Monday 25 March 2013

Apakah N.Sembilan catat sejarah DUN terbubar sendiri?


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan DUN itu terbubar dengan sendiri pada 27 Mac ini jika tiada pengumuman dibuat pembubarannya esok.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ini kerana DUN sekarang akan tamat tempohnya esok selepas lima tahun bersidang.

Pihak SPR pula, tambah beliau, mempunyai masa selama 60 hari daripada tarikh pembubaran untuk mengadakan pilihan raya.

"Speaker (Negeri Sembilan) akan menulis surat kepada SPR memaklumkan DUN Negeri Sembilan terbubar. SPR pula mempunyai masa 60 hari untuk untuk mengadakan pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini.


Sumber: Malaysiakini, 26 Mac 2013
________________________________

Ketika mandat Parlimen Malaysia bakal tamat penggal rasminya pada 28 April 2013, Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia terbubarnya secara sendiri Dewan Undangan Negerinya pada 27 Mac 2013.

Jika tiada pengumuman pembubaran parlimen oleh Najib Razak sebelum 27 Mac 2013, maka pembubaran DUN Negeri Sembilan harus dimaklumkan oleh Speaker DUN kepada SPR. Tarikh akhir bagi menjalankan pilihanraya umum di negeri ini adalah pada 27 Mei 2013 iaitu tarikh genap 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut.

Keadaan ini amat berlainan daripada kebiasaan yang dibuat oleh parti pemerintah sebelum ini yang cenderung membuat pembubaran awal daripada tarikh pembubaran sebenar. Sekiranya ia berlaku juga, satu catatan sejarah baru bagi politik negara bakal tercatat. DUN Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia melalui pembubaran sendiri mencukupi tempoh penggal bersidang.

Walaupun pada PRU 1964 jika dikira mengikut tahun dari tarikh PRU 1959 mencukupi lima tahun tetapi jika dilihat pada tarikh pilihanraya, ia tidak genap memenuhi tempoh penggal sepatutnya. Tarikh PRU pertama di Negeri Sembilan adalah 2 Jun 1959 dengan hari penamaan calon pada 28 April 1959. Manakala tarikh penamaan calon dan mengundi bagi PRU kedua diadakan serentak seluruh negeri iaitu  21 Mac 1964 dan 25 April 1964.

Dalam situasi Negeri Sembilan menjadi antara negeri yang berpotensi ditawan oleh Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang, pembubaran secara sendiri DUN Negeri Sembilan membayangkan kedudukan Barisan Nasional sebenarnya tidak begitu selesa sebagaimana era 1982-1999. Penggal 2008-2013 menjadi kedudukan BN hanya menguasai 58.33 peratus kerusi DUN dengan hilang kuasa majoriti dua pertiga pertama kali dalam sejarah pilihanraya negeri ini. Inilah kedudukan paling sengit yang pernah dihadirkan oleh parti-parti pembangkang sejak PRU 1959 dan 1969. Imbasan sejarah sekali disebut-ulang bahawa pada PRU 1959, Front Sosialis pernah memenangi enam daripada 24 dun dan pada PRU 1969, DAP memenangi lapan daripada 24 dun.

BN Negeri Sembilan hanya berkelebihan empat kerusi dun daripada PR. Pernah seketika kedudukan tersebut digoncangkan dengan berita empat Adun BN bakal melompat menyertai Keadilan pada awal tahun 2009. Khabar itu menyebut Adun Klawang, Lenggeng, Gemencheh dan Serting dikatakan telah bersetuju untuk menyertai PR bagi memberi laluan pembentukan kerajaan negeri di bawah PR Negeri Sembilan. Namun khabar berita itu segera dinafikan oleh MB Negeri Sembilan, Mohamad Hasan bersama adun-adun yang terlibat.

Jika era selesa atau zaman keemasan BN dahulu (1982-1999), sudah pasti DUN Negeri Sembilan akan dibubar serentak dengan Dewan Rakyat sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan awal daripada tarikh pembubaran sepatutnya. Ia mungkin berlaku antara penghujung Januari atau awal Febuari 2013. Akan tetapi kemungkinan itu telah pun berlalu menjadi ramalan-ramalan politik yang meleset gara-gara kegusaran Najib Razak melihat situasi dalaman BN dan Umno yang berantakan. Ia ditambah lagi dengan kemaraan Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar Ibrahim menjelajah ke seluruh negara membangkitkan kesedaran rakyat terhadap kepincangan pemerintahan BN selama 56 tahun.

Kegagalan konspirasi demi konspirasi politik cetusan para strategis Umno-BN terhadap Anwar Ibrahim meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap keupayaan PR untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.

Harus diingat bahawa BN di Negeri Sembilan secara sendirinya berhadapan dengan krisis keyakinan terhadap Mohamad Hasan yang telah mencetuskan perpecahan terhebat. Mohamad Hasan turut mencatat sejarah unik kerana memimpin BN Negeri Sembilan menang besar pada PRU 2004 dan tewas besar pada PRU 2008.

Apakah Najib Razak akan membubarkan parlimen pada 26 Mac 2013 atau membiarkan DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya? Nantikan.

Monday 18 March 2013

Prestasi Kemenangan Pembangkang di DUN Negeri Sembilan

PRU
TAHUN
TARIKH PRU
JUMLAH DUN
PARTI
SF
DAP
PAS
S46
PKR
BEBAS
1
1959
2 Jun
24
6
XXX
-
XXX
XXX
2
2
1964
25 April
24
-
XXX
-
XXX
XXX
-
3
1969
10 Mei
24
XXX
8
-
XXX
XXX
-
4
1974
24 Ogos
24
XXX
3
-
XXX
XXX
-
5
1978
8 Julai
24
XXX
3
-
XXX
XXX
-
6
1982
22 April
24
XXX
2
-
XXX
XXX
-
7
1986
3 Ogos
26
XXX
4
-
XXX
XXX
-
8
1990
21 Okt
28
XXX
4
-
-
XXX
-
9
1995
25 April
30
XXX
-
-
-
XXX
-
10
1999
30 Nov
32
XXX
-
-
XXX
-
-
11
2004
21 Mac
36
XXX
2
-
XXX
-
-
12
2008
8 Mac
36
XXX
10
1
XXX
4
-
    13 *
2013
6 April
36
XXX
11
4
XXX
8
-

Jadual 1: Prestasi Kemenangan Pembangkang di DUN Negeri Sembilan Mengikut PRU

Peringkat Awal
Jika dalam buku sejarah yang diajar di peringkat sekolah, amat jarang disebut tentang kemenangan parti-parti bukan Perikatan/ BN khususnya di Negeri Sembilan. Fakta kemenangan parti-parti pembangkang hanya disebut secara umum dan tidak diperincikan maklumat-maklumat sebagaimana parti-parti komponen BN.

Pilihanraya Umum (PRU) pertama negara pada tahun 1959 mencatat sejarah tersendiri di Negeri Sembilan dengan Sosialis Front (SF) memenangi enam dun* daripada 24 dun keseluruhan. Calon-calon SF menang di Dun Rantau, Labu, Pasir Panjang, Jimah, Rahang dan Gemas. Manakala dua calon bebas** menang di Pertang dan Lukut. Satu pertiga kerusi dun dimenangi oleh parti-parti bukan perikatan dan Bebas. 

Perikatan/BN memenangi 100 peratus dan menguasai kerusi Dun Negeri Sembilan pada tiga PRU iaitu PRU 1964, 1995 dan 1999. Pertelingkahan politik dalaman yang melanda SF pada tahun 1963-64 telah menamatkan riwayat pakatan pembangkang tersebut. Selain daripada itu, tindakan licik parti pemerintah melalui agensi-agensi risikan telah memainkan peranan 'meruntuhkan' kesepakatan politik dalam organisasi SF dengan mencetuskan perbalahan antara Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh. Awal 1960-1963, SF merupakan sebuah pakatan politik parti yang dianggotai oleh PRM, Parti Buruh dan kemudiannya oleh Parti Perhimpunan Kebangsaan (PPK) yang diasaskan oleh Abdul Aziz Ishak, mantan Menteri Pertanian. Faktor tersebut telah memberi kelebihan kepada Perikatan untuk menang besar di seluruh negara termasuk di Negeri Sembilan. Ia diperkuatkan lagi dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang memberi kelebihan kepada Perikatan untuk melonjakkan sokongan rakyat melalui sentimen patriotisme.

