Sunday 29 May 2016

PRK P093 Sungai Besar: Penentu Haluan Pakatan Harapan


Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 selesai berlangsung, landskap politik negara sekali lagi akan berhadapan dengan dua lagi pesta demokrasi yang bakal berlaku pada 18 Jun 2016 iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar setelah kematian dua wakil rakyatnya dalam satu tragedi kemalangan helikopter di Sarawak.

Istimewanya PRK kali ini ia akan menguji sejauhmana 'kebijaksanaan' pimpinan politik Pakatan Harapan dan Pas dalam menghadapi situasi ini. Ia umpama 'ujian khas' yang diturunkan oleh tuhan sebagai pentas menduga gerak laku siasah para ahli politik pembangkang sebelum berhadapan PRU-14.

Kebetulan kedua-dua parlimen ini dahulu semasa PRU-13 ditandingi oleh Pas mewakili Pakatan Rakyat ketika itu.

Situasi Unik?
Sebagaimana diketahui umum bahawa Pakatan Rakyat masih kekal berfungsi menjadi kerajaan negeri di Selangor dengan Pas menjadi sebahagian komponen PR yang turut dianggotai oleh Keadilan dan Dap.

Peringkat awal selepas SPR memaklumkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK P067 & P093, telah ada perbincangan antara pimpinan atasan Keadilan Selangor dengan Timbalan Presiden & Pengarah Pilihanraya Pas. Secara langsung, kedua-dua pihak telah diberitakan bersetuju dengan cadangan Keadilan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditandingi oleh Pas bagi pertandingan satu lawan satu. Malah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad juga memberi isyarat jelas untuk menyokong cadangan tersebut. Akan tetapi cadangan itu 'hangus' apabila Presiden Pas membuat kenyataan bahawa Pas tetap bertanding di kedua-dua kerusi tersebut tanpa menghiraukan situasi politik di Selangor.

Kesan daripada kenyataan 'check-mate' Hadi itu, PJ Pas Selangor telah membuat 'U-turn' dan menyokong kenyataan Presiden Pas. Maka keadaan menjadi lebih menarik yang secara jelas pertembungan BN-Pas sudah mutlak terjadi. Kerajaan negeri Selangor telah mengadakan beberapa program negeri di Sungai Besar seperti program Skim HIJRAH, pelancaran 'food-stem' dan pelancaran khidmat bas percuma di Sungai Besar sebagai isyarat jelas bahawa Keadilan Selangor berhasrat untuk bertanding di P093. Tidak semena-mena Dap Selangor telah membuat kenyataan terbuka menyokong Amanah untuk bertanding di Sungai Besar sebagai wakil Pakatan Harapan.

Pertembungan tiga penjuru di P093 sehingga catatan ini dinukilkan, masih boleh dikira tetap berlaku. Pimpinan utama Keadilan masih berusaha membuat pertemuan dengan Murshidul Am Pas, Harun Din bagi membincang dan membuat pertimbangan cadangan bagi pertandingan satu lawan satu di Sungai Besar juga di Kuala Kangsar.

Pertembungan 'dendam'
Perselisihan politik umpama 'melibas rotan di keting' antara Pas dan Amanah sesuatu yang sangat hebat antara kedua-duanya. Ia sudah seperti pertembungan maruah dan dendam. Pas telah bertegas jika Amanah masuk bertanding, mereka akan tetap melawan sehabis mungkin parti serpihan Pas itu.

'Kedegilan' Amanah dengan sokongan Dap menyebabkan Keadilan tersepit di tengah-tengah situasi. Ketika Keadilan berusaha untuk memastikan cadangan satu lawan satu dilaksanakan di P067 dan P093, tindakan Amanah dan Dap menyukarkan kompromi antara Keadilan dan Pas. Waktu yang sama juga, gerakan 'nakal politik' telah menambahkan lagi kecelaruan khusus kepada para pengikut dan penyokong parti dalam PH.

Gerakan nakal politik itu sedang giat menggebang bahawa Keadilan dilihat tamak, imej MB Selangor yang juga Timbalan Presiden Keadilan juga cuba dicemar dengan isu-isu 'penentangan dalaman kartel' yang kononnya membelakangi Presiden sehingga wujud tindakan menghasut pimpinan-pimpinan cabang seluruh negara membuat pilihan samada bersama Presiden atau Timbalan Presiden.

Beberapa isu yang muncul ketika ini telah dikarang-rangka dengan suatu strategi jelas untuk 'membunuh' politik pihak tertentu. Ini keadaan yang tidak begitu positif buat Pakatan Harapan dan Keadilan.

Potensi PRK P093
Amanah selaku pendatang baru dalam scene politik Malaysia (walaupun dianggotai oleh mantan ahli-ahli politik Pas) masih dikira sukar menggugat BN secara total di Sungai Besar atas faktor ia adalah parti baru dan tidak lagi mempunyai cawangan rasmi di sini. Maka kekuatan Amanah masih belum boleh dijaja dan diangkat bagi menyaingi pertandingan.

Memang benar Amanah bakal menampilkan Presidennya, iaitu Saudara Mohamad Sabu a.k.a Mat Sabu yang cukup dikenali ramai, namun ada faktor-faktor lain yang wajar diambilkira. Jika mereka menyertai pilihan raya kecil ini dengan tujuan menguji tahap sokongan tanpa mengharap kemenangan, ia tidak menjadi suatu 'kesalahan' politik. Namun jika mereka masuk untuk mencari kemenangan pertama disamping menafikan Pas, itu akan menjadi suatu situasi berbeza. Sebagaimana yang disebut awal tadi, Pas akan berhempas pulas untuk membenam Amanah.

Andainya Amanah mampu memperolehi sekurang-kurangnya 20 peratus undi popular, maka ia berpotensi menandingi Pas seterusnya pada PRU-14 di Selangor. Namun jika mereka gagal meraih undi popular 20 peratus, maka Amanah harus berhadapan dengan impak politik selepas itu. Potensi undi Amanah dijangka akan disumbangkan oleh sebahagian daripada 13,332 undi pengundi Cina yang meliputi 31% pecahan pemilih keseluruhan.

Pas pula pada PRU-13 lalu dibantu oleh lonjakan lebih tujuh ribu undi pemilih Cina yang 68% memberi sokongan kepada calon Pas. Hasil lonjakan itu menyebabkan penyusutan undi popular BN daripada 51% pada PRU-12 (tahun 2008) kepada 49% ketika PRU-13 (tahun 2013). BN hanya menang dengan majoriti 399 undi. Situasi semasa politik Pas menyebabkan sokongan para pengundi Cina merundum. Memikirkan faktor tersebut, Pas telah menamakan Dr Abdul Rani Osman yang dilihat 'mesra' dan 'toleransi' di mata pengundi-pengundi Cina selain daripada beliau merupakan orang jawa.

Kemenangan Pas di 11 peti undi dengan tujuh (7) peti undi majoriti Cina, dua peti undi majoriti Melayu dan dua peti undi campuran semasa PRU-13 lalu. BN pula memenangi 18 peti undi iaitu lapan peti undi dimenangi dengan undi popular antara 65 hingga 90%. Manakala lima peti undi dimenangi dengan undi popular antara 53 hingga 59 %, selebihnya dimenangi dengan undi popular 60-64%.

Peringkat sokongan mengikut kaum, Pas masih mempunyai sokongan akar umbi antara 20 hingga 29 peratus di kalangan pengundi Melayu. BN masih boleh mengharap sokongan 30-35 peratus undi akar umbi pengundi Melayu. Jentera BN dilaporkan sudah giat mengepung kawasan-kawasan dan lokaliti-lokaliti pengundi mereka dan pengundi Cina. Sasaran yang dilaporkan untuk dicapai oleh BN adalah meraih 50% undi pengundi Cina.

BN telah menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bagi PRK P093 Sungai Besar.

Ramalan
Umno-BN: 49%
Pas-36%
Amanah-15%

No comments:

Post a Comment