Wednesday 1 February 2012

Mengubah wajah-wajah usang pekan di NS

Senario 'pekan koboi' atau 'pekan mati' seakan sinonim di kebanyakan pekan-pekan utama di Negeri Sembilan. Ini bukanlah suatu kenyataan mencari publisiti atau cetusan rambang isu tetapi ia hakikat gambaran yang wajar diperhatikan dan dinilai akan suasana pembangunan infrastruktur serta pergerakan ekonomi dalam negeri.

Gambaran itu secara mudah ditafsirkan bahawa kerancakan ekonomi dan proses pembangunan berada pada tahap tepu atau lembab. Inilah wajah pekan-pekan lama di kebanyakan kawasan dalam Negeri Sembilan sepanjang lima dekad ditadbir oleh BN.

Walaupun ada pelaksanaan projek-projek pembangunan dijalankan tetapi sejauh mana ia memberi kebaikan kepada rakyat luar bandar? Apakah kesan ekonomi yang dapat dirasai atau dinikmati oleh keseluruhan rakyat? atau projek-projek tersebut lebih berkitar untuk menjana kantung-kantung kroni atau pengikut politik gerombolan?

Pekan-pekan utama yang dikira ketinggalan dari segi rupa bentuk pembangunan infra adalah Pekan Linggi, Senaling, Johol, Air Mawang, Lenggeng, Ulu Beranang, Pantai, Labu, Batang Melaka dan Rompin. Kedudukan pekan-pekan ini adalah strategik iaitu terletak di laluan utama jalan besar negeri, pusat ekonomi setempat utama mukim atau daerah kecil dan pekan penghubung sempadan antara negeri.

Linggi, Ulu Beranang dan Batang Melaka terletak berhampiran dengan garisan sempadan Negeri Sembilan-Melaka atau Negeri Sembilan-Selangor. Pekan-pekan ini adalah pintu masuk utama ke Negeri Sembilan tetapi peranan dari segi ekonomi khususnya tidak begitu menyerlah. 

Pekan Linggi walaupun dahulunya bekas MB, Isa Samad adalah wakil rakyat kawasan tersebut selama 22 tahun dan juga wakil rakyat sekarang Exco dalam kerajaan negeri tetapi pekan ini terus menerus ketinggalan daripada arus pembangunan infrastruktur. Lebih mendukacitakan adalah Stesyen Bas Pekan Linggi kini telah menjadi tinggalan usang yang hanya berdiri tiang-tiang sahaja! Ia kini penuh dengan semak samun dan menjadi tempat singgahan lembu-lembu belaan penduduk sekitar.

Ia adalah bukti nyata yang tersergam di Pekan Linggi. Apakah rakyat sekitar Linggi sanggup terus menerus membiarkan kawasan ini ketinggalan?

Pekan Linggi secara geografinya terletak di jalan utama yang menghubungkan Melaka dan Pasir Panjang. Ia menjadi kawasan transit atau hentian penting dalam laluan tersebut. Namun begitu, peranan pekan ini bagaikan mati dan hanya menjadi pekan lama yang hanya mempunyai kegiatan ekonomi kecil-kecilan. 

Pekan Linggi merupakan satu-satunya pekan utama yang berada di mukim Linggi. Sekitar 20 kilometer persegi kawasan sekitar Pekan Linggi merupakan kawasan kampung-kampung tradisional dan ladang. Pekan lain yang paling hampir dengan Linggi adalah Pasir Panjang yang terletak lebih kurang 35KM ke arah selatan dan Air Kuning kira-kira 25KM arah utara Linggi. 

Pekan Labu yang terletak di Daerah Seremban juga terlepas daripada peranan ekonomi secara besaran walaupun mempunyai laluan tren komuter dan hampir dengan KLIA dan Bandar Enstek. Mungkin ramai yang beranggapan pekan ini tidak penting namun jika dilihat dari segi peranan Adat Perpatih, Labu mampu menjadi tapak warisan kerana di sinilah terletaknya telapak bagi Datuk Syahbandar Luak Sungai Ujong. Ia mampu diperkasakan peranannya sebagai pusat warisan Adat Perpatih yang penting di Luak Sungai Ujong sebagaimana Seri Menanti. Harus diingat bahawa kawasan sekitar Pekan Labu juga mempunyai kawasan-kawasan kampung yang banyak seperti Kampung Kilang Padi, Kampung Lambar, Kampung Tebing Tinggi dan sebagainya.

Pekan Johol dan Air Mawang merupakan pekan utama yang terdapat di kawasan Johol. Kedua pekan ini juga mengalami nasib yang sama dengan ketinggalan dari segi kerancakan ekonomi secara besaran dan pembangunan. Air Mawang merupakan pintu masuk ke Daerah Kuala Pilah dari arah selatan. Istimewanya di pekan ini adalah dari segi makanan iaitu kuih apam johol yang merupakan sejenis kuih apam yang dibalut dengan daun rambai. Aroma kuih ini berbeza dengan kuih apam biasa.

Ini juga merupakan antara cabaran utama yang bakal dipikul oleh PR NS dalam mencetuskan perubahan baru kepada Negeri Sembilan. Setiap daerah di negeri ini mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi warisan budaya dan kesenian, warisan sejarah, senibina dan makanannya. Semuanya telah terpendam lama dan wajar diserlahkan sebagai tarikan utama Negeri Sembilan. Ia juga menjadi wajah kepada pembangunan fizikal secara luas kepada negeri ini. Apakah ia mampu diombakkan?

No comments:

Post a Comment