melaka/AMK wanita), Saifullah Zulkifli (wakil Perak) dan Mu Raja (wakil Selangor).
Pasukan AMK 4 Malaysia dikepalai Nik Nazmi juga tidak ketinggalan menampilkan calon-calon 'top four' mereka yang terdiri daripada Adun Teja dari Perak, Chang Lih Kang sebagai Timbalan Ketua, calon-calon Naib adalah Hizwan Ahmad (wakil Johor), R. Sri Sanjeevan (wakil Negeri Sembilan) dan Carol P.Malawai (wakil Sabah/ AMK wanita).

Manakala pasukan AMK Baru yang diterajui Amirudin menampilkan Adun Seberang Jaya merangkap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Baharuddin sebagai calon Timbalan Ketua, calon-calon Naib adalah Radzlan Jalaludin (peguam), Sangeetha Jayakumar (wakil Selangor/AMK wanita) dan Raymond Ahuar (wakil Sabah).

Penampilan barisan kepimpinan yang dicadangkan oleh ketiga-tiga pasukan benar-benar mencorakkan suasana pertandingan yang sangat berbeza berbanding Pemilihan Keadilan 2010 lalu. Ia menggambarkan kesemua pasukan sudah sedia memahami keperluan pertandingan dan persediaan bagi mengharungi suasana pemilihan yang pasti sengit, menarik dan menghangatkan!

Debat Terbuka
Suatu kelainan yang turut menjadi pembuka aura pertandingan ke arah politik yang matang adalah debat terbuka antara semua calon ketua sayap ini. Debat sebegini dikira sebagai ujian buat ketiga-tiga calon menampilkan kredibiliti idealisma dan potensi diri disamping menyerlahkan semangat perjuangan masing-masing untuk dinilai oleh semua anggota AMK.

Harapan diletakkan supaya pemilihan sayap Keadilan ini akan menjadi medan pertembungan politik secara matang dan tidak lagi dicemari dengan politik emosi yang mampu mencetuskan pertelingkahan dan perpecahan. Perbezaan pandangan, perspektif dan pendapat politik wajar ada sebagai imbangan keadaan bagi kestabilan dalam organisasi umumnya dan sayap secara khusus.

Siapa pilihan anda? 



Tuesday 4 February 2014

Pemilihan Keadilan 2014 Ketua AMK Malaysia: Nazree Yunus masuk gelanggang

Pemilihan Keadilan 2014 yang juga proses pemilihan satu anggota satu undi bagi kali kedua akan dilangsungkan oleh Parti Keadilan Rakyat. Ia dijangka akan berlangsung pada Mac hingga Mei 2014 akan datang.

Agak menarik khususnya bagi pemilihan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia akan menampilkan seorang lagi anak muda dari Negeri Sembilan iaitu Nazree Yunus (gambar kiri) yang juga merupakan Ketua AMK Negeri Sembilan. 

Imbasan pemilihan pada 2010 lalu, pertandingan bagi jawatan serupa telah menampilkan penyandang jawatan, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kini Ahli Parlimen Bukit Katil) ditentang sengit oleh Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard. Turut serta dalam saingan tersebut adalah Hasmi Hashim yang ketinggalan jauh dari segi perolehan undi anggota. Badrul merupakan Ketua Cabang Rembau yang juga anak muda dari Negeri Sembilan. 

Negeri Sembilan bukanlah negeri yang menjadi paksi politik tanahair secara besar jika dibandingkan dengan Selangor, Johor, Kelantan ataupun Sabah. Namun begitu negeri ini tidak ketinggalan dalam melahirkan tokoh penting nasional dalam Keadilan seperti Ruslan Kassim, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Nordin Ismail, Badrul Hisham Shaharin dan kini Nazree Yunus.

Gelanggang Dibuka
Amirudin Shaari
Pertandingan jawatan ini mula-mula sekali telah dibuka oleh Adun Batu Caves, Amirudin Shaari dengan membuat pengumuman rasmi pada 5 Januari 2014 dalam satu majlis yang akan meriah. Beliau telah membawa slogan 'AMK Baru'. Slogan tersebut agak menyentuh perasaan segelintir penyandang jawatan dalam kepimpinan AMK Malaysia sedia ada yang dirasakan agak mengguris hati. 

Nazree Yunus pula menjadi susuk anak muda kedua yang mengumumkan penyertaan dalam pertandingan pada 3 Febuari 2014 lalu. Pengumuman beliau secara politikal kelihatan lebih tersusun dan menyerlahkan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai peneraju kepimpinan sayap Keadilan itu. Beliau turut sama mengumumkan barisan kepimpinan yang bakal menjadi tulang belakang organisasi AMK sekiranya memenangi pertandingan.

