Tuesday 31 January 2012

Cabaran PR sekiranya menjadi Kerajaan Negeri di NS

Kesepakatan dan kerjasama antara PKR, DAP dan PAS di Negeri Sembilan telah menampakkan arah usaha untuk menawan negeri ini dalam PRU-13 akan datang. Jika andaian politik yang menjangkakan kemenangan PR NS itu terzahir, maka rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhannya telah meletakkan harapan perubahan mampu dilaksanakan oleh PR.
Inilah cabaran yang bakal dihadapi oleh PR NS sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri. Secara hakikatnya, rakyat Negeri Sembilan sangat menginginkan perubahan dari segi pembangunan ekonomi sebagaimana yang dinikmati oleh Selangor, Melaka dan Johor. Walaupun negeri ini berada dalam zon ekonomi selatan Semenanjung namun seperti ada vakum atau ruang kosong yang menjadikan Negeri Sembilan terhimpit dengan kelembapan ekonomi dan pembangunan.

Satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center pada penghujung tahun 2011 lalu mendapati kebanyakan responden inginkan perubahan dalam Negeri Sembilan khususnya dari segi ekonomi dan pembangunan. Ia adalah gambaran jelas bahawa negeri ini telah terlalu lama terhimpit dengan kelembapan gerak usaha yang strategik dalam melaksanakan kerancakan ekonominya.

Cabaran besar yang menanti PR NS adalah melaksanakan usaha-usaha strategik meningkatkan ekonomi dan pembangunan dalam negeri. Antara usaha tersebut adalah menarik pelaburan masuk ke dalam negeri. Sekitar penghujung dekad 80an dan 90an, Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang mempunyai kerancakan sektor perindustrian yang tertumpu di Daerah Seremban khususnya di Nilai dan Senawang. Namun selepas kegawatan ekonomi Asia pada penghujung dekad 90an telah menyebabkan kedudukan ekonomi negara termasuk Negeri Sembilan menjadi lembab.

Kesan daripada krisis ekonomi tersebut banyak pelabur menutup operasi industri di Negeri Sembilan walaupun masih ada yang bertahan meneruskan operasi sehingga kini.

Negeri Sembilan sebenarnya sangat berpotensi menjadi tumpuan utama pelancongan negara kerana keunikannya dengan Adat Perpatih dan tarikan alam sekitar. Akan tetapi peranan tersebut tidak begitu menyerlah dan jika ia dijalankan oleh kerajaan negeri BN, ia hanya rancak dipermulaan pelaksanaan sahaja. Selepas itu, rancangan tersebut seakan menyepi tanpa ada kesinambungan yang boleh memberi kesan besar kepada negeri ini. Selepas lima dekad ditadbir BN, Negeri Sembilan tidak menjadi pilihan popular pelancongan negara. Apakah dengan hanya bergantung kepada kawasan peranginan Port Dickson semata-mata sudah memadai?

Sektor pelancongan adalah sektor yang amat penting dalam merancakkan ekonomi dalam negeri. Kehadiran pelancong-pelancong yang ramai seumpama pelabur-pelabur kecil yang datang berbelanja di dalam negeri. Keadaan inilah yang wajar dieksploit oleh PR seandainya menjadi kerajaan negeri dalam memperkasa dan mempergiatkan sektor pelancongan disamping menjana ekonomi negeri.

Pelancongan bukan semata-mata tertumpu kepada konsep riadah keluarga tetapi ia boleh diperluaskan kepada konsep pendidikan, hiburan dan perniagaan. Negeri Sembilan mempunyai simpanan kawasan hutan semulajadi yang luas yang meliputi hutan hujan khatulistiwa dan hutan paya bakau. Dalam menjayakan peranan pelancongan, konsep pelancongan pendidikan iaitu dengan menjadikan kawasan-kawasan hutan simpan sebagai pusat kajian dan pendidikan berkaitan alam semulajadi. 

Konsep pelancongan pendidikan itu boleh diperluaskan kepada budaya Adat Perpatih yang meliputi cara dan tatabudaya adat, kesenian kraf dan muzik, senibina dan makanan. Inilah bentuk pelancongan yang kurang dijayakan oleh kerajaan negeri sedia ada walaupun ada perancangan dan pelaksanaannya. Keistimewaan budaya dan kesenian Negeri Sembilan agak kurang menonjol. Ia wajar mengambil contoh kebudayaan dan kesenian di Kelantan yang begitu menghargai warisan tersebut.

Keadaan ketinggalan ini harus digantikan segera. Maka rakyat Negeri Sembilan wajar memberi peluang kepada PR NS mengurustadbir negeri ini.


Friday 27 January 2012

Ramalan PRU-13: gerombolan Umno-BN bergantung kepada pengundi muda?

Jika penilaian data diteliti tanpa meletakkan faktor politik, trend atau corak tertentu wajar dijadikan pedoman sebagai penentuan kemenangan atau kekalahan dalam PRU-13 akan datang. Pakatan Rakyat juga harus bekerja keras dalam menyakinkan para pemilih atau pengundi muda dalam kategori umur 21-29 tahun.

Harus diingat bahawa pada PRU-2008 lalu, bukan semua pengundi dalam kategori umur tersebut cenderung memilih PR. Jangan terkejut atau menyangkal dakwa-dakwi ini secara politik. Kemenangan PR di kebanyakan kawasan adalah dipengaruhi oleh sokongan pemilih matang yang berada dalam kategori umur 30-59 tahun. Memang benar golongan muda menyokong PR tetapi kategori umur yang menyokong itu adalah pada peringkat 30 hingga 41 tahun. Kematangan kelompok ini mempengaruhi corak pemilihan mereka dan kecenderungan sokongan terhadap sesuatu organisasi. Secara ilmu matematik statistik, hal ini wajar dijadikan penelitian penting dalam memahami arah tuju kemenangan PRU-13. Data teknikal sebegini tidak boleh dipandang remeh walaupun ramai orang politik yang masih terikat dengan pendekatan politik lama yang bergantung kepada retorika.

Memang benar ombakan politik pada saat akhir yang akan menentukan kedudukan terakhir sebelum tamat penggundian. Akan tetapi apakah semua ahli politik itu mempunyai ombakan luar biasa politik? Contoh terbaik adalah sebagaimana yang berlaku pada calon KEADILAN bagi Parlimen Rembau dalam PRU-2008 lalu. Secara ombakan politik, terbukti rakyat menyokong tetapi pada saat-saat akhir 'taktikal data' telah digunakan oleh BN dalam menafikan kemenangan KEADILAN di Rembau. Mengapa ia berlaku? Persoalan undi hantu atau tambahan undi pos dari kawasan lain dibawa masuk ke Rembau adalah antara kaedah 'taktikal data' atau digelar oleh penyokong pembangkang sebagai penipuan undi. 

Pengundi muda dalam kelompok umur 21-29 tahun boleh dianggap sebagai pemilih yang kebanyakannya tidak berparti, bebas dan tidak terikat secara khusus dengan sebarang organisasi politik. Walaubagaimanapun, angka yang terlibat secara serius dalam organisasi tidak ramai hatta yang menjadi pelajar di IPT. Bukan semua pelajar di IPT itu serius memikirkan hal-hal politik. Hanya sebahagian yang terlibat serius dalam organisasi pelajar samada yang pro-Aspirasi atau pro-Mahasiswa. 

Maka betapa pentingnya gerakan anak muda meledakkan kesedaran minda yang besar agar kematangan politik itu tidak terlingkung hanya kepada golongan pelajar IPT tetapi harus melebar kepada golongan muda di luar IPT yang terdiri daripada kelompok-kelompok pemuda motosikal, golongan muda independen kreatif, golongan muda penganggur, golongan muda pekerja industri dan golongan muda luar bandar. Jumlah mereka ini lebih ramai daripada yang berada di IPT.

Bagaimana gerombolan Umno memastikan kemenangan atau mengekalkan kemenangan di sesuatu kawasan Dun atau Parlimen?

Secara angka, tiap-tiap kawasan Dun atau Parlimen yang mempunyai 20% ke atas pemilih muda 21-29 tahun adalah kawasan yang sangat berpotensi tinggi dimenangi oleh BN. Faktor tidak matang politik yang terdapat dalam kumpulan umur pemilih ini paling mudah dipengaruhi dan dieksploit sokongan mereka oleh BN. Jika helaian keputusan PRU-2008 lalu mana-mana kawasan diteliti, ada banyak saluran pengundi yang dalam lingkungan umur ini dimenangi oleh BN walaupun saluran pemilih umur 30 tahun ke atas dimenangi oleh PR. Ini tidak pelik atau luar biasa. Trend ini sebenarnya berlaku dalam setiap PRU tetapi ia tidak begitu diteliti oleh kebanyakan orang. Maka akibat ketidaktelitian yang berlaku khususnya dalam PR, pakar-pakar data BN akan terus menggunakan kaedah ini dalam menjana kemenangan secara ilmu matematik.

Negeri Sembilan khususnya menjadi contoh hujahan tersebut. Bagi kawasan yang selesa dimenangi oleh Umno dengan majoriti melebihi 2500 undi ke atas, jumlah pemilih berumur 21-29 tahun melebihi nilai 20%. Dun Sungai Lui dalam Parlimen Jelebu mempunyai 22.59% pemilih berumur 21-29 tahun. Bagi Dun yang dimenangi dengan kelebihan bawah dua ribu undi oleh BN dalam Parlimen Jelebu iaitu Dun Klawang jumlah pemilih kumpulan ini hanya 13.48%, Dun Chennah (14.66%) dan Dun Pertang (16.35%). 

Andaian secara realiti data di atas, kemungkinan besar Umno akan mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang tinggi (sekitar 2600 undi) di Dun Sungai Lui pada PRU-13. Umno-BN dijangka tewas di Klawang dan Chennah manakala di Pertang kemungkinan Umno kekal menang tetapi dengan majoriti sekitar 1,300 undi.

Secara keseluruhan bagi Parlimen Jelebu, besar kemungkinan perolehan undi popular Umno akan merosot dan dijangka mendapat saingan sengit PR. Ini dinilai secara realiti data dan tidak berdasarkan gerak kerja atau ombakan politik. Jika ia bergabung dengan dua faktor tersebut (gerak kerja & ombakan politik), mungkin sebaliknya akan berlaku. Kedudukan BN-PR di Jelebu adalah 50-50.

Selain daripada Dun Sungai Lui, beberapa Dun lain yang mempunyai nilai pemilih 21-29 tahun pada paras 20% ke atas adalah Serting (23.19%), Palong (21.71%), Paroi (21.26%), Bagan Pinang (31.27%) dan Gemas (25.68%). 

Harus diingat dan difahami dalam konteks yang dibentangkan ini, sebarang andaian menang dan kalah yang dinyatakan adalah berdasar realiti data. Ia hanya sebagai panduan untuk gerak kerja dan strategi politik. Gaya mencorak strategi BN harus dikaji berdasarkan data-data ini. Terpulang kepada anda untuk menerimanya atau cuba memahaminya secara strategik. Dalam merencana kemenangan, wajar semua kaedah dipertimbang-gunakan.

Berdasarkan nilai peratusan pemilih 21-29 tahun, PR mampu menjana kemenangan secara selesa bagi kawasan-kawasan yang mempunyai nilai peratusan bawah 15%. Bagi kawasan yang mempunyai nilai 17-16% pemilih 21-29 tahun, PR harus menggandakan usaha kerana peluang menang tetap ada sekitar 52-55%. Manakala pada nilai peratusan 19.99-18% , PR wajar berusaha keras kerana peluang kemenangan sangat tipis sekitar 50.60% hingga 51% sahaja.

Jika peratusan pemilih 21-29 tahun yang berada bawah peratusan 15% di Negeri Sembilan, PR secara realiti data diandaikan telah menang 21 kawasan Dun dan dua Parlimen.

Sekali ditegaskan di sini, penjelasan data-data di atas adalah sebagai panduan kepada gerak kerja dan strategi. Ia masih boleh dinafikan sekiranya strategi dan gerak kerja yang betul dijalankan oleh PR. Begitu juga dengan BN. Pihak mereka juga bergantung kepada data-data sebegini dalam merangka gerak kerja politik. 

Menang atau kalah adalah bergantung kepada usaha anda. Tuhan juga menilai kesungguhan kita untuk menang tidak kira anda daripada PR atau BN. Jika kita masih bersikap sambil lewa dan malas serta teguh kepada retorika-retorika politik lama, terpulang kepada diri sendiri menentukannya.

Mana-mana yang salah, wajar diperbetulkan atau ditolak. Mana-mana yang difikirkan berguna, wajar dijadikan panduan.

Wednesday 25 January 2012

Ramalan PRU-13: kejatuhan NS kepada PR?

Negeri Sembilan disebut kebanyakan penganalisis politik adalah negeri yang berpotensi dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang berbanding Johor, Melaka dan Pahang. Kedudukan kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno Negeri Sembilan hanya berkelebihan empat kerusi sahaja. Manakala kemenangan PR sebanyak 15 kerusi dun buat pertama kalinya dalam sejarah telah menafikan kelebihan dua pertiga BN dalam Dewan Undangan Negeri. Ia juga merupakan kedudukan terkuat pembangkang di DUN Negeri Sembilan sejak PRU tahun 1969.

Pada PRU tahun 1969, DAP telah memenangi lapan daripada 24 dun dan tiga daripada enam parlimen di Negeri Sembilan ketika itu. Walaupun telah memenangi sepertiga kerusi DUN, kedudukan pembangkang khususnya DAP dianggap kuat di Negeri Sembilan.

Selepas tahun 1969, kedudukan pembangkang tidak begitu menggugat kelangsungan kemenangan BN di Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun, DAP kekal menjadi satu-satunya parti pembangkang yang berada di DUN Negeri Sembilan sejak 1969.

PRU 2008 telah membuktikan bahawa kedudukan BN mampu digugat dan tidak mustahil buat Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan Negeri Sembilan pada PRU-13 nanti. Pihak gerombolan BN berhak untuk berpandangan PR hanya bermimpi di siang hari tetapi matlamat ke arah menawan negeri ini bukanlah suatu gerakan biasa PR.

Penubuhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan (MPPR NS) pada 26 Januari 2010 lalu adalah bukti kesungguhan PR untuk menerajui pemerintahan negeri ini. Dalam satu mesyuarat penting MPPR NS tahun lepas telah bersama bersetuju bahawa KEADILAN Negeri Sembilan menerajui PR NS. Begitu juga dalam perkara kedudukan Menteri Besar NS yang turut dipersetujui dilantik daripada KEADILAN. 

Momokan gerombolan Umno bahawa seandainya PR memerintah, Negeri Sembilan akan mendapat seorang Menteri Besar daripada DAP. Malah pihak gerombolan juga telah begitu giat menyebarkan dakyah bahawa DAP akan meletakkan calon Melayu untuk bertanding di peringkat Dun untuk jawatan MB. Inilah kaedah politik menakutkan fikiran orang-orang Melayu di seluruh Negeri Sembilan.

Namun, PR NS tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik murahan gerombolan Umno. Jika dilihat kedudukan kerajaan negeri pimpinan BN Negeri Sembilan, daripada 21 kerusi yang dimenangi hanya dua kerusi dimenangi oleh komponen BN iaitu Jeram Padang (MIC) dan Chennah (MCA) manakala selebihnya dimenangi oleh Umno. 

Jika penilaian data dirujuk, daripada 19 kerusi dun yang dimenangi Umno, ada beberapa kerusi yang dimenangi dengan kelebihan undi bawah dua ribu iaitu Klawang, Lenggeng, Pilah, Johol, Linggi, Labu dan Pertang. Secara data strategik, peralihan undi antara 8-18 peratus kepada PR sudah cukup untuk menewaskan Umno di kesemua kerusi terbabit. 

Untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah, hanya 19 kerusi sahaja diperlukan. PR NS hanya memerlukan tambahan empat lagi kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan negeri. 

