Tuesday 14 October 2014

Keadilan dan Pas perlu tonjol watak baru di Rembau

Selepas berlalunya PRU-13 lebih setahun lalu, suasana politik di Negeri Sembilan agak kurang meriah berbanding 2012-2013 yang padat dengan pelbagai program utama. Walaupun ada program-program dijalankan sepanjang tahun 2014 ini, namun ia tidak berlangsung dalam 'mood' yang benar-benar meriah.

Melihat kepada 'merundumnya' kegiatan politik PR yang rancak, pihak Umno-BN telah rancak menyusun langkah dan gerakan baru khususnya di Rembau bagi memperkukuhkan pengaruh politik. Kajian tinjauan yang pernah dibuat oleh Merdeka Center pada Mac 2013 menyebut bahawa potensi Parlimen Rembau untuk dimenangi oleh PR adalah 51 peratus. Hasil tinjauan itu telah dibentangkan kepada pihak PR seminggu sebelum PRU-13 berlangsung.

Pihak strategis Umno-BN yang mendapat bantuan JASA dan risikan Kemas juga memperolehi hasil yang sama dengan jangkaan Umno bakal tewas di Parlimen Rembau cukup kencang. Penolakan akar umbi terhadap pencalonan Khairy Jamaluddin khususnya di Chembong dan Kota cukup tinggi. Namun kerana Keadilan menurunkan calon pada saat-saat akhir dan tidak begitu dikenali oleh pemilih di Rembau, kebanyakan pengundi Umno yang telah sedia menolak calon BN akhirnya terpaksa memilih calon parti mereka.

Begitu juga dengan pihak Pas yang pada saat akhir menukar strategi dengan meletakkan calon anak tempatan, Dr Rosli Yaakob dari Dun Chembong ke Dun Klawang.

Memperkenal tokoh dan watak baru
Secara jujur Keadilan dan Pas memerlukan watak-watak baru, segar dan mampu menarik perhatian pengundi dan masyarakat di Rembau. Kerap kali kawasan ini khususnya calon dun kerap diletakkan calon yang tidak popular dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyaingi calon-calon Umno yang sedia dikenali. Harus diingat bahawa wakil rakyat Chembong dan Kota serta di Rantau merupakan susuk politik yang berada dalam kabinet kerajaan negeri. Peranan mereka sebagai Ahli Mesyuarat Negeri memberi kelebihan mereka mendapat perhatian dan populariti di pandangan rakyat.

Jika cadangan persempadanan baru tidak dapat dilaksanakan (termasuk memecahkan Parlimen Rembau kepada Parlimen Paroi & Rembau) maka Keadilan dan Pas Rembau khususnya harus membuat persiapan awal dan gerakan bagi memperkenalkan susuk politik baru.

Keadilan Negeri Sembilan dikira sudah wajar memulakan langkah mengetengahkan beberapa muka baru dalam mengharungi saingan Umno di Rembau. Langkah berani yang pernah dimulakan oleh mantan Ketua Cabang Rembau dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin semasa 2008-2010 dahulu cukup memberi kesan positif kepada rakyat tempatan di Rembau. Keadilan Rembau menjadi gerakan aktif yang tidak putus dengan program dan aktiviti. Maka cabaran baru perlu digerakkan oleh watak-watak baru Keadilan bagi menyaingi aras politik yang telah dibina oleh Badrul. Faktor beliau sebagai elemen menongkah arus suara kepimpinan diletak tepi tetapi langkah-langkah aktif yang pernah dilakukan wajar dicontohi kerana dalam ruang lingkungan yang dikuasai oleh Umno, kadangkala gerakan menongkah arus memberi kesan positif untuk menarik perhatian rakyat.
Rosidan Mohamed

Antara watak-watak muda yang dikira boleh diketengahkan adalah mantan Timbalan Ketua AMK NS, saudara Rosidan Mohamed yang merupakan anak jati dari Chembong. Beliau pernah menjadi calon Keadilan bagi dun Sikamat pada PRU 2004. Beliau juga pernah menjadi Ketua AMK Cabang Seremban bagi penggal 2007-2010 dan 2010-2012. Mungkin beliau boleh diangkat sebagai calon parlimen selain daripada Nazree Yunus.