Menurut Nazree, beliau mahu mengukuhkan lagi AMK sebagai sayap parti yang mampu membawa denyut nadi perjuangan rakyat, menerusi beberapa misi termasuk memperkuat proses 'Peng-KADER-an' dalam parti itu.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut akan turut serta dalam pertandingan jawatan ini adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kiri) yang merupakan Timbalan Speaker DUN Selangor merangkap Adun Seri Setia. Profil jawatan beliau dilihat 'kuat' dan menjadi modal kredibiliti untuk menyaingi Amirudin dan Nazree. Kedudukan dan jawatan yang disandang oleh Nik Nazmi memberi kelebihan dari segi kewangan dan pengaruh untuk mendapatkan undi angota-anggota AMK. Namun setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi yang dibuat oleh beliau. Apakah mungkin beliau masih menunggu saat yang sesuai dan memerhati pergerakan pesaing-pesaing beliau? Beliau juga telah dilihat antara yang terawal bergerak turun ke cabang-cabang seluruh negara untuk mendapatkan sokongan.

Nazree Yunus sebelum menyertai Keadilan dikenali sebagai Pengerusi Gerak khususnya dalam isu 'Sumbangan Lembu Korban' yang melibatkan MB Selangor Tan Sri Khalid. Beliau kemudiannya menyertai Keadilan sebelum pemilihan 2010. 

Selepas pemilihan tersebut, beliau telah dilantik sebagai Ketua AMK Negeri Sembilan menggantikan Rebin Birham selain menjadi Naib Ketua AMK Malaysia. Ketika PRU-13 lalu, Nazree diangkat sebagai calon bagi Parlimen Kuala Pilah. 

Peluang
Secara jujur, Nazree berpeluang meraih kemenangan berdasarkan persediaan yang dipamerkan semasa pengumuman beliau menyertai pertandingan jawatan ketua sayap ini. Akan tetapi keupayaan Amirudin yang juga Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Selangor tidak boleh dipandang mudah. Jika kelebihan politik sebagai setiausaha negeri itu digunakan sebaik mungkin, tidak mustahil beliau mampu mendapatkan kompromi ketua-ketua AMK seluruh Selangor. Begitu juga situasi di pihak Nik Nazmi. Kelebihan jawatan politik itu jika 'pandai' digunakan ia akan menjadi faktor meraih undi daripada AMK cabang-cabang seluruh negeri itu.

Ini kemungkinan yang akan dihadapi oleh Nazree bagi menyaingi dalam meraih undi-undi anggota AMK seluruh negara. Nazree tidak sukar untuk mendapatkan sokongan akar umbi kerana beliau sendiri punya pengalaman memimpin persatuan mahasiswa semasa menjadi pelajar di UM dahulu. Beliau juga secara lahiriah telah mempunyai beberapa ciri-ciri yang diperlukan dalam politik dari segi latar belakang pendidikan agama, kepimpinan, kepetahan hujah dan memimpin akar umbi.

Sudah pasti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Sabah menjadi lubuk besar meraih jumlah undi kerana negeri-negeri ini mempunyai jumlah keanggotaan AMK yang ramai. 

Penyertaan Nazree Yunus dalam pertandingan jawatan Ketua AMK Malaysia meletakkan seorang lagi anak muda dari Negeri Sembilan dalam peta politik nasional. Ia suatu gambaran saingan ke arah PRU-14 khususnya dalam melaksanakan agenda menawan Negeri sembilan khususnya dan Putrajaya amnya melalui gerakan padu sayap Keadilan dalam wajah baru bagi menandingi BN!



Monday 3 February 2014

PRK N25 Kajang: Undi Melayu wajar dimenangi oleh Keadilan!

Kajang secara umumnya dikenali dengan gelaran 'Bandar Satay' yang telah terkenal sejak tahun 1970an lagi. Sebagaimana yang diketahui umum, hanya dua sejarah politik menarik yang telah tercatat di Kajang iaitu kejayaan Pas melalui calon Dr Shafie Abu Bakar memenangi Dun Kajang pada PRU 1999 dengan majoriti kecil sebanyak 37 undi menewaskan calon MCA-BN, Choong Tow Chong.

Sejarah politik kedua tercatat pada 28 Januari 2014 lalu apabila wakil rakyat Dun Kajang dari Keadilan, Lee Chin Cheh meletak jawatan dan segera diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pada hari tersebut juga. Ia suatu keputusan yang mengejutkan seluruh negara dan saudara C.C. Lee juga telah pun menjelaskan sebab-musabab perletakan jawatan itu adalah sebagai usaha menyelamatkan kerajaan PR Selangor disamping memperkuatkan kedudukan PR dan Keadilan di negeri itu.

