Wednesday 25 January 2012

Ramalan PRU-13: kejatuhan NS kepada PR?

Negeri Sembilan disebut kebanyakan penganalisis politik adalah negeri yang berpotensi dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang berbanding Johor, Melaka dan Pahang. Kedudukan kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno Negeri Sembilan hanya berkelebihan empat kerusi sahaja. Manakala kemenangan PR sebanyak 15 kerusi dun buat pertama kalinya dalam sejarah telah menafikan kelebihan dua pertiga BN dalam Dewan Undangan Negeri. Ia juga merupakan kedudukan terkuat pembangkang di DUN Negeri Sembilan sejak PRU tahun 1969.

Pada PRU tahun 1969, DAP telah memenangi lapan daripada 24 dun dan tiga daripada enam parlimen di Negeri Sembilan ketika itu. Walaupun telah memenangi sepertiga kerusi DUN, kedudukan pembangkang khususnya DAP dianggap kuat di Negeri Sembilan.

Selepas tahun 1969, kedudukan pembangkang tidak begitu menggugat kelangsungan kemenangan BN di Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun, DAP kekal menjadi satu-satunya parti pembangkang yang berada di DUN Negeri Sembilan sejak 1969.

PRU 2008 telah membuktikan bahawa kedudukan BN mampu digugat dan tidak mustahil buat Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan Negeri Sembilan pada PRU-13 nanti. Pihak gerombolan BN berhak untuk berpandangan PR hanya bermimpi di siang hari tetapi matlamat ke arah menawan negeri ini bukanlah suatu gerakan biasa PR.

Penubuhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan (MPPR NS) pada 26 Januari 2010 lalu adalah bukti kesungguhan PR untuk menerajui pemerintahan negeri ini. Dalam satu mesyuarat penting MPPR NS tahun lepas telah bersama bersetuju bahawa KEADILAN Negeri Sembilan menerajui PR NS. Begitu juga dalam perkara kedudukan Menteri Besar NS yang turut dipersetujui dilantik daripada KEADILAN. 

Momokan gerombolan Umno bahawa seandainya PR memerintah, Negeri Sembilan akan mendapat seorang Menteri Besar daripada DAP. Malah pihak gerombolan juga telah begitu giat menyebarkan dakyah bahawa DAP akan meletakkan calon Melayu untuk bertanding di peringkat Dun untuk jawatan MB. Inilah kaedah politik menakutkan fikiran orang-orang Melayu di seluruh Negeri Sembilan.

Namun, PR NS tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik murahan gerombolan Umno. Jika dilihat kedudukan kerajaan negeri pimpinan BN Negeri Sembilan, daripada 21 kerusi yang dimenangi hanya dua kerusi dimenangi oleh komponen BN iaitu Jeram Padang (MIC) dan Chennah (MCA) manakala selebihnya dimenangi oleh Umno. 

Jika penilaian data dirujuk, daripada 19 kerusi dun yang dimenangi Umno, ada beberapa kerusi yang dimenangi dengan kelebihan undi bawah dua ribu iaitu Klawang, Lenggeng, Pilah, Johol, Linggi, Labu dan Pertang. Secara data strategik, peralihan undi antara 8-18 peratus kepada PR sudah cukup untuk menewaskan Umno di kesemua kerusi terbabit. 

Untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah, hanya 19 kerusi sahaja diperlukan. PR NS hanya memerlukan tambahan empat lagi kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan negeri. 

Jika tujuh kerusi dun yang dimenangi Umno tersebut berjaya dirampas, ini sudah cukup mengukuhkan kedudukan PR dan memenangi negeri ini. Untuk menguasai dua pertiga DUN, PR perlu menang sekurang-kurangnya 24 kerusi dun. Tambahan dua kerusi tersebut mampu diterjemahkan dengan merampas kerusi Jeram Padang dan Chennah kerana kedua-dua kerusi ini juga telah dimenangi oleh BN dengan kelebihan bawah dua ribu undi. Apakah ia mustahil dilakukan oleh PR?