Jika tujuh kerusi dun yang dimenangi Umno tersebut berjaya dirampas, ini sudah cukup mengukuhkan kedudukan PR dan memenangi negeri ini. Untuk menguasai dua pertiga DUN, PR perlu menang sekurang-kurangnya 24 kerusi dun. Tambahan dua kerusi tersebut mampu diterjemahkan dengan merampas kerusi Jeram Padang dan Chennah kerana kedua-dua kerusi ini juga telah dimenangi oleh BN dengan kelebihan bawah dua ribu undi. Apakah ia mustahil dilakukan oleh PR?

Corak sokongan semasa mengikut kaum kepada PR sekarang adalah 35% Melayu, 80% Cina dan 58% India. PR NS perlu melonjakkan sokongan pemilih Melayu dan India seandainya memerlukan anjakan kemenangan. Dalam nilai peratus sokongan ini, PR mampu mempertahankan 15 dun yang dimenangi dan menambah sekurang-kurangnya empat dun iaiatu Chennah, Jeram Padang, Rantau dan Linggi. 

Sebaran Maklumat PR NS
Berdasarkan satu kajian oleh Merdeka Center terhadap kecenderungan pemilih di Negeri Sembilan mengikut kaum, hampir 70% pemilih Melayu cenderung memilih Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai rujukan utama media berbanding kaum Cina dan India. Aliran kecenderungan tersebut membuktikan gerombolan Umno telah menguasai pemikiran dan sebaran maklumat pemilih Melayu dengan akhbar-akhbar berbahasa Melayu kawalannya.

Keadaan ini menjadi suatu pedoman berguna kepada PR NS dalam melaksanakan sebuah misi dan gerak kerja penyebaran maklumat secara meluas berkaitan dengan dasar-dasar perjuangan kepada pemilih Melayu. Pemilih Melayu seluruh Negeri Sembilan meliputi 75% keseluruhan pemilih di negeri ini. Penembusan akhbar-akhbar alternatif seperti harakah hanya meliputi 5% dikalangan pemilih Melayu.

Sasaran penyebaran maklumat berkaitan manifesto, isu-isu semasa dan dasar-dasar perjuangan PR NS wajar dipergiatkan secara progresif dan efektif dalam meletakkan keterbukaan maklumat kepada minda pemilih-pemilih Melayu. Sekurang-kurangnya 45% sokongan pemilih Melayu di seluruh Negeri Sembilan disamping sokongan pemilih bukan Melayu akan menjayakan matlamat menawan negeri ini pada PRU-13.

Krisis Politik Dalaman BN
Walaupun secara zahirnya, BN Negeri Sembilan begitu kuat menyembunyikan masalah-masalah dalamannya, namun umum mengetahuinya secara politiknya pengaruh bekas MB Isa Samad masih menguasai kebanyakan kawasan berbanding pengaruh politik MB Mohamad Hassan. Kemenangan Isa Samad dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang pada tahun 2009 lalu, membuktikan 'permainan politik' beliau masih berbisa. 

Landskap politik Umno di Negeri Sembilan terbahagi kepada pengaruh Isa Samad iaiatu di Seremban, Telok Kemang, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol. Manakala Rembau dan Rasah menjadi  pengaruh sokongan kepada Mohamad Hassan. Jelebu pula dikatakan menjadi 'beruk tunggal' kerana Ketua Bahagiannya iaitu Rais Yatim adalah seteru lama kepada Isa Samad.

Heboh diperkatakan bahawa Hassan Malek (ahli Parlimen Kuala Pilah) berhasrat ingin menjadi MB Negeri Sembilan dan dikatakan akan turun bertanding peringkat dun. Apakah ini suatu perebutan maha hebat dikalangan pimpinan utama Umno NS?

Ada juga perkhabaran yang bertiup mengatakan Ahli Parlimen Tampin, Shaziman Mansur juga akan diturunkan bertanding di peringkat Dun. Lagi khabar bertiup turut mengatakan Senator Najeb Abdullah bakal menjadi calon MB baru Negeri Sembilan. Ia dikatakan menjadi pilihan utama PM Najib Razak sebagai usaha meredakan perebutan kuasa di negeri ini. Samada benar atau tidak ia masih bersifat cakap-cakap politik kedai kopi!

Perebutan menjadi calon dalam MIC NS juga bukan rahsia. Kedudukan politik Adun Jeram Padang, VS Mogan turut menjadi rebutan Ketua Pemuda MIC NS. Lebih mengejutkan ada maklumat tidak rasmi tentang keburukan tabiat VS Mogan telah disebarkan dalam internet. Sudah pasti pihak PR tidak terlibat dalam percakaran politik antara VS Mogan dan Pengerusi MIC NS, T. Rajagopalu.

Nantikan ulasan seterusnya!

Tuesday 24 January 2012

Siapkan Payung Sebelum Hujan jika nak jadi calon!

Ada satu lagi penyakit luarbiasa dalam dunia politik ini iaitu hasrat menjadi calon pilihanraya. Ia tidak salah namun ramai yang mempunyai keinginan tersebut tidak tahu membuat kerja ke arah itu. Kebanyakannya lebih banyak bercakap, penuh retorika dan memandai-mandai. Akan tetapi ada yang jujur ke arah itu dengan bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja yang diperlukan dan memahami keadaan diri serta politik.

Beberapa kategori atau ciri-ciri buat mereka-mereka yang berhasrat menjadi calon ini boleh dibahagikan. Antaranya adalah;

Gila menjadi calon tetapi pemalas.
Kelompok ini adalah yang dikira paling ramai dalam mana-mana organisasi politik walaupun bukan semua ahli parti itu berminat untuk menjadi calon hatta terus menang menjadi Yang Berkhidmat. Mengapa?

