Monday 17 December 2012

Analisa PRU-13 NS: Undi Melayu Luar Bandar penentu kemenangan

Senario sokongan pengundi Melayu di Negeri Sembilan amat berbeza dengan pengundi Melayu di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan atau pun di Selangor. Pemilih Melayu di Kedah dan Kelantan umpamanya mendominasi lebih daripada 80 peratus pecahan pemilih mengikut kaum (melainkan kawasan bandar). 

Begitu juga di Selangor yang dipengaruhi oleh sebaran maklumat yang lebih pantas dan luas sekitar Lembah Kelang membentuk corak sokongan pengundi Melayu yang tinggi kepada Pakatan Rakyat. Sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat pada PRU 2008 di Selangor adalah sekitar 51-55 peratus secara keseluruhan. Manakala jika dinilai mengikut kawasan, pengundi Melayu bandar lebih tinggi iaitu 53-56 peratus dan di luar bandar antara 48-52 peratus.
Namun begitu, pengundi Melayu di Negeri Sembilan amat berbeza walaupun negeri ini berhampiran dengan Selangor. Ombakan politik di kalangan pemilih Melayu tidak menyeluruh tetapi masih mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu di kawasan perbandaran dalam Telok Kemang, Rasah dan Seremban. 

Secara umum, sokongan pengundi Melayu keseluruhan Negeri Sembilan kepada Pakatan Rakyat adalah sekitar 28-31 peratus sahaja. Secara khusus mengikut kawasan, sokongan pengundi Melayu bandar agak tinggi iaitu sekitar 39-45 peratus, manakala di luar bandar antara 26-35 peratus. Ini tidak termasuk sokongan pemilih Melayu kawasan Felda. Ia telah dibincangkan dalam penulisan sebelum ini.

Faktor Dominasi 

Sekali lagi ia hakikat yang wajar diakui oleh PR bahawa lebih 80 peratus kawasan kampung luar bandar yang diduduki oleh majoriti masyarakat Melayu dikuasai oleh Umno. Ini meliputi kawasan kampung tradisional, kampung tersusun, kampung baru dan perumahan luar bandar (rumah rakyat dan rumah murah).

Kalau dilihat kawasan-kawasan ini dalam Negeri Sembilan paling wajib terpacak adalah papan tanda Umno dan bendera Umno-BN yang terkibar di balai raya atau pintu gerbang masuk kampung! Itu pemandangan lumrah di sekitar Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan beberapa kawasan di Seremban dan Port Dickson. Akan tetapi masih ada juga 'kepalo bega' atau degil di kalangan pemilih-pemilih kampung yang kental menyokong pembangkang. Belum berlaku 100 peratus sesuatu kawasan atau daerah mengundi itu pembangkang tidak mendapat undi, jika peringkat lokaliti mungkin pernah terjadi. Hatta kawasan hitam untuk PR seperti Felda Bukit Rokan Barat pun, masih ada 27 undi yang diterima oleh PR!

Antara kaedah penting yang dibuat oleh Umno dalam menguasai undi-undi Melayu luar bandar adalah melalui penubuhan cawangan di setiap lokaliti atau kawasan. Hampir kesemua kampung akan ada cawangan Umno, dan sekali-kali akan kelihatan kampung yang mempunyai markas Pas dan jarang-jarang bagi melihat kewujudan ranting Keadilan. Ini suasana benar Umno mencengkam pengaruhnya di kampung-kampung. Ketua kampung secara automatiknya akan mengepalai unit terkecil Umno dan diberikan peranan 'menguasai' dan 'memantau' undi-undi Melayu kampung. 

Jika berlaku peralihan sokongan atau muncul pengaruh pembangkang, kaedah pemulauan kerap dilaksanakan kepada individu-individu yang dikenalpasti menyokong pembangkang. Pemulauan ini mudah dilaksanakan kerana komuniti kampung tidak serumit komuniti bandar. 

Tiap-tiap ketua kampung akan dibantu oleh ahli jawatankuasanya bagi melaksanakan 'pemantauan' dan 'menjaga' undi-undi tersebut agar kekal bersama Umno. Oleh kerana itu, agak sukar bagi sesetengah kawasan kampung untuk ditembusi oleh jentera Pakatan Rakyat sekiranya tiada bantuan orang tempatan atau wujud jentera atau aktivis senyap tempatan.

Kaedah ini telah berakar umbi sejak selepas merdeka lagi dan lebih hebat diperkasakan selepas Tragedi 13 Mei 1969. Sentimen perkauman ulung Umno iaitu 'ketuanan Melayu' antara yang menjadi azimat terhebat mereka menguasai pemikiran pengundi-pengundi Melayu kampung.

