Wednesday 25 September 2013

Pemilihan Umno 2013: Pertembungan Mohamad Hasan-Rais Zainuddin di Rembau

Kedudukan Dato' Seri Utama Mohamad Hasan (gambar kiri) selaku Ketua Bahagian Rembau bakal dicabar oleh bekas wakil rakyat dan ahli majlis mesyuarat negeri, Datuk Rais Zainuddin (2004-2008) dalam pemilihan Umno yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pertembungan ini lebih afdal disebut sebagai 'persengketaan peribadi' yang melebihi daripada 'pertentangan politik jawatan'. Kita tidak mahu mengapi-apikan sentimen kebencian politik tetapi ia sekadar pandangan yang melihat kesan dan hasil daripada pertandingan jawatan tersebut.

Ada sumber menyebut bahawa tujuan Rais menyertai perebutan jawatan Ketua Bahagian Rembau ini adalah untuk mengembalikan suasana kekeluargaan di kalangan ahli-ahli Umno Rembau. Apakah misi beliau ini cuba mengambarkan bahawa suasana dalaman Umno Rembau begitu berkocak? Mungkin ini antara strategi beliau untuk pihak luar membuat tanggapan dan menjadi persepsi yang 'boleh' memberi undi simpati!

'Persengketaan Peribadi'
Mengimbas kembali suatu situasi pada tahun 2008 lalu dan lebih khususnya ketika Umno NS ingin menyerahkan senarai akhir calon-calon PRU-12 kepada Pak Lah. Senarai calon daripada Negeri Sembilan telah dirombak seminggu sebelum pengumuman calon BN. 

Telah dikhabarkan bahawa dalam senarai akhir yang pertama itu, nama Rais Zainuddin ada sebagai calon bagi Dun Chembong. Mungkin timbul bantahan ramai pihak dan beberapa pandangan yang tidak memihak kepada beliau, nama Rais telah digugurkan dan diganti dengan Dato' Zaiful Bahari. 

Pada waktu itu, kencang tersebar khabar bahawa Rais Zainuddin bakal disebut-sebut sebagai MB baru Negeri Sembilan yang dikatakan menggantikan Mohamad Hasan. Ada sumber lain menyebut, Rais mempunyai hubungan yang rapat dengan arwah isteri Paklah. 

Mungkin inilah yang menjadi punca kepada 'Persengketaan Peribadi' Rais terhadap Mohamad Hasan yang dilihat berjaya mempelantik keluar beliau daripada politik seketika.

Akan tetapi pengguguran Rais itu lebih kepada kegagalan beliau dalam menjalankan tugas dan peranan sebagai exco dahulu. Peringkat awal pentadbiran Mohamad Hasan begitu teliti dan progresif bagi memberi gambaran yang baik kepada rakyat akan seriusnya beliau mentadbir negeri ini. Mungkin Rais tidak mampu mengikut kehendak atau KPI yang diperlukan oleh kerajaan negeri.

Rais, 57, merupakan Ketua Umno Cawangan Air Hitam, Chembong. Beliau juga Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara. 

Potensi
Jika melihat kepada peluang dan harapan, adalah sangat diyakini bahawa Mohamad Hasan akan menang mudah. Selaku MB Negeri Sembilan memerangkap Pengerusi Umno NS dan Ketua Bahagian Rembau, keupayaan dan kekuatan beliau bakal dibantu oleh rangkaian politik yang telah dibina sejak 2003 lagi. Manakala Rais Zainuddin agak terpisah daripada arus politik dalam waktu yang lama. 

Cengkaman politik Mohamad Hasan di Rembau agak sukar digugat. Pernah ada cakap-cakap kedai kopi, kalau pembangkang nak menang Rantau, tunggu Mat Hasan bersara atau mati. Ia satu penegasan yang memperlihatkan betapa ampuhnya pengaruh beliau di Rantau khususnya dan Rembau amnya. 

Rais harus bersedia dan mempunyai persiapan rapi lagi gagah untuk merempuh rangkaian politik Mohamad Hasan jika mahu memenangi jawatan Ketua Bahagian. Mungkin Mohamad Hasan mampu tersenyum panjang hingga tamat tempoh mengundi tanpa perlu menunggu keputusan keluar. Rais harus punya jiwa 'political animal' untuk 'membunuh' raksasa politik!

Jangkaan sokongan Rais akan berpunca dari beberapa cawangan sekitar Dun Chembong dan Kota tetapi tidak menjadi suatu 'ombakan besar' untuk membadai sokongan Mohamad Hasan. Manakala jangkaan sokongan Mohamad Hasan sudah pasti secara besar akan datang dari Rantau dan Paroi (keduanya merupakan kubu kuat beliau).

Tuesday 24 September 2013

Ringkasan Prestasi PRU-13: PR Melaka membenih perubahan!

Melaka adalah antara negeri di Semenanjung Malaysia yang menjadi kubu kuat Umno-BN sejak awal Pilihanraya Umum negara lagi. Walaupun parti-parti pembangkang ada memenangi beberapa dun, ia tertumpu di kawasan majoriti Cina yang berpusat dalam parlimen Kota Melaka. Manakala lima lagi parlimen iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin kekal menjadi lubuk kemenangan Umno BN.

Namun begitu, pada PRU-13 lalu sudah ada harapan yang memperlihatkan pengaruh PR diterima oleh rakyat Melaka. Jika PRU-12 pada tahun 2008 lalu, boleh dikatakan pengaruh Umno khususnya di kawasan-kawasan kampung begitu ampuh untuk dipecahkan oleh parti lawan. Kata mudahnya adalah kekalahan telah 50% 'dimiliki awal' oleh calon-calon parti lawan.

Riak politik di negeri bersejarah ini nampaknya memperlihatkan perubahan yang telah menjelmakan harapan dan semangat dalam menghadapi PRU-14 yang mungkin berlaku pada pertengahan 2017 khusus buat PR Melaka. 

PRU 2008 lalu, PR hanya memenangi lima kerusi dun daripada 28 dun keseluruhannya melalui DAP. Lima dun tersebut adalah Bachang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. DAP juga turut mempertahankan kemenangan parlimen Kota Melaka.

PRU 2013 pula telah memperlihatkan pertambahan kemenangan bagi pihak PR. Buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka, PAS telah berjaya memenangi dun Bukit Baru dengan majoriti kecil iaitu 48 undi! Keputusan itu membayangkan betapa sengitnya persaingan merebut undi yang berlangsung dalam pilihanraya umum lalu. PAS telah dapat meletakkan seorang wakilnya dalam dewan undangan negeri. Manakala DAP telah menambah kemenangan dengan merampas dun Duyong dengan majoriti kemenangan sebanyak 205 undi. Duyong merupakan sebuah dun campuran yang majoriti Melayu sekitar 56 peratus.

Secara keseluruhan, PR telah memenangi dua parlimen di negeri ini iaitu Kota Melaka (DAP) dan Bukit Katil (PKR) manakala peringkat dun pula telah memenangi tujuh kerusi iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru, Kesidang, Duyong, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

'Giant Killer'
PKR juga buat pertama kalinya sejak tahun 1999 dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka telah berjaya memenangi parlimen Bukit Katil. Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah berjaya membenam 'keegoan dan keyakinan luarbiasa' Datuk Seri Ali Rustam dengan kemenangan yang agak selesa. Beliau memperolehi majoriti kemenangan sebanyak 5,447 undi!

Shamsul yang juga Pengerusi PKR Melaka menjadi 'pembunuh raksasa Umno' bagi PRU-13. Malah Ali Rustam sendiri terkejut dengan kekalahan tersebut khususnya kepada PKR! Kebanyakan pemuka-pemuka Umno yang mempunyai 'kebencian politik mendalam' terhadap PKR akan lebih tersentap jiwa dan perasaan seandainya kalah kepada calon-calon PKR berbanding Pas! Itulah yang dialami oleh Ali Rustam sendiri!

Pencapaian
Umno-BN secara keseluruhan mengekalkan dominasi kemenangan pilihanraya umum lalu dengan empat parlimen dan 21 dun yang sekaligus mengekalkan penguasaan kerusi dun lebih dua pertiga. 

Kawasan-kawasan dun yang mempunyai 65 peratus ke atas pemilih Melayu memperlihatkan dominasi kemenangan besar oleh calon-calon BN khususnya Umno dan MIC. Calon-calon MCA pula yang masih berjaya memenangi dun seperti Bemban, Klebang dan Machap telah dibantu kemenangan oleh undi-undi Melayu. Bemban dan Klebang memperlihatkan sokongan lebih daripada 85 peratus pemilih Melayu selesa memilih calon MCA-BN berbanding calon DAP-PR. Kedua-dua kawasan ini menyerlahkan trend sokongan kepada PR berpunca dari kawasan-kawasan campuran dan majoriti Cina.

Situasi sama turut melanda Machap walaupun calon MCA disaing-sengit oleh calon PKR. MCA mampu mempertahankan kemenangan di Machap dengan majoriti rendah sebanyak 152 undi sahaja. Nampaknya PKR ada harapan besar untuk memenangi dun pertama mereka pada PRU-14 di Machap. 

PR samada DAP, PAS atau PKR masih dilihat gagal menembusi kawasan-kawasan majoriti Melayu yang melebihi 65 peratus ke atas. Sentimen perkauman dan agama seperti kuasa ketuanan Melayu, isu kalimah Allah dan 'ketidaksepakatan' antara komponen PR telah berjaya mempengaruhi para pemilih Melayu. Ini termasuk pemilih Melayu yang berumur 21-30 tahun. 

Harapan
Berdasar atas kertas, PR memerlukan lapan lagi kerusi dun bagi membentuk kerajaan negeri sekaligus menawan Melaka pada PRU-14 akan datang. Jika tujuh dun yang sediada dimenangi dapat dipertahankan, sumbangan sekurang-kurangnya lapan dun dapat merealisasikan matlamat tersebut.

Antara dun-dun yang berpotensi dimenangi berdasarkan majoriti yang rendah, faktor kawasan campuran dan gerakkerja adalah; {dun (majoriti PRU-13)-komponen PR}
1. Machap (152)-PKR
2. Telok Mas (701)-PAS
3. Rim (1,121)-PKR
4. Paya Rumput (1,270)-PKR
5. Durian Tunggal (1,316)-PAS
6. Gadek (2,630)-PKR
7. Bemban (2,028)-DAP
8. Kelebang (2,097)-DAP

Dun-dun lain yang juga mampu dimenangi sekiranya betul gerakan dan strateginya oleh PR adalah Taboh Naning, Rembia dan Lendu.

Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Melaka adalah 15 dun dan 19 dun bagi mendapat dua pertiga kerusi dun.


Sumbangan pendapat, pandangan dan cadangan sebagai pembetulan atau tambahan maklumat amat dialu-alukan.

Pemilihan Umno 2013: Pertembungan Tiga Penjuru Rebut Ketua Bahagian!

Sebelum ini kecenderungan analisa atau pandangan politik blog ini lebih tertumpu kepada arah perjuangan politik Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sembilan. Sekali-sekala ia membelek dan menyelak perkembangan politik Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain.

Ishak Ismail
Penulisan kali ini akan melihat dan membaca berkenaan pertembungan menarik bagi Pemilihan Umno Seremban dalam jawatan Ketua Bahagian yang membuka gelanggang perlawanan tiga penjuru.

Penyandang jawatan tersebut, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan Adun Lenggeng akan ditentang oleh Setiausaha Kerja Umno Negeri Sembilan, Md Yusof Harmain Shah yang lebih dikenali sebagai Yusop Misai dan Adun Ampangan, Haji Abu Ubaidah.

Ini suatu pertembungan yang menarik kerana Umno Seremban antara 'rival' kuat kepada kepimpinan Mohamad Hasan sebagai Pengerusi Umno NS. Mohamad yang juga Ketua Bahagian Rembau telah diketahui ramai 'berlaga keting' dengan Ishak. Ia bukan rahsia politik, malah telah diketahui umum masyarakat politik negeri ini.

