Tuesday 24 September 2013

Pemilihan Umno 2013: Pertembungan Tiga Penjuru Rebut Ketua Bahagian!

Sebelum ini kecenderungan analisa atau pandangan politik blog ini lebih tertumpu kepada arah perjuangan politik Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sembilan. Sekali-sekala ia membelek dan menyelak perkembangan politik Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain.

Ishak Ismail
Penulisan kali ini akan melihat dan membaca berkenaan pertembungan menarik bagi Pemilihan Umno Seremban dalam jawatan Ketua Bahagian yang membuka gelanggang perlawanan tiga penjuru.

Penyandang jawatan tersebut, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan Adun Lenggeng akan ditentang oleh Setiausaha Kerja Umno Negeri Sembilan, Md Yusof Harmain Shah yang lebih dikenali sebagai Yusop Misai dan Adun Ampangan, Haji Abu Ubaidah.

Ini suatu pertembungan yang menarik kerana Umno Seremban antara 'rival' kuat kepada kepimpinan Mohamad Hasan sebagai Pengerusi Umno NS. Mohamad yang juga Ketua Bahagian Rembau telah diketahui ramai 'berlaga keting' dengan Ishak. Ia bukan rahsia politik, malah telah diketahui umum masyarakat politik negeri ini.

Md Yusof Harmain Shah
Situasi ini mudah difahami iaitu Ishak Ismail adalah 'orang Isa Samad'. Manakala Isa Samad merupakan proksi kuat Najib Razak di Negeri Sembilan. Mohamad Hasan pula boleh ditakrifkan sebagai 'berlaga angin' dengan Isa samad sejak tahun 2004 lagi. Beliau juga merupakan 'orang kesayangan' Pak Lah semasa menjadi PM dahulu.

Haji Abu Ubaidah
Penyertaan Yusop Misai dan Haji Abu ke gelanggang pertandingan boleh dibaca sebagai 'tindakan mengusir secara mutlak' Ishak daripada kemenangan. Kedua-dua susuk ini secara terang dan jelas adalah 'orang Mohamad Hasan'. Ia hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Yusop Misai merupakan bekas Adun Sikamat (2004-2008) sebelum beliau tewas kepada calon Keadilan, Aminuddin Harun dalam PRU-12 lalu. Haji Abu Ubaidah pula merupakan 'susuk baru' yang melalui situasi politik ironik iaitu dipilih menjadi calon PRU-13 bagi Ampangan, kemudian menang di Ampangan dan menjadi Adun. Kini beliau 'telah disungkit' oleh para strategis politik Mohamad Hasan untuk menyertai perlawanan pemilihan. 

Perlawanan Sengit?

Walaupun di atas kertas pertembungan ini memperlihatkan situasi sengit, namun dikhabarkan salah seorang calon pro-Mohamad Hasan akan menarik diri pada saat akhir. Ishak Ismail bukanlah 'susuk kecil politik' yang boleh diperlekehkan. Beliau sebagaimana Isa Samad ada sokongan akar umbi walaupun majoriti mahu beliau ditukar! 

Kedudukan Haji Abu sebagai Adun Ampangan mungkin dijadikan modal politik untuk menyaingi Ishak. Pengaruh beliau di Ampangan menjadi 'bekalan pertandingan'. Namun begitu, persoalannya apakah pengaruh itu hanya pengaruh sekitar masyarakat awam semata-mata atau adakah beliau akan mendapat sokongan politik kebanyakan ahli-ahli Umno di Ampangan, Sikamat mahupun Lenggeng jika dibandingkan dengan Ishak dan Yusof Misai yang lebih lama berkecimpung dalam politik Umno bahagian??

Rakyat umum pasti ingat kepada 'insiden campak kerusi' yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Umno Seremban beberapa tahun lalu. Dalam insiden itu, pasukan yang menentang Ishak yang dikepalai oleh Mohd Nor Awang telah membuat bantahan berkaitan kelayakan ahli hadir mesyuarat yang dipercayai hadir daripada 'cawangan-cawangan hantu'. Yusof Misai juga berada dalam kumpulan penentang tersebut.

Jangkaan

Bukan mahu memperlekehkan tetapi kemenangan dijangka akan berpihak kepada Ishak Ismail. Akan tetapi jangkaan ini boleh meleset sekiranya kedua-dua lawan iaitu Yusof Misai dan Haji Abu bergandingan untuk mengalahkan Ishak.

Walaubagaimanapun, Umno Seremban seolah-olah ketandusan susuk yang muda dan berkredibiliti untuk diangkat menjadi Ketua Bahagian. Maaf bicara, walaupun Umno Seremban memperolehi kejayaan merampas kembali Ampangan, itu bukan suatu 'harapan' atau cahaya kebangkitan untuk pemantapan politiknya. Hakikatnya Umno Seremban berada dalam lingkungan masyarakat bandar dan sub-bandar yang merangkumi 65 peratus kawasan parlimen Seremban. 

Jika antara ketiga-tiga calon ini menang sekalipun menjadi Ketua Bahagian, masyarakat akan melihat Umno Seremban tetap dipimpin oleh orang veteran yang sepatutnya diganti oleh golongan yang lebih berkemampuan. Kepimpinan komponen PR Seremban iaitu DAP, PAS dan Keadilan dikepalai oleh golongan muda dan pertengahan. Apakah Umno Seremban akan mampu menyaingi 'keremajaan' komponen PR Seremban dalam mendepani politik seterusnya?

Sebarang cadangan, pandangan dan pengisian bagi tujuan pembetulan maklumat amat dialu-alukan sebagai perkongsian umum. Mohon pandangan yang bernas dan bukan emosi!

3 comments:

  1. Betul susuk muda utk ketua bahagian tidak diketengahkan. Lihat tiga penjuru samada datuk ishak boleh hilang jawatan ke.....

    ReplyDelete
  2. Betul pandangan saya patut orang2 muda n pertengahan mewakili bahagian ni..ada sebenarny tapi tidak di ketengahkan....

    ReplyDelete
  3. Saya antara orang2 yang dekat dgn adun lengging ni....cuma suara2 beginilah yg tidak didgr.....yang lama ni undur sebagai pemimpin yg disayangi...

    ReplyDelete