Era Selepas Pembentukan Malaysia
Kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak yang bergabung dengan Persekutuan Malaya membentuk Persekutuan Malaysia telah membuka lapangan politik negara lebih luas. Sebelum ini, ia hanya merangkumi lapangan politik sekitar Persekutuan Malaya. 

PRU 1964 merupakan pilihanraya umum pertama bagi Persekutuan Malaysia. Isu Konfrantasi telah berjaya mencetuskan semangat kenegaraan yang begitu tinggi di kalangan rakyat. Sentimen tersebut telah dieksploit secara maksima oleh Perikatan dalam melonjakkan sokongan. 

PRU 1969 pula menjadi pilihanraya umum yang paling panas dengan memperlihatkan keputusan luarbiasa kemenangan besar parti-parti pembangkang di Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor. DAP buat pertama kalinya menyertai pilihanraya umum selepas dibentuk pada tahun 1965. DAP satu-satunya parti pembangkang yang mampu menyaingi Perikatan di Negeri Sembilan waktu itu berbanding Pas atau Gerakan.

Buat pertama kalinya juga, calon Melayu yang ditampilkan oleh DAP menang di kerusi Dun Sirusa iaitu Haji Hassan Haji Ahmad yang menewaskan Dato' Abdul Samad Said-bapa kepada Tan Sri Isa Samad dengan majoriti 230 undi! DAP telah menang lapan kerusi dun iaitu Sirusa, Pasir Panjang, Linggi, Jimah, Rahang, Lukut, Bukit Nanas dan Sungai Ujong. Manakala di sepuluh lagi dun calon DAP hanya kalah tipis bawah daripada 200 undi di Kuala Klawang, Pilah, Lenggeng, Rantau, Bahau, Gemas, Labu, Tampin, Rompin dan Kota.

Era BN
Selepas Tragedi 13 Mei 1969 dan pembentukan pakatan baru parti-parti pemerintah iaitu Barisan Nasional pada tahun 1970, DAP terus menjadi parti pembangkang yang kental. Namun begitu, kemenangan mereka merosot dengan memenangi tiga kerusi dun Negeri Sembilan pada PRU 1974 dan 1978, dua kerusi dun pada PRU 1982. Antara tahun 1974-1986 adalah waktu yang menjadi tahap selesa bagi BN dengan memenangi lebih dua pertiga kerusi di peringkat parlimen dan dun negeri-negeri. Hanya DAP dan Pas menjadi pembangkang yang kekal menyaingi politik BN. Period ini juga boleh disebut sebagai zaman keemasan BN.

Gagasan Rakyat
Kedudukan politik BN tergugat dengan perpecahan dalaman yang melanda Umno pada tahun 1988 mengakibatkan pengharaman parti ketuanan Melayu tersebut. Dr Mahathir Mohamad kemudiannya menubuhkan Umno Baru bagi menggantikan Umno asal yang diharamkan.

Perpecahan Umno itu telah mewujudkan sebuah parti multiracial yang baru iaitu Semangat 46 pada tahun 1989. Asalnya parti ini dianggotai oleh semua lapisan kaum, namun beberapa tahun sebelum PRU 1995 ia telah bertukar menjadi Parti Melayu Semangat 46.

Gabungan baru pembangkang yang disebut Gagasan Rakyat telah mencetuskan ombakan politik luarbiasa khususnya kepada kaum Melayu pada PRU 1990. Kelantan tumbang kepada pakatan pembangkang dan masih berkerajaan sehingga kini. Walaupun tidak memenangi sebarang kerusi parlimen dan dun di Negeri Sembilan, beberapa dun dalam parlimen Jelebu dan Jempol telah dimenangi oleh Umno dengan majoriti kurang daripada 1600 hingga 109 undi seperti di Klawang, Pertang, Batu Kikir manakal Peradong (kini Chennah) telah dimenangi oleh DAP selain memenangi Bahau, Rahang dan Mambau.