Ketepi semua rentetan bantahan, ketidakpuasan hati dan kenyataan-kenyataan sayap Pemuda Pas. Tumpuan adalah kepada menghadapi Pilihanraya Kecil Dun Kajang yang akan diumum oleh SPR pada 5 Febuari 2014.

Mengikut daftar pemilih yang diguna-pakai semasa PRU-13 lalu, komposisi pemilih di Kajang adalah;
Melayu-48%
Cina-40%
India-10%
Lain-Lain: 2%

Berdasarkan keputusan PRU-13, BN telah menang selesa bagi Undi Awal dan Undi Pos. Calon Keadilan kalah teruk bagi kedua-dua undi tersebut. Manakala bagi peti undi awam, BN menang di empat peti undi majoriti Melayu iaitu Batu 10 Cheras dengan majoriti 157 undi, Taman Delima (123 undi majoriti), Sungai Sekamat (239 undi majoriti) dan Sungai Kantan (420 undi majoriti)

Keadilan menang dengan majoriti sederhana di peti undi majoriti Melayu iaitu Saujana Impian dan Taman Mesra manakala di peti undi Kantan Permai dengan majoriti lapan undi sahaja!

Sungai Kantan, Sungai Sekamat dan Kantan Permai boleh dianggap sebagai saki baki kawasan kuat Umno dalam Dun Kajang. Namun begitu situasi pada PRU 1999 mungkin boleh berlaku dengan kemasukan calon Melayu iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim iaitu lonjakan undi Melayu kepada calon PR. Walaupun Kajang merupakan kawasan campuran yang mempunyai majoriti Melayu bawah 50 peratus, namun dalam pembahagian pertandingan BN, Kajang merupakan kouta MCA.

Memenangi undi Melayu
Dun Kajang mempunyai 16 Daerah Mengundi yang merupakan peti undi awam. Tujuh daerah mengundi merupakan kawasan majoriti Melayu iaitu;
1. Sungai Sekamat
2. Saujana Impian
3. Taman Mesra
4. Sungai Kantan
5. Taman Delima
6. Kantan Permai
7. Batu 10 Cheras

Daerah mengundi majoriti Cina meliputi kawasan;
1. Kajang
2. Sungai Chua Satu
3. Sungai Chua Dua
4. Sungai Chua Tiga
5. Sungai Chua Empat
6. Sungai Chua Lima

Manakala daerah mengundi campuran adalah;
1. Taman Kajang Baharu
2. Bandar Kajang
3. Taman Kota Cheras

Keadilan menang dengan selesa di kesemua daerah mengundi majoriti Cina dan campuran. Perkara utama bagi jentera pilihanraya PR khususnya Keadilan adalah meningkatkan perolehan undi pemilih-pemilih Melayu di semua daerah mengundi majoriti Melayu jika ingin mencapai kemenangan lebih selesa berbanding PRU-13 lalu.

Calon Bebas & Parti Kecil
Keadilan begitu berani dan yakin dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon mutlak di Kajang. BN masih berkira-kira panjang untuk meletakkan calon yang mampu menyaingi kehebatan Anwar. Sudah berlaku pertentangan antara Umno dan MCA untuk meletak calon masing-masing di sini. Umno sudah pasti akan menggunakan faktor komposisi pemilih sebagai alasan disamping mempertikaikan kemampuan MCA yang gagal meraih sokongan pemilih Cina. MCA pula tetap berpendirian bahawa kouta pembahagian kawasan pertandingan harus dipatuhi dan dihormati bagi menjaga muafakat antara komponen BN.

Setakat ini ura-ura bahawa Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa dikatakan berminat untuk meletak calon. Ia termasuk juga beberapa pemuka NGO pro-Umno seperti Hasan Ali dan Zulkifli Nordin disebut-sebut akan menyertai pilihanraya ini sebagai calon.

Apakah mungkin jika BN tidak meletakkan calon, mereka akan menaja beberapa calon bebas Melayu untuk memecah undi pemilih-pemilih Melayu?

Kemungkinan itu wajar diambilkira dan tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan Kajang kekal dimenangi oleh PR. 


Kejutan Politik Selangor

Beberapa minggu lalu suasana politik di Selangor memperlihatkan 'keributan' atau kocakan air dalam cawan yang telah mendapat perhatian seluruh rakyat negara ini. Selain menjadi paksi ekonomi negara, Selangor juga menjadi paksi kepada pergerakan politik tanahair. Itu tidak boleh dinafikan hatta pertukaran tiap Menteri Besar negeri ini akan disulami dengan pelbagai krisis politik samada ia bersifat peribadi atau kepartian. Selangor tidak pernah sunyi daripada kehangat politik semasanya.

