Friday, 10 February 2012

Sejarah: PRU 1969-Tsunami politik pertama negara.

Keperluan memahami sejarah amat penting kerana catatan-catatan peristiwa yang berlaku pada masa lampau adalah panduan dan pedoman terbaik kepada pembentukan masa depan yang lebih baik.

Pilihanraya Umum (PRU) 1969 amat penting dalam sejarah politik negara kerana keputusan PRU tersebut telah memberi kesan yang cukup mendalam terhadap kedudukan kuasa politik Umno dan gerakan parti-parti pembangkang yang kuat ketika itu yang hampir menggugat kuasa Perikatan.

Parlimen dibubarkan pada 20 Mac 1969. Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi seluruh negeri turut dibubarkan serentak pada tarikh tersebut melainkan negeri Kelantan yang hanya membubarkan DUN pada 31 Mac 1969.

Tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada
5 April 1969 kecuali Kelantan yang mengadakan penamaan calon pada 12 April 1969.

Tarikh pilihanraya pula adalah seperti berikut;
10 Mei  1969 (Semenanjung)

10 Mei - 25 Mei 1969 (Sabah)

10 Mei -  7 Jun  1969 (Sarawak)


Jika diamati-teliti pada tarikh-tarikh pilihanraya tersebut, negeri Sabah telah diberi tempoh selama 16 hari untuk mengadakan proses penggundian, manakala negeri Sarawak diberi tempoh selama 29 hari untuk proses penggundian! Ia amat berbeza dengan tempoh mengadakan proses penggundian dalam pilihanraya kini. Maka ada asasnya desakan-desakan yang dibuat oleh BERSIH terhadap proses menjalankan pilihanraya negara ini pada waktu sekarang.

Rasional dan logika adalah FAKTOR LOGISTIK & JARAK untuk Sabah dan Sarawak. Keadaan geografi bagi kedua-dua negeri ini sangat luas, maka kedua faktor disebutkan tadi sangat mempengaruhi peruntukan masa dan hari untuk melaksanakan proses penggundian. Cuba anda bayangkan keadaan pusat-pusat penggundian yang terletak di pedalaman seperti Bekalalan, Lawas, Sarawak atau Kinabatangan, Sabah. Proses penggundian yang berlangsung untuk satu hari sahaja dalam pilihanraya kini sangat-sangat memungkinkan penipuan undi dan akan berlaku manipulasi secara maksimum oleh BN!

Pertandingan PRU 1969
Sebanyak 330 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 144 kerusi Dewan Rakyat bakal dipertandingkan dengan 12 buah parti politik yang bertanding untuk berentap merebut kesemua kerusi tersebut.

Perikatan ketika itu dianggotai oleh Umno, MCA dan MIC menjadi gagasan terbesar menyertai pilihanraya. Manakala PAS, Gerakan, DAP, PPP (ketika itu dikenali dengan Parti Kemajuan Rakyat) dan PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) menjadi saingan terkuat Perikatan di Semenanjung. SUPP, SNAP dan PESAKA menjadi lawan Perikatan di Sarawak manakala Usno dan SCA (Sabah Chinese Association) menjadi lawan di Sabah.

Perikatan telah bertanding sebanyak 315 kerusi DUN dan 118 kerusi Dewan Rakyat. PAS pula bertanding 185 kerusi DUN dan 62 kerusi Dewan Rakyat. Berikut senarai parti-parti lain yang bertanding mengikut turutan DUN & Dewan Rakyat (DR);

PSRM: Dun (38) DR (6)
Gerakan: Dun (38) DR (14)
PPP: Dun (16) DR (6)
DAP: Dun (57) DR (24)
Umco (United Malaysian Chinese Organisation): Dun (12) DR (3)
SNAP: Dun (46) DR (23)
SUPP: Dun (40) DR (19)
PESAKA: Dun (35) DR (15)
USNO: Dun (-) DR (13)
SCA: Dun (-) DR (3)

Keputusan PRU 1969
Kemenangan luarbiasa kebanyakan parti pembangkang telah mengejutkan Perikatan khususnya Umno. Negeri Kelantan dan Pulau Pinang telah jatuh ke tangan pembangkang. PAS telah memenangi 19 kerusi Dun dan enam kerusi Parlimen di Kelantan. Walaupun hanya memerlukan satu lagi kerusi untuk mengukuhkan kedudukan dengan menguasai dua pertiga Dun, namun Perikatan gagal merampas negeri tersebut walaupun memenangi 11 kerusi Dun dan empat kerusi Parlimen.

