Saturday 4 May 2013

Analisa PRU-13: Umno sukar di kawasan Melayu bandar, Negeri Sembilan

Menjelang hari pengundian 5 Mei 2013 ini, kedudukan Umno untuk mempertahankan kemenangannya di beberapa Dun yang mempunyai majoriti Melayu bandar & sub-bandar khususnya dalam Seremban iaitu Sikamat, Ampangan, Paroi dan Lenggeng dilihat agak sukar.

Kali ini dalam PRU-13, Umno bakal disaingi oleh PKR dan Pas secara hebat di kawasan-kawasan Dun ini. Sebelum penamaan calon 20 April 2013 lalu, Umno dilihat mampu menjelmakan saingan dalam merampas kembali Ampangan, Sikamat dan Paroi sambil mempertahankan kemenangan di Lenggeng. Rakan komponen mereka, MCA dan Gerakan boleh dianggap hilang upaya untuk kembali menawan Lobak, Nilai, Temiang mahupun Parlimen Seremban.

Masyarakat Cina telah tekad menolak MCA dan Gerakan di Lobak, Nilai dan Temiang. Dalam PRU kali ini, kita masih melihat keinginan masyarakat Melayu untuk menolak secara total Umno di Seremban. Jika menilai kaji-selidik yang telah dijalankan oleh Merdeka Center tentang kecenderungan pemilih di Negeri Sembilan terkini menunjukkan sokongan pemilih Melayu kepada PR adalah sekitar 31-33 peratus. Itu adalah hasil kajian sebelum penamaan calon. Mungkin kedudukan peratusan itu telah berubah!

Namun begitu, jika sokongan keseluruhan Melayu itu kepada PR dibandingkan dengan sokongan PRU 2008 ia dianggap agak tinggi. PRU 2008 lalu peratusan sokongan pemilih Melayu keseluruhan Negeri Sembilan kepada PR adalah antara 28-30 peratus. Ini bermakna telah berlaku peningkatan dalam tempoh lima tahun ini.

Tumpuan khusus pada peratusan sokongan pemilih Melayu di kawasan-kawasan dun dalam bandar seperti Sikamat, Ampangan dan Paroi mampu melonjak antara 35-40 peratus menjelang hari penggundian. Ia dibantu dengan undi daripada golongan muda (21-40 tahun) yang dilihat cenderung kepada PR.

Sokongan kaum Cina dan India dijangka meningkat lebih tinggi berbanding PRU 2008. Ia bukan suatu andaian kosong atau penyedap semangat, tetapi ia berdasarkan gerak kerja dan tinjauan secara terus kepada pemilih. Kedua-dua kaum ini mengikuti arus perubahan sebagaimana rakan-rakan mereka di Temiang, Nilai dan Lobak. Agak melampau jika disebut bahawa sokongan kaum Cina kepada PR kini telah melepasi angka 85 peratus, manakala kaum India mencecah 70 peratus.

Ada andaian sebelum ini yang menyebut bahawa kaum India secara majoritinya telah kembali menyokong BN. Namun ia boleh dinafikan bahawa kaum India di Parlimen Seremban dan Rasah lebih melonjak menyokong PR. Sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari ini telah memperlihatkan setiap ceramah besar anjuran PR sekitar Seremban telah mendapat sokongan besar masyarakat dengan kehadiran melebihi lima ribu orang. Berbeza dengan ceramah-ceramah anjuran BN di kawasan sama yang agak suram dan hanya dihadiri oleh jentera-jentera parti sahaja.

Potensi
Protes, boikot dan tindakan sabotaj telah berlaku dikalangan jentera Umno-BN di Lenggeng, Sikamat, Ampangan dan Parlimen Seremban.

Pengerusi MCA NS, Dr Yeow yang menjadi calon untuk Parlimen Seremban telah dibantah oleh MCA Bahagian Seremban. Konflik ini sebenarnya telah berlaku sejak penghujung 2011 lagi setelah Dr yeow secara terbuka menyatakan ingin bertanding di Seremban. PRU 2008 lalu, beliau telah bertanding di Rasah dan kalah dengan majoriti besar kepada Pengerusi DAP NS, Loke Siew Fook. Kali ini beliau bakal bertembung sekali lagi pencabar yang sama di Parlimen Seremban.

Protes dan boikot jentera yang begitu ketara berlaku di Lenggeng dan Ampangan kerana faktor calon yang diletakkan oleh BN. Ishak Ismail kembali dicalonkan di Lenggeng yang sebenarnya 'laluan maut' bagi politik beliau di Seremban. Usaha tersembunyi dengan menjadi Ishak sebagai calon Lenggeng sememangnya untuk membunuh politik beliau yang jelas berseteru dengan Mohamad Hasan. Malah Ishak secara terbuka dalam ceramah-ceramahnya menyelar Mohamad Hasan kerana tidak menghalang tindakan sabotaj ke atas diri beliau.

Ishak juga menyedari beliau sebenarnya telah ditolak secara mutlak oleh orang-orang Lenggeng. Atas sebab itulah beliau bersungguh-sungguh untuk bertanding di Sikamat. Namun hasrat itu tidak kesampaian tetapi beliau dihantar ke lubuk maut!

Kali ini, peluang calon Pas Zulkefli Mohamad Omar dilihat lebih terbuka untuk memenangi Lenggeng setelah gagal dalam tiga percubaan sebelum ini iaitu PRU 1999, 2004 & 2008. Turut berpotensi meraih undi untuk menyaingi Ishak adalah calon bebas, Zulkefli Abdullah yang mampu memecah undi Umno di Lenggeng.

Kedudukan di Ampangan agak panas kerana ia melibatkan calon PKR yang juga Pengerusi PKR NS iaitu Dato Kamarul Baharin Abbas. Beliau akan berhadapan dengan seorang calon anak tempatan Ampangan, Haji Abu Ubaidah Redza. Pada peringkat awal selepas penamaan calon hingga hari kedua tempoh berkempen, kelihatan kedudukan PKR di Ampangan agak sukar kerana berlaku penutupan bilik-bilik gerakan PKR di seluruh Dun ini sehingga menjadi isu utama dalam akhbar utama. Namun masalah tersebut berjaya diatasi selepas hari kedua tempoh berkempen dengan bilik-bilik gerakan dibuka secara berperingkat-peringkat. Malah gerakan kempen PKR lebih agresif dan lancar berbanding BN.

Sambutan masyarakat tempatan terhadap Kamarul Baharin agak baik dan situasi itu telah berjaya menepis dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa beliau bakal tewas besar di Ampangan. Terbukti ceramah-ceramah kelompok dan program-program 'walkabout' yang dijalankan mendapat sambutan rakyat tempatan. PKR dijangka mampu mempertahankan kemenangan PRU 2008 dengan majoriti yang lebih besar!

Aminuddin Harun, mantan Adun Sikamat dijangka dapat mempertahankan kemenangan PKR di Sikamat. Walaupun bakal diberi tentangan sengit oleh calon BN-Wan Salwati Abdullah, PKR bakal memperolehi undi popular yang lebih baik daripada pencapaian PRU 2008.

Jangkaan Potensi

Parlimen Seremban: PR-58% BN-45% Berjasa-3%
Sikamat: PR-58% BN-42%
Ampangan: PR-59% BN-41%
Lenggeng: PR-50% BN-22% Bebas-28%

No comments:

Post a Comment