Md Yusof Harmain Shah
Situasi ini mudah difahami iaitu Ishak Ismail adalah 'orang Isa Samad'. Manakala Isa Samad merupakan proksi kuat Najib Razak di Negeri Sembilan. Mohamad Hasan pula boleh ditakrifkan sebagai 'berlaga angin' dengan Isa samad sejak tahun 2004 lagi. Beliau juga merupakan 'orang kesayangan' Pak Lah semasa menjadi PM dahulu.

Haji Abu Ubaidah
Penyertaan Yusop Misai dan Haji Abu ke gelanggang pertandingan boleh dibaca sebagai 'tindakan mengusir secara mutlak' Ishak daripada kemenangan. Kedua-dua susuk ini secara terang dan jelas adalah 'orang Mohamad Hasan'. Ia hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Yusop Misai merupakan bekas Adun Sikamat (2004-2008) sebelum beliau tewas kepada calon Keadilan, Aminuddin Harun dalam PRU-12 lalu. Haji Abu Ubaidah pula merupakan 'susuk baru' yang melalui situasi politik ironik iaitu dipilih menjadi calon PRU-13 bagi Ampangan, kemudian menang di Ampangan dan menjadi Adun. Kini beliau 'telah disungkit' oleh para strategis politik Mohamad Hasan untuk menyertai perlawanan pemilihan. 

Perlawanan Sengit?

Walaupun di atas kertas pertembungan ini memperlihatkan situasi sengit, namun dikhabarkan salah seorang calon pro-Mohamad Hasan akan menarik diri pada saat akhir. Ishak Ismail bukanlah 'susuk kecil politik' yang boleh diperlekehkan. Beliau sebagaimana Isa Samad ada sokongan akar umbi walaupun majoriti mahu beliau ditukar! 

Kedudukan Haji Abu sebagai Adun Ampangan mungkin dijadikan modal politik untuk menyaingi Ishak. Pengaruh beliau di Ampangan menjadi 'bekalan pertandingan'. Namun begitu, persoalannya apakah pengaruh itu hanya pengaruh sekitar masyarakat awam semata-mata atau adakah beliau akan mendapat sokongan politik kebanyakan ahli-ahli Umno di Ampangan, Sikamat mahupun Lenggeng jika dibandingkan dengan Ishak dan Yusof Misai yang lebih lama berkecimpung dalam politik Umno bahagian??

Rakyat umum pasti ingat kepada 'insiden campak kerusi' yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Umno Seremban beberapa tahun lalu. Dalam insiden itu, pasukan yang menentang Ishak yang dikepalai oleh Mohd Nor Awang telah membuat bantahan berkaitan kelayakan ahli hadir mesyuarat yang dipercayai hadir daripada 'cawangan-cawangan hantu'. Yusof Misai juga berada dalam kumpulan penentang tersebut.

Jangkaan

Bukan mahu memperlekehkan tetapi kemenangan dijangka akan berpihak kepada Ishak Ismail. Akan tetapi jangkaan ini boleh meleset sekiranya kedua-dua lawan iaitu Yusof Misai dan Haji Abu bergandingan untuk mengalahkan Ishak.

Walaubagaimanapun, Umno Seremban seolah-olah ketandusan susuk yang muda dan berkredibiliti untuk diangkat menjadi Ketua Bahagian. Maaf bicara, walaupun Umno Seremban memperolehi kejayaan merampas kembali Ampangan, itu bukan suatu 'harapan' atau cahaya kebangkitan untuk pemantapan politiknya. Hakikatnya Umno Seremban berada dalam lingkungan masyarakat bandar dan sub-bandar yang merangkumi 65 peratus kawasan parlimen Seremban. 

Jika antara ketiga-tiga calon ini menang sekalipun menjadi Ketua Bahagian, masyarakat akan melihat Umno Seremban tetap dipimpin oleh orang veteran yang sepatutnya diganti oleh golongan yang lebih berkemampuan. Kepimpinan komponen PR Seremban iaitu DAP, PAS dan Keadilan dikepalai oleh golongan muda dan pertengahan. Apakah Umno Seremban akan mampu menyaingi 'keremajaan' komponen PR Seremban dalam mendepani politik seterusnya?

Sebarang cadangan, pandangan dan pengisian bagi tujuan pembetulan maklumat amat dialu-alukan sebagai perkongsian umum. Mohon pandangan yang bernas dan bukan emosi!