Mereka-mereka ini malas untuk berusaha dan bekerja keras untuk menjalankan tugas-tugas penting ke arah menyiapkan diri menjadi calon. Sikap mereka terserlah kepada lebih banyak bercakap dan melontarkan retorika-retorika politik. Ideanya kurang walaupun ada satu-dua diperkatakan.

Jangan dilupa kebolehan mereka berucap atau berkata-kata. Ramai yang boleh terpedaya dengan ungkapan-ungkapan manis dan retorika politiknya. Mereka paling gemar melantunkan diri sendiri seolah-olah merekalah yang membuat kerja itu kerja ini...kononnya mereka jugalah yang menggerakkan itu ini...sedangkan orang lain yang bertungkus lumus berperah akal untuk menjalan sesuatu gerak kerja atau strategik politik.

Sikap pemalas mereka cukup terserlah tatkala hal-hal teknikal dipersoalkan kepada mereka. Berani dikatakan di sini, mereka ini tidak mampu mengingati jumlah pemilih yang ada dalam kawasan yang dihajati bertanding. Lebih teruk lagi, jika mereka tidak menyedari yang mereka harus menjadi pemilih berdaftar di sesuatu kawasan DUN yang ingin ditandingi. Itu memang benar-benar berlaku. Ada yang bersikap sambil lewa kepada keperluan teknikal begitu kerana mereka fikir mereka kaya-berduit segalanya boleh di-'remote control' kepada orang lain! 

Kerja-kerja asas seperti keperluan jentera seperti PACA (agen penggundian dan kiraan undi) sangat penting. Keperluan sebegini juga sering dianggap remeh oleh kebanyakan mereka yang berhasrat menjadi calon. Jangan dilanjutkan kepada hal-hal gerak gempur atau turun padang. Ini pasti sangat liat dilakukan sebelum pembubaran parlimen atau DUN. Mereka lebih mengharapkan jentera sukarelawan ketika PRU melakukan tugas-tugas tersebut. Jika ini berlaku, bermimpilah untuk menang!

Isytihar diri sendiri sebagai calon!Ini lebih teruk! Jangan dinafikan tidak berlaku. Ia sememangnya berlaku. Ada yang sampai tahap gila mengisytiharkan diri sendiri adalah calon bagi sesuatu kawasan walhal pihak organisasi sendiri belum pun memuktamadkan lagi hal calon PRU. Kadangkala mereka yang bersikap sebegini melebihi sudu dari kuah! Presiden parti pun tidak iktiraf sesiapa untuk menjadi calon sebelum keluarnya watikah rasmi perlantikan sebagai calon parti bagi pilihanraya!

Apabila keadaan menjadi sukar dan menekan, mereka-mereka ini akan bersikap lebih teruk daripada gerombolan Umno! Ketika inilah segala fitnah dan andaian sendiri dijaja sana sini demi untuk menonjolkan diri dan mula menjatuhkan individu lain dengan niat untuk merosakkan kredibiliti. Lebih memburukkan keadaan jika mereka bergabung pula dengan mana-mana ahli atau anggota parti yang sememangnya bermasalah dengan Badan Perhubungan organisasi negeri. Peranan 'budak jahat' dimainkan sebegitu licik hingga mengganggu rentak politik sesebuah organisasi negeri. Ini sangat merbahaya kepada kestabilan parti peringkat dalaman. Namun, jalan sukar cuba mereka cetuskan seringkali akan tercantas dengan keputusan drastik politik tertinggi.

Rajin, Berkarisma dan Mengenal Upaya DiriAmat jarang kelompok-kelompok ini menjadi pemalas bekerja atau bermegah diri walaupun ada opurtunis politik yang mempunyai sikap rajin dan karisma diri. Hatta opurtunis sekalipun tetapi jika mereka punyai taat setia kepada organisasi dan rajin bekerja, ruang mereka tetap ada asalkan mereka tidak menongkah arus semasa kepimpinan negeri.

Bagi kelompok ini, bukan maksud kedudukan mereka sudah terjamin tetapi keupayaan mereka menggerakkan usaha ke arah mempersiapkan diri sebagai calon dilihat sebagai kesungguhan peribadi dan politik. Ada juga yang tidak berhasrat menjadi calon tetapi kerana usaha mereka telah menjadi perhatian penting pimpinan parti untuk diangkat diri mereka sebagai calon terbaik bagi sesuatu organisasi.

Kesimpulannya, buat mereka-mereka yang ada hasrat menjadi calon, perkara-perkara asas ini wajib mereka ketahui;

1. Jumlah pemilih berdaftar sesuatu kawasan
2. Kenal dan tahu tiap-tiap dearah mengundi dan lokaliti
3. Ada jentera pilihanraya yang lengkap
4. Ada persiapan Bilik Gerakan
5. Ada modal untuk bertanding
6. Ada pelan dan gerak kerja strategik

Jika keperluan asas ini pun tidak mampu diadakan, teruskan mimpi-mimpi siang anda untuk menjadi calon. Teruskanlah sikap membodek dan mencium bontot pimpinan anda. Teruskanlah juga menebar fitnah-fitnah yang lebih teruk daripada gerombolan. Nescaya anda akan dicantas terus daripada organisasi!









Saturday 21 January 2012

Keputusan 901: Rayuan Peguam Negara- Rentetan politik kotor cuba diteruskan!