Analisa

Kawasan dun di Negeri Sembilan yang meliputi lebih daripada 70 peratus kawasan kampung majoriti Melayu adalah Seri Menanti, Juasseh, Kota, Chembong, Johol, Senaling, Lenggeng dan Klawang. Nisbahnya adalah jika sesebuah dun itu mempunyai 10 daerah mengundi (DM) dengan tujuh daerah mengundi tersebut merupakan kawasan kampung majoriti Melayu. Dun Klawang umpamanya mempunyai tujuh DM dengan lima DM adalah kawasan kampung majoriti Melayu. Manakala dua lagi merupakan DM majoriti Cina.

Seri Menanti dan Kota boleh dianggap sebagai medan terbaik menilai tahap sokongan pengundi Melayu samada kepada PR atau Umno-BN. Seri Menanti mempunyai 13 DM dengan 12 daripadanya merupakan DM kawasan kampung Melayu manakala Kota mempunyai 15 DM dengan 14 daripadanya adalah kawasan kampung majoriti Melayu. Pada PRU-13 akan datang, Keadilan akan bertanding di Seri Menanti dan Kota kekal ditandingi Pas.

Apakah PR langsung tidak boleh menembusi kawasan kampung majoriti Melayu ini?

Analisa dipermudahkan agar tidak kusut untuk difikir-baca. Dun Pertang menjadi contoh mudah. Dun ini mempunyai dua DM yang hampir 100 peratus pemilih Melayu iaitu Jerang (99.8%) dan Kampung Petaseh (99.6%). Ada beberapa gambaran yang boleh difikirkan dari dua DM ini.

Antaranya adalah;
  1. Walaupun Umno menang di Jerang tetapi calon Keadilan memperolehi 42.57 peratus undi popular pada PRU 2008. Umno hanya menang dengan majoriti 52 undi sahaja. Ada kemungkinan besar jika gerak kerja ditumpu dan diperkemaskan, Keadilan mampu memenangi DM ini pada PRU-13.
  2. Berbeza di DM Kampung Petaseh, Keadilan hanya mendapat undi popular 30.37 peratus berbanding Umno yang memperolehi 69.63 peratus undi popular. Namun begitu, jika betul kaedah ombakan politik dan strategi khusus, Keadilan mampu meningkatkan peratus sokongan walaupun sukar untuk menang kerana kekuatan jentera Umno cawagan Kg Petaseh yang menjadi blok sokongan tegar Rais Yatim. Di sini beberapa jentera Pas Petaseh agak aktif bergerak. Untuk menang di Kg Petaseh, memerlukan peralihan 20 peratus undi. Bagi kawasan seperti ini peralihan 5-10 peratus sudah cukup memadai.

Jika diteliti keputusan-keputusan PRU 2008 lalu, di kebanyakan kawasan DM majoriti Melayu perolehan undi popular Pas dan Keadilan tidaklah begitu merundum sehingga bawah 20 peratus, terdapat beberapa dun yang mencatat undi popular di DM-DM majoriti Melayu di paras 30 peratus ke atas seperti Serting, Juasseh, Pertang, Jeram Padang, Pilah, Seri Menanti, Klawang, Lenggeng dan Chembong. Kawasan-kawasan ini sebenarnya mampu ditingkatkan peratus sokongan antara 5-8 peratus. Bagi dun yang mempunyai DM campuran dijangka mampu dimenangi oleh PR dan akan membantu lonjakan undi besar PR. Hanya peralihan 5-8 peratus di kawasan majoriti Melayu akan menambah nilai kemenangan.

Mana-mana DM majoriti Melayu yang mencatat undi popular bawah 20 peratus merupakan situasi sukar dan kawasan gelap kepada PR. Ini memerlukan ombakan politik luar biasa yang mampu mengalihkan undi pemilih kawasan seperti ini secara mengejut. Namun wajar diberi perhatian seperti Gemas walaupun ada isu nasional berlaku di situ iaitu NFC, akan tetapi ia masih belum cukup mengesan jiwa kepada pemilih-pemilih Melayu luar bandar khususnya kawasan kampung dan felda.

Ini merupakan cabaran kepada jentera pilihanraya dan penerangan PR untuk menjelas dan menyentuh pengundi-pengundi Melayu kampung dengan cara yang lebih berkesan berkenaan isu-isu penting!

Secara umumnya, tahap sokongan pemilih Melayu luar bandar (kawasan kampung) berada di antara 28-31 peratus. Terpulang sendiri kepada jentera pilihanraya komponen PR menggerakkan strategi dan kaedah-kaedah berkesan secara khusus di kawasan-kawasan ini. Mungkin tumpuan yang betul akan mampu melonjak perolehan undi popular walaupun tidak menang tetapi membantu kemenangan secara keseluruhan sesuatu dun!

No comments:

Post a Comment