Monday 3 February 2014

PRK N25 Kajang: Undi Melayu wajar dimenangi oleh Keadilan!

Kajang secara umumnya dikenali dengan gelaran 'Bandar Satay' yang telah terkenal sejak tahun 1970an lagi. Sebagaimana yang diketahui umum, hanya dua sejarah politik menarik yang telah tercatat di Kajang iaitu kejayaan Pas melalui calon Dr Shafie Abu Bakar memenangi Dun Kajang pada PRU 1999 dengan majoriti kecil sebanyak 37 undi menewaskan calon MCA-BN, Choong Tow Chong.

Sejarah politik kedua tercatat pada 28 Januari 2014 lalu apabila wakil rakyat Dun Kajang dari Keadilan, Lee Chin Cheh meletak jawatan dan segera diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pada hari tersebut juga. Ia suatu keputusan yang mengejutkan seluruh negara dan saudara C.C. Lee juga telah pun menjelaskan sebab-musabab perletakan jawatan itu adalah sebagai usaha menyelamatkan kerajaan PR Selangor disamping memperkuatkan kedudukan PR dan Keadilan di negeri itu.

Ketepi semua rentetan bantahan, ketidakpuasan hati dan kenyataan-kenyataan sayap Pemuda Pas. Tumpuan adalah kepada menghadapi Pilihanraya Kecil Dun Kajang yang akan diumum oleh SPR pada 5 Febuari 2014.

Mengikut daftar pemilih yang diguna-pakai semasa PRU-13 lalu, komposisi pemilih di Kajang adalah;
Melayu-48%
Cina-40%
India-10%
Lain-Lain: 2%

Berdasarkan keputusan PRU-13, BN telah menang selesa bagi Undi Awal dan Undi Pos. Calon Keadilan kalah teruk bagi kedua-dua undi tersebut. Manakala bagi peti undi awam, BN menang di empat peti undi majoriti Melayu iaitu Batu 10 Cheras dengan majoriti 157 undi, Taman Delima (123 undi majoriti), Sungai Sekamat (239 undi majoriti) dan Sungai Kantan (420 undi majoriti)

Keadilan menang dengan majoriti sederhana di peti undi majoriti Melayu iaitu Saujana Impian dan Taman Mesra manakala di peti undi Kantan Permai dengan majoriti lapan undi sahaja!

Sungai Kantan, Sungai Sekamat dan Kantan Permai boleh dianggap sebagai saki baki kawasan kuat Umno dalam Dun Kajang. Namun begitu situasi pada PRU 1999 mungkin boleh berlaku dengan kemasukan calon Melayu iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim iaitu lonjakan undi Melayu kepada calon PR. Walaupun Kajang merupakan kawasan campuran yang mempunyai majoriti Melayu bawah 50 peratus, namun dalam pembahagian pertandingan BN, Kajang merupakan kouta MCA.

Memenangi undi Melayu
Dun Kajang mempunyai 16 Daerah Mengundi yang merupakan peti undi awam. Tujuh daerah mengundi merupakan kawasan majoriti Melayu iaitu;
1. Sungai Sekamat
2. Saujana Impian
3. Taman Mesra
4. Sungai Kantan
5. Taman Delima
6. Kantan Permai
7. Batu 10 Cheras

Daerah mengundi majoriti Cina meliputi kawasan;
1. Kajang
2. Sungai Chua Satu
3. Sungai Chua Dua
4. Sungai Chua Tiga
5. Sungai Chua Empat
6. Sungai Chua Lima

Manakala daerah mengundi campuran adalah;
1. Taman Kajang Baharu
2. Bandar Kajang
3. Taman Kota Cheras

Keadilan menang dengan selesa di kesemua daerah mengundi majoriti Cina dan campuran. Perkara utama bagi jentera pilihanraya PR khususnya Keadilan adalah meningkatkan perolehan undi pemilih-pemilih Melayu di semua daerah mengundi majoriti Melayu jika ingin mencapai kemenangan lebih selesa berbanding PRU-13 lalu.

Calon Bebas & Parti Kecil
Keadilan begitu berani dan yakin dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon mutlak di Kajang. BN masih berkira-kira panjang untuk meletakkan calon yang mampu menyaingi kehebatan Anwar. Sudah berlaku pertentangan antara Umno dan MCA untuk meletak calon masing-masing di sini. Umno sudah pasti akan menggunakan faktor komposisi pemilih sebagai alasan disamping mempertikaikan kemampuan MCA yang gagal meraih sokongan pemilih Cina. MCA pula tetap berpendirian bahawa kouta pembahagian kawasan pertandingan harus dipatuhi dan dihormati bagi menjaga muafakat antara komponen BN.

Setakat ini ura-ura bahawa Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa dikatakan berminat untuk meletak calon. Ia termasuk juga beberapa pemuka NGO pro-Umno seperti Hasan Ali dan Zulkifli Nordin disebut-sebut akan menyertai pilihanraya ini sebagai calon.

Apakah mungkin jika BN tidak meletakkan calon, mereka akan menaja beberapa calon bebas Melayu untuk memecah undi pemilih-pemilih Melayu?

Kemungkinan itu wajar diambilkira dan tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan Kajang kekal dimenangi oleh PR. 


No comments:

Post a Comment