Nazree Yunus (mantan Ketua AMK NS 2010-2013) sebaiknya kembali bertumpu di Rembau memandang gerakan awal semasa tahun 2012-2013 yang telah beliau jalankan memberi harapan kepada Keadilan dan PR di Rembau sebagai susuk muda politik. Namun strategi berubah apabila beliau pada saat-saat akhir dihantar menjadi calon ke Parlimen Kuala Pilah. Gerak kerja yang beliau jalankan bersama AMK NS di sekitar Rembau sebelum PRU 2013 telah memberi kesan positif. Akan tetapi setelah menjadi calon parlimen di Kuala Pilah, gerak kerja beliau tersebut tidak dapat membantu calon parlimen di Rembau untuk memperolehi undi lebih besar kerana juga diletakkan pada saat akhir. Nazree perlu kembali bagi mengukuhkan secara lebih awal pengaruh Keadilan di sini.

Harus difahami bahawa corak pemilih di Rembau kebanyakannya terikat dengan politik klasik iaitu calon pilihanraya wajib dikenali, anak tempatan dan mudah dilihat dalam kawasan. Para pemilih di Rembau sebahagian besarnya tidak seperti pengundi Cina yang teguh memilih lambang parti komponen dalam PR tanpa mengira susuk wajah calon!

Selain daripada itu, aktivis budayawan dan sejarah di Rembau iaitu saudara Haji Rozmal Malakan (gambar kiri) mampu ditonjolkan sebagai susuk baru dari Pas. Beliau aktif menjalankan kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan disamping kecenderungan beliau terhadap sejarah dan kebudayaan Adat Perpatih di Rembau. Sudah agak lama aktivis atau susuk politik yang cenderung kepada sejarah dan kebudayaan tidak muncul di Negeri Sembilan. Jika dahulu adanya Dato' Abdul Samad Idris dan Rais Yatim. Ketiadaan susuk politik ini menyebabkan bahagian sejarah, kebudayaan dan kesenian Negeri Sembilan berada pada tahap merundum tanpa ada usaha memajukan sektor tersebut sedangkan Rembau sangat kaya dengan tinggalan sejarah tua yang bernilai tinggi!

Rantau juga menjadi pentas saingan politik yang hangat kerana ia merupakan dun yang diwakili oleh MB NS, Dato' Seri Mohamad Hasan. Perkhabaran ada menyebut bahawa Mohamad Hasan pada PRU-14 akan datang bakal dipindahkan ke parlimen. Andainya khabar itu menjadi kenyataan, adalah pasti calon baru bakal diletakkan di situ.

Susuk politik muda yang mungkin boleh dicadangkan dan diangkat bagi dun Rantau adalah saudara Affendi Malek. Beliau mantan Setiausaha AMK NS (2010-2012) yang juga pernah terlibat dengan gerak kerja pendemokrasian (gerak kerja pendaftaran pemilih baru) PR.

Mungkin Pas NS akan mengekalkan Haji Taufek Abdul Ghani di Paroi bagi menggerakkan usaha merampas kembali dun tersebut pada PRU-14 akan datang.

Langkah Baru
Gabungan muka baru dan tonggak lama yang berpengalaman antara Keadilan dan Pas di Rembau perlu bagi memenangi parlimen dan dun pada PRU-14. Jika mahu memenangi PRU-14, maka wajar kedua-dua komponen PR ini bergerak seiring membina keyakinan pengundi-pengundi di Rembau.

Pihak Umno telah memulakan langkah dan gerakan strategik melalui Jasa dalam memperkukuhkan kedudukan bagi mempertahankan kemenangan PRU-13. Watak-watak dan susuk-susuk politik tertentu telah pun dihantar ke dun Chembong, Kota dan Rantau bagi membina kekuatan disamping melemahkan kedudukan politik PR. Agak istimewa di Paroi dengan sudah ada khabar-khabar politik yang Khairy Jamaluddin sedang 'dibentuk' untuk menjadi MB NS akan datang. Pasukan strategis Umno bagi dun Paroi telah memulakan rancangan tersebut.

Umno masih mempertaruhkan sokongan para pemilih luar bandar khususnya pemilih Melayu kerana kegagalan PR samada Keadilan dan Pas mewujudkan unit organisasi (Ranting & Cawangan) di pedalaman kawasan tradisional Melayu. Malah kekurangan sebaran maklumat melalui risalah atau cetakan mengenai kegiatan dan maklumat PR masih gagal diatasi yang dieksploit oleh Umno-BN melalui jentera penerangan mereka.

Penampilan wajah, watak dan susuk politik Melayu dari Keadilan dan Pas Rembau wajar dipergiatkan dan diaktifkan agar propaganda Umno-BN bahawa PR Negeri Sembilan didominasi oleh Cina dapat dilawan dan diperbetulkan. 

No comments:

Post a Comment