PRU 1995 dan 1999 menyaksikan DAP tidak memenangi sebarang kerusi dun Negeri Sembilan. Peralihan pimpinan negara daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi kembali melonjakkan sokongan dan perolehan undi popular yang tertinggi dalam sejarah pilihanraya umum BN sejak 1970. Walaubagaimanapun, DAP tetap memenangi dua kerusi dun iaitu Lobak dan Bahau. Kejutan melanda DAP NS apabila Pengerusinya, Lim Fui Ming menyertai MCA-BN menyebabkan DAP menjadi wakil tunggal pembangkang dalam dun. Kepimpinan DAP NS kemudiannya diterajui oleh pemimpin muda iaitu Loke Siew Fook.

Ombakan Politik
Walaupun berlaku ombakan politik negara pada PRU 1990, Negeri Sembilan secara keseluruhannya tidak mengalami kesan yang besar. Hanya parlimen Jelebu melalui kesan ombakan politik Semangat 46 dengan Rais Yatim tewas tipis kepada calon Umno hanya dengan 395 undi, manakala calon-calon Semangat 46 di Klawang tewas dengan hanya 733 undi dan di Pertang tewas dengan majoriti 109 undi. Pengaruh Rais Yatim amat mempengaruhi pemilih-pemilih Jelebu namun ia masih belum cukup untuk memenangkan Semangat 46 di Negeri Sembilan.

Negara sekali lagi dilanda ombakan politik Reformasi 98, dengan menyaksikan keputusan PRU1999 hampir sahaja menyebabkan Negeri Sembilan beralih tampuk pemerintahan. Jika tidak kerana kelemahan dan kurang mahir jentera-jentera Barisan Alternatif, sudah pasti sebuah kerajaan negeri baru telah ditubuhkan! Kali ini ombakan politik Reformasi 98 melanda hebat seluruh Kuala Pilah, Rasah dan Seremban. Keputusan di 19 dun mencatat kemenangan BN dibawah dua ribu undi dengan Mambau, Temiang, Lobak, Seri Menanti, Senaling, Johol, Pilah, Juasseh, Repah dan Klawang mencatatkan kemenangan BN di bawah majoriti seribu undi!

Sembilan selepas itu iaitu pada PRU 2008, ombakan politik baru negara benar-benar melanda Negeri Sembilan dengan DAP unggul memenangi 10 dun daripada 11 yang ditandingi, manakala buat kali pertamanya dalam sejarah penubuhan Keadilan dan Pas di negeri ini telah berjaya memenangi dun iaitu Keadilan menang di Ampangan, Sikamat, Chuah dan Port Dickson manakala Pas menang di Paroi.

Buat pertama kali dalam sejarah PRU di Negeri Sembilan juga, penguasaan dua pertiga kerusi dun BN telah dinafikan oleh Pakatan Rakyat. Ia juga turut mencatat sejarah pertama kali BN memenangi Negeri Sembilan hanya dengan 53 peratus kerusi dun.

Apakah yang bakal berlaku dalam PRU-13 akan datang?
Jangkaan potensi yang mampu diterjemahkan berdasarkan gerakan aktif PR NS, mereka dijangka memenangi 23 kerusi dun dengan 11 dimenangi DAP, Keadilan (8) dan Pas (4). 


Nota kaki:
*enam dun yang dimenangi oleh SF melalui calon-calonnya iaitu;
1. S.Sattipan (Labu)
2. Gurnam Singh Gill (Rantau)
3. Han Hiu Fong (Rahang)
4. V.Letchumanan (Jimah)
5. M.Mutuchumaru (Pasir Panjang)
6. Fong Yew Wang (Gemas)

**dua dun dimenangi calon Bebas iaitu;
1. Haji Aminuddin Abdul Wahab (Pertang)
2. Chin See Yin (Lukut)