Manakala di Pulau Pinang, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah memenangi 16 kerusi Dun dan lima kerusi Parlimen. DAP pula memenangi tiga kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen. Parti Sosialis Rakyat Malaysia turut memenangi satu kerusi Dun di negeri ini. Perikatan hanya mampu memenangi empat kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen. 

Kemenangan bergaya Gerakan di Pulau Pinang tersebut telah menjadikan secara sendirinya parti tersebut menguasai dua pertiga Dun Pulau Pinang. Harus diingat dan difahami, parti Gerakan adalah parti pelbagai kaum sebagaimana DAP. Pengasas Gerakan adalah Profesor Syed Hussein Alattas.

Kuasa Dua Pertiga Perikatan Hilang
Perikatan juga turut kehilangan penguasaan dua pertiga DUN di Kedah, Terengganu, Perak, Selangor dan Sarawak. Jika waktu itu parti-parti pembangkang bersatu dan bergabung sebagai sebuah gagasan, sudah pasti Perikatan telah tewas di Perak, Selangor dan Sarawak.

Negeri Kedah buat kali pertamanya dalam sejarah pilihanrayanya, PAS telah berjaya memenangi lapan kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen, manakala Gerakan memenangi dua kerusi Dun. Kemenangan kedua parti tersebut telah menyebabkan Perikatan hilang penguasaan dua pertiga dalam DUN Kedah. Perikatan hanya berkelebihan dua kerusi untuk membentuk majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.

Perak sejak PRU pertama pada tahun 1959 telah menjadi antara tapak kuat parti-parti pembangkang selepas Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Berbeza dengan Kedah, Pahang, Melaka dan Johor yang memperlihatkan penguasaan majoriti Perikatan.

PRU 1969 telah mencatatkan peristiwa-peristiwa menarik di Perak. Kedudukan Perikatan goyah walaupun mampu membentuk kerajaan negeri atas faktor penggabungan longgar politik oleh parti-parti pembangkang dan ditambah pula gerakan strategik Umno melakukan 'pembelian' wakil-wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Perikatan! Parti Kemajuan Rakyat (PPP) yang diketuai oleh Dr Kanagaratnam Pillai hampir sahaja membentuk kerajaan negeri di Perak. PPP telah memenangi 12 kerusi Dun, manakala parti pembangkang lain iaitu PAS (1), Gerakan (2) dan DAP (6). Perikatan memenangi 19 kerusi Dun.

Jika PPP dan parti-parti pembangkang membentuk sebuah gagasan yang kuat, sebuah kerajaan negeri baru telah berjaya ditubuhkan. Namun begitu sentimen perkauman yang dijalankan oleh Perikatan khususnya Umno yang membangkitkan isu kehilangan kuasa politik Melayu menyebabkan usaha penggabungan parti-parti pembangkang di Perak ketika itu gagal. Peristiwa itu seakan menjadi ulangan semula ketika Kudeta BN pada 9 Febuari 2009 lalu yang meruntuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Kedudukan 50-50 di Selangor
Walaupun Perikatan dapat membentuk kerajaan negeri di Selangor, kedudukan parti-parti pembangkang jelas telah menggugat kekuatan politik Perikatan. Kesan daripada itu, strategi-strategi politik yang dikira agak esktrim telah dijalankan oleh Umno. Sentimen perkauman menjadi senjata ampuh untuk memecah-belahkan masyarakat sebagai usaha halus memecahkan sokongan kaum Cina dan India kepada parti pembangkang. Begitu juga kepada kaum Melayu, yang bertujuan untuk memecahkan sokongan Melayu kepada PAS. 

Dalam keputusan PRU 1969 di Selangor, Perikatan telah memenangi 14 kerusi Dun. DAP pula memenangi sembilan (9) kerusi Dun dan Gerakan (4) manakala Bebas (1). Kedudukan kemenangan tersebut telah memperlihatkan wakil-wakil bukan Melayu mendominasi DUN Selangor.

