Thursday 27 September 2012

Majoriti Dua Pertiga BN di Johor Bakal Dinafikan PR

Gelora perubahan politik di Johor seakan merebak ke pelusuk negeri tersebut. Hakikatnya diakui bahawa Johor merupakan kubu kuat Umno-BN sejak PRU 1959. Malah rekod kemenangan BN di negeri ini jika dinilai dengan undi popular menjangkau 75 peratus.

PRU 2008 lalu membuktikan BN unggul memenangi 50 daripada 56 dun keseluruhan dan memenangi 25 daripada 26 parlimen di Johor. BN menguasai 89 peratus kerusi dun dan 96 peratus kerusi parlimen di negeri ini. Ia fakta mudah sebagai bukti keunggulan kemenangan BN Johor.

Namun begitu, arus perubahan politik negara yang berlaku selepas 2008 telah menebar luas ke Johor. Faktor kegoncangan politik di Sabah semasa yang memperlihatkan penghijrahan beberapa Ahli Parlimen Umno-BN menyokong Pakatan Rakyat memberi kesan positif kepada rakyat Johor.

Ia umpama suatu cetusan keberanian untuk rakyat membuat perubahan tanpa mempedulikan ancaman dan ugutan politik melalui dakyah radikal Umno-BN.

Potensi PR

Pakatan Rakyat memperolehi kemenangan di enam dun pada PRU 2008 lalu iaitu Bentayan (DAP), Sungai Abong (PAS), Maharani (PAS), Mengkibol (DAP), Kempas (DAP) dan Senai (DAP). Besar kemungkinan kesemua dun ini akan mampu dipertahankan oleh PR dalam PRU-13 akan datang.

Jika data-data pemilih kawasan dun dan parlimen di Johor, 17 kawasan parlimen merupakan kawasan campuran walaupun ada kawasan yang majoriti Melayu sekitar 62-51 peratus seperti Sekijang, Ledang, Muar, Ayer Hitam, Batu Pahat, Simpang Renggam, Tanjung Piai, Pasir Gudang dan Johor Bahru. Kawasan ini mempunyai jumlah pemilih bukan Melayu sekitar 57-30 peratus. Kebanyakan kawasan parlimen ini berada di sebelah pantai barat dan selatan Johor. 

Secara atas kertas mengikut pecahan kaum dan sokongan semasa kepada PR, 14 parlimen dikenalpasti bakal ditawan oleh PR dalam PRU-13 akan datang. Manakala parlimen Johor Bahru, Muar dan Pasir Gudang berada dalam kedudukan 50-50. Pengaruh Ahli Parlimen di kawasan ini seperti Dato Shahrir Samad di Johor Bahru agak sukar digugat oleh pembangkang. Malah populariti beliau masih tinggi. Begitu juga di Pasir Gudang pengaruh Khaled Nordin masih belum digugat oleh pembangkang. Kawasan sebegini memerlukan calon PR yang berkredibiliti dan mampu menarik minat pemilih.

BN dijangka menang mudah di parlimen Sembrong, Pagoh, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Parit Sulong, Pontian dan Sri Gading. Cengkaman pengaruh Umno-BN masih menebal di kawasan-kawasan ini.

Menang Sepertiga DUN

Selain daripada mengekalkan kemenangan di enam dun, secara mudah PR dijangka memenangi 13 dun yang majoriti pemilih Cina. Dun-dun tersebut adalah; (peratus pemilih Cina dalam kurungan):
1. Jementah (55.17%)
2. Bekok (47.01%)
3. Tangkak (51.82%)
4. Yong Peng (60.71%)
5. Penggaram (61.72%)
6. Paloh (43.74%)
7. Puteri Wangsa (47.43%)
8. Johor Jaya (47.79%)
9. Stulang (54.56%)
10. Pengkalan Rinting (44.66%)
11. Skudai (65.27%)
12. Bukit Batu (62.19%)
13. Pekan Nenas (65.93%)

Andainya situasi itu berlaku, PR telah memenangi 19 dun iaitu sepertiga daripada 56 dun keseluruhan. Terdapat lagi 17 dun campuran yang komposisi pemilih mengikut etniknya adalah Melayu bawah 60 peratus dan bukan Melayu sekitar 40-30 peratus. 17 dun ini sangat berpotensi dimenangi seandainya dikira berdasarkan faktornya sebagai kawasan campuran. Dun-dun tersebut adalah;

1. Buloh Kasap
2. Pemanis
3. Kemelah
4. Tenang
5. Jorak
6. Gambir
7. Bukit Naning
8. Parit Yaani
9. Senggarang
10. Machap
11. Layang-Layang
12. Mahkota
13. Tiram
14. Permas
15. Tanjong Puteri
16. Nusa Jaya
17. Bukit Permai

Atas kertas data, dengan mengekalkan kemenangan enam dun dan ditambah dengan 30 dun berpotensi di atas, Pakatan Rakyat secara logik mampu memenangi 36 dun tersebut! Jika ia mampu dihakikatkan, Pakatan Rakyat telah berjaya menawan Johor dan menubuhkan kerajaan negeri. Hanya satu lagi tambahan kerusi dun akan membolehkan penguasaan dua pertiga (37 kerusi) DUN Johor. Untuk menubuhkan kerajaan negeri, kelebihan mudah yang diperlukan adalah 29 dun.

Hakikat suasana

Penilaian keadaan sokongan rakyat dan gerak kerja PR di Johor menjadi penentu ke arah matlamat menawan Johor. Hakikat yang mampu dinyatakan di sini adalah Pakatan Rakyat Johor berkeupayaan sekurang-kurangnya memenangi 20 dun. Andainya maklumat-maklumat atas kertas sebagaimana yang dinyatakan di atas dapat direalisasikan, ia akan menjadi bonus berharga kepada usaha yang dijalankan sejak 2008 lalu.

Perkara yang pasti adalah Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN!

Jangkaan Penulis;

Parlimen
BN-15 (58%)
PR-11 (42%)

DUN
BN-32 (57%)
PR-24 (43%)

Wednesday 26 September 2012

Sikamat bakal kekal dimenangi PR

Kemenangan Pakatan Rakyat melalui Parti Keadilan Rakyat di Dun Sikamat tidak diduga ramai kerana ia merupakan antara kubu kuat Umno di Parlimen Seremban selain Dun Lenggeng dan Ampangan.

PRU 2008 lalu telah mengubah suasana politik di Seremban dengan memperlihatkan kemenangan bergaya Pakatan Rakyat di lima daripada enam dun dalam Parlimen Seremban. Umno Seremban hanya mampu mempertahankan kemenangan di Lenggeng manakala di Ampangan dan Sikamat mereka tewas buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya umum sejak 1959. Kedudukan Umno untuk mempertahankan kemenangan di Lenggeng pada PRU-13 juga dijangka sengit.

Sejarah Awal

Sikamat asalnya merupakan sebahagian daripada Dun Ampangan, Rahang dan Temiang sebelum persempadanan semula pada tahun 2003. Selepas persempadanan semula, Sikamat wujud menjadi dun baru. 

Sebelum tahun 2007, Sikamat mempunyai enam daerah mengundi iaitu Taman Paroi Jaya, Sikamat, Taman Jujur, Jalan Sikamat, Medan Rahang dan Rahang. Selepas tahun 2007, daerah mengundi ketujuh Dun Sikamat wujud iaitu Taman Desa Rhu hasil daripada pertambahan pengundi di kawasan tersebut.

Sikamat merupakan kawasan majoriti Melayu dengan pecahan pemilih mengikut etnik berdasarkan senarai pemilih suku tahun pertama 2012 seperti berikut;

Md Yusof Harmain Shah
ADUN Sikamat (2004-2008)
Melayu: 11,619 (61.65%)
Cina: 5,308 (28.16%)
India: 1,692 (8.98%)
Lain-lain: 228 (1.21%)

Dalam PRU 2004 lalu, Umno telah memenangi Sikamat yang mengalahkan Keadilan dengan majoriti yang selesa sebanyak 3,701 undi. Calon Umno-Md Yusof Harmain Shah yang juga dikenali masyarakat tempatan dengan gelaran Yusof Misai. Beliau memperolehi 7,031 undi (67.86%) yang merupakan perolehan undi popular yang sangat selesa. Manakala calon Keadilan-Rosidan Mohamed mendapat 3,330 undi (32.14%). 

Ketika ini, perubahan tampuk pimpinan utama negara setelah Pak Lah menjadi Perdana Menteri yang ditonjolkan dengan imej 'Mr. Clean' telah menarik perhatian rakyat yang mengharapkan perubahan baru selepas era Mahathir Mohamad. Situasi politik ketika juga memperlihatkan kemorosotan sokongan rakyat kepada Barisan Alternatif.

PRU 2008 Ubah Suasana

Pertikaian senarai calon-calon BN Negeri Sembilan yang berlaku pada saat-saat akhir telah mencetuskan keceramukan dalaman Umno Negeri Sembilan. Menteri Besar-Mohamad Hasan telah bertemu dua kali Pak Lah atas sebab itu. Senarai calon awal dikatakan kebanyakannya menyenaraikan nama-nama penyandang dun-dun ketika era Isa Samad, namun buat kali keduanya senarai tersebut telah berubah secara drastik dengan menampilkan calon-calon pilihan Mohamad Hasan.

Umum sedia maklum dalam Umno Bahagian Seremban sendiri telah wujud dua kem utama iaitu kem Ishak Ismail (Ketua Bahagian) dan kem Mohd Nor Awang (Naib Ketua). Kem Ishak Ismail (yang juga bekas Adun Lenggeng) dikatakan pro kepada Isa Samad, manakala kem Mohd Nor Awang merupakan proksi kepada Mohamad Hasan. Pertentangan dua kem ini masih berterusan sehingga saat kini.

Tanpa diduga Md Yusof Harmain tewas kepada calon Keadilan-Aminuddin Harun. Pertarungan di Sikamat boleh dianggap antara yang sengit selain di Ampangan dan Lenggeng. Md Yusof tewas dengan majoriti tipis iaitu hanya 499 undi. Buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum sejak 1999, Keadilan memenangi Dun Sikamat.

Aminuddin Harun mendapat 6,036 undi (51.91%) dengan kelebihan kemenangan 499 undi. Manakala Md Yusod memperolehi 5,537 undi (47.62%). Lebih menarik, calon Umno ini tewas di daerah mengundi majoriti Melayu iaitu Taman Jujur dan Taman Desa Rhu.

Potensi Kekal Kemenangan 

Beberapa faktor utama menjadi asas kepada potensi untuk Keadilan mempertahankan kemenangan di Sikamat dalam PRU-13 akan datang.

Aminuddin Harun
ADUN Sikamat kini
Pemilih Bandar
Sikamat merupakan dun yang berada dalam kawasan perbandaran Seremban. Lebih 80 peratus kawasannya terdiri daripada taman-taman perumahan, petempatan elit Melayu dan lingkungan pusat bandar Seremban. Selebihnya terdapat beberapa kawasan kampung di pinggiran seperti di Jalan Jelebu-Pantai, Ulu Sikamat dan di pinggiran Paroi.

Pendedahan dan penerimaan maklumat berkaitan Pakatan Rakyat adalah paling cepat serta mudah diakses oleh kebanyakan penduduk bandar. Malah sebaran maklumat tentang perkembangan semasa Pakatan Rakyat juga sangat pantas bergerak dalam kawasan-kawasan ini. Kelebihan itu juga turut digunakan oleh Umno dalam mematahkan sebaran maklumat oleh pihak Pakatan Rakyat.

Sikap dan trend pemilih bandar ketika ini adalah 75 peratus ke atas cenderung menyokong Pakatan Rakyat. Adalah tidak mustahil para pemilih Melayu kawasan ini mempunyai kecenderungan sekitar 53-55 peratus menyokong Pakatan Rakyat. Kekerapan program-program besar dan sederhana giat dijalankan oleh pihak Keadilan khususnya dalam membuat khidmat masyarakat. Perkara ini diakui sendiri oleh kebanyakan penduduk di dun ini. Jentera Keadilan amat kerap dilihat dalam menggerakkan kerja-kerja kemasyarakatan khusus kepada golongan fakir miskin.

Kawasan-kawasan perumahan Melayu elit seperti di Taman Paroi Jaya dijangka akan berlaku peralihan besar dalam memberi undi perubahan. Keadilan tewas dalam PRU 2008 di kawasan ini dengan kelebihan undi yang tipis. Jangkaan anjakan undi itu bakal berlaku dalam saluran 4,5 dan 6 iaitu saluran golongan muda. Adalah diramalkan Keadilan mampu memperolehi sekitar 56-58 peratus undi di kawasan ini.

