Monday 29 April 2013

Pertang: pertembungan calon anak muda melawan calon veteran!

Jalaluddin Alias
Umno Jelebu nampaknya konsisten meletakkan calon berusia veteran di Pertang sejak PRU 1995. Mantan wakil rakyat Pertang, Datuk Razak Mansor mula menyandang jawatan Adun Pertang dari 1995-2013. Ini bermakna beliau telah melalui empat PRU iaitu PRU 1995, 1999,2004 dan 2008. Agak beruntung kerana pada penggal 2008-2013, beliau bakal mendapat pencen penuh sebagai wakil rakyat berbanding tiga penggal beliau sebelum itu.

Kali ini dalam PRU-13, Umno sekali lagi meletakkan seorang calon baru di Pertang tetapi orang lama dalam Bahagian Jelebu iaitu Datuk Jalaludin Alias. Beliau ini pernah menjadi wakil rakyat Dun Klawang pada penggal 2004-2008. Jalaludin boleh dianggap sebagai calon usia veteran.

Keadilan NS juga turut mencatat satu sejarah di Pertang iaitu konsisten meletakkan calon baru dari wakil anak muda (AMK). Sejak PRU 2004 dan 2008, Keadilan NS telah membariskan calon daripada Angkatan Muda Keadilan.


Razak Mansor
PRU 2004 lalu, Keadilan telah meletakkan Shahril Zakaria (gambar kanan) sebagai calon. Ketika itu beliau berusia 36 tahun.

Waktu itu beliau berhadapan dengan calon Umno iaitu Datuk Razak Mansor. Walaupun tewas akan tetapi Keadilan telah menang di daerah mengundi Pasoh 4 yang menjadi catatan sejarah sebagai parti pembangkang pertama memenangi kawasan Felda di Negeri Sembilan.

Halim A.Aziz
PRU 2008 menyaksikan Umno mengekalkan Razak Mansor sebagai calon bagi kali keempat sejak PRU 1995. Ia adalah gambaran jelas samada Umno di Pertang ketandusan calon wibawa atau berlaku situasi mempertahankan proksi Rais Yatim di situ.

Keadilan pada PRU 2008 telah meletakkan Ketua AMK Negeri Sembilan ketika itu, Halim A. Aziz. Beliau berusia 35 tahun sewaktu menjadi calon Pertang yang berasal dari Pasoh.


PRU-13

Kali ini dalam sebuah pilihanraya umum yang bakal menentukan hidup mati Umno-BN, Pertang sekali lagi memperlihatkan pertentangan antara calon veteran Umno melawan calon muda Keadilan.

Muhamad Syamwill bin Mertadza menjadi pertaruhan berharga yang diletakkan sebagai calon Keadilan. Beliau berusia 30 tahun dan memiliki ijazah Pengajian Usuludin. Sebelum ini, beliau merupakan Penolong Pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Ada perbincangan-perbincangan politik menyebut perlawanan di Pertang kali ini merupakan pertembungan moral. Calon Umno dikhabarkan mempunyai banyak isu-isu moral yang diketahui oleh pimpinan Umno Bahagian dan seperti kebiasaan ia disenyapkan tanpa ada bukti sahih. Manakala Keadilan tampil dengan calon bersih yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Pemilihan calon Umno untuk PRU 13 membuktikan Umno Jelebu tidak bersedia untuk melakukan perubahan mutlak tetapi hanya melakukan pertukaran orang-orang mereka ke tempat selamat. Sebelum ini telah dihebohkan bahawa Pengarah JASA Negeri Sembilan, Abdul Hamid Othman bakal menjadi calon Umno di Pertang. Beliau pernah memegang jawatan setiausaha bahagian dan juga pernah berada seketika bersama Keadilan Jelebu ketika era Reformasi dahulu. Mungkin khuatir berlaku sabotaj atau 'pengkhianatan dalam', nama beliau diketepikan.

Jalaluddin adalah orang veteran Umno yang tidak sebulu dengan mantan Adun Pertang kerana bukan berada dalam satu proksi. Mungkin dari segi pengalaman politik, Jalaluddin terkedepan daripada Syamwill. Namun itu bukan suatu faktor yang boleh menjadi pemangkin besar untuk beliau menang mudah di Pertang.

Sejak gelombang politik berlaku era Semangat 46 dan Reformasi, Dun Pertang bukan lagi kubu kental Umno sebagaimana era 1970-1989. Harus diingat bahawa Pertang buat kali pertama dalam sejarah PRU telah dimenangi oleh seorang calon Bebas iaitu Dato Hj Aminuddin Abdul Manaf pada PRU 1959 yang mengalahkan calon Umno-Ibrahim Mansor dengan majoriti 600 undi.

Sejarah awal itu membuktikan Umno Jelebu telah bergolak sejak awal PRU 1959 dengan berlaku sikap mencantas individu-individu yang lebih layak bertanding. Ibrahim Mansor merupakan anak tempatan yang berasal dari Kuala Klawang manakala Haji Aminuddin adalah anak jati Pertang.

Apakah sejarah awal PRU itu akan kembali berulang di Pertang pada PRU-13 ini?


No comments:

Post a Comment