Wednesday 13 February 2013

Percaturan MIC di NS: menang atau tewas?

V.S Mohan
Calon Dun Jeram Padang
S.Murugesan
Calon Parlimen Telok Kemang
Samada perkembangan yang didengar ini adalah suatu bentuk perang saraf MIC atau ia sesuatu yang benar-benar telah diputuskan, bahawa semua calon MIC di peringkat dun dan parlimen di Negeri Sembilan seratus peratus adalah orang-orang pilihan MIC Pusat dan pilihan MIC negeri ditolak sepenuhnya! 
Dr P.Tanalecthumy
Calon Dun Port Dickson

Berdasarkan maklumat tersebut, calon bagi Parlimen Telok Kemang yang akan diletakkan oleh MIC adalah Setiausaha agungnya-Dato S. Murugesan. Manakala calon bagi dun Port Dickson adalah Dr.P. Tanalecthumy dan dun Jeram Padang adalah penyandang V.S. Mogan.

M.Veloo
Mengikut perkhabaran yang disampaikan, calon cadangan MIC Telok Kemang bagi parlimen iaitu ketua bahagiannya, Dato M. Veloo yang juga merupakan Ahli Majlis MDPD telah ditolak oleh pihak MIC Pusat. Ada yang menyatakan bahawa M.Veloo bukan calon yang kuat untuk menyaingi penyandang Ahli Parlimen Telok Kemang-Dato Kamarul Baharin Abbas.

Beliau dikatakan mempunyai pelbagai masalah yang tidak disenangi oleh akar umbi MIC sendiri di Telok Kemang. Situasi itu meletakkan beliau bukan sebagai 'winnable candidate' sebagaimana yang diperlukan oleh Najib Razak bagi memenangi PRU-13 akan datang.

Dr. Tanalecthumy pula merupakan ahli majlis MDPD. Beliau mempunyai sebuah klinik di Bandar Seremban. MIC Pusat melihat beliau sebagai calon berpotensi untuk mencabar penyandang Dun Port Dickson sekarang-YB M.Ravi. Walaupun M.Ravi komited dan rajin dalam menjalankan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, MIC NS melihat bahawa perlu meletakkan seorang calon yang mempunyai merit yang baik dari segi pendidikan dan latar belakang profession. M. Ravi agak kekurangan dari dua sudut itu.

Port Dickson merupakan kawasan dun campuran yang sebenar di Negeri Sembilan kerana semua undi samada kaum Melayu, Cina dan India sama penting dalam menentukan kemenangan. Beza antara tiap-tiap pemilih mengikut kaum hanya 6-9 peratus sahaja. Pemilih kaum India Port Dickson merupakan kawasan dun ketiga teramai pemilih etnik ini selepas Jeram Padang dan Rantau. Oleh itu, Jeram Padang dan Port Dickson bakal menjadi penentu hidup mati politik MIC dan individunya yang menjadi calon di kedua kawasan ini.


Jeram Padang-Mogan bergantung Undi Melayu

Kedudukan V.S Mogan sebagai Exco Kerajaan Negeri NS dan Ketua Penerangan MIC Pusat memberi kelebihan kepada beliau untuk dikekalkan sebagai meneruskan kemenangan MIC di Jeram Padang. Hakikatnya, politik V.S Mogan di Jeram Padang bakal ditentukan oleh undi-undi dari pemilih Melayu felda. Undi-undi dari kawasan Felda yang telah memenangkan V.S Mogan pada PRU 2008 lalu. Lebih daripada 63 peratus undi pemilih India Jeram Padang memihak kepada calon Keadilan dalam pilihanraya umum lepas.

Maka atas sebab-sebab strategi bagi mempertahankan kemenangan, pihak MIC khususnya telah menjalankan perang saraf dengan mewujudkan persepsi bahawa bakal calon PR di Jeram Padang lebih bertumpu kepada kawasan Melayu dan mengabaikan undi orang-orang India. Walhal dalam keadaan sebenar, V.S Mogan sendiri kerap turun ke kawasan Felda di Bukit Rokan Barat, Palong 1 dan 2 untuk memastikan sokongan pemilih Melayu felda tetap berpihak kepada beliau.

V.S Mogan secara politiknya lebih berharap dan bergantung kepada undi pemilih Melayu untuk menang kali ini dalam PRU-13. Beliau mengetahui bahawa sukar untuk mendapat sokongan besar pemilih India walaupun BN Negeri Sembilan mendakwa bahawa orang-orang India telah 80 peratus kembali menyokong BN! Undi pemilih Cina sudah pasti 70 peratus memihak kepada PR dan keadaan tersebut akan lebih menyerlahkan kebergantungan MIC kepada undi Melayu untuk menang.

Harus diingat bahawa terdapat suara-suara protes dikalangan Ketua-ketua cawangan Umno di Bukit Rokan Barat, Rompin, Palong 1 dan 2 yang mahukan calon Umno bertanding di Jeram Padang. Mereka berpegang kepada jumlah pemilih Melayu Jeram Padang adalah 48 peratus berbanding pemilih India sekitar 36 peratus yang mewajarkan calon Melayu diletak bertanding di kawasan ini.

Gerakan aktif Keadilan khususnya dalam menangani isu-isu peneroka di kawasan gugusan Palong sudah cukup meresahkan BN bagi memenangi 80 peratus undi di kawasan felda.Gerakan-gerakan tersebut mampu meningkatkan sokongan sekitar 6-8 peratus kepada PR.

Setakat ini, hanya Bukit Rokan Barat yang agak sukar ditembusi oleh jentera PR dan ia menjadi lubuk utama kepada V.S Mogan mempertahankan kemenangan beliau di Jeram Padang.

Percaturan Telok Kemang

Desas desus ada menyebut bahawa Parlimen Telok Kemang bakal ditukar dengan Jempol iaitu MIC diberi beranding di Jempol dan Umno di Telok Kemang. Cadangan itu telah dibantah keras oleh Umno Jempol kerana ia akan membunuh peluang dan ruang Umno mempertahankan kemenangan di Jempol.

Lebih menarik lagi, calon bagi Telok Kemang sekiranya Umno bertanding di situ adalah Tan Sri Isa Samad! Jika cadangan pertama itu ditolak, maka cadangan kedua dikatakan MIC diberi bertanding di dun Rantau. Ini bermakna MIC hanya bertanding di peringkat dun sahaja iaitu Jeram Padang, Port Dickson dan Rantau. Ada seperti tindakan kem Isa Samad untuk mencantas politik MB NS sekarang-Mohamad Hasan dari peta politik NS.

Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa Presiden MIC sendiri G.Palanivel akan bertanding di Telok Kemang setelah cadangan lain untuk meletakkan beliau di Cameron Highland tidak dipersetujui oleh beberapa pimpinan utama MIC Pusat. Namun kisah itu semacam terpadam dan kini dimunculkan kisah bahawa Setiausaha Agung MIC-S.Murugesan menjadi calon Telok Kemang.

Status dan pangkat politik menjadi taruhan terbaik MIC bagi menyaingi Dato Kamarul Baharin Abbas yang juga merupakan Pengerusi Keadilan NS. Apakah wajah Cindian S.Murugesan bakal menarik sokongan rakyat untuk kembali memberi undi kemenangan kepada MIC?

Telok Kemang bakal menjadi pentas pertarungan sengit bagi merebut undi rakyat.


No comments:

Post a Comment