Wednesday 7 November 2012

Misi 25: Tawan & Perintah NS PRU 13

Dahulu di Negeri Sembilan jika ada slogan-slogan politik parti pembangkang ingin menawan negeri ini, sudah pastinya rakyat Negeri Sembilan menganggap itu adalah sinikal politik pembangkang dan umpama mimpi di siang hari.

Rakyat negeri ini sebelum era Reformasi 1999 beranggapan adalah sukar buat parti-parti pembangkang untuk mencengkam luas pengaruh di seluruh Negeri Sembilan. Namun setelah berlakunya ombakan politik Reformasi 1999, Negeri Sembilan sebenarnya sudah hampir ditawan oleh Barisan Alternatif pada PRU 1999. Atas faktor kelemahan jentera dan kepincangan gerakan yang lebih tersusun pembangkang memutlakkan penguasaan Umno-BN di negeri ini.

Demi mengukuhkan pentadbiran dan memudahkan pelaksanaan dasar-dasar, PR wajar memenangi Negeri Sembilan dalam suatu keadaan yang selesa tetapi tidak terlalu dominan. Mengapa?

Menang dalam suatu keadaan yang selesa adalah wajib dan perlu buat PR NS memenangi 25 dun untuk mencapai kelebihan dua pertiga. Kemenangan PR di Perak dan Kedah wajar dijadikan pedoman dan ikhtibar berguna buat PR NS.

Iktibar sejarah lampau

PR memenangi Perak dengan 31 dun manakala BN menang 28 dun. Buat pertama kali dalam sejarah pilihanraya umum ini adalah kali kedua sebenarnya Perak berjaya dikuasai oleh pakatan politik bukan BN. PRU 1969 dahulu telah menyaksikan dun Perak dikuasai oleh parti-parti pembangkang dengan Parti Progresif Rakyat (PPP) memenangi 12 kerusi, DAP (6), Gerakan (2) dan PAS (1). Manakala Perikatan memenangi 19 kerusi sahaja.

Persepakatan parti-parti pembangkang ketika itu sebenarnya telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Perak dengan gabungan menjadi 21 kerusi yang berkelebihan hanya dua kerusi. Namun pada saat-saat akhir gerakan konspirasi politik Umno-BN melalui Tragedi 13 Mei telah berjaya meruntuhkan pengaruh pembangkang. Lebih dramatik apabila PPP, Pas dan Gerakan berjaya dipujuk untuk menyertai BN hasil penjenamaan semula politik negara. Jika tidak kerana Tragedi 13 Mei, sudah pasti Perak ditadbir perintah sepenggal oleh gabungan pembangkang waktu itu.

Kemenangan PRU 2008 lalu oleh PR Perak mengulangi sejarah 1969 itu. Situasinya hampir sama dengan PR menang hanya dengan kelebihan tiga kerusi sahaja. Namun, gerakan politik Umno-BN merampas kembali Perak adalah dengan kudeta! Tiada bezanya dengan Tragedi 13 Mei cuma Kudeta Perak tidak melibatkan pertumpahan darah. Ia hanya melibatkan tindakan lompat oleh tiga adun dari Jelapang, Changkat Jering dan Behrang. Tarikh 9 Febuari 2009 menjadi titik hitam politik Perak yang sekali lagi mencatatkan 'kemenangan tidak demokratik' oleh BN. Setahun selepas itu, seorang lagi adun DAP dari Malim Mawar turut melompat menyokong BN.

Kerajaan PR Kedah amat bernasib baik kerana tetap utuh bertahan walaupun berlaku lompatan wakil rakyat PR menyokong BN. Wujud gerakan sulit oleh pasukan perancang Umno untuk menarik beberapa wakil rakyat Keadilan menyertai BN atau wakil bebas yang pro-BN. Gerakan tersebut yang telah memberi tekanan kepada bekas adun Bukit Selambau, V. Arumugam bertindak meletakkan jawatan bagi mengelak isu peribadinya menjadi serangan berterusan pihak BN.

