Tuesday 6 November 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat bak ombak raksasa membadai NS


Mungkin ada yang masih ingat bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pada 15 Januari 2012 lalu pernah menganjurkan suatu himpunan raksasa peringkat negeri iaitu Rapat Rakyat N9 yang turut melancarkan Manifesto PR NS-Tonggak Nan 9. Lebih 10 ribu orang yang telah hadir memenuhi tapak lapang di Pekan Gemas. Ia begitu simbolik bagi pembukaan tahun kerana PR NS telah mencetuskan suatu momentum baru di kawasan pedalaman Negeri Sembilan yang begitu kukuh dengan pengaruh Umno-BN.

Simboliknya, Rapat Rakyat N9 berlangsung di sebuah kawasan yang berlaku cetusan isu nasional iaitu NFC!

PR Negeri Sembilan sebenarnya tidak pernah terlepas setiap tahun untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu himpunan raksasa yang secara betulnya telah menggegar kelangsungan politik Umno-BN di negeri itu.

Kali ini bagi penghujung tahun 2012, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) dilancarkan di Negeri Sembilan dan ia mungkin acara raksasa terakhir PR NS di negeri ini sebelum PRU-13. Hasilnya pada 3 November 2012 lalu menyaksikan lebih 30 ribu orang telah hadir untuk menyaksikan pelancaran program ini.

Walaupun pada peringkat awal PR NS telah dinafikan oleh pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Seremban) untuk mengadakan himpunan di Padang MPS Seremban, namun pihak penganjur telah dilihat membuat persediaan menghadapi kemungkinan tersebut. Maka telahan itu benar-benar berlaku dengan sikap YDP MPS yang lambat memberi respon kepada permohonan PR NS walaupun telah menghantar awal. 

Penganjur telah mendapat makluman dua hari selepas permohonan kedua dibuat daripada MPS bahawa permohonan ditolak. Inilah sikap pegawai atasan jabatan kerajaan yang dicengkam oleh telunjuk pemuka-pemuka Umno yang takut pada bayang-bayang sendiri. Keadaan itu juga membayangkan betapa tidak demokratiknya Menteri Besar NS-Mohamad Hasan dalam perkara tersebut.

Mungkin beliau merasa tertekan selepas itu dengan isu pencerobohan Hutan Simpan Kekal Jeram Padang Selatan yang didedahkan oleh Pengarah Strategik Keadilan-Rafizi Ramli.

Melepasi Halangan

Beberapa NGO Melayu pro-Umno telah bertindak mengadakan tunjuk perasaan di tapak program sehari sebelum berlangsungnya HKR. Pihak-pihak ini telah menggesa pihak berkuasa menghalang daripada HKR dijalankan. Malah pihak ketunggulan Melayu Umno ini turut membuat kenyataan berbaur ugutan yang disifatkan tidak demokratik dan bersifat radikal.

Namun segala macam ugutan dan penghinaan melalui banner/kain rentang oleh NGO-NGO ini sebelum HKR bermula nampaknya telah gagal menghalang kehadiran ribuan orang. Malah ramai yang hadir turut menantikan kemunculan puak-puak pencacai ini untuk menghalang himpunan tersebut. Ternyata mereka sekali lagi gagal! Kehadiran 30 ribu orang membayangkan manifestasi penolakan regim BN!

Halangan alam iaitu hujan lebat yang sering melanda Seremban sepanjang petang sejak seminggu sebelum itu amat mengusarkan penganjur. Atas faktor itu, khemah-khemah disediakan untuk menghadapi 'serangan' alam semulajadi itu sekiranya ia benar-benar berlaku. Jangkaan itu benar apabila hujan lebat membasahi kawasan Seremban Jaya sejak jam 6.30 petang yang berlarutan hingga jam 9.30 malam. Catatan tidak rasmi kehadiran ketika jam 8.30 malam adalah sekitar 20 ribu orang sekaligus mengatasi kehadiran konsert di Padang MPS malam yang sama.

Laporan menongkah arus media

Laporan HKR oleh Malaysian Nanban
Sesuatu yang istimewa kali ini adalah HKR diberi ruang yang ekslusif dalam laporan media-media utama bahasa Mandarin dan Tamil. Malah akhbar Sinar Harian edisi Negeri Sembilan juga memberi laporan menongkah arus tanpa mengikut kebiasaan laporan yang disiarkan oleh Berita Harian dan Utusan Malaysia!

Laporan satu muka penuh bersama gambar-gambar ketika HKR telah disiarkan oleh Sinar Harian edisi Negeri Sembilan. Ia sangat memberi makna dan kesan besar kepada ribuan pembaca akhbar ini khususnya di Negeri Sembilan.

Rakyat Negeri Sembilan dengan sendirinya akan menilai laporan songsang yang diberikan oleh Berita Harian. Harus ada selepas ini kajian khusus tentang respon rakyat Negeri Sembilan kepada HKR dan arah sokongan rakyat kepada PR.

Jika Himpunan Bersih memberi kesan positif kepada peningkatan sokongan rakyat kepada PR khususnya pemilih Melayu, adalah tidak mustahil HKR juga memberi kesan yang sama.

Kajian oleh satu badan pengkaji Universiti Malaya beberapa bulan lalu tentang kesan Bersih 3.0 menunjukkan peningkatan sokongan Melayu sekitar 47-48 peratus kepada PR. Ini sesuatu yang cukup bermakna dalam menterjemahkan anjakan undi Melayu pada PRU-13 akan datang.

Apakah HKR juga mampu memberi kesan serupa? Masih terlalu awal untuk dinyatakan secara terperinci namun secara rambangnya jelas sokongan rakyat khusus Cina dan India kekal bersama PR, manakala Melayu dijangka menokok  nilai tambah sokongan antara 5-10 peratus lagi. Jika hasil HKR mampu melonjakkan sokongan Melayu kepada PR sekitar 46 peratus di Negeri Sembilan, maka regim Umno-BN harus bersiap-sedia untuk menjadi pembangkang selepas PRU-13!




No comments:

Post a Comment