Thursday 28 February 2013

Pemilih Cina Telok Kemang tekad sokong PR NS

Sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat secara besar-besaran tidak boleh dinafikan lagi walaupun pihak BN menyatakan sokongan Cina telah kembali memihak mereka melalui media massa. Itu satu perang psikologi yang dimainkan oleh BN melalui media untuk mencetuskan kekeliruan kepada rakyat.

Melihat kepada kehadiran ramai masyarakat Cina di Majlis Makan Malam Demi Rakyat Ke Putrajaya yang dianjurkan oleh Keadilan Negeri Sembilan malam tadi (28 Feb 2013) dengan sorakan semangat tiap-tiap kali ucapan pimpinan PR NS membayangkan bahawa pemilih Cina kali ini benar-benar mahu mengundi Pakatan Rakyat sebagai pemerintah kerajaan baru di negeri ini.

Lebih menyakinkan kehadiran masyarakat Melayu dan India yang bercampur gaul menjayakan majlis tersebut. Parlimen Telok Kemang mempunyai tiga dun yang majoriti Cina iaitu Lukut, Chuah dan Port Dickson. Sudah pasti lokasi majlis yang dilangsungkan di Pekan Lukut akan menarik kehadiran ramai masyarakat sekitar lebih-lebih lagi dengan kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim.

Laungan 'YA' dan 'YES' oleh hadirin sebagai menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat begitu bersemangat dan menyakinkan sebagaimana laungan 'NO, NO, NO' yang dilontarkan kepada Najib Razak ketika sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang awal bulan lalu.

Kawasan Hitam
Kaji Selidik yang dijalankan oleh Kemas Negeri Sembilan sekitar pertengahan tahun 2012 lalu meletakkan Dun Lukut, Chuah dan Port Dickson antara 13 dun yang menjadi kawasan hitam BN. Ia bermaksud kawasan ini BN akan kalah atau sukar dimenangi pada PRU-13.

Kehadiran masyarakat Cina malam tadi benar-benar membuktikan hasil kajian tersebut bahawa semangat dan tekad pemilih Cina menolak BN begitu kuat sekali. Situasi ini bakal mendatangkan masalah besar kepada Umno sekiranya Tan Sri Isa Samad benar-benar menjadi calon parlimen Telok Kemang. Jasa dan bakti Isa bakal diketepikan lantaran 'kebobrokan' dan kerakusan beliau dan Umno. Pihak MIC secara khususnya akan kecewa kerana kawasan tradisi ditandingi selama ini diserah kepada Umno. Peperangan antara pengikut Isa Samad dengan pengikut S. Sothinathan yang juga berminat untuk bertanding sekali lagi telah berlaku. Ia bakal menambah rencah perbalahan antara MIC-Umno di Telok Kemang.

Berdasarkan data pemilih suku tahun ketiga 2012 lalu, jumlah pemilih Cina dalam Parlimen Telok Kemang adalah 23,820 orang atau 34.23 peratus daripada 69,596 orang pemilih keseluruhan parlimen. Beza dengan pemilih Melayu adalah 7.58 peratus atau 5,279 orang. Manakala jumlah pemilih Melayu di Telok Kemang adalah 29,099 orang atau 41.81 peratus. Kedudukan ini memberi signifikan besar dalam penentuan perolehan undi kemenangan mana-mana pihak. Adalah diyakini bahawa dalam PRU-13 akan datang peratusan keluar mengundi pemilih Cina dijangka tinggi sekitar 80-85 peratus berbanding PRU 2008.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, pemilih Cina merupakan pemilih majoriti di Chuah (57.19%), Lukut (58.08%) dan Port Dickson (38.23%) manakala di dun Linggi pula mempunyai 20.58 peratus atau 3,042 orang pemilih Cina. Jika mengikut keputusan PRU 2008 di empat dun ini, calon PR menang di semua kawasan majoriti Cina. Kaji selidik Kemas meletakkan dun Linggi sebagai kawasan kelabu BN.

Jangkaan minima sokongan masyarakat Cina kepada PR di seluruh Telok Kemang adalah 75 peratus. Ada peningkatan sedikit peratus sokongan masyarakat Melayu di parlimen ini. Begitu juga dengan undi pos tentera. Pendedahan penyelewengan yang berlaku dalam ATM yang digerakkan oleh Keadilan telah berjaya mengubah perspektif minda kebanyakan tentera. Telok Kemang mempunyai pengundi pos tentera kedua terbesar selepas dun Gemas di Negeri Sembilan sekitar lapan ribu lebih.





Wednesday 27 February 2013

Benarkah BN NS mendapat undi popular 2/3 rakyat?

Ada dua perbezaan besar dalam menyatakan kemenangan majoriti besar iaitu memenangi dua pertiga jumlah kerusi Dun dan memenangi undi popular dua pertiga. Walaupun pada PRU 2004 di Negeri Sembilan, Barisan Nasional menguasai dua pertiga kerusi dewan undangan negeri iaitu dengan memenangi 34 dun daripada 36 dun akan tetapi dari segi perolehan undi popular BN sebenarnya tidak mencapai paras dua pertiga iaitu angka minima dua pertiga (66.66%).

PRU 2004 lalu secara angkanya mencatat jumlah pemilih Negeri Sembilan yang keluar mengundi adalah 314,720 orang dengan pecahan berikut;

PRU 2004 di Negeri Sembilan
Jumlah keluar undi: 314,720 orang.
Undi Popular BN: 207,407 orang (65.90%)
Undi Popular BA: 97,202 orang (30.89%)
Undi rosak: 10,111 (3.21%)

Dalam PRU 2008 pula, keselesaan BN Negeri Sembilan menguasai dua pertiga kerusi Dun hilang dengan hanya memenangi 21 dun manakala PR melonjak kemenangan kerusi dun daripada dua dun pada PRU 2004 kepada 15 dun.

Ia bukan sahaja mengubah kedudukan kerusi Dun bahkan turut mempengaruhi perolehan undi popular BN Negeri Sembilan. Secara data, maklumat adalah seperti berikut;

PRU 2008 di Negeri Sembilan
Jumlah keluar undi: 354,596 orang.
Undi Popular BN: 183,472 orang (51.74%)
Undi Popular PR: 160,504 orang (45.26%)
Undi rosak: 10,620 (3%)

Jumlah keluar undi pada PRU 2008 mencatat pertambahan sebanyak 39,876 orang pemilih (11.25%) berbanding jumlah keluar undi pada PRU 2004 di negeri ini. Adalah dijangka berlaku pertambahan sekitar 10 peratus daripada jumlah keluar undi PRU 2008 bagi PRU-13 akan datang iaitu jangkaan sekitar 390,056 orang pemilih.

Manakala jumlah undi rosak dijangka akan berlaku dalam peratusan yang sama iaitu 2.8-3 peratus (jangkaan 10,000 ribu undi).


Tuesday 26 February 2013

Kuasa Politik Melayu tidak lupus jika PR menang PRU-13

Perang saraf yang dimainkan oleh Umno-BN kebelakangan ini lebih radikal dan boleh dianggap melampau kerana ia menyentuh isu-isu agama Islam dan hal-hal perkauman. Ini bukan suatu kejutan kerana kaedah sebegini telah lama digunakan oleh jentera Umno-BN sejak era 1960an lagi. Akan tetapi ketaksuban gerak kerja kaedah tersebut begitu kental membara menjelang PRU-13 yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

Tujuannya sangat jelas iaitu;
1. untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.
2. untuk menarik sokongan pemilih Melayu khusus dalam isu-isu sensitif berkaitan agama Islam.
3. untuk mencetuskan keraguan terhadap keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Secara fakta, negara ini mempunyai 222 kawasan parlimen dan pecahan kawasan-kawasan ini mengikut majoriti kaum adalah seperti berikut;

Kawasan Parlimen Malaysia
Jumlah: 222
Pecahan:  Melayu      Cina      Campuran
                  113            26              83 

Kawasan parlimen yang disebut sebagai majoriti Melayu adalah jumlah pemilih Melayu melebihi daripada 60 peratus, begitu juga dengan kawasan majoriti Cina iaitu jumlah pemilih Cina yang melebihi daripada 60 peratus.Contoh bagi kawasan ini adalah;

P133 Tampin: Melayu-61.36%  Cina-24.14%  India-12.69%
P050 Jelutong: Melayu-21.6%   Cina-66.77%  India-11.22%

Manakala kawasan parlimen campuran adalah jumlah pemilih majoriti (Melayu & Cina) berada dalam peratusan bawah daripada 60 peratus, atau semua peratusan pemilih kaumnya adalah seimbang iaitu perbezaan dalam margin kecil antara 3-10 peratus. Contoh bagi kawasan ini adalah;
P100 Pandan: Melayu-44.67%  Cina-47.88%  India-6.53%
P132 Telok Kemang: Melayu-41.81%  Cina-34.23%  India-21.56%
P151 Simpang Rengam: Melayu-56.11%  Cina-33.63%  India-9.77%

Hanya tiga buah negeri sahaja dalam Malaysia yang mempunyai semua kerusi parlimen majoriti Melayu iaitu;
1. Kelantan: 14 parlimen
2. Terengganu: 8 parlimen
3. Perlis: 3 parlimen.

Berikut adalah kawasan parlimen mengikut majoriti pecahan kaum di negeri-negeri dalam Malaysia;

Negeri        Jumlah Parlimen            Melayu                Cina                Campuran
Perlis                      3                                3                         -                           -
Kedah                   15                              13                        -                           2
Kelantan                14                              14                        -                           -
Terengganu             8                                8                         -                           -
Pulau Pinang          13                               4                         6                           3
Perak                    24                               11                       4                           9
Pahang                  14                               11                       -                            3
Selangor                22                                7                        1                          14
WP                       13                                2                        4                           7
N.Sembilan            8                                 5                         -                           3
Melaka                  6                                 4                         1                           1
Johor                    24                                9                         -                          15                  
Sabah*                 25                               13                        3                           9
Sarawak**           31                                9                         7                          15

*bagi Sabah, kawasan parlimen Melayu adalah termasuk Bumiputera Islam.
**bagi Sarawak, kawasan parlimen Melayu adalah termasuk Melanau-Melayu & Bumiputera Islam

Kouta 

Kebanyakan kawasan parlimen Melayu pasti ditandingi oleh Umno, Pas dan Keadilan. Pakatan Rakyat bergantung kepada Pas dalam mendepani kempen dan gerak kerja di kawasan sebegini kerana lebih daripada 60 peratus ditandingi Pas.

Selebihnya ditandingi oleh Keadilan. Oleh kerana itulah Umno berusaha mengajak Pas untuk bergabung atas nama 'perpaduan politik Melayu' demi mengembalikan penguasaan ke atas kawasan-kawasan parlimen Melayu yang mereka tewas dalam PRU 2008 lalu.

Umno sangat mengharapkan pengaruh Pas di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor dalam usaha mewujudkan penggabungan politik bagi meneruskan nyawa Umno. Kemenangan Umno peringkat parlimen banyak disumbangkan oleh Sabah, Johor, Pahang dan Perak. Kedudukan itu sedang disaingi dan dicabar hebat oleh Pakatan Rakyat di negeri-negeri tersebut.

DAP dan MCA merupakan dua parti yang akan bertanding di kawasan-kawasan parlimen majoriti Cina kecuali di Sarawak, SUPP mewakili BN bertanding di kawasan-kawasan majoriti Cina.

Kawasan parlimen campuran pula sudah pasti akan ditandingi oleh Keadilan, DAP, Gerakan dan PPP.

Kedudukan kouta kerusi parlimen yang ditandingi oleh komponen PR adalah Keadilan bertanding di 105 parlimen, Pas (72) dan DAP (45). Oleh itu momokan politik Umno-BN agak meleset sama sekali bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi parlimen. Jelas sekali, PR membuktikan bahawa ia merupakan gagasan yang membawa aspirasi dan harapan rakyat Malaysia untuk membina kesejahteraan negara ini dengan mengambil kira hal-hal kestabilan ekonomi dan perpaduan rakyat tanpa menjejaskan kuasa politik Melayu.

Malah DAP sendiri mengakui bahawa kestabilan politik negara ini bergantung kepada kelangsungan kuasa politik Melayu. Ia adalah gambaran jelas bahawa perspektif politik negara memerlukan gandingan bersama semua kaum dengan menolak hal-hal perkauman. Ini berbeza dengan gagasan BN yang sebenarnya lebih khusus kepada hal-hal perkauman. Contoh mudah kepada gambaran tersebut adalah Umno untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India sedangkan Keadilan, DAP dan PAS berprinsip parti mereka adalah untuk semua.




Monday 18 February 2013

Menjelang PRU-13: PR mampu ulangi kemenangan di Perak, PP, Kelantan, Selangor & Kedah?

Kehangatan PRU-13 sudah cukup membahang rakyat seluruh negara walaupun parlimen belum dibubarkan secara rasmi. Penggal parlimen bagi 2008-2013 bakal berakhir secara automatik pada 28 April 2013 ini. Namun berdasarkan perkhabaran yang diperkatakan kini, parlimen dijangka akan dibubar pada akhir hujung bulan Febuari ini selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Persoalan dibangkitkan; apakah Pakatan Rakyat mampu mengulangi kejayaan memenangi lima negeri sebagaimana yang dilakukan pada PRU 2008 lalu? PRU-13 kali ini menjadi titik penting politik negara yang menentukan nyawa politik BN & PR.

Imbasan

PRU 2008 lalu menyaksikan PR memenangi lima buah negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah. Ia suatu kejutan buat parti pemerintah yang menjangkakan kemenangan mudah di Selangor, Perak disamping merampas Kelantan, namun ia tidak menjadi. Lebih mengejutkan negeri termaju dan terkaya di Malaysia-Selangor berjaya dirampas oleh PR. 

PR mengukir kemenangan besar dengan memperolehi majoriti dua pertiga kerusi dun di Kelantan dan Pulau Pinang, manakala berkedudukan selesa di Selangor dan menang majoriti mudah di Kedah dan Perak. 

Berikut dinyatakan fakta PRU-2008 di negeri-negeri berkenaan;

Selangor (56 Dun)
Majoriti mudah: 29 dun
Majoriti 2/3: 37 dun
PR: 36 dun   BN: 19 dun

PR                                                     BN
PKR: 15                                            Umno: 17
PAS: 8                                               MCA: 2
DAP: 13

Kelantan (45 Dun)
Majoriti mudah: 23 dun
Majoriti 2/3: 31 dun
PR: 39 dun   BN: 6 dun

PR                                                     BN

PKR: 1                                              Umno: 6
PAS: 38                                            

Kedah (36 Dun)
Majoriti mudah: 19 dun
Majoriti 2/3: 25 dun
PR: 22 dun   BN: 14 dun

PR                                                     BN

PKR: 5                                              Umno: 12
PAS: 16                                             MCA: 1
DAP: 1                                              Gerakan: 1


Pulau Pinang (40 Dun)
Majoriti mudah: 21 dun
Majoriti 2/3: 27 dun
PR: 29 dun   BN: 11 dun

PR                                                     BN

PKR: 9                                              Umno: 11
PAS: 1
DAP: 19

Perak (59 Dun)
Majoriti mudah: 30 dun
Majoriti 2/3: 39 dun
PR: 31 dun   BN: 28 dun

PR                                                     BN

PKR: 7                                              Umno: 27
PAS: 6                                               MCA: 1
DAP: 18

Kerajaan negeri Perak di bawah PR tumbang pada 9 Febuari 2009 setelah berlaku kudeta yang digerakkan oleh Umno. Gerakan kudeta tersebut dikepalai oleh Najib Razak yang ketika itu merupakan Timbalan PM. Ia menjadi 'master-piece' terbaik Najib Razak dalam mengukuhkan pengaruh beliau dalam Umno-BN bagi mempelantik pengaruh Pak Lah yang sedang dirundumkan oleh Umno ketika itu. 

Tragedi politik ini mengulangi sejarah lampau di Perak pada PRU 1969 dahulu. Kemenangan pakatan pembangkang di Perak yang diketuai oleh Parti Progresif Penduduk (PPP) bersama Gerakan, Dap dan Pas memenangi 21 kerusi dun. Perikatan waktu itu hanya memenangi 19 dun. Pakatan pembangkang waktu itu telah memenangi majoriti mudah iaitu 21 kerusi dun bagi membentuk kerajaan negeri. Namun begitu, kemenangan demokrasi itu dinafikan oleh Perikatan dengan menggerakkan strategi 'menculik' dan 'menyembunyikan' beberapa wakil rakyat Melayu daripada PPP termasuk Pas. Hasil tindakan tersebut, sebuah kerajaan negeri di bawah Perikatan berjaya ditubuhkan.

Kedah juga mempunyai keadaan yang hampir menyamai Perak. Tindakan 'membeli wakil rakyat' PR adalah antara strategi Umno-BN untuk melakukan kudeta Perak, namun usaha itu gagal di pertengahan jalan. Sasaran Umno-BN adalah membeli wakil-wakil rakyat Keadilan yang dirasakan lebih goyang prinsip perjuangan dan kesetiaan pada parti! Mereka pada mulanya berjaya 'memikat' Adun Lunas dan Bakar Arang untuk keluar meninggalkan PR menjadi wakil rakyat bebas mesra BN. Kaedah itu juga digunakan pada bekas Adun Bukit Selambau-V.Arumugam tetapi beliau bertindak bijak dengan melepaskan jawatannya. Namun terbukti Pilihanraya Kecil Bukit Selambau telah membuktikan usaha BN itu dinafikan oleh rakyat dengan calon Keadilan memenangi Bukit Selambau dengan majoriti lebih dua ribu undi.

Andainya strategi 'membeli wakil rakyat' Keadilan itu berjaya, kerajaan negeri PR bakal tumbang di Kedah. 'Penghijrahan' sekiranya berlaku pada lima wakil rakyat Keadilan tersebut, BN akan mempunyai 19 kerusi dun manakala PR berbaki 17 kerusi. Maka kerajaan 'kudeta' Kedah BN hanya berkelebihan dengan dua kerusi dun!

Kelantan & Pulau Pinang kekal dikuasai PR
Mungkin ia suatu penegasan yang 'over confident' tetapi itulah hakikat yang sedang berlaku di kedua-dua negeri ini. Sekali lagi sejarah awal pilihanraya umum negara telah membuktikan kedua-dua negeri ini merupakan 'lubuk awal' pengaruh bukan Perikatan/BN.

PRU 1959 membuktikan bahawa Kelantan telah dimenangi oleh Pas dengan menguasai lebih dua pertiga kerusi dun. Perikatan melalui Umno hanya memenangi dua kerusi dun dan satu parlimen. Manakala Pas unggul memenangi 28 kerusi dun dan sembilan parlimen. Pada waktu yang sama juga, Pas berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu bersama Parti Negara dengan Pas memenangi 13 dun dan empat parlimen, Parti Negara memenangi empat dun dan satu parlimen. Perikatan hanya memenangi tujuh dun dan satu parlimen. Ia adalah gambaran awal landskap politik negara (Malaya) ketika itu dengan sebelah pantai timur (Kelantan & Terengganu) dikuasai oleh pengaruh politik Pas.

Pas seterusnya mengekalkan kemenangan dan memerintah Kelantan pada PRU 1964 dan 1969 sebelum Tragedi 13 Mei berlaku. Hanya tempoh 1978-1989 Kelantan ditadbir perintah oleh BN. Namun begitu, untuk mendapatkan Kelantan, BN telah merancang pelbagai strategi radikal dari kaedah 'membunuh wakil rakyat', mencetus kekacauan & darurat, 'penculikan & membeli wakil rakyat' dan isu perkauman hasil daripada 13 Mei. Hanya isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 telah berjaya membawa BN menguasai Kelantan. Itu pun disulami dengan taktikal halus memperdayakan Pas.

Pulau Pinang juga menyamai Kelantan dari segi semangat demokrasinya. Walaupun pada PRU 1959, Pulau Pinang dimenangi oleh Perikatan akan tetapi negeri ini turut menjadi tapak penting yang utama kepada blok pembangkang khususnya Front Sosialis atau SF (gabungan Parti Buruh Malaya & Parti Rakyat Malaya). SF telah memenangi tujuh dun dan tiga parlimen di Pulau Pinang. Manakala Perikatan memenangi 17 dun dan lima parlimen.

PRU 1969 menjadi Tsunami Politik pertama negara. Sekali lagi kedua-dua negeri ini menjadi perhatian penting politik negara waktu itu. Perikatan telah disaingi secara sengit oleh parti-parti pembangkang. 

Pas sekali lagi mengekalkan kemenangan dan menguasai Kelantan dengan memperolehi 19 kerusi dun manakala Perikatan mendapat 11 kerusi dun. Kedudukan Pas juga disaingi secara sengit oleh Umno khususnya. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memenangi 16 dun dan bergandingan dengan parti-parti lain iaitu DAP yang memenangi tiga dun manakala Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) memenangi satu dun. Perikatan hanya mampu memenangi empat dun sahaja. Sekaligus pakatan pembangkang telah membentuk kerajaan negeri baru di Pulau Pinang.

Jangkaan PRU-13

Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dilihat sebagai berpotensi untuk dimenangi dan dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Manakala Perak, Negeri Sembilan dan Johor dijangka mampu memberi kemenangan dan kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan negeri baru sangat berpotensi.

Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor adalah negeri yang mempunyai akar sokongan kuat buat PR. Oleh itu, pertarungan sengit dijangka berlaku di ketiga-tiga negeri ini. Ia juga menjadi tahap ukuran sokongan sebenar kekuatan BN. Jika mereka gagal dalam misi merampas kembali Pulau Pinang dan Selangor khususnya, ia bakal menjadi petaka besar buat perjalanan masa depan politik BN.

Kedah mengalami asakan yang begitu kuat daripada serangan dan rempuhan Umno-BN. Kerap-kali tiap serangan yang bertali arus hampir-hampir mengoyangkan kedudukan PR di sini. Namun atas semangat dan kekuatan iltiziam wakil-wakil rakyat PR Kedah, kedudukan itu dapat dipertahankan dan seharusnya ia telah diperbaiki semaksima mungkin. Jika tidak, ruang-ruang lompong itu bakal terus ditusuk dan dirobek oleh Umno-BN bagi merampas kembali Kedah. Kedudukan di Kedah adalah 50-50.

Perak melakarkan politik yang unik dalam sejarah negara dan dunia sebenarnya. Secara politikal, Perak merupakan negeri yang paling sukar diurus ragam politiknya baik di piahk Umno-BN atau PR sendirinya. Demografi Perak yang merangkumi pelbagai suasana, keadaan dan corak hidup rakyatnya disamping rekod-rekod persejarahan krisis politik zaman berzaman menjadikan ia adalah pentas politik yang sangat rumit dan berlainan.

Pembunuhan dan penentangan awal kepada penjajah British juga bermula di Perak, peperangan saudara samada antara pembesar Melayu dan kongsi Cina juga antara yang terawal dicatat di negeri ini. Ia cukup membayangkan betapa perlu ada ketinggian aspirasi politik, ketajaman ilham menstabilkan krisis, karisma pimpinan dan kekuatan pengaruh politik amat diperlukan dalam menangangani politik di sini.

Namun yang pasti, Umno khususnya tidak lagi boleh mendabik dada dan merasai keselesaan memenangi Perak. Pengaruh PR bukan sekadar 8-10 peratus, jika 20 tahun lalu itu pasti tetapi kini ia dalam situasi 45-45. Maka baki 10 peratus lagi yang bakal direbut oleh kedua-dua pihak ini.

Namun jika PR gagal mempertahankan kemenangan PRU 2008, ia bermaksud harapan membentuk kerajaan persekutuan baru di Putrajaya jauh dijangkauan. Ia bergantung kepada situasi yang berlaku ketika tempoh berkempen dan pada hari penggundian. Segala-galanya tidak mustahil dalam dunia politik. Saat-saat akhir berbagai kemungkinan boleh terjadi!


Wednesday 13 February 2013

Percaturan MIC di NS: menang atau tewas?

V.S Mohan
Calon Dun Jeram Padang
S.Murugesan
Calon Parlimen Telok Kemang
Samada perkembangan yang didengar ini adalah suatu bentuk perang saraf MIC atau ia sesuatu yang benar-benar telah diputuskan, bahawa semua calon MIC di peringkat dun dan parlimen di Negeri Sembilan seratus peratus adalah orang-orang pilihan MIC Pusat dan pilihan MIC negeri ditolak sepenuhnya! 
Dr P.Tanalecthumy
Calon Dun Port Dickson

Berdasarkan maklumat tersebut, calon bagi Parlimen Telok Kemang yang akan diletakkan oleh MIC adalah Setiausaha agungnya-Dato S. Murugesan. Manakala calon bagi dun Port Dickson adalah Dr.P. Tanalecthumy dan dun Jeram Padang adalah penyandang V.S. Mogan.

M.Veloo
Mengikut perkhabaran yang disampaikan, calon cadangan MIC Telok Kemang bagi parlimen iaitu ketua bahagiannya, Dato M. Veloo yang juga merupakan Ahli Majlis MDPD telah ditolak oleh pihak MIC Pusat. Ada yang menyatakan bahawa M.Veloo bukan calon yang kuat untuk menyaingi penyandang Ahli Parlimen Telok Kemang-Dato Kamarul Baharin Abbas.

Beliau dikatakan mempunyai pelbagai masalah yang tidak disenangi oleh akar umbi MIC sendiri di Telok Kemang. Situasi itu meletakkan beliau bukan sebagai 'winnable candidate' sebagaimana yang diperlukan oleh Najib Razak bagi memenangi PRU-13 akan datang.

Dr. Tanalecthumy pula merupakan ahli majlis MDPD. Beliau mempunyai sebuah klinik di Bandar Seremban. MIC Pusat melihat beliau sebagai calon berpotensi untuk mencabar penyandang Dun Port Dickson sekarang-YB M.Ravi. Walaupun M.Ravi komited dan rajin dalam menjalankan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, MIC NS melihat bahawa perlu meletakkan seorang calon yang mempunyai merit yang baik dari segi pendidikan dan latar belakang profession. M. Ravi agak kekurangan dari dua sudut itu.

Port Dickson merupakan kawasan dun campuran yang sebenar di Negeri Sembilan kerana semua undi samada kaum Melayu, Cina dan India sama penting dalam menentukan kemenangan. Beza antara tiap-tiap pemilih mengikut kaum hanya 6-9 peratus sahaja. Pemilih kaum India Port Dickson merupakan kawasan dun ketiga teramai pemilih etnik ini selepas Jeram Padang dan Rantau. Oleh itu, Jeram Padang dan Port Dickson bakal menjadi penentu hidup mati politik MIC dan individunya yang menjadi calon di kedua kawasan ini.


Jeram Padang-Mogan bergantung Undi Melayu

Kedudukan V.S Mogan sebagai Exco Kerajaan Negeri NS dan Ketua Penerangan MIC Pusat memberi kelebihan kepada beliau untuk dikekalkan sebagai meneruskan kemenangan MIC di Jeram Padang. Hakikatnya, politik V.S Mogan di Jeram Padang bakal ditentukan oleh undi-undi dari pemilih Melayu felda. Undi-undi dari kawasan Felda yang telah memenangkan V.S Mogan pada PRU 2008 lalu. Lebih daripada 63 peratus undi pemilih India Jeram Padang memihak kepada calon Keadilan dalam pilihanraya umum lepas.

Maka atas sebab-sebab strategi bagi mempertahankan kemenangan, pihak MIC khususnya telah menjalankan perang saraf dengan mewujudkan persepsi bahawa bakal calon PR di Jeram Padang lebih bertumpu kepada kawasan Melayu dan mengabaikan undi orang-orang India. Walhal dalam keadaan sebenar, V.S Mogan sendiri kerap turun ke kawasan Felda di Bukit Rokan Barat, Palong 1 dan 2 untuk memastikan sokongan pemilih Melayu felda tetap berpihak kepada beliau.

V.S Mogan secara politiknya lebih berharap dan bergantung kepada undi pemilih Melayu untuk menang kali ini dalam PRU-13. Beliau mengetahui bahawa sukar untuk mendapat sokongan besar pemilih India walaupun BN Negeri Sembilan mendakwa bahawa orang-orang India telah 80 peratus kembali menyokong BN! Undi pemilih Cina sudah pasti 70 peratus memihak kepada PR dan keadaan tersebut akan lebih menyerlahkan kebergantungan MIC kepada undi Melayu untuk menang.

Harus diingat bahawa terdapat suara-suara protes dikalangan Ketua-ketua cawangan Umno di Bukit Rokan Barat, Rompin, Palong 1 dan 2 yang mahukan calon Umno bertanding di Jeram Padang. Mereka berpegang kepada jumlah pemilih Melayu Jeram Padang adalah 48 peratus berbanding pemilih India sekitar 36 peratus yang mewajarkan calon Melayu diletak bertanding di kawasan ini.

Gerakan aktif Keadilan khususnya dalam menangani isu-isu peneroka di kawasan gugusan Palong sudah cukup meresahkan BN bagi memenangi 80 peratus undi di kawasan felda.Gerakan-gerakan tersebut mampu meningkatkan sokongan sekitar 6-8 peratus kepada PR.

Setakat ini, hanya Bukit Rokan Barat yang agak sukar ditembusi oleh jentera PR dan ia menjadi lubuk utama kepada V.S Mogan mempertahankan kemenangan beliau di Jeram Padang.

Percaturan Telok Kemang

Desas desus ada menyebut bahawa Parlimen Telok Kemang bakal ditukar dengan Jempol iaitu MIC diberi beranding di Jempol dan Umno di Telok Kemang. Cadangan itu telah dibantah keras oleh Umno Jempol kerana ia akan membunuh peluang dan ruang Umno mempertahankan kemenangan di Jempol.

Lebih menarik lagi, calon bagi Telok Kemang sekiranya Umno bertanding di situ adalah Tan Sri Isa Samad! Jika cadangan pertama itu ditolak, maka cadangan kedua dikatakan MIC diberi bertanding di dun Rantau. Ini bermakna MIC hanya bertanding di peringkat dun sahaja iaitu Jeram Padang, Port Dickson dan Rantau. Ada seperti tindakan kem Isa Samad untuk mencantas politik MB NS sekarang-Mohamad Hasan dari peta politik NS.

Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa Presiden MIC sendiri G.Palanivel akan bertanding di Telok Kemang setelah cadangan lain untuk meletakkan beliau di Cameron Highland tidak dipersetujui oleh beberapa pimpinan utama MIC Pusat. Namun kisah itu semacam terpadam dan kini dimunculkan kisah bahawa Setiausaha Agung MIC-S.Murugesan menjadi calon Telok Kemang.

Status dan pangkat politik menjadi taruhan terbaik MIC bagi menyaingi Dato Kamarul Baharin Abbas yang juga merupakan Pengerusi Keadilan NS. Apakah wajah Cindian S.Murugesan bakal menarik sokongan rakyat untuk kembali memberi undi kemenangan kepada MIC?

Telok Kemang bakal menjadi pentas pertarungan sengit bagi merebut undi rakyat.


Tuesday 5 February 2013

Ulasan ringkas keputusan undian: Siapa MB N.Sembilan selepas PRU-13?

Terima kasih buat yang mengundi dalam undian berkenaan pilihan individu politik untuk menjadi MB Negeri Sembilan selepas PRU-13. Walaupun tidak ramai yang terlibat untuk mengundi, namun ia sedikit sebanyak memberi gambaran pilihan para pembaca blog ini.

Taufek Abd Ghani
Selepas seminggu, hasilnya memperlihatkan Haji Mohd Taufek Abdul Ghani yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menjadi pilihan tertinggi daripada 32 orang yang mengundi. Beliau mendapat sebanyak 14 undi atau 43 peratus, manakala kedua tertinggi adalah Dato Kamarul Baharin Abbas (Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan) mendapat 13 undi (40%).

Kamarul Baharin Abbas
MB Negeri Sembilan kini, Dato Seri Mohamad Hassan pula mendapat lima undi (15%) dan Tan Sri Isa Samad tidak mendapat sebarang undi. Masih ada segelintir rakyat di Negeri Sembilan menyakini BN akan memenangi PRU-13 di Negeri Sembilan dan menjangkakan Mohamad Hassan bakal dikekalkan sebagai MB. 

Namun begitu, tidak dapat untuk membuat andaian secara luas kerana tidak ramai yang mahu mengundi untuk poll ini. Semoga untuk poll akan datang, diharap para pembaca akan lebih ramai untuk turut serta mengundi! 

Monday 4 February 2013

Pahang bakal bertukar kerajaan negeri?

Pahang sebelum ini menjadi kubu kuat kepada pengaruh BN dan Umno khususnya. Tahap sokongan di negeri ini menyamai kekuatan Umno-BN di Johor dan Melaka. Namun ketika PRU 1999 dominasi pengaruh Umno telah berjaya digugat secara mengejut oleh Barisan Alternatif (BA) dengan memperolehi kemenangan di lapan dun daripada 38 dun keseluruhan di Pahang.

Pas memenangi enam dun, manakala Keadilan dan Dap masing-masing satu dun. Walaupun kemenangan BN di 21 dun bawah daripada majoriti dua ribu undi, namun secara keseluruhan Umno-BN masih menjadi pemerintah di Pahang dengan menguasai 78.9 peratus kerusi dun. Mereka kekal menguasai dua pertiga dun Pahang.

Seandainya kemenangan 21 dun tersebut berpihak kepada BA, mungkin berbeza kisah politik yang bakal tercetus di Pahang waktu itu. Kerusi minima yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri waktu itu adalah 20 kerusi. Manakala untuk mendapat majoriti dua pertiga sebanyak 25 kerusi diperlukan. Jika berlaku situasi 21+8 itu, BA bakal menang besar dengan menguasai lebih dua pertiga dun Pahang!

Setelah melihat gelora politik Reformasi 1998 mempengaruhi lebih 75 peratus pemilih Melayu seluruh negara termasuk Pahang, Mahathir Mohamad bersama pasukan strategis Umno-BN telah melakukan rombakan besar-besaran dengan mengubah sempadan dun dan parlimen melalui persempadanan semula pada tahun 2003. Inilah kaedah berkesan yang memenangkan BN sejak PRU 1974. Ia membantu BN memenangi kebanyakan kawasan pilihanraya dengan jumlah yang banyak. Terbukti di Pahang persempadanan tahun 2003 telah melonjakkan majoriti kemenangan selain daripada bantuan undi pos dalam PRU 2004.

Bertukar kerajaan negeri?
PRU 2008 telah menyaksikan PR mendapat dua kawasan parlimen iaitu Kuantan dan Indera Mahkota yang dimenangi melalui Keadilan. Peringkat dun pula, PR memenangi empat kerusi dengan Pas dan Dap mendapat dua kerusi daripada 42 dun keseluruhan. Calon bebas menang di dun Tanah Rata tetapi kemudiannya menyertai Gerakan.

Pahang adalah antara negeri yang berlaku arus perubahan politik pada PRU 1999 dan 2004. Adalah tidak mustahil kali ini dalam PRU-13 kejutan-kejutan politik bakal berlaku di negeri ini. Kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah agensi kerajaan untuk BN telah meletakkan 12 dun sebagai kawasan hitam BN! Ia suatu pertambahan besar berbanding sebelum PRU 2008. Ini bermakna PR akan menambah bilangan kerusi dun yang bakal dimenangi pada PRU-13 ini.

Selain daripada dun Tras, Triang, Kuala Semantan, Beserah dan Tanah Rata, dun-dun yang dijangka bakal dimenangi oleh PR adalah Tahan, Damak, Teruntum, Tanjung Lumpur, Inderapura, Jengka dan Mentakab.

Dun-dun yang bersifat campuran dan majoriti pemilih Cina seperti Sabai, Ketari, Bilut, Lanchang, Jenderak, Lepar, Dong, Damak, Benta, Cheka dan Padang Tengku antara yang berpotensi besar untuk dimenangi oleh PR.

Jika kesemua 23 dun ini mampu dimenangi oleh PR, secara atas kertas sebuah kerajaan negeri PR telah berjaya ditubuhkan di Pahang. Sebanyak 22 kerusi dun diperlukan untuk membentuk majoriti mudah. Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana kajian Kemas yang dijalankan pada penghujung 2012 menunjukkan 11 dun merupakan kawasan putih bagi BN, manakala 10 dun lagi adalah kawasan hitam BN dan 21 dun lagi adalah kawasan kelabu BN.

Adnan Yaakob
ADUN Pelangai
11 dun yang menjadi kawasan putih BN merupakan kawasan dun yang mempunyai pemilih Melayu melebihi 75 peratus dan berada dalam lingkungan luar bandar yang jauh daripada jaringan maklumat pantas. Kawasan-kawasan ini mempunyai pengaruh atau sokongan akar umbi Umno yang tegar, kurang atau tiada langsung cawangan organisasi komponen PR dan tiada gerakan aktif jentera PR di kawasan terbabit.

Dun-dun yang dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN tersebut adalah Jelai, Batu Talam, Bebar, Chini, Kuala Sentul, Chenor, Kerdau, Pelangai, Kemayan, Ibam dan Muadzam.

Situasi atas kertas ini memberi gambaran bahawa kedudukan BN untuk kekal di Pahang adalah 50-50. Malah kedudukan BN untuk merampas Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota daripada Keadilan dijangka sukar dan sengit. Kawasan parlimen yang mempunyai majoriti pemilih Cina dan campuran seperti Lipis, Jerantut, Temerloh, Kuala Krau, Raub, Cameron Highlands dan Bentong adalah berpotensi dimenangi oleh PR. Hanya parlimen Pekan, Rompin dan Maran merupakan kawasan selamat bagi BN!

Adakah itu memberi gambaran bahawa Najib Razak bakal menjadi Ketua Pembangkang baru di Dewan Rakyat selepas PRU-13 ini?

Apakah negeri Pahang bakal menjadi antara negeri yang bertukar kerajaan negeri?