Thursday 8 November 2012

Analisa PRU 13 Parlimen di Negeri Sembilan (Bahagian 2)

Ketokohan Moyang Salleh menjadi sebuah kisah perjuangan rakyat yang ingin merdeka dan membebaskan diri daripada belenggu pemerintahan yang zalim dan tidak bertimbang rasa. Kisah 'Memutus Tali Ke Johor' itu wajar dijadikan simbolik kepada perubahan oleh rakyat di Jelebu dan tidak harus tunduk atau takut kepada pemuka-pemuka Umno-BN.

Hasil daripada 'Memutus Tali Ke Johor', Penghulu Moyang Salleh telah diangkat menjadi Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dan Jelebu telah merdeka daripada Johor menjadi sebuah negeri bebas. Ini suatu kisah yang membuktikan bahawa rakyat Jelebu sebenar mampu untuk berubah, demi ke arah yang lebih sejahtera. Semangat Moyang Salleh ini harus diterjemahkan melalui PRU-13.

Parlimen Jelebu

Pengaruh Rais Yatim seakan tidak boleh tercabut dari bumi Jelebu. Beliau menjadi Ahli Parlimen Jelebu sejak tahun 1982 (kecuali 1990-1999) hingga kini (2012). Hanya pada tempoh 1990-1999 wakil rakyat Jelebu disandang oleh Datuk Yunus Rahmat. Setelah Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996, Rais Yatim kembali menjadi wakil rakyat Jelebu pada PRU 1999.

Ketika PRU 1990, Rais Yatim hampir sahaja memenangi Jelebu namun tewas kepada calon BN hanya dengan 300 undi sahaja. Namun kemasukan beliau semula ke dalam Umno, beliau dilihat berjaya mempertahankan pengaruh dan menarik kembali sokongan rakyat Jelebu.

Datuk Yunus Rahmat
ADUN Klawang
Ada besar kemungkinan bagi PRU-13 akan datang, nama beliau akan kekal sebagai calon Umno untuk Jelebu. Walaubagaimanapun Adun Klawang, Datuk Yunus Rahmat turut berhasrat untuk bertanding di parlimen. Setakat ini, Rais Yatim sudah pasti menjadi pilihan utama Najib Razak di Jelebu kerana peranan yang beliau mainkan sebagai Menteri Penerangan dan Komunikasi.

Cerita dari Jelebu juga tidak kurang menariknya. Calon-calon baru dikatakan bakal ditempatkan di Klawang, Sungai Lui dan Pertang. Hanya penyandang wakil rakyat dun Chennah, Siow Chen Tin dari MCA yang dikekalkan. Manakala calon bagi Pertang disebut-sebut Pengarah Jasa Negeri Sembilan, Abdul Hamid Othman juga bekas setiausaha Umno Jelebu, dan di Klawang pula nama Timbalan Ketua Umno Jelebu-Datuk Jalaluddin Alias disebut sebagai calon. Cuma di Sungai Lui masih belum dipastikan siapakah yang bakal diangkat sebagai calon?

Jika diteliti pada kelebihan kemenangan peringkat dun dan parlimen, agak ketara perolehan undi yang diterima. MCA menang di Chennah dengan majoriti 1,298 undi, Umno menang di Klawang (841 undi), Pertang (1,995 undi) dan Sungai Lui (4,644 undi). Manakala Rais menang di parlimen dengan kelebihan 11,610 undi. Jika dijumlah majoriti kemenangan dun adalah 8,778 undi, mempunyai jurang perbezaan sebanyak 2,832 undi. Ini membuktikan pengaruh Rais masih melekat di Jelebu khususnya di kawasan Felda dalam dun Pertang dan Sungai Lui.

Apakah kali ini Rais Yatim mampu ditumbangkan oleh PR?

Norman Ipin
Calon PAS Parlimen Jelebu 
Untuk menghadapi 'gergasi Umno' ini, PAS Jelebu khususnya harus tampil dengan cadangan calon yang lebih berkredibiliti daripada Rais Yatim. Ini perkiraan utama yang wajar dilihat dan diteliti oleh PAS Negeri Sembilan. Seharusnya kali ini wajar ada calon yang mempersona dan menggigit dari Pas. Jika tidak, dengan mudahnya Rais Yatim akan tetap menang mudah di Jelebu!


