Tuesday 24 September 2013

Ringkasan Prestasi PRU-13: PR Melaka membenih perubahan!

Melaka adalah antara negeri di Semenanjung Malaysia yang menjadi kubu kuat Umno-BN sejak awal Pilihanraya Umum negara lagi. Walaupun parti-parti pembangkang ada memenangi beberapa dun, ia tertumpu di kawasan majoriti Cina yang berpusat dalam parlimen Kota Melaka. Manakala lima lagi parlimen iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin kekal menjadi lubuk kemenangan Umno BN.

Namun begitu, pada PRU-13 lalu sudah ada harapan yang memperlihatkan pengaruh PR diterima oleh rakyat Melaka. Jika PRU-12 pada tahun 2008 lalu, boleh dikatakan pengaruh Umno khususnya di kawasan-kawasan kampung begitu ampuh untuk dipecahkan oleh parti lawan. Kata mudahnya adalah kekalahan telah 50% 'dimiliki awal' oleh calon-calon parti lawan.

Riak politik di negeri bersejarah ini nampaknya memperlihatkan perubahan yang telah menjelmakan harapan dan semangat dalam menghadapi PRU-14 yang mungkin berlaku pada pertengahan 2017 khusus buat PR Melaka. 

PRU 2008 lalu, PR hanya memenangi lima kerusi dun daripada 28 dun keseluruhannya melalui DAP. Lima dun tersebut adalah Bachang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. DAP juga turut mempertahankan kemenangan parlimen Kota Melaka.

PRU 2013 pula telah memperlihatkan pertambahan kemenangan bagi pihak PR. Buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka, PAS telah berjaya memenangi dun Bukit Baru dengan majoriti kecil iaitu 48 undi! Keputusan itu membayangkan betapa sengitnya persaingan merebut undi yang berlangsung dalam pilihanraya umum lalu. PAS telah dapat meletakkan seorang wakilnya dalam dewan undangan negeri. Manakala DAP telah menambah kemenangan dengan merampas dun Duyong dengan majoriti kemenangan sebanyak 205 undi. Duyong merupakan sebuah dun campuran yang majoriti Melayu sekitar 56 peratus.

Secara keseluruhan, PR telah memenangi dua parlimen di negeri ini iaitu Kota Melaka (DAP) dan Bukit Katil (PKR) manakala peringkat dun pula telah memenangi tujuh kerusi iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru, Kesidang, Duyong, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

'Giant Killer'
PKR juga buat pertama kalinya sejak tahun 1999 dalam sejarah pertandingan pilihanraya umum di Melaka telah berjaya memenangi parlimen Bukit Katil. Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah berjaya membenam 'keegoan dan keyakinan luarbiasa' Datuk Seri Ali Rustam dengan kemenangan yang agak selesa. Beliau memperolehi majoriti kemenangan sebanyak 5,447 undi!

Shamsul yang juga Pengerusi PKR Melaka menjadi 'pembunuh raksasa Umno' bagi PRU-13. Malah Ali Rustam sendiri terkejut dengan kekalahan tersebut khususnya kepada PKR! Kebanyakan pemuka-pemuka Umno yang mempunyai 'kebencian politik mendalam' terhadap PKR akan lebih tersentap jiwa dan perasaan seandainya kalah kepada calon-calon PKR berbanding Pas! Itulah yang dialami oleh Ali Rustam sendiri!

Pencapaian
Umno-BN secara keseluruhan mengekalkan dominasi kemenangan pilihanraya umum lalu dengan empat parlimen dan 21 dun yang sekaligus mengekalkan penguasaan kerusi dun lebih dua pertiga. 

Kawasan-kawasan dun yang mempunyai 65 peratus ke atas pemilih Melayu memperlihatkan dominasi kemenangan besar oleh calon-calon BN khususnya Umno dan MIC. Calon-calon MCA pula yang masih berjaya memenangi dun seperti Bemban, Klebang dan Machap telah dibantu kemenangan oleh undi-undi Melayu. Bemban dan Klebang memperlihatkan sokongan lebih daripada 85 peratus pemilih Melayu selesa memilih calon MCA-BN berbanding calon DAP-PR. Kedua-dua kawasan ini menyerlahkan trend sokongan kepada PR berpunca dari kawasan-kawasan campuran dan majoriti Cina.

Situasi sama turut melanda Machap walaupun calon MCA disaing-sengit oleh calon PKR. MCA mampu mempertahankan kemenangan di Machap dengan majoriti rendah sebanyak 152 undi sahaja. Nampaknya PKR ada harapan besar untuk memenangi dun pertama mereka pada PRU-14 di Machap. 

PR samada DAP, PAS atau PKR masih dilihat gagal menembusi kawasan-kawasan majoriti Melayu yang melebihi 65 peratus ke atas. Sentimen perkauman dan agama seperti kuasa ketuanan Melayu, isu kalimah Allah dan 'ketidaksepakatan' antara komponen PR telah berjaya mempengaruhi para pemilih Melayu. Ini termasuk pemilih Melayu yang berumur 21-30 tahun. 

Harapan
Berdasar atas kertas, PR memerlukan lapan lagi kerusi dun bagi membentuk kerajaan negeri sekaligus menawan Melaka pada PRU-14 akan datang. Jika tujuh dun yang sediada dimenangi dapat dipertahankan, sumbangan sekurang-kurangnya lapan dun dapat merealisasikan matlamat tersebut.

Antara dun-dun yang berpotensi dimenangi berdasarkan majoriti yang rendah, faktor kawasan campuran dan gerakkerja adalah; {dun (majoriti PRU-13)-komponen PR}
1. Machap (152)-PKR
2. Telok Mas (701)-PAS
3. Rim (1,121)-PKR
4. Paya Rumput (1,270)-PKR
5. Durian Tunggal (1,316)-PAS
6. Gadek (2,630)-PKR
7. Bemban (2,028)-DAP
8. Kelebang (2,097)-DAP

Dun-dun lain yang juga mampu dimenangi sekiranya betul gerakan dan strateginya oleh PR adalah Taboh Naning, Rembia dan Lendu.

Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Melaka adalah 15 dun dan 19 dun bagi mendapat dua pertiga kerusi dun.


Sumbangan pendapat, pandangan dan cadangan sebagai pembetulan atau tambahan maklumat amat dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment