Thursday 23 February 2012

Menilai potensi kemenangan PR di Dun Pilah.

Sejarah pilihanraya umum di Dun Pilah agak menarik jika diambil kira zaman kenaikan sesuatu parti pembangkang atau cetusan hebat politik negara. PRU 1999 Barisan Alternatif hampir sahaja memenanginya.

Nordin Ismail
Keputusan PRU 1999 Dun Pilah menyaksikan Umno hampir sahaja ditewaskan oleh Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Calon Umno ketika itu, Norhayati Omar hanya menang majoriti 312 undi sahaja dengan perolehan undi popular sebanyak 51.85% (3,758 undi) . Manakala calon Keadilan diwakili oleh Nordin Ismail yang merupakan ketua Keadilan Kuala Pilah mendapat undi sebanyak 3,446 dengan undi popular 47.54%.

Isu pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 dan mata lebam beliau semasa dalam tahanan menjadi titik kuat kepada anjakan perubahan politik negara waktu itu. Sokongan kaum Melayu begitu ketara kepada Barisan Alternatif. Jangkaan atau anggaran sokongan Melayu kepada BA ketika itu adalah menghampiri 70%. Sekiranya sokongan Bukan Melayu memihak kepada BA sebagaimana yang diperolehi PR pada PRU 2008, Dun Pilah sudah dimenangi oleh BA dengan majoriti yang tinggi!

Suasana itu agak berbeza dalam PRU 1990 walaupun kemunculan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh telah memecahkan blok sokongan pengundi Melayu untuk menyokong pembangkang agak besar. Perubahan politik negara pada penghujung dekad 80an akibat perpecahan Umno tidak begitu menggugat kedudukan Umno di Dun Pilah. 

Calon Umno-BN, Dato Abu Zahar Bin Dato Nika Ujang (gambar) telah memenangi Dun Pilah dengan majoriti 3,180 undi dan perolehan undi sebanyak 6,135 (67.49%) berbanding calon Semangat 46, Abu Samail Katas yang mendapat 2,955 undi dengan perolahan undi popular sebanyak 32.51%.

Pengaruh politik Semangat 46 di seluruh Parlimen Kuala Pilah ketika itu tidak begitu menyerlah jika dibuat perbandingan dengan sambutan dan sokongan di Parlimen Jelebu kerana faktor Rais Yatim sebagai Timbalan Presiden Semangat 46. Kesepakatan parti-parti pembangkang dalam pertandingan di Kuala Pilah tidak wujud kerana berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pas, Semangat 46 dan DAP. Keadaan ini wajar dielakkan pada PRU-13 akan datang sekiranya PR Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah untuk memenangi pertandingan.

Era Tsunami 2008
PRU 2008 seakan menyamai suasana PRU 1999 tetapi yang berbeza adalah corak sokongan pemilih. Jika pada tahun 1999, pemilih Melayu di Dun Pilah hampir 70% menyokong pembangkang tetapi keadaan itu berlawanan pula pada tahun 2008. Lonjakan sokongan pemilih Bukan Melayu pula yang menghampiri angka 70% kepada pembangkang manakala sokongan pemilih Melayu kepada pembangkang sekitar 33% sahaja.

Namun begitu, perolehan undi majoriti Umno di Pilah menyusut dengan majoriti kemenangan 1,258 undi. Calon Umno-BN, Adnan Abu Hassan mendapat 4,359 undi (58.14%) manakala calon PKR Asmaon Basir mendapat 3,101 undi (16.78%). Dun Pilah dilihat antara beberapa dun yang dimenangi BN Negeri Sembilan dengan majoriti di bawah 16% dan menjadi sasaran kemenangan PR Negeri Sembilan pada PRU-13 nanti.

Potensi PR
Persoalannya, apakah Tsunami Politik 2008 masih berterusan dan telah mempengaruhi seluruh pemilih di Dun Pilah? Kebanyakan dun yang berada dalam kawasan bandar dan sub-bandar di Negeri Sembilan telah dimenangi oleh PR. Apakah Pilah akan mengikut langkah kemenangan PR di lain-lain kawasan tersebut?

Dun Pilah boleh dikategorikan sebagai dun sub-bandar. Peranan penting yang harus dimainkan oleh jentera pilihanraya PR khususnya PKR Dun Pilah adalah menyusun strategi menawan hati pemilih-pemilih Melayu di daerah-daerah mengundi yang berada dalam kawasan kampung. Kawasan inilah yang menyumbang kekalahan kepada PKR dalam PRU 2008. Jumlah pemilih Melayu yang tinggi di daerah-daerah mengundi kampung wajar dikendalikan secara bijak dan strategik khususnya dalam menarik sokongan kepada PR. 

Merujuk kepada kaji selidik oleh Merdeka Center yang dijalankan pada pertengahan tahun 2011 lalu mendapati 70% pemilih Melayu di Negeri Sembilan mendapat sumber maklumat utama daripada Utusan Malaysia dan Berita Harian. Perkara ini amat wajar dijadikan pedoman dan panduan sebaran maklumat berkenaan dasar-dasar perjuangan PKR & PR disamping penyebaran maklumat-maklumat isu semasa negara dan negeri. Ia faktor bukan politik yang sangat mempengaruhi kerana maklumat-maklumat tidak tepat tentang PR terpampang jelas di kedua-dua akhbar kawalan BN ini.

Ramalan PRU-13
Secara ikhlas, PKR mampu memenangi Dun Pilah kerana hanya memerlukan peralihan hanya 10% undi daripada keseluruhan pemilih kawasan ini. Jika melihat data atas kertas, sewajarnya kemenangan itu mampu dijana, namun gerak kerja politik juga turut mempengaruhi kemenangan. 

Pertelingkahan politik dalaman Umno Kuala Pilah yang turut merebak ke Dun Pilah wajar diambil kesempatan oleh Pakatan Rakyat. Sudah pasti akan berlaku pelbagai pertentangan politik sesama puak-puak Umno Bahagian Kuala Pilah yang ketika ini saling bersaing merebut tempat untuk mengekalkan kuasa.

Ramalan PRU-13 penulis bagi Dun Pilah adalah seperti berikut;

Umno (BN): 49%
PKR (PR): 51%

Andaian berdasar kaji selidik BN:
Umno (BN): 52%
PKR (PR): 48%


No comments:

Post a Comment