Sunday 11 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 3)

Kuala Pilah merupakan daerah yang unik dari segi adat istiadat Perpatih dan antara telapak Adat Perpatih yang utama di Negeri Sembilan.

Daerah ini juga mempunyai institusi pemerintahan Adat Perpatih yang terbahagi kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (Yamtuan) bertelapak di Seri Menanti berperanan sebagai Raja dan Pemerintah bagi Tanah Mengandung, Ketuanan Tengku Besar Seri Menanti, institusi Penghulu Luak yang terdiri daripada Inas, Terachi, Ulu Muar, Gunong Pasir dan Jempol termasuk institusi Undang Johol.

Secara logiknya, demokrasi telah tersemai awal melalui Adat Perpatih dalam masyarakat Kuala Pilah dan tidak mustahil bagi rakyat di kawasan ini untuk bersedia menerima perubahan. Umpama hujan di hulu, menghilir ikan ke bawah, air bah pasir berubah!

Parlimen Kuala Pilah

Keadaan politik Kuala Pilah khususnya Umno Kuala Pilah memperlihatkan persaingan sengit yang berlaku antara pemuka-pemuka utamanya. Persaingan pengaruh politik antara Ketua Bahagian-Dato Ismail Lasim dan Timbalannya-Dato Hassan Malek kelihatan kencang meribut suasana bahagian tersebut.

Ismail Lasim
Paling ketara dan diketahui umum bahawa Hassan Malek berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Beliau seperti sudah memberi kepastian akan bertumpu dan bertanding semula ke peringkat dun. Maka kedengaran cadangan pertukaran iaitu Ismail Lasim akan ke Parlimen Kuala Pilah manakala Hasan Malek pula turun bertanding sebagai calon samada di Johol atau Juasseh. Hubungan rapat beliau dengan Najib Razak tidak menjadi kepayahan untuk beliau melobi terus mendapat tempat sebagai calon dan mempelantik lain-lain nama keluar dari senarai!

Sumber-sumber dari cakap orang setempat menyebut Hasan Malek sebelum ini amat rajin turun ke Johol. Atas 'kerajinan' tersebut, ramai yang membuat spekulasi bahawa Hasan Malek akan bertanding di Johol. Mungkin ada benarnya.

Kedengaran juga nama lain disebut sebagai pilihan Umno untuk calon parlimen iaitu YDP Dewan Negara, Dato Abu Zahar Ujang yang pernah menjadi wakil rakyat Kuala Pilah era 1990an lalu. Mungkin beliau termasuk dalam senarai 'winnable candidate' yang diwar-warkan oleh Najib Razak.

Seandainya Umno Kuala Pilah gagal mencapai kesepakatan dan kompromi sebelum PRU-13 ini, ada kemungkinan besar calon-calon mereka dijangka tewas kerana berlaku undi protes dan sabotaj. Kedengaran juga Adun Seri Menanti dan Juasseh bakal terpelantik daripada senarai calon. Ini memungkin situasi protes berlaku.

Keupayaan PR Kuala Pilah

Pada PRU 1999, Keadilan hampir sahaja memenangi parlimen Kuala Pilah dengan calon ketika itu, Ruslan Kassim. Beliau tewas kepada Napsiah Omar dengan kelebihan 2,818 undi. Ia adalah pertandingan pilihanraya paling sengit yang berlaku dalam sejarah politik Kuala Pilah.

Kemenangan Umno-BN di Kuala Pilah ketika itu juga merupakan majoriti kedua terendah selepas Seremban yang dimenangi oleh MCA dengan kelebihan 1,819 undi sedangkan kawasan parlimen lain iaitu Jempol, Jelebu, Tampin, Rasah dan Telok Kemang mencatat kelebihan kemenangan melebihi 7,000 undi.

Ia menunjukkan ombakan politik Reformasi 1999 sangat mempengaruhi sebahagian besar pemilih Melayu Kuala Pilah waktu itu. Jangkaan umum menyebut bahawa ketika itu peralihan undi Melayu menyokong Keadilan mencecah 70 peratus! BN terselamat kerana undi Cina dan India tidak memihak setinggi undi Melayu. Malah di peringkat DUN, empat daripada lima dun dalam Parlimen Kuala Pilah mencatat kelebihan kemenangan BN di bawah seribu undi!

Kelebihan Kemenangan BN di DUN-DUN dalam Kuala Pilah PRU 1999;
1. Juasseh (985)
2. Senaling (1,027)
3. Johol (848)
4. Pilah (312)
5. Seri Menanti (476)

Berbeza dengan lain-lain parlimen dalam Negeri Sembilan, Kuala Pilah adalah manifestasi perubahan rakyat hasil ombakan Reformasi 1999 yang benar-benar berkesan.

Namun, apakah kesan Tsunami Politik 2008 mampu mengombak kembali rakyat Kuala Pilah sebagaimana Reformasi 1999?

Kali ini kemungkinan besar ombakan politik ke arah perubahan itu bakal berlaku di Kuala Pilah. Kedudukan selesa Umno-BN semasa PRU 2004 kian menuju pengakhirannya. Agak tidak adil melambangkan Kuala Pilah sebagai daerah terpinggir daripada pembangunan dan perubahan namun itulah hakikat yang melanda sehingga kini.

Walaupun wakil rakyatnya seorang Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Luar Bandar, tidak ada suatu perubahan 'raksasa' yang dibawa ke Kuala Pilah. Masih wujud pekan-pekan yang berwajah usang seperti Senaling, Johol, Air Mawang, Pelangai dan Tanjung Ipoh umpamanya. Hanya yang dilihat ketara berubah adalah hutan-hutan simpan di Inas, Senaling, Gunung Angsi yang 'dimaju-gondolkan'.

Setakat ini, gerakan PR di Kuala Pilah berada pada tahap sederhana di beberapa kawasan. Malah ada juga kawasan-kawasan penting yang tidak kelihatan jentera parti bergerak atau ada program-program khusus ke arah memikat pemilih. Program-program utama seperti ceramah umum dan kelompok tetap berjalan seperti biasa.

Pas dilihat aktif menjalankan gerakan politik dan program-program di Dun Johol. Boleh dikatakan setiap minggu akan ada ceramah-ceramah, program lawatan pemilih dan turun kawasan dijalankan oleh bakal calon kawasan tersebut, Ustaz Norazman Mohamad. Begitu juga bagi Dun Seri Menanti yang turut aktif melakukan gerak kerja turun kawasan.

Lain-lain dun seperti Juasseh dan Pilah sederhana gerakannya dan memerlukan suntikan semangat luarbiasa bagi menggerakkan jentera sedia ada. Mereka seharusnya tidak perlu menunggu sehingga semboyan perang dibunyi barulah mahu 'bongka' dari duduk masing-masing!

Secara keseluruhannya, gerakan PR di Kuala Pilah adalah pada tahap sederhana dan kesepakatan antara Keadilan dan PAS wajar diperkemaskan kerana hanya dua parti ini yang bertanding di Kuala Pilah. DAP NS telah membantu gerak kerja turun padang di kawasan-kawasan utama pemilih Cina seperti di Johol, Senaling dan Pilah.

Calon
Abu Zahar Ujang
Winnabble Candidate?

Umno-BN sebagaimana yang disebut awal tadi bakal meletakkan Ismail Lasim sebagai calon parlimen, hasil formula pertukaran antara beliau dan Hasan Malek. Jika formula itu tidak diterima, kemungkinan YDP Dewan Negara-Datuk Andika Abu Zahar Ujang yang bakal dilayangkan sebagai calon Umno.

Bagi pihak PR, khususnya Keadilan beberapa nama telah dicadangkan. Mantan calon PRU 2008 dari Keadilan, Haji Annuar Saleh juga masih berminat untuk bertanding. Ketua Keadilan Rasah, Haji Kamel Muhammad Yassin juga sering kelihatan menjalankan gerak kerja di seluruh Kuala Pilah seakan membayangkan hasrat beliau untuk menjadi calon. Beliau dilihat telah bergerak bersama jentera parti peringkat Cabang Kuala Pilah dan Pas kawasan disamping membuka bilik gerakan di semua dun. Malah beberapa nama daripada kepimpinan Keadilan Kuala Pilah turut disebut masuk dalam senarai calon parlimen.

Kali ini lebih menarik kerana keinginan ramai menjadi calon khususnya di Kuala Pilah daripada Keadilan berbanding tahun 2008 lalu. Ia suatu petanda positif bahawa keyakinan untuk menang sudah menjelma dikalangan ahli-ahli parti terbabit.

Keributan yang melanda Umno Kuala Pilah kini sewajarnya diambil peluang oleh PR Kuala Pilah dalam menyusun strategi dan gerakan politik yang lebih padu untuk merebut peluang memenangi hati rakyat. Penampilan calon-calon yang mempunyai kredibiliti disamping kesediaan memerintah tadbir negeri ini wajar ditunjukkan kepada rakyat Kuala Pilah.

Potensi Kemenangan

Ada perubahan yang telah menjelma khususnya di Johol, Seri Menanti dan Pilah melalui kehadiran dan sokongan program-program yang digerakkan oleh PR Kuala Pilah. Walaupun DAP tidak bertanding di mana-mana kerusi dun dalam Kuala Pilah, mereka telah menggerakkan program turun padang bertemu masyarakat Cina dalam menyampaikan agenda perubahan. Ia tidak dijalankan secara bersendirian tetapi dilaksanakan bersama Pas dan Keadilan.

Undi masyarakat Cina di Kuala Pilah besar kemungkinan memihak kepada PR sekitar 65-70 peratus, manakala undi masyarakat India sekitar 55-60 peratus. Hanya undi masyarakat Melayu yang menjadi penentu kepada perubahan di Kuala Pilah. Beberapa dun seperti Pilah, Senaling dan Johol anjakan undi sebanyak 46 peratus pemilih Melayu bakal menzahirkan kemenangan PR di dun-dun terbabit sekaligus menyumbang undi kemenangan calon parlimen PR. Kemungkinan lain yang bakal berlaku juga adalah kemenangan PR di Seri Menanti walaupun 96 peratus pemilihnya adalah Melayu. Gerakan politik di kawasan ini memperlihatkan peningkatan sokongan pemilih atas pagar kepada Keadilan.

BN menyakini akan dapat mempertahankan kemenangan di Kuala Pilah. Malahan kajiselidik yang dijalankan oleh pihak mereka meletakkan Kuala Pilah dengan warna biru, yang bermaksud menang selesa dengan jangkaan undi popular sekitar 67 peratus. Namun, Umno jangan terlupa bahawa kedudukan mereka di Pilah, Johol dan Senaling juga terdapat kawasan-kawasan kelabu dan hitam!

Harus diingat bahawa masyarakat Kuala Pilah ada keistimewaannya dari sudut merubah situasi politik.  Era Reformasi membuktikan Kuala Pilah terkedepan dari sudut perubahan politik. Ia dilihat menjadi kawasan seterusnya selepas Rasah, Seremban dan Telok Kemang bakal dimenangi PR. Ini bukan mustahil kerana tidak ada mustahil dalam seni politik. Segala kemungkinan bisa terjadi kerana itulah permainan politik.






No comments:

Post a Comment