Wednesday 15 October 2014

Keadilan NS berupaya menembusi kawasan tradisional Melayu

PRU-14 akan datang (jika penggal penuh akan berakhir pada tahun 2018) dijangka akan memberi saingan sengit antara PR dan BN di Negeri Sembilan. Sudah dua penggal berturut-turut BN memenangi DUN Negeri Sembilan dengan kedudukan majoriti mudah. 
Kesimpulannya bagi negeri ini pada PRU-13, komponen utama BN iaitu Umno masih mengekalkan kemenangan besar iaitu 21 dun daripada 22 dun yang ditandingi. Manakala MIC hanya mengekalkan kemenangan kerusi Jeram Padang daripada dua dun yang ditandingi. MCA dan Gerakan tewas di semua dun yang ditandingi.

Oleh kerana itu, pihak strategis Umno-BN telah meningkatkan kekuatan bagi mempertahankan kemenangan 22 dun tersebut untuk mengekalkan kuasa dalam penggal seterusnya. Sudah jelas jentera-jentera kerajaan telah digunapakai (Jasa, Kemas, SB, MIO) untuk menyusun langkah dan gerak kerja mempertahankan pengaruh di dun-dun yang telah dimenangi. BN menyedari bahawa untuk merampas lagi 14 dun yang dimenangi PR melalui jalan berliku, maka ruang yang ada adalah mempertahankan kemenangan sedia ada.

Situasi itu harus disedari dan dihidu oleh PR khususnya Keadilan dan Pas untuk menggiatkan gerak kerja dan menyusun strategi baru dalam mencari kemenangan untuk PR. DAP pastinya akan berusaha mempertahankan kemenangan 100 peratus di 11 Dun. 

Keadilan yang memenangi Sikamat, Chuah dan PD Bandar perlu menggandakan usaha bagi mencari tambahan kemenangan untuk membentuk kerajaan PR. Kedudukan di Sikamat bukanlah berada dalam kemenangan besar atau selesa. Ia merupakan kemenangan dengan majoriti marginal. Tolak faktor penipuan atau gerak kerja jahat, tetapi bersandar pada faktor hakiki bahawa BN akan berusaha mempertingkatkan pemilih-pemilih baru khususnya dari kaum Melayu untuk mengatasi majoriti marginal di Sikamat. 

Selain kekal menjalankan program dan aktiviti pejabat wakil rakyat, Keadilan NS wajar mempertingkatkan sebaran maklumat dan memperkukuhkan jentera serta unit kecil organisasi dengan menubuhkan ranting-ranting Keadilan dalam daerah-daerah mengundi majoriti Melayu di Paroi Jaya, Taman Sikamat, Taman Desa Rhu dan sekitar Jalan Jelebu-Ampangan agar kerja-kerja pendaftaran pemilih baru, pengkaderan anggota-anggota baru parti dan penubuhan jentera pilihanraya akan lebih berkesan. Kaedah yang sama juga wajar diperluas-giatkan di dun Ampangan.

Menembusi kawasan tradisional Melayu
Sikamat merupakan contoh kemenangan Keadilan di kawasan bandar yang majoriti Melayu. Prestasi Keadilan di beberapa dun majoriti Melayu yang bersifat campuran di Pilah, Juasseh, Pertang, Rantau dan Linggi tidak meleset dan merundum begitu teruk berbanding dengan dun yang mempunyai lebih 50 peratus kawasan Felda seperti Palong dan Gemas. 

Corak pemikiran dan gaya hidup masyarakat Melayu kawasan tradisional dengan Melayu kawasan Felda sangat berbeza. Keputusan PRU-13 lalu membuktikan lebih daripada 70 peratus undi pemilih Felda condong kepada Umno-BN. Undi popular Keadilan di Palong merundum sembilan peratus daripada undi popular PRU-2008. 

Ada sebuah dun di Perak yang ditandingi dan dimenangi oleh Keadilan iaitu Kuala Kurau. Dun ini berada dalam Daerah Kerian yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu terdiri daripada kebanyakannya orang Banjar. Kuala Kurau adalah sebahagian daripada Parlimen Parit Buntar.