Seluruh rakyat dikejutkan dengan 'krisis dalaman' yang memperlihatkan pertembungan antara MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Pengerusi Keadilan Selangor, Azmin Ali dalam isu pemecatan Azmin daripada PKNS. Ia berlarutan dengan beberapa siri keadaan sehingga Pengurus dan Setiausaha Kerja PKNS dipindahkan ke Bangunan SUK Selangor.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuat satu serbuan mengejut dengan membuat rampasan Kitab Injil Bahasa Melayu di stor simpanan sebuah gereja di Petaling Jaya. Malah tersiar dalam beberapa akhbar utama yang memaparkan gambar Bible College sebagai tempat berlakunya serbuan dan rampasan tersebut. Isu itu dilihat sebagai cubaan mencetuskan pertelingkahan agama. Namun pada akhirnya pihak Jais terpaksa memulangkan semula semua kitab yang dirampas tersebut kerana mengikut satu maklumat dalaman bahawa serbuan dan rampasan tersebut tidak mengikut prosedur. Antaranya pihak berkuasa tidak mempunyai waran kebenaran untuk membuat rampasan itu. 

Selepas itu, pihak Umno selangor telah membuat cubaan memainkan isu 'Giat Mara Selayang' gara-gara keluar surat Pejabat Tanah yang meminta pihak Mara mengosongkan premis tersebut kerana tidak membayar cukai tanah. Sekali lagi isu itu gagal dimainkan secara berterusan setelah Tan Sri Khalid berjaya menjawab balas akan isu itu.

Adun Kajang Letak Jawatan

Ketika kerancakan isu Azmin-Khalid mendominasi suasana politik semasa, secara tiba-tiba Adun Kajang, Lee Chin Cheh (gambar kiri) mengumumkan perletakan jawatan sebagai wakil rakyat. Tindakan beliau itu segera diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh. Ia telah mengejutkan seluruh negara dan ramai yang mempertikaikan tindakan tersebut sebagai suatu keadaan mempersendakan rakyat.

Sehari selepas itu, situasi itu menjadi bertambah suhu kepanasannya apabila Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim sebagai calon Keadilan di Kajang. Pengumuman rasmi itu telah dibuat dalam satu sidang media di Ibupejabat Keadilan di Tropicana. Ia membuat orang ramai menjadi terkejut berganda dan segelintir mempertikaikan Anwar bertanding di peringkat Dun. Kenyataan keras telah dikeluarkan oleh Pemuda Pas melalui Pengarah Pilihanraya Pemudanya yang ingin memboikot PRK Kajang sekiranya tidak mendapat penjelasan munasabah kepada situasi yang berlaku.

Serampang Kajang
Menurut Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli yang mengulas secara terperinci dalam blog beliau menegaskan bahawa strategi politik yang sedang berlaku tersebut adalah sebagai suatu usaha menyelamatkan kerajaan negeri PR Selangor untuk mengelak daripada berlakunya situasi politik di Perak dan Kedah. Kerajaan PR Perak tumbang pada Febuari 2009 hasil gerakan kudeta Umno-BN manakala Kedah berjaya dirampas kembali BN dalam PRU-13 lalu. Kedua-dua negeri ini telah dirampas melalui kaedah serupa dengan penglibatan 'gerakan dalaman Umno' yang berada di agensi-agensi kerajaan negeri.

Tindakan Jais umpamanya di Selangor telah membenarkan telahan bahawa Umno sedang membuat gerakan halus daripada dalam agensi-agensi negeri untuk melumpuhkan pentadbiran kerajaan PR Selangor. Keterlibatan Anwar Ibrahim sebagai wakil rakyat Selangor akan memudahkan 'gerakan pembersihan' agensi-agensi negeri daripada anasir-anasir Umno-BN yang menjadi duri dalam daging buat pentadbiran kerajaan negeri.

Jika strategi ini tidak dilaksanakan, besar kemungkinan kejadian-kejadian yang berlaku di Kedah dan Perak akan terjadi di Selangor. Ia dilihat penting bagi mempertahankan kuasa PR dengan menyelamatkan situasi politik Selangor yang menjadi tunjang PR. Seandainya ia berlaku sebaliknya tanpa terjadi strategi itu, besar kemungkinan kedudukan PR di Selangor akan digoncang secara dalam akibat pergerakan bebas anasir-anasir Umno di dalam agensi-agensi negeri.