Kawasan-kawasan bandar seperti Medan Rahang, Rahang dan Sikamat dijangka akan memberi undi yang besar kepada Pakatan Rakyat. Adalah dijangka perolehan undi itu akan meningkat berbanding PRU 2008 iaitu sekitar 58-65 peratus.

Kawasan Campuran
Jika dilihat pecahan pemilih mengikut etnik di pada tahun 2004 dan 2008, Sikamat merupakan kawasan campuran walaupun iaitu majoriti Melayu. Pemilih Melayu di Sikamat pada tahun 2004 adalah 55 peratus dan pada 2008 adalah 59 peratus.

Walaupun kini pemilih Melayu Sikamat telah meningkat menjadi 62 peratus, ia boleh dianggap sebagai kawasan campuran kerana mempunyai pemilih Bukan Melayu yang ramai. Selain daripada faktor pemilih bandar, kepelbagaian pemilih mengikut kaum yang ramai turut mempengaruhi sokongan di kawasan ini.

Sokongan semasa pemilih Cina di bandar kepada Pakatan Rakyat adalah sekitar 78 peratus ke atas. Manakala sokongan pemilih India kepada Pakatan Rakyat pula adalah sekitar 65 peratus. Manakala sokongan pemilih Melayu di bandar pula berada sekitar 53-55 peratus. Keadaan ini membayangkan potensi sokongan untuk memenangkan calon PR sangat cerah.

Cabaran 

Walaupun secara mudah atas kertas, potensi mempertahankan kemenangan di Sikamat amat cerah, keupayaan pihak lawan juga harus diberi perhatian. Umno khususnya akan berusaha untuk menrebut kembali kawasan ini.

Antara cabaran yang perlu diberi perhatian adalah;

Undi Pos
Mengikut senarai pemilih suku tahunan pertama 2012, jumlah pemilih pos keseluruhan dalam Sikamat adalah 616 orang. Jika dipecahkan adalah seperti berikut;

Tentera: 574    Polis: 31   Pemilih Luar Negara:11

Keputusan PRU 2004 Sikamat memperlihatkan Umno-BN telah memaksimumkan undi pos kepada calon mereka. Calon Umno ketika itu menerima 89 peratus undi pos manakala calon Keadilan hanya mendapat 10.9 peratus sahaja.

Namun, dalam PRU 2008 calon Keadilan menerima 29 peratus undi pos dan calon Umno mendapat 67.37 peratus undi pos.

Perkara ini bakal berlaku sekali lagi dan dijangka Umno-BN akan melonjakkan perolehan undi pos kepada calon mereka sekitar 75-80 peratus pada PRU-13 akan datang.

Calon
Perebutan untuk menjadi calon di Sikamat oleh Umno Seremban menjadi topik hangat sembang kedai kopi. Ketua Bahagian Umno Seremban, Dato Ishak Ismail turut berhasrat untuk bertanding di sini. Sudah pasti kem Mohd Noor Awang juga mahu meletakkan calon mereka. Setakat ini, pihak Umno masih belum memutuskan calon mereka untuk Sikamat.

Kedudukan Aminuddin Harun sebagai calon Keadilan di Sikamat boleh dianggap selesai kerana beliau seorang yang mesra dan baik kepada semua pihak. Malah beliau juga disenangi oleh masyarakat setempat dan pimpinan Keadilan. Potensi beliau dicalonkan semula di Sikamat juga amat cerah. Persefahaman agak baik kerana tidak berlaku perebutan menjadi calon di pihak Keadilan bagi Sikamat. Situasi politik itu memberi kesempatan terbaik buat Aminuddin untuk menumpukan gerak kerja di kawasan ini.

Kesimpulan

Selain kemenangan di Parlimen Telok Kemang, Dun Chuah, Port Dickson dan Ampangan, mempertahankan kemenangan di Sikamat amat penting buat Keadilan Negeri Sembilan dalam memperkukuhkan politik parti ini di Negeri Sembilan.

Harus diingat bahawa kemenangan di Sikamat pada PRU 2008 lalu telah membuka ruang terbaik kepada Pakatan Rakyat membuktikan kredibiliti wakil-wakil rakyatnya dalam mengetengahkan isu-isu utama rakyat khususnya masyarakat Melayu.

Adalah tidak mustahil perubahan itu turut berlaku di kawasan-kawasan sub-bandar seperti Rantau, Lenggeng, Labu dan Pilah dalam menzahirkan perubahan pemerintahan di negeri ini.Kemenangan di Sikamat, Ampangan, Port Dickson dan Chuah menjadi pemangkin perubahan rakayt di lain-lain kawasan.

Sasaran BN:
BN-55%
PR-45%

Jangkaan Penulis:
PR-61%
BN-39%













Friday 14 September 2012

Memenangi Gemas: cabaran terbesar PR NS

Contoh kertas undi & keterangan cara-cara mengundi Front Sosialis Rakyat
Gemas merupakan antara kawasan Dun yang berada dalam Parlimen Tampin selain Gemencheh dan Repah.

Kawasan ini boleh dikatakan antara kubu kuat Umno-BN di Negeri Sembilan yang tidak pernah digugat oleh mana-mana parti pembangkang sejak 1970 iaitu selepas 'proses penyusunan semula' politik negara yang dilakukan oleh strategis Umno bagi menyekat pengaruh dan kekuatan politik parti-parti yang berpotensi mengancam Umno dan BN di masa hadapan.



Namun sejarah awal Pilihanraya Umum (PRU) negara pada tahun 1959 telah mencatatkan bahawa Gemas telah dimenangi oleh calon dari Sosialis Front (SF) atau Pakatan Sosialis Malaya yang dianggotai oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat. Calon tersebut, Fong Yew Wang telah menjadi wakil rakyat pertama bagi dun Gemas.

Logo Parti Buruh Malaya
Faktor kemenangan calon SF ketika itu turut dipengaruhi oleh komposisi kaum Dun Gemas. Sebelum tahun 1963-1978, belum wujud lagi kawasan petempatan Gugusan Felda Jelai (1-4). Gemas menjadi kawasan yang didominasi oleh penduduk-penduduk Cina, pekerja-perkerja ladang kepunyaan syarikat British dan beberapa kampung tradisional Melayu. Komposisi pemilih kaum Cina di Gemas waktu itu sekitar 60 peratus.

Namun setelah era 1963-1978, kewujudan petempatan Gugusan Felda Jelai telah mengubah komposisi kaum di Gemas yang kini pengundi Melayu meliputi 83 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Logo awal Parti Rakyat Malaya

Dominasi Umno

Selepas kewujudan petempatan Gugusan Felda Jelai, Umno terus mendominasi kemenangan dalam pilihanraya di Gemas.

Parti PAS menjadi lawan kepada Umno secara konsisten di kawasan ini namun gagal menyaingi.

Dalam PRU 1986, Umno memenangi Gemas dengan majoriti 4,588 undi, mengalahkan Pas yang memperolehi sebanyak 1,205 undi sahaja berbanding Umno yang mendapat 5,793 undi.

Ketika politik negara dilanda ombakan politik kesan perpecahan Umno pada tahun 1988, parti itu tetap utuh menang di Gemas dengan mengekalkan majoriti besar. PRU 1990 di Gemas, Umno mendapat 7,172 undi berbanding calon Pas yang menerima 1,672 undi. Ombakan politik yang dicetuskan oleh Gagasan Rakyat (Semangat 46, PAS & DAP) gagal mempengaruhi para pemilih di Gemas, seolah-olah tidak terkesan daripada perubahan politik semasa yang sedang berlaku.

Era Reformasi

Hanya dalam tempoh sedekad berlaku sekali ombakan politik negara-Era Reformasi pada tahun 1998 kesan kebangkitan rakyat menentang pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim.

Ombakan politik kali ini benar-benar mempengaruhi para pemilih Melayu secara besar. Hampir 78 peratus pemilih Melayu ketika itu menolak Umno-BN tetapi telah diselamatkan oleh undi bukan Melayu yang kekal kuat menyokong Umno-BN.

Gemas menjadi contoh terbaik kesan ombakan tersebut. Sejak tahun 1970, Umno selesa memenangi Gemas dengan majoriti yang besar melebihi tiga ribu undi tanpa digugat. Namun dalam PRU 1999, Umno hanya memenangi Gemas dengan kelebihan 2,859 undi. Ia merupakan catatan terendah majoriti kemenangan Umno sepanjang sejarah pilihanraya umum sejak 1970. Calon Pas memperolehi 2,775 undi manakala calon Umno mendapat 5,634 undi.

