Tuesday 30 April 2013

PRU-13: PR mampu tubuh kerajaan di Negeri Sembilan

Suasana dalam tempoh berkempen kali ini agak berbeza berbanding PRU 2008 lalu. Riak rakyat terbanyak benar-benar membayangkan bahawa kali ini dalam PRU-13 mereka telah membuat keputusan untuk memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Negeri Sembilan.

Keyakinan itu bukan sekadar 'seronok sendiri' tetapi ia dipengaruhi oleh mood semasa rakyat yang benar-benar ingin menolak BN.

PRU 2008 lalu menyaksikan dalam sejarah pilihanraya umum di negeri ini dengan parti-parti lawan BN iaitu PKR, DAP dan PAS telah memenangi 15 kerusi dun yang sekaligus menafikan penguasaan dua pertiga Dewan Undangan Negeri oleh BN. Ini merupakan kemenangan terbesar parti-parti lawan BN sejak PRU 1969. Kali terakhir parti-parti lawan mendapat kerusi terbanyak adalah pada PRU 1969 dengan DAP memenangi lapan daripada 24 Dun.

Kedudukan sebelum penggundian

Selepas penamaan calon pada 20 April 2013, Pakatan Rakyat NS dilihat mendahului selangkah daripada BN. Ia diukur dengan pencalonan beberapa calon Bebas daripada ahli-ahli Umno dan senarai-senarai calon BN khususnya Umno yang dilihat sebagai 'silap letak calon' walaupun ia menggabungkan formula PRU 2004 & 2008. Formula tersebut telah meletakkan orang-orang Mohamad Hasan dan Isa Samad bertanding yang dilihat sebagai langkah memenangkan kedua-dua kem.

'Penentangan dalaman' berlaku di Palong, Lenggeng, Ampangan, Linggi, Gemas, Johol, Pilah dan Gemencheh dengan penampilan calon-calon bukan pilihan  bahagian, calon 'kitar-semula' dan 'orang luar'. Senarai calon Umno di kawasan-kawasan ini yang pernah dihebahkan beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen kebanyakannya berubah dan tidak menepati jangkaan. Berlaku jentera boikot di beberapa dun ini, walaupun wujud bilik gerakan namun tidak dihuni dan dimeriahkan sebagaimana kebiasaan PRU sebelum ini.

Walaupun berlaku 'boikot' jentera di Dun Ampangan di pihak PKR, namun masalah tersebut telah berjaya diatasi dan diuruskan dengan baik selepas hari kedua tempoh berkempen. Bendera dan bilik-bilik gerakan telah terpasang serta dibuka semula. Malah kedudukan PKR di Ampangan dilihat lebih aktif berbanding BN. Kebanyakan bilik gerakan BN seluruh Ampangan agak sepi dan tidak berhuni dengan para petugas. 

Bekas Adun Lenggeng-Datuk Ishak yang diura-ura sebelum ini bertanding di Sikamat kembali dipilih menjadi calon BN di Lenggeng. Agak memeranjatkan jika tindakbalas daripada penduduk-penduduk tempatan di Pekan Lenggeng, Ulu Beranang, Broga, Kg Machang dan tidak mustahil juga di sekitar Pantai, kawasan kampung beliau sendiri! Penduduk-penduduk kawasan-kawasan ini agak tekad untuk menolak Ishak. Pelbagai isu-isu lampau ketika beliau menjadi wakil rakyat Lenggeng dahulu kembali dibangkitkan.

Situasi penolakan itu turut disumbang dengan penyertaan seorang calon Bebas, yang juga bekas orang penting Umno Seremban, Zulkifli Abdullah sebagai manifestasi membantah Ishak sebagai calon BN di sini. Perkhabaran turut menyebut banner-banner membantah Ishak turut digantung di beberapa tempat di Pekan Lenggeng.

Ahli-ahli Umno di Palong turut membantah Lilah Yasin sebagai calon BN bagi Dun Palong. Sudah pasti penyingkiran mantan Adun, Aziz Shamsudin membangkitkan ketidakpuasan hati para penyokong beliau. 

Semasa penamaan calon, kedudukan PR-BN adalah 19-17. Namun kedudukan itu berubah setelah tiga hari selepas penamaan dengan PR mendahului BN sebanyak dua dun iaitu 21-13. 

BN khususnya Umno dijangka mampu mempertahankan kemenangan di Sungai Lui, Senaling, Bagan Pinang, Gemencheh, Rantau, Kota, Chembong dan Serting. Manakala kawasan yang dianggap sebagai 50-50 adalah Pertang, Palong, Gemas dan Seri Menanti.

Kawasan Dun yang dianggap bahaya dan hitam kepada BN adalah Nilai, Lobak, Temiang, Ampangan, Sikamat, Bukit Kepayang, Rahang, Senawang, Mambau, Paroi, Chuah, Port Dickson, Lukut, Repah, Bahau, Klawang, Jeram Padang, Pilah, Lenggeng, Juasseh, Johol dan Labu. Sudah tidak ada istilah kubu kuat Umno di Negeri Sembilan. Keadaan sokongan lebih terbuka dengan nisbah 45-45, hanya 10 peratus lagi adalah undi atas pagar yang bakal menentukan kalah-menang kedua-dua pihak. Ia bergantung kepada kaedah menarik undi tersebut.

Jangkaan PRU-13

Melihat kepada mood rakyat terbanyak yang begitu menyakinkan, tidak mustahil PR mampu memenangi lebih daripada 21 Dun. Adalah dijangka PR NS mampu memenangi antara 22 ke 26 Dun pada 5 Mei 2013 ini. Ini bukan sekadar ramalan semata-mata tetapi ia berdasarkan situasi politik, gerak kerja dan isu-isu yang berlaku di setiap kawasan dun.

Kali ini adalah waktu terbaik buat PR NS untuk mencipta kemenangan berganda sekaligus menawan Negeri Sembilan dan membentuk sebuah kerajaan baru selepas 5 Mei ini. 

No comments:

Post a Comment