Thursday 27 September 2012

Majoriti Dua Pertiga BN di Johor Bakal Dinafikan PR

Gelora perubahan politik di Johor seakan merebak ke pelusuk negeri tersebut. Hakikatnya diakui bahawa Johor merupakan kubu kuat Umno-BN sejak PRU 1959. Malah rekod kemenangan BN di negeri ini jika dinilai dengan undi popular menjangkau 75 peratus.

PRU 2008 lalu membuktikan BN unggul memenangi 50 daripada 56 dun keseluruhan dan memenangi 25 daripada 26 parlimen di Johor. BN menguasai 89 peratus kerusi dun dan 96 peratus kerusi parlimen di negeri ini. Ia fakta mudah sebagai bukti keunggulan kemenangan BN Johor.

Namun begitu, arus perubahan politik negara yang berlaku selepas 2008 telah menebar luas ke Johor. Faktor kegoncangan politik di Sabah semasa yang memperlihatkan penghijrahan beberapa Ahli Parlimen Umno-BN menyokong Pakatan Rakyat memberi kesan positif kepada rakyat Johor.

Ia umpama suatu cetusan keberanian untuk rakyat membuat perubahan tanpa mempedulikan ancaman dan ugutan politik melalui dakyah radikal Umno-BN.

Potensi PR

Pakatan Rakyat memperolehi kemenangan di enam dun pada PRU 2008 lalu iaitu Bentayan (DAP), Sungai Abong (PAS), Maharani (PAS), Mengkibol (DAP), Kempas (DAP) dan Senai (DAP). Besar kemungkinan kesemua dun ini akan mampu dipertahankan oleh PR dalam PRU-13 akan datang.

Jika data-data pemilih kawasan dun dan parlimen di Johor, 17 kawasan parlimen merupakan kawasan campuran walaupun ada kawasan yang majoriti Melayu sekitar 62-51 peratus seperti Sekijang, Ledang, Muar, Ayer Hitam, Batu Pahat, Simpang Renggam, Tanjung Piai, Pasir Gudang dan Johor Bahru. Kawasan ini mempunyai jumlah pemilih bukan Melayu sekitar 57-30 peratus. Kebanyakan kawasan parlimen ini berada di sebelah pantai barat dan selatan Johor. 

Secara atas kertas mengikut pecahan kaum dan sokongan semasa kepada PR, 14 parlimen dikenalpasti bakal ditawan oleh PR dalam PRU-13 akan datang. Manakala parlimen Johor Bahru, Muar dan Pasir Gudang berada dalam kedudukan 50-50. Pengaruh Ahli Parlimen di kawasan ini seperti Dato Shahrir Samad di Johor Bahru agak sukar digugat oleh pembangkang. Malah populariti beliau masih tinggi. Begitu juga di Pasir Gudang pengaruh Khaled Nordin masih belum digugat oleh pembangkang. Kawasan sebegini memerlukan calon PR yang berkredibiliti dan mampu menarik minat pemilih.

BN dijangka menang mudah di parlimen Sembrong, Pagoh, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Parit Sulong, Pontian dan Sri Gading. Cengkaman pengaruh Umno-BN masih menebal di kawasan-kawasan ini.

Menang Sepertiga DUN

Selain daripada mengekalkan kemenangan di enam dun, secara mudah PR dijangka memenangi 13 dun yang majoriti pemilih Cina. Dun-dun tersebut adalah; (peratus pemilih Cina dalam kurungan):
1. Jementah (55.17%)
2. Bekok (47.01%)
3. Tangkak (51.82%)
4. Yong Peng (60.71%)
5. Penggaram (61.72%)
6. Paloh (43.74%)
7. Puteri Wangsa (47.43%)
8. Johor Jaya (47.79%)
9. Stulang (54.56%)
10. Pengkalan Rinting (44.66%)
11. Skudai (65.27%)
12. Bukit Batu (62.19%)
13. Pekan Nenas (65.93%)

Andainya situasi itu berlaku, PR telah memenangi 19 dun iaitu sepertiga daripada 56 dun keseluruhan. Terdapat lagi 17 dun campuran yang komposisi pemilih mengikut etniknya adalah Melayu bawah 60 peratus dan bukan Melayu sekitar 40-30 peratus. 17 dun ini sangat berpotensi dimenangi seandainya dikira berdasarkan faktornya sebagai kawasan campuran. Dun-dun tersebut adalah;

1. Buloh Kasap
2. Pemanis
3. Kemelah
4. Tenang
5. Jorak
6. Gambir
7. Bukit Naning
8. Parit Yaani
9. Senggarang
10. Machap
11. Layang-Layang
12. Mahkota
13. Tiram
14. Permas
15. Tanjong Puteri
16. Nusa Jaya
17. Bukit Permai

Atas kertas data, dengan mengekalkan kemenangan enam dun dan ditambah dengan 30 dun berpotensi di atas, Pakatan Rakyat secara logik mampu memenangi 36 dun tersebut! Jika ia mampu dihakikatkan, Pakatan Rakyat telah berjaya menawan Johor dan menubuhkan kerajaan negeri. Hanya satu lagi tambahan kerusi dun akan membolehkan penguasaan dua pertiga (37 kerusi) DUN Johor. Untuk menubuhkan kerajaan negeri, kelebihan mudah yang diperlukan adalah 29 dun.

Hakikat suasana

Penilaian keadaan sokongan rakyat dan gerak kerja PR di Johor menjadi penentu ke arah matlamat menawan Johor. Hakikat yang mampu dinyatakan di sini adalah Pakatan Rakyat Johor berkeupayaan sekurang-kurangnya memenangi 20 dun. Andainya maklumat-maklumat atas kertas sebagaimana yang dinyatakan di atas dapat direalisasikan, ia akan menjadi bonus berharga kepada usaha yang dijalankan sejak 2008 lalu.

Perkara yang pasti adalah Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN!

Jangkaan Penulis;

Parlimen
BN-15 (58%)
PR-11 (42%)

DUN
BN-32 (57%)
PR-24 (43%)

No comments:

Post a Comment