Wednesday 21 March 2012

Kewajaran PAS memberi laluan KEADILAN bertanding untuk menawan Terengganu

Kemenangan Pakatan Rakyat di Terengganu wajar diterjemahkan melalui kesepakatan dalam pembahagian kawasan pertandingan. Hanya PAS dan PKR sahaja yang menjadi wakil PR di negeri tersebut. Jika logik mudah diambilkira, tidak ada masalah bagi kedua-dua parti ini untuk membuat rundingan yang sempurna.

Namun begitu, perkembangan semasa di Terengganu telah memperlihatkan kesukaran mencapai sepakat dalam pembahagian kawasan pertandingan. PAS Terengganu telah bertegas untuk memberi hanya satu Parlimen dan satu Dun kepada PKR bertanding di negeri itu. Alasan yang dinyatakan oleh PAS adalah kerana PKR Terengganu tidak mempunyai kekuatan jentera di kawasan-kawasan yang ingin ditandingi sebagaimana yang dimiliki oleh PAS.

Faktor kekuatan jentera sememangnya menjadi kepentingan utama dalam menggerakkan gerak kerja pilihanraya di sesuatu kawasan. Namun begitu, sikap PAS Terengganu sebegitu tidak akan membantu ke arah kemenangan PR di Terengganu apatah lagi untuk menumbangkan Umno.

Kemenangan 100% PAS Terengganu semasa PRU 1999 lalu tidak dinafikan secara fakta, tetapi ia sebenarnya dibantu oleh 'laluan' yang diberikan secara besar-besaran oleh Parti Keadilan Nasional (PKN) ketika itu. Lantas, wajar umum mengetahuinya bahawa kemenangan tersebut juga bukan secara sendirian oleh PAS tetapi turut mendapat bantuan rakan-rakan komponen Barisan Alternatif.

Kemenangan barisan pembangkang di Terengganu harus secara bersekutu atau bergandingan dan tidak boleh secara sendirian. Sejarah PRU di Terengganu sendiri telah membuktikan bahawa kemenangan parti pembangkang bagi menubuhkan kerajaan negeri adalah melalui kaedah gabungan antara parti-parti pembangkang. Jika tidak, adalah sukar bagi PAS Terengganu uuntuk mencapai kemenangan dan menawan negeri tersebut secara sendirian.
Sejarah PRU di Terengganu
Pada Pilihanraya Umum yang pertama negara pada tahun 1959, PAS bersama Parti Negara telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu. Pas telah memenangi 13 dun, Parti Negara 4 dun dan Perikatan 7 dun. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri ketika itu adalah 13 kerusi dun. Namun sebagai mengukuhkan kedudukan dua pertiga dalam DUN, sekurang-kurangnya 16 kerusi diperlukan. Hasilnya Pas dan Parti Negara telah bergabung membentuk kedudukan dua pertiga dalam DUN Terengganu.

Sekiranya Pas Terengganu ketika itu tidak bergabung dengan Parti Negara dan berlaku disebaliknya, berkemungkinan kedudukan Perikatan mampu menggugat Pas dalam DUN andainya Parti Negara memilih bergabung dengan Perikatan. Pas hanya berkelebihan dengan dua kerusi sahaja.

Logika yang hendak dinyatakan di sini adalah betapa keperluan bergabung atau bersekutu di kalangan parti pembangkang dalam menguatkan kedudukan atau memenangi majoriti dalam DUN. Konsep bersekutu atau penggabungan politik inilah yang telah menjayakan gerakan politik Perikatan walaupun gabungan tersebut melibat parti-parti bersifat kaum.

Selepas PRU 1959, PAS mengambil masa yang agak lama untuk kembali menjadi parti pemerintah di Terengganu. Selepas 40 tahun iaitu pada PRU 1999 barulah PAS berjaya kembali menawan Terengganu. Kemenangan 100 peratus peringkat dun yang dikira sebagai pencapaian terbaik Pas Terengganu sepanjang sejarah PRU tanahair.

Gagasan PR menawan Terengganu
Namun begitu, Pas Terengganu seharusnya tidak terleka atau masih dibuai kemenangan PRU 1999 dan pada waktu ini menafikan kedudukan rakan komponen PR di negeri tersebut iaitu KEADILAN (PKR). Seharusnya penjawat-penjawat organisasi Pas Terengganu yang bukan berada di peringkat pimpinan utama tidak wajar memperkecilkan keupayaan KEADILAN Terengganu dengan membandingkan kekuatan sesama sendiri dalam media. Ia sesuatu yang dilihat tidak bijak dan angkuh. Persoalannya, jika Pas Terengganu bertanding tujuh parlimen (daripada lapan) dan 31 dun (daripada 32), apakah ia mampu dimenangi sebagaimana PRU 1999?

Rakyat Terengganu boleh dianggap tidak kisah mengundi sebarang parti kerana sejarah pilihanraya negeri tersebut telah memperlihatkan sikap itu. Jika mereka boleh memilih Umno-BN sebagai pilihan untuk menjadi pemerintah negeri tersebut, adalah tidak mustahil juga untuk mereka memilih KEADILAN selain daripada Pas. Logik mudah itu wajar dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Ketika Pas Terengganu dilihat semakin ketandusan pimpinan muda dan baru yang berkaliber, barisan kepimpinannya masih didokongi oleh wajah-wajah lama. Pertambahan pemilih muda yang begitu menggalakkan di Terengganu wajar diambil kira oleh Pas. Adakah semua pemilih muda itu akan cenderung memilih Pas?

Ini adalah cadang penulis, kewajaran KEADILAN bertanding di Terengganu adalah 10 dun dan tiga parlimen. Rakyat yang akan memilih dan menentukannya. Gagasan untuk menawan Terengganu pada PRU-13 wajar diperkuatkan, bukan menayangkan keangkuhan. Sekurang-kurangnya akan ada mana-mana pemilih dun yang tidak selesa memilih Pas akan memilih KEADILAN. Harus diingat juga, tidak semua pemilih Melayu itu selesa memilih Pas dan sebaliknya.

Semoga persepakatan itu diperkukuhkan dan tidak melayangkan serangan-serangan ke paparan media khususnya daripada penjawat-penjawat parti yang bukan bertaraf pimpinan utama. Peperangan kecil sebegitu sangat merugikan.

No comments:

Post a Comment