Wednesday 21 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 8)

Sempadan kawasan Parlimen Telok Kemang hari ini menyamai sempadan Daerah Port Dickson. Ia hasil persempadanan semula pada tahun 2003. Sebelum itu, dun Chembong di Rembau menjadi sebahagian daripada Telok Kemang. Sebagaimana yang dinyatakan dalam analisa terdahulu, persempadanan semula di Telok Kemang juga adalah untuk memecah undi dan blok pengaruh pembangkang untuk menyelamatkan BN kesan ombakan Reformasi 1999.

Ramai yang tidak mengetahui secara jelas sejarah lampau PRU di Negeri Sembilan, kalau ada pun ianya bersifat umum dan lebih condong kepada prestasi parti-parti pemerintah. Kisah-kisah kemenangan parti-parti yang bukan pemerintah hanya disebut secara umum dan tidak terperinci.

Sejarah Awal

Ketahuilah kita semua bahawa kemenangan PR di Telok Kemang adalah mengulangi sejarah PRU 1969. Dalam pilihanraya tahun tersebut, DAP telah memenangi Parlimen Port Dickson, Seremban Timur dan Seremban Barat. Ketika itu Negeri Sembilan mempunyai enam kawasan parlimen dan 24 dun. 

Dalam buku-buku sejarah di sekolah fakta-fakta ini jarang ditimbulkan tetapi terus ditenggelamkan tanpa diketahui oleh generasi baru seolah-olah garisan masa politik negara ketika itu dimonopoli oleh parti pemerintah. PRU 1969 memperlihatkan sejarah ketewasan Perikatan kepada pembangkang!

Parlimen Port Dickson ketika itu meliputi dun Sirusa, Linggi, Pasir Panjang dan Lukut. Selain daripada memenangi parlimen, DAP turut menang di Lukut, Sirusa, Linggi dan Pasir Panjang. Ini menjadikan kawasan Port Dickson sebagai antara kubu kuat pembangkang sejak awal selain Seremban Timur dan Barat di Negeri Sembilan.

Dato Kamarul Baharin Abbas
MP Telok Kemang 
Kawasan majoriti Melayu seperti Linggi telah dimenangi oleh calon DAP bukan Melayu iaitu Dr A. Soorian yang mengalahkan calon Umno, Abdul Rashid Muhammad. Satu lagi dun majoriti Melayu, Sirusa turut dimenangi oleh DAP melalui calonnya, Haji Hassan Haji Ahmad** yang menewaskan Datuk Abdul Samad Said, bapa kepada bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad. Kisah ini tidak akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada persejarahan yang pernah berlaku di Telok Kemang.

PRU 2008 lalu mengulangi semula pencapaian PRU 1969, PR memenangi Telok Kemang dan tiga dun iaitu Chuah, Lukut dan PD Bandar. Manakala Bagan Pinang dan Linggi dimenangi oleh Umno-BN. Selepas Seremban dan Rasah, Telok Kemang merupakan kubu kuat pengaruh PR khususnya Keadilan dan DAP. PAS pula bertumpu di Bagan Pinang secara khususnya.

Calon Keadilan-PR, Dato Kamarul Baharin Abbas boleh dianggap sebagai 'giant-killer' kerana berjaya mengalahkan seorang calon BN yang bertaraf Menteri penuh dan pimpinan utama MIC, S. Soothinathan. MIC diperuntukkan oleh BN untuk bertanding di Telok Kemang selain dun PD Bandar. Kekalahan Soothinathan juga turut dialami oleh Pengerusi MIC Negeri Sembilan, T. Rajagopalu yang tewas kepada calon Keadilan, M. Ravi di PD Bandar. Kekalahan tersebut memutlakkan pengaruh MIC turut berkubur di Telok Kemang sebagaimana MCA dan Gerakan di Seremban dan Rasah.
G. Palanivel
Presiden MIC

Calon

BN dikatakan telah membuat cadangan pertukaran parlimen dengan meletakkan calon Umno bertanding di Telok Kemang manakala calon MIC bertanding di Jempol. Namun begitu, formula pertukaran ini tidak dipersetujui oleh Umno Jempol kerana ia suatu tindakan menafikan 'ketuanan' Umno di Jempol. Malah Umno Jempol bertegas kawasan tersebut tidak sesuai ditandingi oleh MIC berbanding Telok Kemang kerana pemilih Melayu di Jempol meliputi 62 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Jika formula itu berlaku, Umno Telok Kemang akan meletak Tan Sri Isa Samad sebagai calon untuk menentang Dato Kamarul Baharin.

Setakat ini, MIC kekal bertanding di Telok Kemang dan dun PD Bandar. Paling menarik, Presiden MIC sendiri akan diletakkan menjadi calon di sini! Apakah G. Palanivel mampu membangkitkan cabaran kepada PR kali ini? Nama-nama lain yang disebut-sebut dari MIC NS untuk calon parlimen adalah Ketua MIC Telok Kemang, Datuk Chuah Velu dan AJK MIC Rasah, Seran Nadarajah.

Keadilan sudah pastinya akan mengekalkan Dato Kamarul Baharin sebagai calon Telok Kemang. Kedudukan beliau selaku Pengerusi Keadilan NS memberi kelebihan merit untuk beliau sekali lagi dipilih sebagai calon. Namun begitu, masih wujud gerakan melobi secara tidak 'gentleman' yang dibuat oleh beberapa pimpinan dalaman cabang melalui tindakan memburukkan kredibiliti Dato Kamarul.

Potensi

Hakikat yang perlu diakui oleh BN adalah Telok Kemang kini bukan lagi kubu kuat mereka. Walaupun modus operandi pecah sokongan dan dalaman organisasi ke atas Keadilan di Telok Kemang dijalankan oleh pihak 'special-branch' bagi melemahkan kekuatan Keadilan Telok Kemang agak kental dan dilihat berjaya, namun ia tidak berjaya meruntuhkan organisasi parti tersebut untuk bersedia menghadapi PRU-13.

Perkara tersebut tidak boleh dinafikan kerana ada anggota-anggota dalam yang telah berjaya 'dipengaruhi' oleh gerakan sulit risikan yang menjadi duri dalam daging. Malah dipercayai wujud beberapa perisik yang menjadi anggota parti berperanan melakukan 'kerosakan' dan 'kemusnahan' dari dalam.

PR dilihat berupaya mengekalkan kemenangan di Chuah, Lukut dan PD Bandar selain menawan Linggi pada PRU-13 akan datang. Hanya strategi khusus diperlukan untuk menawan Bagan Pinang kerana pengaruh Isa Samad agak mencengkam di situ, tetapi tidak mustahil kerana bapa beliau pernah tewas di kawasan ini dahulu!

Telok Kemang secara logiknya telah diletakkan oleh BN sebagai kawasan sukar dan mereka menjangkakan perolehan undi popular BN pada PRU-13 sekitar 33 peratus sahaja. Apakah gelombang perubahan Telok Kemang mampu membadai sehingga ke pedalaman Negeri Sembilan?


Nota kaki:

**dipetik daripada;
jurnal 'Persepsi Politik Belia di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Mohd Fuad Mat Jali (UKM, 2011)


"Kemudian dalam pilihan raya umum 1969,kawasan ini berjaya dirampas oleh parti pembangkang iaitu DAP (Hj. Hassan Hj. Ahmad) yang menumpaskan calon Perikatan, PAS dan United Malaysian Chinese Organization (UMCO) dengan majoriti 230 undi."



No comments:

Post a Comment