Tuesday 18 March 2014

PRK Dun Balingian: pentas ujian awal KM baru Sarawak!

Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru pada 1 Mac 2014 lalu, keupayaan Adenan Satem sebagai peneraju Barisan Nasional Sarawak akan diuji pada PRK Dun Balingian yang berlangsung pada 29 Mac 2014 ini.

Kerusi Dun Balingian kosong setelah mantan KM Sarawak, Taib Mahmud meletakkan jawatan secara rasmi sebagai wakil rakyat kawasan tersebut pada 28 Febuari 2014. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baru pada 1 Mac 2014. 

Taib Mahmud juga antara pemain politik yang bijak sesaing Mahathir Mohamad. Sejak mula memegang jawatan KM Sarawak secara rasmi pada 26 Mac 1981 sehingga 28 Febuari 2014, beliau merupakan antara ketua negeri yang lama memegang jawatan di negara ini. Dalam dunia politik, Taib Mahmud boleh disebut sebagai 'Rajah Sarawak' yang sebenar. Malah sepanjang beliau memegang tampuk kuasa, Umno gagal 'dilahirkan' di Bumi Kenyalang. 

Pengenalan
Balingian merupakan dun yang berada dalam Parlimen Mukah selain Dun Dalat. Jika melihat peta pilihanraya, terdapat beberapa pekan kecil dalam dun ini seperti Pekan Balingian, Penakub dan Bandar Baru Mukah yang menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Mukah.

Ia mengambil masa hampir tiga jam perjalanan jika dari Bintulu atau Sibu. Dun Balingian terletak di tengah kawasan pesisiran pantai Sarawak.

Sejarah Pilihanraya
Dun ini sejak dari awal kewujudannya merupakan kawasan mudah bagi BN iaitu menang dalam majoriti undi yang selesa. Walaupun ada pertandingan melebihi dua penjuru sekalipun, calon BN akan menang dalam undi yang selesa.

Dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak tahun 1991, BN melalui calonnya Abdul Ajis Abdul Majeed menang dengan majoriti 4,654 undi menewaskan calon PBDS, DAP dan seorang calon bebas. Beliau memperolehi sebanyak 5,742 undi berbanding calon PBDS-Hambali Haji Annuar yang mendapat 1,088 undi. Manakala calon DAP dan bebas hilang deposit.

Ketika PRN Sarawak tahun 1996, sekali lagi Abdul Ajis dipilih sebagai calon BN. Walaubagaimanapun berlaku kemerosotan undi majoriti kemenangan. Beliau menang dengan majoriti 2,031 undi dengan perolehan sebanyak 4,622 undi. Lawan beliau merupakan calon bebas, Yusuf Abdul Rahman yang mendapat sebanyak 2,591 undi. 

PRN Sarawak tahun 2001 menyaksikan Taib Mahmud masuk bertanding di Balingian. Sebelum itu, Taib merupakan wakil rakyat bagi Dun Sebundi (1981-1987) dan Asajaya (1987-2001). Selaku KM Sarawak, beliau tidak menghadapi masalah untuk menang dengan selesa di Balingian.

Dalam PRN 2001 tersebut, Taib menang dengan majoriti 7,307 undi dan menewaskan tiga calon bebas. Malah ketiga-tiga calon bebas itu hilang deposit dengan memperolehi undi tidak melebihi 250 undi! Taib memperolehi sebanyak 7,532 undi iaitu 94.53 peratus daripada keseluruhan undi.

Kesinambungan kemenangan itu berterusan dalam PRN Sarawak yang seterusnya pada tahun 2006 yang menyaksikan pencabar beliau hilang deposit. Namun dalam PRN tahun 2011, beliau telah disaing hebat oleh seorang calon bebas iaitu Salleh Jafaruddin yang memperolehi sebanyak 1,056 undi dan telah mengurangkan sedikit majoriti kemenangan Taib yang diperolehi sebanyak 5,154 undi. Manakala  calon Keadilan, Suriati Abdullah hilang deposit.

Peluang
BN telah menampil bekas Pegawai Daerah Dalat iaitu Yossibnosh Balo, 45 (tengah, gambar kiri) sebagai calon. Beliau merupakan Melanau Kristian juga anak tempatan dari Kampung Telian. BN mempertaruhkan reputasi calon yang telah berkhidmat selama 21 sebagai penjawat awam.

Namun kedengaran dari sumber-sumber dalaman, bahawa calon ini tidak begitu dipersetujui oleh Muhyiddin Yasin. Mungkin faktor Dun Balingian menjadi kawasan majoriti Melayu-Melanau muslim menyebabkan Muhyiddin tidak begitu menyenangi pemilihan Yossibnosh sebagai calon. Adenan Satem dilihat benar-benar memainkan peranan penting dalam memutlak pilihan calon oleh BN Sarawak daripada pilihan BN pusat.

Keadilan pula mempertaruhkan Setiausaha Keadilan Cabang Bintulu iaitu
Haji Abdul Jalil Bujang, 55 (gambar kanan). Beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau juga pernah bekerja sebagai pegawai di Petronas. Haji Abdul Jalil pernah bertanding di Dun Jepak pada PRN Sarawak 2011 lalu. Beliau dipilih sebagai calon Balingian kerana kedua-dua ibubapanya berasal dari Mukah. Malah nenek beliau disebut berasal dari Kampung Lintang, Balingian.

Suasana politik di Sarawak amat berbeza dengan Semenanjung, khususnya dalam permainan politik perkauman dan agama. Namun begitu, melihat kepada pertandingan pilihanraya yang lalu di Balingian, kebanyakan calon Melanau-Melayu muslim yang kerap menang di sini. Apakah faktor itu akan memberi kelebihan kepada calon Keadilan jika sentimen itu berlaku?

Sudah pasti Adenan Satem selaku KM baru akan memastikan calon BN mengekalkan tradisi kemenangan di Balingian. Segala jentera kerajaan negeri akan dikerah secara maksima bagi melaksanakan maksud tersebut. Hakikatnya peluang calon Keadilan untuk meningkat undi dan mengurangkan majoriti masih terbuka. Akan tetapi tidak mustahil jika Haji Abdul Jalil mampu membuat kejutan!

PRK Balingian juga memberi gambaran kepada PRN Sarawak seterusnya. Apakah dominasi kemenangan BN selepas era Taib Mahmud akan berterusan di bawah Adenan Satem? Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, Taib Mahmud merupakan pemain politik yang bijak. Beliau juga telah menyedari kebangkitan rakyat dan kemenangan parti-parti pembangkang dalam PRN 2011 lalu. Malah Keadilan juga telah berjaya memenangi satu dun majoriti Iban iaitu Krian. Taib mungkin dapat membaca bahawa pentas politik Sarawak dalam PRN seterusnya akan memberi perubahan besar kepada politik BN di Sarawak. Agak bijak beliau meninggalkan pentas dengan menerajui kedudukan di peringkat yang lain!

Andaian Penulis:

BN: 58%
Keadilan: 42%
Jangkaan majoriti: 1,900 undi.