Gerombolan Umno telah berhajat untuk meneruskan hasrat membuat rayuan terhadap keputusan 901. Mengapa Umno disebut bukan Peguam Negara? Ini kerana percaturan politik utama negara masih berada dalam cengkaman para strategis politik gerombolan. 

Merujuk kepada pandangan seorang sahabat yang begitu kritis menyapa, apakah Umno akan berdiam diri semata-mata dengan keputusan 'tidak langsung' Najib Razak membebaskan Anwar Ibrahim? Jawapannya sudah pasti gerombolan penjahat politik ini tidak akan berdiam diri. Mereka pasti akan merangka gerak-gerak strategis yang bakal digunakan untuk mencetuskan rantaian kesan politikal secara berpanjangan yang berniat untuk 'membunuh' kredibiliti politik Anwar Ibrahim dan PR.

Seorang kenalan lama semasa belajar di UiTM dulu yang baru 'ditemui' dalam laman Muka Buku, seorang anggota polis berpangkat ASP dengan angkuhnya menegaskan 'tiada campurtangan politik' di sebalik keputusan 901 dan ia membuktikan 'tanggapan' pembangkang adalah salah. Namun, tatkala mengenang 'perangai' tak semengah beliau semasa belajar dulu, rasanya pandangan beliau itu wajar dipandang sepi kerana jelas beliau BUKAN seorang yang berfikir secara strategik tentang politik. Beliau ini jenis manusia yang sekadar mengikut arahan semasa pihak atasan tanpa beliau mengetahui 'muslihat' politik juga cukup banyak mempengaruhi Bukit Aman.

Jika dilihat secara teliti, keputusan 901 juga telah menyebabkan beberapa politikus 'cari makan' dalam gerombolan Umno yang bertopengkan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kemabukan rindukan Anwar Ibrahim. Mengapa? Ia dapat dilihat dengan beberapa laporan polis dan demonstrasi anjuran jaringan pertubuhan bukan kerajaan itu kerap diadakan selepas 901. Paling kuat yang mampu mereka lakukan adalah dengan 'mengupah' 20-30 orang anak-anak muda dan kemudiannya berhimpun kononnya menunjukkan perasaan menyokong NGO-NGO terbabit. Namun begitu, apa yang terpampang pada piket-piket mereka? Adakah memaparkan tujuan atau perjuangan NGO terbabit atau memapar kata-kata nista seperti Anwar Peliwat, Azmin Love Anwar dan sebagainya?

Inikah NGO-NGO berwajah perjuangan bangsa yang menegakkan nilai suci agama? Jawapannya TIDAK. Pimpinan NGO-NGO ini adalah barisan pengampu yang sedang berusaha menjilat bontot pimpinan gerombolan untuk mendapatkan sesuatu. Inilah wajah beberapa 'pelacur peerjuangan' bangsa yang sanggup memalukan diri demi mencapai tujuan politik! Logika politiknya kumpulan manusia sebegini sangat memerlukan faktor Anwar Ibrahim untuk melonjak peluang politik mereka dalam gerombolan.

Akan tetapi corak berpolitik yang mengguna agama sebagai perisai dan perkauman itu sangat bagus kepada PR. Kenapa?

Secara timbal balik, kesan politik sebegitu akan memberi kebaikan dalam gerakan politik PR. Ramai rakyat umum di luar telah jelak dan muak dengan bentuk politik provokatif gerombolan Umno yang digerakkan melalui jaringan pertubuhan bukan kerajaan yang terlebih sifat ultra-nasionalisnya!

Kedua, ia meningkatkan lagi corak sokongan rakyat biasa secara konsisten kepada PR. Malah buat ahli-ahli Umno yang berfikiran terbuka dan tidak terikat dengan ketotokan minda turut sama beralih sokongan. 

Ketiga, dalam keadaan sebeginilah seluruh bangsa Melayu kembali disatukan dengan keterbukaan minda dalam banyak perkara. Ini yang sangat ditakuti dan digeruni Umno. Jika seluruh bangsa Melayu secara majoritinya menolak konsep perkauman sempit, politik Umno akan binasa dan terus terpadam dalam peta politik negara. 

Keempat, ia membuka medan pertempuran politik lebih terbuka. Rakyat kini akan lebih bijak berfikir bentuk politik yang perlu diberi perhatian, sokongan dan tumpuan. Mereka juag akan mempunyai ruang menolak kejumudan politik yang telah diamalkan oleh kebanyakan parti-parti politik klasik dalam gerombolan Umno-BN.

Kelima, memadam ketakutan-ketakutan politik hasil cetusan lampau gerombolan Umno. Anjakan perubahan politik selepas 8 Mac 2008 telah mulai memadam ketakutan-ketakutan lampau yang diterapkan oleh Umno kepada pemikiran Melayu. Hasilnya, masyarakat Melayu takut untuk berhadapan dengan persaingan secara sihat. Jangan dilupa, Melayu itu majoriti tetapi telah ditakutkan oleh doktrin-doktrin politik sempit perkauman Umno. Apakah hilangnya identiti Melayu dan terkuburnya tauhid Islam jika seorang Melayu itu memilih untuk menyertai DAP atau PKR?

Jawapannya, TIDAK kerana hanya manusia Melayu yang takut kepada bayang-bayang hitam sendiri yang berfikir sebegitu. Apakah gerombolan Umno sememangnya tidak mahu menjadikan manusia Melayu itu lebih prolifik dan berdaya kreatif?

Pada akhirnya, kita harus waspada dan terus berhati-hati dengan rentetan politik jahat gerombolan Umno seterusnya.

Wednesday 18 January 2012

Petanda-petanda PRU-13

Tarikh pilihanraya umum di Malaysia hanya akan ditentukan atau diumumkan oleh Perdana Menteri. Ia akan menjadi suatu misteri politik yang sangat unik dan sangat berbeza bagi lain-lain negara yang lebih cenderung mengumumkan secara awal tarikh pilihranraya umum seperti di India, Pakistan, Thailand dan Jerman.

Antara petanda-petanda yang memungkin berlaku PRU dalam masa terdekat adalah;
  1. Pegawai-pegawai atasan PBT telah dipanggil untuk mesyuarat persediaan PRU
  2. Pengagihan duit BR1M telah bermula (malah Rais Yatim menggalakkan para pemilih beliau di Jelebu membuat permohonan).
  3. Kaedah cetusan berantai politik sedang dijalankan oleh Umno dengan mengguna Hassan Ali dan mengeksploitasi isu pemecatan beliau sebagai gerakan menggugat-ragu ahli-ahli PAS terhadap kredibiliti Anwar Ibrahim.
  4. Para M.I.O (pegawai risikan tentera) telah mengadakan beberapa mesyuarat yang kerap tentang pilihanraya.
  5. PDRM juga telah menyatakan siap-sedia untuk menghadapi PRU-13.
  6. Lebih penting, PRU-13 akan berlangsung sebelum pemilihan Umno pada tahun ini. 
  7. Kecenderungan Najib Razak menggunakan media antarabangsa untuk memaparkan imej dan kredibiliti beliau dan negara sebagai mencetuskan keyakinan rakyat bahawa antarabangsa melihat Malaysia dalam keadaan positif.
Mungkin ada beberapa lagi perkara yang boleh menjadi petanda penting kebarangkalian PRU-13 berlaku dalam masa terdekat. Pihak risikan yang membantu BN turut maklum tentang persediaan PR di beberapa kawasan. 

Perkara inilah yang harus diatasi dan ditangani secara segera oleh PR khususnya persediaan jentera PRU. Masih ada kawasan-kawasan yang ditandingi PR yang tidak menampakkan usaha ke arah untuk bersiap sedia untuk berperang. Masih terdapat juga pimpinan-pimpinan peringkat kawasan/cabang yang banyak bercakap secara retorik dan teori tetapi masih gagal melaksanakan gerak kerja yang diperkatakan.

Masih terdapat anggota atau ahli atau individu yang berhasrat besar untuk bertanding namun masih buta maklumat berkenaan persediaan PRU, tidak kenal maklumat-maklumat penting kawasan, tidak mengetahui jumlah pemilih dan masih bercakap besar seolah-olah kemenangan mutlak akan berpihak kepadanya.

Berpijak di bumi yang nyata, lihat langit tinggi atau rendah, lihat dalam diri, renungkan secara tenang...layakkah diri itu untuk diangkat menjadi calon??



Sunday 15 January 2012

Gelombang Kebangkitan atau Kejatuhan?

Rapat Rakyat Perdana, Alor Setar, Kedah
Rapat Rakyat N9 2012, Pekan Gemas, Tampin

Selesai sahaja himpunan rakyat dalam Rapat Rakyat N9 2012 di Gemas malam semalam, suatu lagi keadaan telah memperlihatkan gelombang sokongan rakyat terhadap himpunan perdana anjuran Pakatan Rakyat. Sebelum itu, pada 14 Januari 2012 dalam Rapat Rakyat Perdana yang berlangsung di Alor Setar, Kedah telah menyaksikan kehadiran puluhan ribu orang ramai.

Mengikut laporan, lebih 10 ribu telah hadir di Gemas pada malam tersebut tanpa dijangka sebuah kawasan kuat Umno telah berjaya ditembusi oleh Pakatan Rakyat Negeri Sembilan. Ini merupakan suatu usaha berterusan PR NS melakar gerakan ke arah menawan negeri tersebut pada PRU-13 akan datang. 

Ia seakan suatu aliran nadi kebangkitan yang bersambungan hasil pembongkaran isu NFC beberapa bulan lalu. Semacam suatu gelora penentangan rakyat terhadap tindakan-tindakan tidak amanah Umno dalam menjaga hak rakyat. 

Apakah dalam dua rapat umum anjuran PR ini menggambarkan sebuah gelombang kebangkitan rakyat atau kejatuhan politik PR seterusnya?

Kedudukan BN 50-50

Pembebasan Anwar Ibrahim sekali lagi menjadi X-faktor bagi politik negara ini. Kehadiran rakyat telah melambangkan penentangan secara meluas rakyat terhadap regim BN. Ada perkhabaran tidak rasmi dimaklumkan bahawa dalam satu persidangan khas M.I.O (militiary intellegent officer) di Seremban, hasil tinjaun pihak ini menyatakan kedudukan BN di Negeri Sembilan adalah 50-50. Ini suatu fakta yang wajar menjadi pedoman terbaik kepada PR NS dalam menggandakan usaha ke arah menjayakan kemenangan mutlak dalam PRU-13. 

Sudah pasti maklumat sebegini amat diketahui oleh MB Negeri Sembilan. Maka atas sebab itu beliau telah mengeluarkan suatu kenyataan akhbar yang tersiar dalam akhbar pada 13 Januari 2012 lalu menegaskan BN Negeri Sembilan telah bersedia menghadapi PRU-13 dan yakin kesemua 15 kerusi dun yang dimenangi PR akan dirampas!

Penilaian dari sudut politik, kenyataan itu sebenarnya adalah gambaran kegusaran MB Negeri Sembilan terhadap kebangkitan luar biasa rakyat terhadap PR sejak 901. Ada satu lagi maklumat tidak rasmi dilayangkan, ketika dalam suatu mesyuarat jawatakuasa Umno Bahagian Rembau, ada beberapa ketua cawangan khusus di dun Chembong memaklumkan tidak menyakini Umno akan mengekalkan kemenangannya. Ini suara daripada akar umbi Umno sendiri yang telah menyuarakan pandangan. Apakah keadaan itu menggambarkan teras-teras sokongan padu Umno di bawah akan berpaling sokongan kepada PR?

Kerancakan siri ceramah umum yang berlangsung sejak penghujung tahun 2011 lalu sehingga semalam menggambarkan usaha jitu PR NS melaksanakan gerakan menggandakan sokongan rakyat umum terhadap dasar-dasar perjuangan PR NS disamping penjelasan isu-isu nasional dan negeri.

Pelancaran manifesto PR NS iaiatu TONGGAK NAN 9 adalah terjemahan serius gagasan pembangkang untuk menerajui Negeri Sembilan. Matlamat utamanya adalah memperbaiki sistem pentadbiran sedia ada ke arah yang lebih telus dan berentergriti. Selama lebih lima dekad Umno-BN mentadbir, negeri ini masih ketinggalan jauh berbanding Melaka, Johor dan Selangor sedangkan ia terletak dalam lingkungan perkembangan pesat ekonomi selatan tanahair.

Semoga gelombang kebangkitan sokongan rakyat ini dapat diterjemahkan kepada undi kemenangan PR.

Friday 13 January 2012

Keputusan 901: ahli Umno keliru?

 

 Keputusan pembebasan Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2012 lalu diterjemahkan oleh kebanyakan media arus perdana sebagai antara usaha Transformasi Politik yang digerakkan oleh Najib Razak. Ia di'perjelaskan' sebagai bukti tidak berlaku campurtangan politik atau konspirasi jahat untuk 'membunuh' karier dan kredibiliti Anwar Ibrahim.

Namun, jika situasi tersebut dinilai secara ilmu politik dengan mengambilkira 'nilai-nilai seni politik', maka ia adalah arahan secara tidak langsung daripada Najib Razak kepada mahkamah untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Ia akan menjadi suatu modal berharga kepada strategi politik Najib dalam usaha memperlihatkan imej beliau bersih di pandangan umum rakyat. Saat semua pihak menjangkakan Anwar Ibrahim bakal kembali dipasung, Najib telah memilih untuk melakukan sebaliknya.

Secara ringkas, tindakan tersebut telah mendatangkan kekeliruan kepada kebanyakan akar umbi ahli Umno. Mereka terus mempersoalkan keputusan.Ahli-ahli dan penyokong totok-tegar Umno bermati-matian bak orang gila mempersoalkan keputusan serta tampil dengan pelbagai alasan dan sebab untuk menjustifikasikan Anwar itu bersalah. Akan tetapi buat ahli-ahli Umno yang biasa dan tidak terikat dengan sentimen ultra-nasionalis Umno, perspektif fikiran mereka mulai berubah kerana keliru dengan dakyah kotor sebelum ini yang heboh disebarkan oleh jentera pencacai maklumat Umno tentang fitnah DSAI (Liwat II).

Hikmahnya, ahli-ahli Umno yang terkeliru tersebut mulai melangkah keluar dari barisan organisasi secara senyap walaupun tidak memperlihatkan secara terang-terangan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Ada perkhabaran lisan yang dihebahkan telah berbunyi bahawa Ezam Mat Noor amat kecewa dan marah dengan keputusan Najib membebaskan Anwar Ibrahim. Dikatakan usaha keras beliau menggerakkan kempen memburukkan Anwar Ibrahim ke pelusuk negara telah gagal akibat keputusan tersebut. Mungkin perasaan yang sama turut dirasai oleh para perancangan kebusukan politik Umno.

Keadaan ini harus dimanfaatkan oleh PR. Peluang dan ruang ini telah dibukakan oleh Ilahi untuk kembali menyusun dan memantapkan jentera serta gerak kerja dan strategi bagi mengukuhkan sokongan rakyat secara meluas. 
Keputusan PRU 2008 di Semenanjung Malaysia kembali dirujuk. Hakikatnya, Umno-BN telah hilang sokongan yang sangat besar tetapi kerana bantuan kemenangan dari Sabah-Sarawak ia masih memegang tampuk pemerintahan negara.

Keputusan PRU 2008 (Semenanjung Malaysia)

Jumlah Kawasan Parlimen seluruh Malaysia: 222 (Semenanjung-166, Sabah-25, Sarawak-31)
Jumlah Kawasan Parlimen di Semenanjung: 166
PR: 80 (48.19%)
BN: 86 (51.81%)

Jika dilihat pada keputusan PRU 2008 lalu, kawasan Parlimen yang dimenangi BN dengan perolehan undi popular bawah 59% di seluruh negara terdapat lebih kurang 57 kerusi dan 30 kerusi daripada jumlah tersebut telah dimenangi BN dengan majorit bawah tiga ribu undi.

Tidak mustahil kerusi-kerusi terbabit akan dimenangi oleh PR dalam PRU-13 akan datang khususnya di Semenanjung.