Cabaran PR

Undi Pos

Selepas persempadanan semula pada tahun 2003, petempatan Kem Tentera telah dibuka di Gemas namun tidak berlaku pemindahan tentera dalam jumlah yang besar. Bermula 16 Jun 2005, petempatan tentera di Kem Syed Sirajuddin, Gemas telah memperlihatkan pertambahan undi pos tentera di kawasan ini.

Inilah cabaran yang harus dihadapi oleh PR bagi merealisasikan kemenangan di Gemas. Sudah pasti, Umno-BN akan memanipulasi undi pos untuk memaksimakan kelebihan kemenangan mereka.

PRU 2004 lalu, jumlah undi pos di Gemas adalah 453 undi. Calon Umno telah mendapat 307 undi dan calon Pas menerima 124 undi sahaja. Akan tetapi pada PRU 2008, jumlah undi pos di Gemas adalah 2,932 undi. Pertambahan sebanyak 85 peratus undi pos dari tahun 2004 ke 2008.

Dalam keputusan PRU 2008 bagi undi pos, calon Umno mendapat 2,260 undi (77.08%) manakala calon Pas hanya mendapat 514 undi (17.53%). Parti pemerintah dilihat telah memaksimakan kelebihan kemenangan mereka melalui manipulasi undi pos. Calon Umno-Zainab Nasir memperolehi majoriti kemenangan yang sangat selesa iaitu 7,965 undi yang merupakan antara catatan kemenangan tertinggi Umno-BN di Gemas sejak 1970.

Kawasan Felda

Mengikut daftar pemilih suku tahun pertama 2012, jumlah pemilih di kawasan Felda yang terdapat dalam Gemas adalah seperti berikut;

1. Felda Jelai 1 & 3: 3,679
2. Felda Jalai 2 & 4: 4,022
3. Felda Pasir Besar: 1,686

Secara keseluruhan jumlah pemilih di kawasan Felda yang terdapat dalam Dun Gemas adalah
9,387 orang (42.33%) daripada keseluruhan 22,178 orang pemilih.

PRU 2008 lalu, jumlah undi keseluruhan dari kawasan Felda dalam Dun Gemas adalah 5,814 orang. Mengikut keputusan pilihanraya tersebut, calon PAS hanya memperolehi 916 undi (15.76%) manakala calon Umno mendapat 4,794 undi (82.46%).

Keputusan tersebut membuktikan kawasan felda menjadi deposit tetap kepada kemenangan Umno-BN di Gemas. Faktor calon Pas juga mempengaruhi keyakinan pemilih di kawasan-kawasan Felda yang lebih yakin dan cenderung memilih Umno yang dirasakan lebih berkredibiliti. Ada kemungkinan juga gerak kerja Pas agak lemah di kebanyakan kawasan Felda dan sukar untuk ditembusi.

Kesimpulan

Kali ini untuk PRU-13, Parti KEADILAN Rakyat akan bertanding di Gemas hasil rundingan kerusi yang dilangsungkan pada tahun 2011.

Berdasarkan tinjauan dan kaji selidik, KEADILAN mempunyai potensi menyaingi dominasi Umno di Gemas. Para pemilih bukan Melayu agak cenderung untuk memilih parti ini dan disebut-sebut lebih 70 peratus menyokong KEADILAN bertanding di Gemas.

Cabaran terbesar PKR adalah menembusi kawasan Felda. Namun berdasar sejarah pilihanraya umum terdahulu, Daerah Mengundi Pasir Besar dan Felda pasir Besar dahulu berada dalam Dun Jeram Padang pada PRU 1999. Ketika itu, calon Keadilan telah menang di kedua-dua kawasan ini. Adalah tidak mustahil kemenangan dijana dari kedua-dua daerah mengundi ini.

Jika gerak kerja yang sedang berlangsung di Gemas khususnya di kawasan Felda, KEADILAN berpotensi memperolehi undi popular sekitar 36-38 peratus.

Kenyataan yang hakiki diakui adalah Gemas merupakan kubu kuat Umno, namun ia tidak mustahil untuk ditawan. Ia sukar tetapi tidak mustahil untuk dimenangi!

Jangkaan BN

BN: 80%
PR: 20%

Andaian Penulis

PR: 46%
BN: 54%