PR Kedah menang 22 kerusi dun sementara BN menang 14 dun. Namun dua wakil rakyat dari Keadilan iaitu Bakar Arang dan Lunas keluar parti menjadi wakil bebas pro-BN. Sasaran sebenar pasukan perancang Umno adalah untuk menarik lima wakil rakyat Keadilan menyertai BN. PR Kedah berkelebihan lapan kerusi dun. Jika rancangan itu berjaya, kedudukan akan berubah sekaligus BN kembali berkuasa.

Maka keperluan memenangi kelebihan dua pertiga dun wajar bagi mengelakkan taktikal politik 'membeli wakil rakyat' berlaku. Malah pada tahun 2009 lalu turut berlaku situasi empat wakil rakyat BN Negeri Sembilan ingin melompat menyertai PR. Sekiranya itu benar-benar berlaku, kerajaan BN Negeri Sembilan akan tumbang. Namun tindakan tersebut gagal kerana telah dibaca awal oleh BN.

Antara wakil rakyat BN yang disebut-sebut untuk melompat ketika itu adalah dari Klawang, Lenggeng,  Gemencheh dan Serting. Harus diingat bahawa walaupun kedudukan BN Negeri Sembilan berkelebihan tujuh kerusi daripada PR, mereka mempunyai kedudukan kuasa dan kewangan untuk menghalang wakil-wakil mereka untuk berpaling.

Potensi mencapai Misi 25

Untuk mencapai matlamat menawan dan memenangi Negeri Sembilan, PR NS wajar memperkukuhkan gerakan untuk mempertahankan kemenangan sedia ada disamping menambah kemenangan di beberapa dun yang berpotensi.

PRU 2008 lalu, PR NS memenangi 15 dun dengan Keadilan telah memenangi empat dun iaitu Ampangan, Sikamat, Chuah dan Port Dickson. DAP pula telah memenangi 10 dun iaitu Nilai, Lobak, Temiang, Rahang, Mambau, Senawang, Bukit Kepayang, Lukut, Repah dan Bahau. Manakala PAS memenangi Paroi.

Secara atas kertas termasuk hasil risikan badan-badan pengkaji, kesemua 15 dun ini mampu dipertahankan kemenangannya oleh PR. Logiknya kesemua dun ini berada dalam lingkungan bandar dan sub bandar yang memperlihatkan kecenderungan pemilihnya memihak kepada PR.

Nisbah kemenangan dun bagi mencapai Misi 25 mengikut parti adalah;
Keadilan (10), DAP (11), PAS (4)

Adakah ia mustahil?

Kawasan-kawasan dun yang berpotensi untuk dimenangi selain daripada 15 dun terdahulu adalah;
1. Pilah
2. Linggi
3. Jeram Padang
4. Juasseh
5. Rantau
6. Pertang
7. Chennah
8. Klawang
9. Johol
10. Lenggeng

Secara umumnya pada PRU 2008 lalu, sokongan pemilih mengikut kaum kepada PR di Negeri Sembilan adalah Melayu 28-31 peratus, Cina (65-68%) dan India (61-65%). Ada kawasan-kawasan tertentu yang memperlihatkan sokongan Melayu sangat rendah kepada PR khususnya di pedalaman Negeri Sembilan dan kawasan gugusan Felda seperti Jelebu, Jempol, Tampin dan Rembau sekitar 14-18 peratus sahaja!

Ini adalah cabaran terbesar PR NS untuk menembusi kubu Umno-BN khususnya bagi dun Chennah, Klawang, Pertang dan Juasseh umpamanya kerana faktor pemilih Melayu menajdi penentu kemenangan di kawasan-kawasan ini. Betapa peralihan sekurang-kurangnya 41 peratus diperlukan bagi memenangi kawasan tersebut disamping mengharapkan lonjakan sokongan maksima daripada pemilih Cina dan India.

Oleh itu, peralihan sokongan Melayu kepada PR seandainya mencapai 46 peratus di Negeri Sembilan, maka Misi 25 ini bakal menjadi kenyataan.







No comments:

Post a Comment