Peringkat Dewan Rakyat (Parlimen) pula telah menyaksikan Perikatan memenangi 81 kerusi manakala pihak pembangkang memenangi 69 kerusi dan Bebas mendapat satu kerusi. Hakikatnya, Perikatan hanya memenangi majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan kelebihan 12 kerusi sahaja! Untuk membentuk kerajaan persekutuan ketika itu, majoriti mudah diperlukan adalah 73 kerusi dan 96 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga.

Logika Pecahan Kerusi Dewan Rakyat Ikut Parti
Jika pecahan kerusi di Dewan Rakyat dipecahkan megikut parti; memang tepatlah PRU 1969 menjadi Tsunami Politik Pertama negara ini dan buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya, Perikatan tidak mendapat penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat. Kemenangan jumlah kerusi Perikatan merosot.

Berikut pecahan tersebut;
Umno: 66
MCA: 13
MIC: 2
DAP: 13
PAS: 12
Gerakan: 8
PPP: 4
Perikatan Sarawak: 7
SUPP: 5
SNAP: 9
Pesaka: 2
USNO: 13
SCA: 3

Kedudukan tersebut telah meletakkan wakil Melayu dalam Dewan Rakyat seramai 80 orang manakala wakil Bukan Melayu (termasuk Bumiputera Sabah Sarawak) seramai 64 orang. 

Kesan PRU 1969
Kedudukan Perikatan yang goyah ketika itu telah menyebabkan tindakan-tindakan politik secara strategik telah dibuat dan dilaksanakan oleh Perikatan. *Rusuhan Kaum 13 Mei adalah antara tindakan strategik yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak dan Tan Sri Ghazalie Shafie untuk meruntuhkan perlembagaan negara bagi menyekat pengaruh kuasa politik parti-parti pembangkang ketika itu. *Alasan perkauman seperti kehilangan kuasa politik Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu menjadi modal Perikatan memancing sentimen kebanyakan kaum Melayu. Pihak Umno menyedari hanya kaedah ini sahaja yang mampu memecah sokongan besar kaum Melayu kepada PAS waktu itu kerana isu bangsa dan agama sangat menyentuh hati kaum Melayu. (Nota: * kajian terperinci & bahan-bahan rujukan ilmiah diperlukan untuk pandangan di atas)

Setelah runtuhnya perlembagaan negara kesan daripada Peristiwa 13 Mei itu, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Kesan politik daripada penubuhan Mageran ini juga telah berjaya melumpuhkan politik PM ketika itu Tunku Abdul Rahman yang dilihat oleh kebanyakan pimpinan Umno ketika itu terlalu pro-Cina dan meletakkan kesalahan ke atas beliau peristiwa Pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.

Selain daripada itu, Perikatan telah diwajah-barukan dengan nama baru iaitu Barisan Nasional. Kesemua parti pembangkang secara strategiknya telah 'di-qodim-kan' menjadi komponen parti pemerintah atas tujuan pengukuhan semula pengaruh Umno terhadap rakyat. Harus difahami, penubuhan Barisan Nasional adalah jalan-jalan strategik politik yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak dan Tan Sri Ghazali Shafiee untuk mengukuhkan pengaruh politik Umno bukan atas sebab kekuasaan Melayu. Hasilnya, Kelantan berjaya dimenangi oleh BN melalui PAS yang telah menjadi keluarga BN ketika itu. 

Kesan daripada itu, kekuatan pengaruh politik PPP di Perak berjaya dilumpuhkan secara perlahan-lahan oleh Umno. Sehingga kini, PPP hanya menjadi komponen BN yang tidak mendapat 'nikmat agihan kerusi' yang setara sebagaimana komponen lain.

Namun di Pulau Pinang, parti Gerakan mengambil langkah bijak mempertahankan pengaruh dengan terus mendokong politik BN walaupun MCA cuba mengalih peranan politik Gerakan di negeri tersebut.

Politik perkauman seterusnya mendominasi politik negara bermula dari tahun 1970 hingga 2007 di bawah pengaruh BN. Bagaimanapun, dominasi politik tersebut pecah selepas 8 Mac 2008 yang telah membuka semula pentas politik Malaysia kepada bentuk politik baru.

Inilah pentingnya menghayati dan memahami sejarah. Jika kita tidak mempunyai sikap itu, maka dengan mudahnya dakyah atau doktrin-doktrin politik sempit disumbatkan ke minda. Menilai politik haruslah didokongi dengan perspektif yang luas.



No comments:

Post a Comment

Post a Comment