Ia adalah contoh terbaik untuk dibuat pedoman dan panduan untuk Keadilan NS merencana kemenangan di dun-dun kawasan Melayu tradisional.

Komposisi Pemilih Dun Kuala Kurau PRU-13;
Jumlah Pemilih: 23,315
Melayu: 58.43%  Cina: 39.57%  India: 1.96%  Lain-Lain: 0.04%

Keputusan Dun Kuala Kurau;

PRU-13
Abdul Yunus Jamhari (Keadilan): 12,336
Mohd Salleh Disa (Umno-BN): 7,322
Majoriti: 5,014

PRU-12
Abdul Yunus Jamhari (Keadilan): 8,224
Mohd Salleh Disa (Umno-BN): 7,757
Majoriti: 467

Kawasan Dun Kuala Kurau ini mempunyai masyarakat Melayu Banjar yang terdiri daripada pesawah padi, nelayan dan peniaga-peniaga kecil. Pengaruh pendidikan Islam juga kuat di kawasan ini kerana banyak madrasah dan sekolah agama. Manakala masyarakat Cina di sini merupakan kumpulan peniaga-peniaga kedai, nelayan dan peraih-peraih hasil laut. Kuala Kurau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu di kawasan Sekinchan atau Sabak Bernam di Selangor.

Fokus Strategi & Gerak  Kerja
Parlimen Rembau, Kuala Pilah dan Telok Kemang yang ditandingi oleh Keadilan disamping mengukuhkan sokongan kemenangan daripada kaum Cina dan India, penampilan tokoh-tokoh politik Melayu mereka perlu dimulakan sekarang.

Tokoh politik Keadilan NS sedia ada seperti Dato' Kamarul Baharin Abbas, Aminuddin Harun dan Nazree Yunus tidak cukup untuk menampung gerakan melawan propaganda Umno di kawasan-kawasan tradisional Melayu yang melabelkan Keadilan sebagai parti liberal yang mengabaikan kelangsungan kuasa politik Melayu. Mereka perlu dibantu dan ditambah nilai dengan menampilkan susuk-susuk berketrampilan yang kukuh.

Calon-calon Keadilan dalam PRU-13 lalu yang dikira mampu menjadi lapis baru kepimpinan disamping menjadi susuk-watak politik Melayu mewakili Keadilan NS adalah Rosli Omar (Juasseh, kini Ketua Cabang Kuala Pilah), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Seri Menanti), Rosman Joned (Linggi, kini Timbalan Ketua Cabang Telok Kemang), Muhamad Syamwill Mertadza (Pertang, kini Ketua AMK Jelebu) yang pertama kali diberi peluang bertanding dalam pilihanraya lalu boleh dibentuk dan diketengahkan.

Anggota-anggota lama yang aktif dan berpengalaman seperti Karip Salleh (Ketua Cabang Jempol), Kapten Zolkapli Kassim (Ketua Cabang Tampin) juga perlu berada dalam penonjolan susuk politik Melayu bagi Keadilan.

Ada beberapa sussuk muda Keadilan NS seperti Ramlan Roes (mantan calon Dun Linggi 2008), Rosidan Mohamed (mantan Ketua AMK Seremban), Fendi Malek, Rebin Birham (mantan Ketua AMK NS 2009-2010) masih boleh diberi ruang untuk penonjolan sebagai kepimpinan Keadilan NS.

Walaupun Keadilan merupakan parti pelbagai kaum, namun di Negeri Sembilan parti ini tidak ketandusan watak-watak Melayu tetapi ketrampilan mereka perlu digilap dan diketengahkan kepada umum.

Sudah tiba masanya Keadilan NS memberi tumpuan khusus dalam menembusi kawasan tradisional Melayu. Mungkin hakikat bahawa pengundi Melayu Felda kekal bersama Umno wajar diterima dan tidak perlu untuk bersusah payah mengapai sokongan yang sukar dijangka. 

No comments:

Post a Comment