Corak sokongan semasa mengikut kaum kepada PR sekarang adalah 35% Melayu, 80% Cina dan 58% India. PR NS perlu melonjakkan sokongan pemilih Melayu dan India seandainya memerlukan anjakan kemenangan. Dalam nilai peratus sokongan ini, PR mampu mempertahankan 15 dun yang dimenangi dan menambah sekurang-kurangnya empat dun iaiatu Chennah, Jeram Padang, Rantau dan Linggi. 

Sebaran Maklumat PR NS
Berdasarkan satu kajian oleh Merdeka Center terhadap kecenderungan pemilih di Negeri Sembilan mengikut kaum, hampir 70% pemilih Melayu cenderung memilih Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai rujukan utama media berbanding kaum Cina dan India. Aliran kecenderungan tersebut membuktikan gerombolan Umno telah menguasai pemikiran dan sebaran maklumat pemilih Melayu dengan akhbar-akhbar berbahasa Melayu kawalannya.

Keadaan ini menjadi suatu pedoman berguna kepada PR NS dalam melaksanakan sebuah misi dan gerak kerja penyebaran maklumat secara meluas berkaitan dengan dasar-dasar perjuangan kepada pemilih Melayu. Pemilih Melayu seluruh Negeri Sembilan meliputi 75% keseluruhan pemilih di negeri ini. Penembusan akhbar-akhbar alternatif seperti harakah hanya meliputi 5% dikalangan pemilih Melayu.

Sasaran penyebaran maklumat berkaitan manifesto, isu-isu semasa dan dasar-dasar perjuangan PR NS wajar dipergiatkan secara progresif dan efektif dalam meletakkan keterbukaan maklumat kepada minda pemilih-pemilih Melayu. Sekurang-kurangnya 45% sokongan pemilih Melayu di seluruh Negeri Sembilan disamping sokongan pemilih bukan Melayu akan menjayakan matlamat menawan negeri ini pada PRU-13.

Krisis Politik Dalaman BN
Walaupun secara zahirnya, BN Negeri Sembilan begitu kuat menyembunyikan masalah-masalah dalamannya, namun umum mengetahuinya secara politiknya pengaruh bekas MB Isa Samad masih menguasai kebanyakan kawasan berbanding pengaruh politik MB Mohamad Hassan. Kemenangan Isa Samad dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang pada tahun 2009 lalu, membuktikan 'permainan politik' beliau masih berbisa. 

Landskap politik Umno di Negeri Sembilan terbahagi kepada pengaruh Isa Samad iaiatu di Seremban, Telok Kemang, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol. Manakala Rembau dan Rasah menjadi  pengaruh sokongan kepada Mohamad Hassan. Jelebu pula dikatakan menjadi 'beruk tunggal' kerana Ketua Bahagiannya iaitu Rais Yatim adalah seteru lama kepada Isa Samad.

Heboh diperkatakan bahawa Hassan Malek (ahli Parlimen Kuala Pilah) berhasrat ingin menjadi MB Negeri Sembilan dan dikatakan akan turun bertanding peringkat dun. Apakah ini suatu perebutan maha hebat dikalangan pimpinan utama Umno NS?

Ada juga perkhabaran yang bertiup mengatakan Ahli Parlimen Tampin, Shaziman Mansur juga akan diturunkan bertanding di peringkat Dun. Lagi khabar bertiup turut mengatakan Senator Najeb Abdullah bakal menjadi calon MB baru Negeri Sembilan. Ia dikatakan menjadi pilihan utama PM Najib Razak sebagai usaha meredakan perebutan kuasa di negeri ini. Samada benar atau tidak ia masih bersifat cakap-cakap politik kedai kopi!

Perebutan menjadi calon dalam MIC NS juga bukan rahsia. Kedudukan politik Adun Jeram Padang, VS Mogan turut menjadi rebutan Ketua Pemuda MIC NS. Lebih mengejutkan ada maklumat tidak rasmi tentang keburukan tabiat VS Mogan telah disebarkan dalam internet. Sudah pasti pihak PR tidak terlibat dalam percakaran politik antara VS Mogan dan Pengerusi MIC NS, T. Rajagopalu.

Nantikan ulasan seterusnya!

No comments:

Post a Comment