Wednesday 8 February 2012

Bersediakah PR sekiranya PRU-13 pada Mac 2012?

Ramalan dan andaian tarikh PRU-13 telah memasuki fasa menarik. Pelbagai pandangan telah dilontar secara terperinci dan khusus. Pihak gerombolan Umno-BN sendiri juga diyakini telah melakukan kaji selidik berkenaan peluang kemenangan mereka dalam PRU-13 nanti. Mungkin hasil dapatan kaji selidik yang mengabungkan rangkaian maklumat daripada jentera-jentera risikan (M.I.O, SB, Jasa, Kemas) itu telah menampakkan jawapan terkini.

Persoalan kini dilontar, apakah PR amnya seluruh negara dan khususnya di Negeri Sembilan telah benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU-13 yang kencang diperkatakan bakal berlaku pada Mac 2012 ini?

Persiapan & Persediaan Jentera PR
Ini adalah keperluan utama bagi semua organisasi parti dalam menghadapi pilihanraya. Ia adalah nadi gerakan organisasi melaksanakan strategi, kempen, gerak kerja dan hal-hal teknikal pilihanraya. Memang benar rakyat di luar sanalah yang bakal menentukan kemenangan sesuatu parti atau calon, tetapi tanpa persediaan rapi ia mungkin menipiskan peluang kemenangan atau menghapuskan peluang tersebut!

Pilihanraya Kecil (PRK) Sibu wajar dijadikan contoh berguna dan panduan terbaik kepada rangkaian jentera PR kerana dalam PRK inilah pasukan PACA (polling agent/counting agent) PR telah berjaya mengendalikan secara cekap kiraan undi pos. Faktor inilah yang telah 'menyukarkan' BN melalui SPR untuk menokok undi-undi kepada calon BN ketika itu. Kecekapan petugas-petugas PACA PR juga telah membuat para pegawai SPR di dewan kiraan malam itu berhempas pulas memikirkan pelbagai kaedah 'penyelewengan' undi secara teknikal sehingga akhirnya mereka 'terpaksa ' menerima kemenangan mutlak calon DAP.

Kecekapan mengendali dan menangani undi pos secara teknikal ini wajar diperkasakan kepada semua jentera PR. Ia suatu kemahiran dan keupayaan yang wajar dikongsi bersama sebagai bukti kerjasama rangkaian jentera PR. 

Bukti penggendalian secara cekap undi pos juga boleh dirujuk ketika Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak 2011 lalu. Kemenangan calon PKR di dun Krian turut disumbang oleh undi pos! Walaupun tidak memenangi undi pos tetapi kecekapan petugas-petugas PKR menangani undi pos telah berjaya memaksimumkan undi pos kepada calon PKR sekitar 46%. Ia suatu usaha yang wajar dicontohi dan tidak mustahil pihak PR mampu memaksimakan perolehan undi pos sekitar 40-48%. Jika itu berlaku, banyak kawasan parlimen dan dun yang menjadi lubuk kemenangan BN melalui undi pos akan terjejas.

Persediaan PACA yang mantap penting kerana unit ini adalah umpama penjaga gawang dan benteng terakhir. Seandainya benteng terakhir ini lemah, sia-sialah segala gerak kerja dan kempen semasa tempoh berkempen. Harus diingat bahawa gerombolan Umno-BN 90% bergantung kepada jentera-jentera kerajaan yang dimanipulasikan sebagai jentera mereka ketika pilihanraya.

Calon
Perkara yang sangat sensitif dan begitu hangat diperkatakan. Ada kawasan-kawasan yang telah menampilkan secara tidak rasmi bakal-bakal calon pilihanrayanya. Namun ada juga kawasan-kawasan yang 'telah berlaku perang' sebelum peperangan besar berkaitan hal calon. 

Dalam menangani hal ini, ciri-ciri penting yang wajar diketengahkan oleh PR adalah menampilkan calon-calon berkredibiliti dari segi penampilan, mampu bekerja dan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, berpelajaran, ada nilai-nilai profesional dan bijak. Rakyat kini telah mula membuka perspektif dan kritis dalam hal ini. Isu lompat harus dijadikan pedoman terbaik PR dan 'pengkhianatan' dalam bentuk lain juga wajar diambil kira dalam kriteria pemilihan calon. Silap memilih bakal mengundang petaka kemudian hari. 

Hasil Kaji Selidik
Secara umumnya, gerombolan Umno-BN sangat yakin dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Hasil kaji selidik mereka telah meletakkan kedudukan gerombolan sekitar 63-65% berbanding PR. Namun begitu, hasil dapatan itu turut menunjukkan kedudukan PR di Seremban, Rasah dan Telok Kemang sangat memberangsangkan sekitar 65-75%. 

Cukup sekadar makluman umum itu dan ia perlu dijadikan landasan untuk gerak kerja PR NS. Kelesaan kedudukan gerombolan Umno-BN khususnya di Kuala Pilah, Tampin, Jelebu dan Jempol mampu digugat kerana jentera-jentera mereka dilihat selesa meninggalkan lapangan peperangan.

No comments:

Post a Comment