PRU 2008 lalu, PAS telah meletakkan Norman Ipin sebagai calon parlimen melawan Rais Yatim. Jurang perolehan undi amat besar dengan Rais mendapat 19,737 undi (68.93%) berbanding Norman Ipin yang memperolehi 8,127 undi (28.38%).

Satu strategi khusus dan terbaik harus direncanakan oleh Pas sekiranya ingin memenangi Jelebu. Pasukan strategis Pas harus mempelbagaikan pendekatan dan gerakan politik kerana kedudukan mereka di Jelebu tidak menggugat kerana Umno sudah masak dan mengetahui taktikal yang digunakan oleh Pas Jelebu. Umno Jelebu tidak gusar untuk berhadapan dengan Pas kerana penampilan calonnya yang tidak diyakini kredibilitinya oleh majoriti rakyat Jelebu.

Situasi yang sama turut melanda Keadilan di Pertang yang juga kelihatan 'tandus' calon-calon berkrediliti. Kelemahan menampilkan calon yang mampu mengejutkan Umno-BN wajar diperbaiki oleh pihak Keadilan dan Pas. Cuma DAP melakukan tindakan berani dengan hasrat Pengerusinya, Loke Siew Fook untuk bertanding di Chennah.

Zulkefly Mohamad Omar
Dr Rosli Yaacob
Sebelum ini, Pas Negeri Sembilan ada mencadangkan beberapa nama sebagai calon parlimen Jelebu iaitu mantan Pesuruhjaya PAS NS-saudara Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan Pesuruhjaya 1, Dr Rosli Yaacob. Kedua-duanya mempunyai kredibiliti tersendiri.

Zulkefly Mohamad Omar kini merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang turut aktif dalam gerakan anti-Lynas melalui NGO yang diketuainya iaitu Green Clean World (GCW) manakala Dr Rosli pernah menjadi YDP Pas Jelebu dan pernah bertanding sebagai calon parlimen Jelebu.

Setakat ini, kedua-duanya boleh dianggap sebagai cadangan calon yang terbaik untuk diketengahkan Pas NS melawan Rais Yatim dan antara figura politik yang dimiliki oleh PR NS ketika ini.

Potensi

Risikan dan kaji selidik yang dijalankan oleh BN menyakini kemenangan Jelebu mudah dipertahankan. BN membuat jangkaan bahawa untuk PRU-13, mereka mampu memperolehi undi popular sekitar 69-70 peratus. Suatu keyakinan yang sangat tinggi seolah-olah memperlekehkan keupayaan parti lawan. Namun PR NS wajar menjadikan maklumat ini sebagai pemangkin bagi menyusun strategi.

Pecahan pemilih bagi Parlimen Jelebu adalah;

Melayu: 63%   Cina:27%  India: 6%   Orang Asal: 4%

Secara umum, peratus sokongan mengikut kaum pada PRU 2008 kepada BN di Jelebu adalah;
Melayu (75%), Cina (46%), India (38%) dan Orang Asal (85%).

Manakala sokongan kepada PR adalah;
Melayu (25%), Cina (54%), India (62%) dan Orang Asal (15%).

Rais Yatim memahami kaedah manipulasi melalui media berdasarkan pengalaman politik beliau ketika bersama Semangat 46 dahulu yang memperlihatkan BN menggunakan secara maksima media untuk membunuh kempen dan gerakan politik Semangat 46 ketika PRU 1990 lalu.

Selain daripada itu, tindakan beliau yang pantas 'memujuk' dan 'menguasai' orang-orang penting parti-parti lawan di peringkat parlimen Jelebu sangat berkesan untuk melemahkan daya juang dan pergerakan aktif parti-parti lawan di parlimen ini.

Oleh itu, harus ada sesuatu rancangan untuk mewujudkan ombakan politik di Jelebu yang dikira mampu mengubah perspektif rakyat Jelebu bagi memihak kepada PR. Hakikatnya diakui kental namun ia adalah sebuah misi mustahil yang wajib dalam politik! Apakah semangat Moyang Salleh mampu diserap oleh PR di Jelebu?










1 comment: